Buku yang ditinggalkan di depannya itu dibelek-belek lembut. Fikirannya berserabut dan bercelaru. Dia menyalahkan dirinya sendiri yang mungkin terlalu lemah dalam menyampaikan hujahnya kepada Hijriah menyebabkan Hijriah mula tersalah tafsir.
"Mungkin methodku tidak kena.." bisik hatinya. Di samping itu, dia memperbanyakkan zikir untuk mencari ketenangan hati. Semakin direnung-renung buku itu, persoalan lain pula yang bertandang di mindanya. Tiba-tiba sahaja dia terfikir sesuatu.
"Warna yang sama!" bisik hatinya. Tangannya terus mencapai nota biru yang masih terselit di dalam failnya. Dia cuba membanding-bandingkan warnanya. Ternyata sama sahaja. Lagipun Tsabit gemar memakai baju berwarna biru lembut ke dewan kuliah. Mungkin warna kegemarannya. Hatinya mengesyaki sesuatu.
"Kalau Tsabitlah orang yang menggangguku dengan nota itu, apa yang dituntutnya?" fikirnya. Namun, dia tidak mahu menuduh sembarangan. Bimbang tersilap membuat perhitungan. Terngiang-ngiang pula di telinganya title ‘perampas’ dan ‘pencuri’ yang Hijriah tuturkan. Pencuri? What’s up? Apa yang aku curi? Apa sebenarnya ni? Keresahan terhadap konflik yang tercetus antaranya dengan Hijriah dibebani pula dengan persoalan nota misteri. Hatinya bertasbih memuji kebesaran Ilahi yang Maha Mengetahui. Minta diberi kekuatan. Apakah situasi yang bakal dihadapinya nanti. Mungkin dia perlu mengalah dan meminta maaf daripada Hijriah. Lagipun, Hijriah mudah dipujuk dan marahnya tidak berlaratan. Hatinya lembut.
"…Ya Allah, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Mu yang sebenar…" Doa Robithoh dijadikan penawar resah hatinya. Buku-bukunya yang berselerak mula dikemas. Keresahan yang bersarang tidak mengizinkannya untuk meneruskan revision. Langkahnya diatur pantas untuk segera tiba di biliknya, berjumpa Hijriah. Di suatu simpang, dia bertembung dengan Intan Izma yang menyapa lembut. Gadis sebelah biliknya itu memang peramah. Suka mengambil berat masalah orang. Sesuailah dengan statusnya memilih course Undang-undang. Semua masalah nak diselidikinya… bakal peguamlah katakan.
"Asrar, kenapa tak temankan Hijriah ke stesyen komuter. Katanya tadi nak balik Kajang.
"Intan Izma bersahaja gayanya. Khazinatul Asrar agak terkejut dengan berita itu.
"Hijriah balik? Intan tak tanya berapa hari dia nak balik?" garis-garis keresahan terjalur pada wajah tenang itu.
"Marahkah dia?" detik hatinya.
"Eh, macam mana teman sebiliknya boleh tanya saya pula, gaduh ya?" duga Intan Izma. Dia memang cekap menduga suasana.
"Gaduh? Tak adalah… tak sefahaman sedikit je. Insya-Allah, tak lama," jujur pengakuan Khazinatul Asrar. Dia tahu kalaupun dia berdalih Intan Izma pasti dapat menghidunya juga. "Biasalah tu Asrar, asam garam persahabatan. Alah…jangan bimbang, dia balik sekejap jea tu. Kajang bukan jauh sangat. Nak berulang hari-hari pun tak jadi hal punya. Lagipun Hijriah tak ada bawa beg besar. Handbeg jea. Handbegnya tu membuktikan dia bukan bertujuan nak balik lama. Tapi itu bukanlah hujah yang konkrit sebab mungkin dia dah ada simpanan baju kat rumah. So, buat apa nak bawa beg besar-besar, kan?!" Intan Izma rancak berceloteh. Sepatah ditanya, serangkap perenggan dibalasnya. Bagaikan berada di mahkamah pula.
"Tak apalah Intan. Terima kasih kerana beritahu saya hal nie. Hah, Intan nak ke mana pulak ni?" Khazinatul Asrar cuba meringkaskan pertemuan. Dia dah cukup faham kalau dilayannya lawyer sorang ni, 24 jam pun tak cukup.
"Saya nak ke kamsis Dato’ Onn. Jumpa Chee Wah. Nak Tanya dia pasal handset dia yang tercicir tu samada dah jumpa atau belum. Dia tu pelupa. Dia cakap tercicir tapi ada kebarangkalian handsetnya tu dicuri berdasarkan fakta yang diberi. Lagipun kes kecurian handset bukanlah benda asing lagi kat sini. Chee Wah ni kena siasat betul- betul sepatutnya. Tak mustahil roommate dia sendiri yang mencuri. Bukan semua roomate boleh dipercayai. Ni saya nak cuba selidik kes dia ni… tak boleh biarkan Chee Wah ni settlekannya sendiri," jelasnya panjang lebar. Selepas itu, mereka membawa haluan masing-masing.
Setibanya di bilik, Khazinatul Asrar mendapati ada sekeping nota berwarna biru lembut di atas katilnya.
##Asrar, saya minta maaf atas apa yang berlaku. Izinkan saya balik ke Kajang untuk menenangkan fikiran. Saya berasa malu atas perlakuan saya tadi. Beberapa hari lagi saya akan kembali. Maafkan saya…##
Khazinatul Asrar menarik nafas lega. Dia tidak mahu konflik itu berlarutan. Kehadiran nota itu benar-benar menenangkannya. Dia bertahmid meluahkan kesyukuran. Namun setelah seketika, nota Hijriah yang berwarna bitu lembut itu mengembalikan ingatannya terhadap nota-nota misteri yang sering kali diterimanya. Dia sebenarnya cuba melupakan persoalan itu kerana ianya bagaikan suatu mainan yang sia-sia. Tiada motifnya. Masih banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan. Namun, situasi ini mengundang persoalan tentang nota misteri itu untuk hadir lagi.
"Tulisannya tidak sama.Jenis kertas pun berlainan," Khazinatul Asrar membanding- bandingkan nota Hijriah dengan nota-nota yang diterima sebelumnya. Wajahnya hampa. Dia bingkas bangun memperbaharui wudhuknya. Di saat-saat resah begitu, al- Quranlah penawar paling mujarab baginya kerana Al-Quran adalah warkah cinta dari Pencipta. Allahlah Kekasih yang paling memahami. Masakan tidak, Dialah raja segala cinta kerana Dialah sebenarnya Pencipta cinta. Lihatlah hanya dengan satu sifat cinta-Nya yang dilontar ke bumi, berkasih sayanglah semua makhlukNya hatta binatang sekalipun. Bayangkanlah 99 lagi sifat cinta yang masih bersama-Nya. Subhanallah! Agungnya cinta Ilahi…
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment