Langkahnya disusun kemas untuk pulang ke kamsisnya. Lamunan tentang Hijriah hadir lagi, seolah–olah episodnya bersambung sejak dari dewan kuliah tadi. Hijriah belum pernah ponteng kuliah seperti hari ini. Sebagai teman sebilik, dia terlalu ingin tahu keadaan Hijriah di saat itu. Sakitkah dia? Khazinatul Asrar mula berasa bersalah terhadap dirinya sendiri yang mungkin terlalu sibuk mengejar waktu hingga agak mengabaikan situasi teman sebiliknya itu sejak kebelakangan ini. Penglibatannya sebagai salah seorang perwakilan pelajar PMUKM ( Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia ) sudah cukup membuatkan hari–hari yang dilaluinya terlalu padat dan singkat.
Tenaga, wang dan waktu lapang banyak dikorbankan untuk perjuangannya di kampus itu. Waktu malamnya pula dihabiskan untuk menyiapkan assignment di Perpustakaan Tun Sri Lanang, perpustakaan terbesar di Asia Tenggara. Baginya tiada istilah rehat selagi dia tidak mampu menyeimbangkan sebijaksana mungkin masa yang dia ada untuk menunaikan tanggung jawab. Khazinatul Asrar menyedari kebenaran kata–kata As-Syahid Al-Iman Hassan Al-Banna: "…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada."
~Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan…tiada siapa yang bisa memisahkan kita…antara kita semua…~ Dari tangga kamsis lagi, lagu favourite Hijriah itu bergema kedengaran. Kuat sekali. Khazinatul Asrar menggeleng–gelengkan kepalanya dan terus menyusun langkah menuju ke biliknya yang terletak di barisan ketiga, level 1. Tidak syak lagi, irama nasyid dendangan In-team itu memang datang dari biliknya. Dia dapat menduga bahawa Hijriah pasti ada di dalam bilik.
"Hijriah, Asrar balik nie!" pintu yang tidak berkunci itu dikuaknya perlahan–lahan. Salamnya tiada jawapan. Didapatinya Hijriah sedang tidur dengan bantal ditelangkupkan diatas kepala. Kipas siling berputar ligat dengan penunjuk mengarah full. Lagaknya bagaikan orang yang ada masalah. Khazinatul Asrar memperlahankan volume radio kerana bimbang mengganggu penghuni lain. Serentak dengan itu Hijriah terjaga dari lenanya yang mungkin tidur–tidur ayam sahaja.
"Eh, Asrar dah balik rupanya…" Hijriah berkata lembut sambil membetulkan kedudukan bantalnya. Khazinatul Asrar mengukir senyuman. Perlahan–lahan dia menghampiri Hijriah dan duduk di sebelahnya. Tangannya menjamah dahi Hijriah.
"Tak panas pun!" kata Khazinatul Asrar perlahan.
"Sejak bila pula saya demam?" balas Hijriah bersahaja.
" Habis tue kenapa tak datang kuliyah pagi nie?" tanya Khazinatul Asrar pula.
"Err…topik baru ke hari nie?" Hijriah cuba mengalih perbualan.
"Hijriah…saya tanya nie!" Khazinatul Asrar tidak mahu Hijriah menyembunyikan sesuatu.
"Kenapa nie?" Khazinatul Asrar memujuk lembut.
"Kenapa nie?" Khazinatul Asrar memujuk lembut.
"Tak ada apa–apa…betul!" Hijriah masih membuat aksi selamba.
"Habis tue, pagi tadi awak bersiap–siap bukan untuk ke kuliyah?" Khazinatul Asrar masih tidak berpuas hati dengan jawapan Hijriah.
"Saya ke Mini Market. Beli Coklat Dairy Milk 10 packs untuk hilangkan tension," jelas Hijriah berterus–terang.
"Kalau tak percaya, tengok dalam basket tu. Penuh plastik coklat, kan?!" Hijrah menguatkan kenyataannya.
"Hilangkan tension dengan coklat??? Hijriah yang saya kenali biasanya menatap Al- Quran bila ada masalah," getus Khazinatul Asrar masih curiga.
"Saya tak ada apa- apa. Percayalah Asrar! Saya cuma tension sikit saja pagi tadi…sekarang dah okey," sambil bibirnya mengukir senyuman hambar.
"Kenapa tension sampai ponteng kuliyah?" Khazinatul Asrar terus bertanya. Hijriah terdiam. "Ada masalah ye?! Kongsilah…" pujuk Khazinatul Asrar lagi.
"Tak ada lah…. mungkin nak period kot sebab tulah rasa tension," Hijriah terus berdalih.
"Period? Bukankah baru seminggu lepas…." Khazinatul Asrar mencelah. Mematahkan alasan yang mungkin sengaja direka–reka.
"Hijriah, kalau ada masalah, saya sentiasa bersama awak. Saya sentiasa sedia mendengar apa saja. Janganlah macam ni…" Khazinatul Asrar masih tidak jemu memujuk sahabatnya. Raut wajah Hijriah jelas menyembunyikan sesuatu. Dia tetap enggan menceritakannya kepada Khazinatul Asrar. Tidak seperti selalu. Dia sebenarnya seorang yang ceria dan berterus – terang. Namun, tidak untuk kali ini….
"Alah Asrar nie…lupakanlah perkara tue. Lain kali, saya janji tak ponteng kuliyah lagi," Hijriah seolah – olah mula bosan dengan desakan Khazinatul Asrar.
"Betul tak ada apa- apa ni?" Khazinatul Asrar cuba menduga lagi.
"Awak dah tak percaya saya lagi ke?" kata Hijriah seakan merajuk.
"Okey,okey.. kali nie awak boleh sembunyikan sesuatu dari saya, tapi esok–esok tidak lagi, tau!"
"Oh, ya! Nie nota Tsabit tentang topik hari ni. Awal pagi esok ada presentation," sambil nota bersampul biru itu diserahkan kepada Hijriah. Mata Hijriah sedikit terbeliak. Tangannya pantas menyambut dan membelek – belek buku nota tersebut.
"Tsabit suruh berikan kepada saya?" tanya Hijriah minta kepastian.
"Emm…" Khazinatul Asrar menjawab ringkas. Malas diceritakan kembali peristiwa tadi. Pemuda itu sering membuatkannya geram hinggakan dia terasa malas menyebut nama itu berulang kali.
"Kenapa tiba–tiba saja Tsabit boleh teringatkan saya? Pelik ni!" Hijriah bertanya sambil tangannya terus membelek–belek nota itu.
"Dia sukakan awak kot…." Khazinatul Asrar cuba mengusik, sengaja mahu melihat reaksi temannya. Tiada respon marah. Sebaliknya Hijriah mula tersenyum – senyum sendiri.
"Ish, lain pula jadinya…" Bisik hati kecil Khazinatul Asrar.
"Asrar, dia tak cakap apa-apa tentang saya?" Hijriah nampak semakin berminat bertanyakan Tsabit. Khazinatul Asrar menarik nafas. Dia mula mencari alasan untuk menyegerakan dirinya bebas dari bercakap pasal Tsabit.
"Tengah – tengah hari nie, saya nak tidur qoilulah dulu lah. Lepas zohor nanti, saya ada usrah. Petang ni pula ada meeting. Lain kali sajalah kita cakap pasal dia!" badannya terus direbahkan ke katil sambil mata dipejamkan. Sengaja diceritakan aktiviti–aktivitinya pada hari itu untuk menagih simpati Hijriah agar mengizinkannya berehat. Hijriah mencebik bibir sambil fikirannya menerawang jauh. Entah ke mana. Wajahnya kembali berserabut kerana memikirkan sesuatu.
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment