Sunday, February 26, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 13]


"Siapa tu?" Khazinatul Asrar bertanya Faranaqwiah. Faranaqwiah mengangkat bahu sebagai isyarat tidak tahu. Kereta itu terus bergerak semakin mendekati mereka. lelaki itu memberi salam dengan sopan. Salamnya dijawab perlahan.

"Encik ni nak jumpa siswi kat sini ke?" Faranaqwiah memberanikan diri untuk menduga. Lelaki itu hanya mehjawab dengan seulas senyuman kepada Faranaqwiah. Dia pula yang mula bertanya.

"Saudari nie, Khazinatul Asrar kan?" telunjuknya menghala ke arah Khazinatul Asrar.

"Ya, saya!" spontan Khazinatul Asrar menjawab.

"Err…saya Mukhlisin…Ahmad Mukhlisin! Saya datang ni sebab nak minta maaf pasal nota-nota tue." Khazinatul Asrar agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu tetapi dia kelihatan tenang mendengar kenyataannya.

"Hijriah cakap, awak tak suka cara saya approach awak. Saya mula rasa bersalah dan nak minta maaf. Boleh awak maafkan saya?" wajah Mukhlisin bersarat harapan.

"Lupakan…em, kalau dah tak ada apa-apa lagi, kami pergi dulu ya. Bimbang kalau mendatangkan fitnah pula," Khazinatul Asrar sudah bersedia mengatur langkah. Dia ingin segera mengakhiri episod itu. Pandangannya dilontar ke dewan tempat usrahnya diadakan tadi seolah-olah dirasakan ada seseorang yang melihat mereka. Seseorang yang mungkin curiga dengan situasi itu.

"Nantilah dulu…bukannya senang untuk saya berpeluang sebegini. Give me some minutes, please!" wajah Mukhlisin menterjemahkan betapa besarnya harapan. Khazinatul Asrar memandang Faranaqwiah. Faranaqwiah mengangguk perlahan sebagai isyarat supaya diberi ruang dan peluang kepada lelaki itu. Mukhlisin memandang Faranaqwiah dengan senyuman terima kasih.

"Betulkah awak dah benar-benar memaafkan saya?" Mukhlisin masih curiga.

"Saya tak suka mendendami sesiapa…" balas Khazinatul Asrar.

"Tapi, awak macam masih marahkan saya! Berpuluh kali saya call tapi tinggal miss called jea," luah Mukhlisin.

"Awak takut saya marahkan awak?" duga Khazinatul Asrar, makin berani.

"Tentulah…" pantas Mukhlisin menyahutnya.

"Kenapa?" Khazinatul Asrar masih menduga.

"Supaya awak tak bencikan saya…" jawab Mukhlisin.

"Sepatutnya awak lebih takut kalau Allah S.W.T yang marah supaya Allah tidak benci…" tegas bicaranya.

"Sekali lagi saya minta maaf. Saya tak berniat nak mempermainkan awak. Niat saya baik. Ikhlas kerana Allah!" Mukhlisin membela diri.

"Siapalah kita untuk menilai keikhlasan sendiri. Ikhlas ke tak ikhlas ke, itu urusan Allah, Allah Maha Mengetahui. Muhasabahlah balik tujuan awak untuk mendekati saya kerana dalam sedar ataupun tidak mungkin ianya didasari nafsu semata bukan atas pertimbangan akal," Khazinatul Asrar masih bernada tegas.

"Awak meragui keikhlasan saya?" soal Mukhlisin.

"Saya tak bermaksud begitu. Sekadar ingatan dan langkah berhati hati. Lagipun saudara adalah orang asing dalam hidup saya, memang menjadi haq saya untuk meragui setiap orang yang asing."

"Khazinatul Asrar…salahkah saya cuba untuk mengenali gadis yang baik untuk dijadikan isteri?" redup wajah Mukhlisin. Faranaqwiah tertunduk malu dengan kenyataan itu. Khazinatul Asrar masih mampu bertegas.

"Tak ada hukum yang mengatakannya salah. Tapi saudara kena ingat. Matlamat tak menghalalkan cara. Cara mestilah syaro’ mengikut lunas-lunas agama." Jelasnya lembut kali ini namun kenyataannya masih tegas.

"Okeylah, okeylah…saya tak berniat berdebat apa-apa dengan awak. Cuma, saya ada satu permintaan. Mungkin yang pertama dan terakhir. Begini… saya ada perkara penting yang nak dicakapkan dengan awak, Khazinatul Asrar. Dah banyak kali saya cuba hubungi handset awak tapi nampaknya awak tak sudi langsung nak menjawabnya. Mungkin awak rasa saya nak mengganggu lagi. Itu silap saya sendiri kerana nota-nota tue. Tapi,saya harap sangat-sangat kita boleh jumpa malam ni, boleh kan?" ajakannya memang bersungguh-sungguh. Sinar matanya memancar harapan.

"Maafkan saya, saudara! Berjumpa tanpa urusan yang munasabah antara lelaki dan perempuan bukanlah prinsip hidup saya. Saudara mungkin tersilap orang untuk diajak keluar," nadanya lembut namun tegas.

"Habis tue, takkan saya tiada peluang langsung untuk mengenali awak?" Mukhlisin berasa hampa dengan penolakan itu.

"Saudara…untuk apa kita saling mengenali? Ianya hanya memberi kesempatan kepada syaitan untuk memudahkan kerjanya melalaikan manusia," tegasnya lagi.

"Tapi ini soal hati dan perasaan, bukan mainan. Saya tahu…saudari sebenarnya tak mahu mengenali saya kerana saya tak layak mengenali saudari, kan?" terluah satu kekecewaan dan kekesalan.

"Maafkan saya. Saya langsung tak berniat memperkecilkan saudara. Antara kita tiada lebihnya melainkan darjah ketaqwaan yang semuanya menjadi urusan Allah. Siapalah diri saya untuk berlaku sombong…Saudara, saya buat begini semata-mata mengharap naungan keredhaan Allah untuk kebaikan kita bersama. Lagipun, saudara tak bimbangkah pada amaran Rasulullah bahawa mengenali seorang wanita mungkin menjadi fitnah kepada seorang lelaki?" Khazinatul Asrar cuba menenangkan perasaan Mukhlisin.

"Memang Rasulullah sangat bimbangkan dengan bahaya fitnah wanita akhir zaman. Tapi bukannya semua wanita membawa fitnah. Wanita itu hiasan dunia dan sebaik- baik hiasan adalah wanita solehah. Salahkah saya cuba mendapatkan hiasan yang sebaik-baiknya itu untuk hidup saya? Malah itu adalah hak dan impian semua lelaki," Mukhlisin mempertahankan pendiriannya. Khazinatul Asrar terdiam. Setelah seketika barulah bersuara.

"Saya tak mahu seorang lelaki yang menjadi harapan agama dalam gerak kerja memartabatkan Islam akan lalai dan menjadi lemah iman kerana saya. Apatah lagi intelektual Islam sehebat saudara. Saya tak mahu menjadi wanita akhir zaman yang menyumbang kepada kelalaian lelaki. Kalaulah wanita hari ini terpelihara keperibadiannya dari pelbagai aspek, InsyaAllah akan lahirlah pemuda-pemuda Islam yang sanggup berada di jalan perjuangan sebagaimana keunggulan srikandi-srikandi Islam terdahulu yang akhirnya melahirkan para ambiya’, auliya’, dan solohin yang unggul dan terbilang. Tarbiyah inilah yang cuba saya praktikkan pada diri saya. Oleh sebab itu saya tak mahu menghampiri perkara-perkara yang melalaikan seperti ajakan saudara ini. Maafkan saya," Khazinatul Asrar cuba menjelaskan pendiriannya.

"Saya tak kisah kalau awak menolak ajakan saya nie. Cuma…saya harap awak luangkanlah waktu fikirkan tentang perasaan saya terhadap awak. Saya benar-benar cintakan awak kerana Allah!" Mukhlisin semakin berani berterus terang. Tidak dihiraukan lagi rasa segan dan malu pada gadis itu. Pipi Khazinatul Asrar kemerah- merahan dengan kata-kata itu. Tak dapat dibendungnya lagi rasa malu kepada Faranaqwiah dan pada Mukhlisin sendiri. Tangan Faranaqwiah ditariknya sambil mengatur langkah meninggalkan Mukhlisin tanpa sebarang kata putus. Faranaqwiah yang sejak tadi setia memerhati terus setia mengikut rentak kaki temannya yang mara kehadapan. Matanya melirik kepada Mukhlisin yang semakin jauh ditinggalkan dengan persoalan. Kasihan padanya…

"Syauqah…duri yang memagari diri. Tiba waktunya duri itu takkan lagi berbisa untukku. Oh, Khazinatul Asrar…" Mukhlisin memujuk hatinya sambil anak matanya mengekori setiap langkah sopan kedua-dua gadis itu. Setelah kedua-duanya hilang dari pandangan, keretanya dipecut laju. Semangatnya makin membara untuk menyunting mawar berduri itu.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner