Cuti pertengahan semester telah berakhir… Final exam semakin hampir. Segulung ijazah yang diperjuangkan oleh setiap mahasiswa, mengimarahkan lagi library Tun Sri Lanang di musim-musim exam sebegitu. Para mahasiswa yang kampusnya di KL biasanya tidak lagi meninjau-ninjau kampus induk di Bangi. Terutamanya, pelajar tahun akhir. Kesibukan mereka tentunya berganda kerana itulah exam terakhir yang akan menentukan CGPA mereka. Kelihatan di salah satu sudut dalam perputakaan itu, seorang gadis sedang khusyuk membuat revision.
"Malam ni aku mesti berani!" bisik hati Tsabit sambil langkahnya menghala ke arah gadis itu. Awal-awal lagi dia telah menjangka bahawa Khazinatul Asrar pasti bertandang ke situ. Tatkala salam pemuda itu disambut, Khazinatul Asrar cuba menenangkan raut wajahnya yang kurang senang dengan kehadiran Tsabit.
"Asrar, saya tak berniat nak mengganggu awak…tapi saya inginkan jawapan! Tolonglah…hati saya tak tenang untuk hadapi final exam nanti." Tsabit tidak berselindung lagi.
"Jawapan?" Asrar berpura-pura membangkitkan soalan.
"Kau tentu tahu erti sekuntum mawar, kan?" balas Tsabit.
"Err…saya hanya tahu erti duri mawar. Awak juga pasti lebih tahu erti duri mawar, kan?"Khazinatul Asrar turut berkias.
"Asrar, saya tak kisah kalau awak tak suka layan saya. Saya menghormati duri yang memagari batas pergaulan awak. Tapi, tolonglah berikan saya harapan. Hormatilah perasaan saya. Saya tak mungkin mencintai awak jika bukan ianya naluri lahiriah anugerah Allah..Niat saya ikhlas!!!" Tsabit berani berterus-terang. Mukanya nampak serius. Khazinatul Asrar menarik nafas panjang. Dipandangnya sekeliling. Bimbang kalau-kalau situasi itu mengganggu konsentrasi student lain.
"Tapi awak juga tak pernah menghormati perasaan Hijriah setelah awak berinya harapan…" kata-kata itu tajam menikam naluri Tsabit bagaikan tikaman duri mawar.
"Oh...rupa-rupanya selama ini Hijriah lah punca kesangsian awak pada cinta saya. Gadis KL yang manja mengada-ngada tue. Dia bukan gadis idaman saya. Dia.."
"Cukup! Cukup Tsabit! Jangan salah sangka dan cuba memburuk burukkan sahabat saya. Hijriah gadis yang baik! Cuma awak yang tak pernah nampak kebaikannya. Siang malam dia berdoa agar Allah permudahkan segala urusan awak. Dia setia pada cinta. Bawalah kebahagian untuknya. Kebahagiaan Hijriah sebahagian daripada kebahagiaan saya juga. Dia menanti awak…" nada Khazinatul Asrar beransur-ansur menjadi semakin lembut. Memujuk.
"Tapi itu bukanlah alasan untuk awak mempersia-siakan perasaan saya pada awak!" Tsabit masih menaruh harapan. Pujuk rayu pemuda kacak itu sedikit sebanyak turut mengusik jiwa kewanitaan Khazinatul Asrar. Serba salah dibuatnya.
"Tsabit...maafkan saya. Saya sebenarnya tak pernah merasakan apa-apa kelebihan pada diri saya untuk sewenang-wenangnya menolak awak. Tapi...." tuturnya terhenti di situ.
"Tapi apa? Cakaplah Asrar..." Tsabit merayu.
"Saya pentingkan fikrah teman hidup saya!" tegasnya.
"Fikrah?" Tsabit kurang faham maksud kata-kata itu.
"Fikrah seseorang terbukti melalui hala tuju hidupnya. Saya rindukan seorang lelaki yang berfikrahkan dakwah dan perjuangan. Ianya takkan terbukti hanya melalui kata-kata..." jelas Khazinatul Asrar.
"Awak meragui fikrah saya? Saya dah banyak mempersiapkan diri dengan buku-buku fikrah kerana saya mempunyai visi hidup yang jelas dan untuk menyamai cita rasa awak juga. Saya berusaha keras dalam akademik untuk mengatasi awak. Saya berusaha membaiki akhlak dari semasa ke semasa supaya awak akan menerima saya. Awaklah inspirasi dalam hidup saya selama ini. Apa lagi yang awak mahu saya lakukan? Saya terlalu cintakan awak, Khazinatul Asrar. Tolonglah...saya perlukan jawapan!" Tsabit memuntahkan perasaan yang meluap-luap terbuku di dadanya.
"Astaghfirullahal azhim...nampaknya diri saya telah melalaikan hidup awak selama ini. Malangnya diri awak kerana meniatkan itu semua kerana saya. Siapalah sangat diri saya ni? Hanyalah seorang gadis yang lemah, diciptakan Allah dari setitis air mani yang jijik... tidakkah awak terfikir untuk meniatkannya kerana Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan diri saya, awak dan seluruh alam maya ni?! Beristighfarlah Tsabit... kerana memberikan saya cinta sebegini. Saya tak minta untuk dicintai melebihi Pencipta saya..." Khazinatul asrar berasa agak kesal dengan pengakuan Tsabit.
"Asrar, kerana ingin dekat dengan Allah lah, saya mencintai awak. Saya yakin awak boleh membawa bi’ah solehah dalam keluarga saya dan ibu mithali untuk zuriat saya nanti agar generasi kita adalah generasi yang mengenal Allah dengan hati dan amalan.." luah Tsabit lagi, tidak malu untuk berterus terang.
"Tapi, awak tak boleh terburu-buru meminta jawapan daripada saya begini!" keluh Khazinatul Asrar.
"Terburu-buru? Saya bimbang kalau saya terlewat memenangi hati awak, Asrar. Awak takkan faham jiwa lelaki. Lelaki yang terpaksa mencari pasangan, perempuan hanya perlu menanti dan membuat pilihan. Awak tahu tak betapa resahnya hati saya bila nama orang yang saya sayangi sering menjadi siulan ramai siswa di kamsis saya. Lebih-lebih lagi, bila saya dapat tahu awak turut digila-gilakan oleh seorang pelajar tahun akhir di kampus Medic. Tengoklah, hingga ke sana nama awak pergi. Kalau awak di tempat saya, awak sendiri tak kan keruan..." rungut Tsabit pula.
"Tapi saya berhak mempunyai lelaki impian saya sendiri. Bukannya boleh dipaksa begini. Saya idamkan seorang lelaki yang jelas fikrahnya dan sanggup mewakafkan diri dalam perjuangan Islam agar generasi saya adalah generasi yang menjadi pewaris risalah dakwah Rasulullah S.A.W, penerus kebangkitan Islam.."
"Awak tak yakin dengan saya Asrar? Tak jelas lagikah fikrah saya ni?" Tsabit semakin diamuk kekecewaan dalam memenangi hati gadis itu.
"Tapi…." Khazinatul Asrar cuba menjelaskan.
"Tapi, apa lagi? Mungkin alasan lain pula yang awak cari…" kata-kata itu mendesak Khazinatul Asrar menerangkan rahsia hatinya.
"Tsabit, biarlah saya jelaskan. Saya harap awak dapat menerimanya dengan rasional dan terbuka." Nafas ditarik panjang.
"Jelaskan, Asrar. Saya dah tak sanggup lagi diseksa begini…" dengus Tsabit. "Sebenarnya hati saya baru dimiliki seorang lelaki..."
"Apa?" Tsabit seolah-olah tidak percaya.
"Ya, Tsabit! Cincin ni menjadi saksi," sambil jari jemari halus yang biasanya terselindung di sebalik tudung labuh itu diangkat ke atas meja. Terbeliak biji mata Tsabit melihat sebuntuk cincin emas bertakhta berlian begitu berseri menghiasi jari manis Khazinatul Asrar.
"Tsabit, cinta saya pada lelaki pilihan Allah buat saya ini tidak boleh dikongsi sesiapa. Nilainya terlalu mahal untuk dicemari lelaki lain bahkan namanya sekali pun. Sekian lama kesucian saya pelihara dengan mujahadah yang hakikatnya perit. Izinkan saya terus setia pada bakal suami saya kerana saya pasti takkan menyatukan namanya dengan mana-mana lelaki…" ketegasan gadis itu menikam lagi. Tsabit terdiam seribu bahasa. Tidak disedari air mata kelelakiannya yang mahal itu menitis dengan murahnya di hadapan Khazinatul Asrar. Hatinya remuk menerima kenyataan itu. Mawar yang dipujanya selama ini rupanya mekar di jambangan orang. Dia pantas berlalu meninggalkan Khazinatul Asrar dengan wajah yang sarat kekecewaan dan kesedihan, membawa bersama pedihnya racun duri mawar yang berbisa.
"Oh Tuhan…Pencipta mawarku!!!" jerit batinnya cuba merawat luka yang dalam menusuk ke tangkai nurani. Nama Pencipta terungkap jua di sudut hatinya. Khazinatul Asrar masih bersikap tenang. Dia berasa tenteram kerana sekurang-kurangnya terlaksanalah amanah untuk menjadi wanita yang bias mengetuk pintu kelalaian lelaki dan kesetiaannya pada si dia masih terpelihara. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Allah memimpin Tsabit agar tidak tewas dengan kecamuk perasaannya sendiri.
"Ya Allah, kenalkan dia pada agungnya cinta-Mu.." tulus doanya.
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment