Sunday, February 26, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 12]


"Sekali lagi ana nak memberi peringatan bahawa orang yang memikul amanah membawa risalah dakwah sepatutnya menjaga peribadi diri dari semua segi untuk dijadikan qudwah hasanah. Terutamanya dari segi ketepatan masa. Masa dalam hidup pejuang lebih sedikit daripada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Allah S.W.T sendiri memberi peringatan tentang masa dalam al-Quran. Sepatutnya, ana tak perlu lagi mengulangi peringatan ini kepada orang yang bergelar pemimpin kerana dia sepatutnya lebih bijak memimpin masa sendiri.." sinis dan tegas Mustaqhim Al-Qordhowi menegur kelewatan Khazinatul Asrar dan Faranaqwiah. Ketegasan memang sudah sebati dalam peribadi Presiden itu apabila berhadapan dengan kesilapan.

"Maafkan ana..mungkin enti berdua masyaqqoh. Boleh bagi alasan?" Mustaqhim Al-Qordhowi bersuara lagi. Kali ini lebih berdiplomasi. Sebagai presiden, dia memang bertanggungjawab memastikan kualiti disiplin setiap pimpinan pelajar yang membawa imej Islam di mata UKM. "Er..tadi.." Faranaqwiah cuba menjelaskan tetapi dipotong oleh Khazinatul Asrar.

"Ana yang menyebabkan Faranaqwiah lambat! Ana minta maaf atas kelewatan ini dan bersedia menerima mua’qobah. Teruskanlah majlis untuk menghormati masa…" pinta Khazinatul Asrar. Dia tidak mahu demamnya diheboh-hebohkan kerana mungkin akan merisaukan teman-teman seperjuangan yang lain.

"Nampaknya enti berdua tiada alasan..ana taklifkan istighfar 1000 kali setiap hari selama seminggu. Amanahlah pada diri sendiri kerana Allah Maha Mengetahui," tegas presiden itu dengan nada serius. Khazinatul Asrar dan Faranaqwiah akur dengan taklifan itu tanpa sebarang rungutan. Bagi mereka, mungkin itu hanyalah sebagai asbab dari Allah S.W.T untuk mendidik mereka memperbanyakkan istighfar.. berbaik sangka dengan Allah.

"….dakwah adalah penerusan dan kesinambungan misi dan visi abadi daripada Allah S.W.T untuk kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat. Mempertikaikan mesej dakwah dengan berselindung di sebalik perbezaan persatuan dan kesibukan belajar bererti meneruskan sikap anarkis terhadap hidayah dan kebenaran. Sebagai mahasiswa apatah lagi sebagai wakil pelajar dalam PMUKM, kita perlu lebih berani dalam menyatakan pendirian menegakkan al-haq. Perlu sentiasa diingat, kekentalan dalaman akan melahirkan keberanian. Solat tahajjud dan al-Quran jangan sesekali dianggap asing dalam kehidupan seharian. Pada dua senjata pejuang ini tersirat rahmat dan kasih sayang yang agung dari Allah S.W.T. Ingatlah tanpa iman, ilmu, amal, istiqomah dan mujahadah perjuangan yang kita laung-laungkan sebenarnya tiada wawasan dan arah. Tanpa rasa cinta pada ukhuwwah dan jemaah usah namakan diri sebagai penyokong dan pendokong wehdah. Persefahaman dan kesatuan adalah sangat penting untuk mewujudkan jemaah yang quwwah. Pengorbanan adalah lumrah. Jalan dakwah yang kita pilih ini tidak pernah menjanjikan hamparan permaidani merah malah penuh ranjau dan duri kerana ketahuilah jalan menuju ke neraka itu indah dan mengasyikkan sebaliknya jalan menuju ke syurga adalah menyakitkan. Selagi Allah adalah matlamat utama hidup kita dan selagi tiap tingkahlaku kita berteraskan fardi Muslim, selagi itulah kita masih di jalan yang benar ini. Wawasan kita adalah jelas dan pasti bukannya setakat wawasan 2020 tetapi wawasan kita nun lebih jauh ke hadapan mengejar wawasan akhirat yang kekal abadi…"

Laungan takbir oleh soff pimpinan Muslimin mengiringi noktah akhir ucapan Presiden PMUKM. Kalimah agung itu begitu gah bergema menggegarkan dewan. Usrah itu berakhir pada pukul 6.35 petang. Selepas mengemas buku catitannya, Khazinatul Asrar berjalan seiringan dengan Faranaqwiah menuju ke kamsis masing-masing. Kali ini langkahnya lebih bersemangat berbanding sebelumnya walaupun suhu badannya masih di takuk lama, semangat Islam yang bersemarak di dalam dada mujahidah.

"Saudari!" satu sapaan kuat membuatkan Khazinatul Asrar dan Faranaqwiah berpaling serentak ke belakang. Sebuah kereta Perdana sedang berhenti beberapa meter dari mereka. kelihatan di dalamnya seorang lelaki yang berpakaian kemas sedang tersenyum. Orangnya nampak bergaya. Hebat. Macho...
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner