Tuesday, February 21, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 10]


Hari hujung minggu itu, Khazinatul Asrar ingin berehat-rehat sahaja di biliknya. Puas Hijriah mengajaknya bersiar-siar di sekitar ibukota tetapi ditolaknya. Persembahan anjing laut dan burung kakak tua di Zoo Negara memang merehatkan fikiran dan aktiviti yang menarik untuk dikunjungi. Itu juga tidak menarik hati Khazinatul Asrar. Letih…itulah alasannya. Hijriah tidak berkecil hati kerana dia faham dengan kesibukan Khazinatul Asrar dalam hari-hari yang dilewatinya. Biarlah kalau dia ingin berehat. Lagipun Humaira’ dan Fadhila yang pantang diajak berjalan tu dah pun bersedia menemaninya, teman sekuliyah yang sangat memahami hobi Hijriah. Tidaklah Hijriah keseorangan tiap kali hobinya mendesak untuk bersiar-siar. Ketenangan pagi itu diisi oleh Khazinatul Asrar dengan melewati e-mailnya. Komputer peribadi berinternet itu memang teman tiap kali kelapangan. Khazinatul Asrar agak berdebar-debar apabila alamat terbaru yang tertera di skrin komputernya ialah…

Tetikus digerakkan perlahan-lahan untuk meneruskan bacaan di skrin komputer. Mouse pointer terus mengarahkan helaian diangkat lagi. Ada garis debaran dan persoalan di wajahnya.

Assalamualaikum...
Khazinatul Asrar {Khazanah segala kerahsiaan}.
Indah namamu seindah dirimu! Kau memang menyimpan kerahsiaan…rahsia sekeping hati yang takut pada Ilahi. Di sebalik tabir dirimu, rahsia itu terus tersembunyi agung. Lantaran rahsia keindahan yang cuba kau pertahankan itu membuatkan aku rasa tercabar untuk memilikimu. Siapa yang tidak sukakan keindahan yang terpelihara?

Jikalau kau diciptakan sebagai sebutir mutiara. Kau adalah mutiara yang bersinar gemilang jauh di dasar lautan. Bukanlah mutiara yang terdedah menjadi perhatian umum. Jatuh nilainya.

Jikalau kau diciptakan sebagai sekuntum bunga. Sudah tentu kau adalah bunga mawar yang mempunyai syauqah (duri). Dari kejauhan sudah bersinar gemerlap keindahan bersama gemersik aroma yang harum mewangi.

Sentiasa menjadi angan- angan setiap kumbang meskipun gentar dan sukar untuk didekati. Khazinatul Asrar, kaulah wanita pertama yang bertakhta di hatiku ini. Insan yang menjadi idaman untuk menjadi teman hidupku semulia Khadijah, lambang sebuah kecintaan. Kau ibarat mawar yang sedang mekar di Taman Islam. izinkan aku menyunting dirimu kerana mengharapkan keredhaan Allah. Aku diciptakan untuk menjadi seorang doktor yang merawat fizikal manusia.

Oleh itu, ingin sekali untukku memiliki seorang permaisuri yang juga seorang doktor…doktor yang merawat keperibadian insan. Khazinatul Asrar…sudilah kiranya kau menerimaku untuk menjadi teman hidupmu dalam meredah musafir hidup yang masih panjang menuju negeri yang abadi. Di situlah destinasi cintaku yang pasti. Aku melamarmu…

Pemuda ikhlas,
MUKHLISIN

Bintik-bintik peluh mula bertamu di dahi. Keresahan mula melingkar di tangkai naluri. Pantas tangannya melarikan tetikus supaya mouse pointer segera mencari ruangan shut down. Kegelisahan yang berpintal menjemputnya sembahyang sunat dhuha lebih awal. Dia mendamba petunjuk dan kekuatan daripada Allah S.W.T. Jiwanya semakin resah dan membengkak apabila terbayang wajah dua insan tercinta yang terlalu berharap agar dia dijodohkan dengan Asyraf. Keluarganya dan keluarga Asyraf terlalu akrab bagaikan saudara. Jurutera komputer lulusan United Kingdom itu memang terlalu disayangi oleh ayahbonda Khazinatul Asrar. Walaupun Asyraf sudahpun dianggap bagaikan abang kandung sendiri, namun tergamakkah nanti untuknya mengecewakan hasrat ibubapa Asyraf, lebih-lebih lagi ayahbondanya sendiri sudah pun merestui Asyraf. Yang pasti, Asyraf tiada di hatinya.

"Oh Tuhan, jangan biarkan keadaan mendesakku untuk menggugat kesetiaan cintaku yang didasari cinta-Mu," rintih Khazinatul Asrar dengan rintihan yang tersirat dengan kerahsiaan. Cintanya seakan-akan milik seseorang.

Tok,Tok,Tok! "Assalamualaikum.."

Munajatnya pada Allah S.W.T terganggu dengan kehadiran seseorang. Baju sembahyang dipecat dari tubuhnya sambil mempersilakan masuk. Pintu biliknya terkuak perlahan. Tercegat Syaqiera di muka pintu sambil tangannya disembunyikan di belakang. Siswi tahun dua Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat itu memang suka berkeadaan begitu.

"Kak Asrar, ada sorang abang tue suruh saya bagi sesuatu pada akak…" sambil tangannya diubah ke depan. Sejambak mawar merah yang sedang mekar dan masih segar dengan batangnya hijau berduri diserahkan kepada Khazinatul Asrar. Cantik menawan.

"Ehem…ehem…" Syaqiera mengusik sambil cepat-cepat berlalu di saat Khazinatul Asrar baru sahaja nak mengucapkan terima kasih kepada adik usrahnya itu. Tak sempat. Sekeping nota kecil berbentuk love yang diikat dengan reben merah jambu terselit di celah jambangan itu. Kencang degupan jantung Khazinatul Asrar untuk mengetahui pengirimnya nemun digagahikan jua jari-jemarinya membelek nota kecil itu.

BismillahirRahmanir Rahim.

Khazinatul Asrar, aku ingin kau tahu bahawa aku benar-benar tertawan hati pada dirimu kerana Allah S.W.T…

Tsabit El-Hussainie Ibni El-Mubarakie.

Belum pun terubat resah hatinya dengan kehadiran e-mail Mukhlisin. Keresahan baru pula yang bertandang. Hatinya bertambah-tambah resah. Kenapakah Khazinatul Asrar perlu resah begitu??? Jambangan itu disembunyikan sahaja di dalam almarinya. Dia dapat menafsirkan betapa remuknya hati Hijriah kalau dia tahu anak Duta Libya yang menjadi pujaan hatinya selepas Mukhlisin rupa-rupanya menaruh hati kepada temannya sendiri. Hijriah tentu sekali sukar menelan hakikat yang sama. Apatah lagi, layanan baik Tsabit selama ini memang mengharuskan Hijriah membina impian kasih terhadapnya.

Tidak disedari, manik-manik jernih membasahi pipinya. Mungkin Kau ingin mengujiku dengan dugaan ini… Diambilnya al-Quran tafsir Arabic, pemberian seseorang dari sisi bantalnya. Telah dua tahun lamanya al-Quran itu menjadi miliknya. Di balik zip al-Quran itu tersimpan sehelai lipatan kertas berwarna hijau pucuk pisang. Telah dua tahun lamanya juga helaian itu tersimpan di situ tanpa diusik. Hatinya tergerak untuk menatapi lagi helaian itu setelah sekian lama menjadi khazanah. Helaian itu bagaikan meminta-minta agar ia dibuka.

Assalamualaikum...

Ukhti fi al-Islam,
Ana doakan agar helaian ini jauh dari fitnah syaitan laknatullah apatah lagi dari murka Allah S.W.T. Walaupun terlalu berat rasa hati untuk menulis surat ini namun ana yakin bahawa ana telah digagahi oleh Allah S.W.T jua untuk melakukannya setelah ana istikharah beberapa kali. (Astaghfirullah…moga ianya bukan riya’ )

Ana tidak berniat memanjangkan kalam, biarlah ana terus fokus pada apa yang nak ana sampaikan..

Ukhti,
Ana tidak mampu lagi menanggung resah di hati setelah mengenali keperibadian, agama dan perjuangan ukhti yang memang menepati ciri-ciri wanita idaman setiap mujahidin. Kenapakah terlalu awal perasaan ini hadir dalam hidup ana? Ana takut perasaan ini membuka lembaran baru bagi syaitan untuk melalaikan perjuangan ana dan menjarakkan ana dari mengingati Ar-Rahman. Lantaran itu, ana cuba untuk melupakan perasaan ini buat sementara waktu tapi hati ana terus dirasuk kebimbangan bahawa jika ana tidak berterus-terang, ana akan kecewa nanti. Ana akur bahawa ana tewas pada perasaan sendiri. Akhirnya, ana hadirkan jua surat ini supaya ukhti tahu bahawa setelah habis belajar nanti, ana menanti ukhti untuk dijadikan pembantu perjuangan di sayap kiri. Cukuplah sekadar ukhti tahu.

Ukhti,
Ana harap ukhti takkan membalas surat ini kerana bimbang ianya akan menambahkan noda hitam di hati ana lantaran teringatkan ukhti. Allah lebih berhak untuk kita ingati di usia ini.Perasaan ana terhadap ukhti pun anugerah dari Allah S.W.T jua. Jesteru, wajarlah ana memelihara batasan yang Dia gariskan. Doakan agar ana tidak meletakkan cinta ana kepada ukhti mengatasi cinta kepada-Nya. Dan ana nasihatkan kepada ukhti sendiri tidak perlu terlalu memikirkan hal ini. Masih banyak perkara lain lagi yang perlu ukhti fikirkan terutamanya amanah kita sebagai penerus manhaj tarbiyyah di bumi UKM ini.

Ukhti,
Ana harap ukhti jelas bahawa kehadiran surat ana ini sekadar untuk memberitahu hasrat ana terhadap ukhti selepas habis belajar nanti. Ana tetap berpegang pada prisip bahawa perasaan cinta terhadap seseorang tetap tak menghalalkan ana untuk mengetepikan Allah S.W.T dalam setiap tindakan sepanjang tempoh belajar ini. Ana juga langsung tak berniat untuk memaksa ukhti menerima ana. Terserahlah kepada ukhti sendiri…Kalaulah ukhti memang diciptakan untuk ana, ana serahkan ukhti dalam jagaan Allah S.W.T. moga Allah jua yang akan mempermudahkan jodoh pertemuan dengan ukhti nanti. Walaubagaimanapun, put your trust in Allah. Ana redha pada ketetapan Allah yang bakal kita hadapi…Dialah sebaik-baik Perancang!
Pengemis cinta Ilahi…

"Ya Allah…aku tak pasti samada Kau benar-benar meredhai cintaku pada-Mu ataupun tidak dengan mendatangkan ujian demi ujian cinta silih berganti. Aku sedih dengan suasana hatiku yang sering berbolak-balik dan kadang-kadang hampir ditewasi cinta lelaki. Jahatnya hati sebegini! Ya Allah, andai hati yang ada ini jauh dari-Mu, maka tukarkanlah hati ini dengan hati yang mencintai-Mu. Aku tidak sanggup hidup tanpa cinta-Mu…"Khazinatul Asrar bermunajat pilu. Teringat pula pada madah Abdul Ghani, penyair sufi yang fasih di lidahnya.
Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…

Allahu Rabbi aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang
Hingga membuatkanku lalai akan adanya Engkau
Allahu Rabbi aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu yang tidak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh
Allahu Rabbi Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu
Allahu Rabbi
Pintaku yang terakhir adalah seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner