Sunday, February 26, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 11]


Irama handset menyentak lamunannya. Ada message dari Faranaqwiah, salah seorang perwakilan pelajar sepertinya.

Usrah pimpinan PMUKM, 5.30 ptg ini.
-Faranaqwiah-

"InsyaAllah, saya akan datang!" bisik hati Khazinatul Asrar. Dia membuka almarinya untuk mencari fail Timbalan Exco Perhubungan Luar yang dipegangnya. Ada urusan yang perlu dirujuknya. Serentak dengan itu jambangan mawar berduri pemberian Tsabit yang mengharumkan almari menarik perhatiannya.

"Kalaulah kau untuk Hijriah, tentu tika ini kau makin mekar di dalam pasu. " Khazinatul Asrar berbicara dengan jambangan mawar. Sedih melihatkan ia mungkin layu tersorok di situ. Punggungnya mula dilabuhkan di tempat study Hijriah. Sebuah frame di situ begitu berseri menghiasi meja. Gambar menterjemahkan bagaimana akrabnya Hijriah dan dirinya sama-sama riang mengukir kenangan di Taman Sri Teruntung. Sepasang anak monyet yang comel juga turut berkongsi keceriaan mereka di dalam gambar itu. Khazinatul Asrar tiba-tiba tertawa sendiri apabila mengimbas kembali kenangan manis di pusat rekreasi yang masyhur di Kuantan itu. Masih segar lagi diingatannya bagaimana Hijriah hampir menangis apabila anak monyet comel dan jinak yang didukungnya tiba-tiba sahaja melarikan handbeg dan dibawa ke atas pokok. Keadaan semakin cemas apabila si monyet itu mula bertindak menyelongkar handbeg nun jauh di puncak dahan. Mereka berdua bimbang takut- takut ada dokumen-dokumen penting yang dikoyaknya.

Pantas mereka berdua mendapatkan penguasa yang bertugas. Apabila anak monyet itu melihat seorang penguasa mengacukan kayu ke arahnya sebagai amaran, segera dicampaknya handbeg Hijriah ke bawah. Namun ia sempatjuga mengambil bedak compack di dalam handbeg itu. Kemudian, telatahnya yang mula membedakkan mukanya dengan bedak compack itu menarik perhatian pengunjung-pengunjung lain. Ianya sungguh menggelikan hati sehingga kebimbangan mereka berdua menjadi bahan ketawa seterusnya mencipta kenangan indah.

"Aku sayangkan engkau Hijriah," hatinya merintih sayu. Buku-buku Hijriah yang tersusun rapi di atas meja pula yang direnungi. Khazinatul Asrar tertarik pada sebuah buku nota berwarna purple susu, pada covernya dilekatkan dengan gambarnya. Dia tersenyum dan merasa terpanggil untuk membelek buku itu. Rupanya bingkisan hati yang mengisi ruangan.

**Tsabit…indahnya hidupku andai akulah teman dan ratu dalam mahligaimu. Aku ingin mencari teduhan syurga di bawah tapak kaki seorang suami sepertimu. Di saat ini biarlah aku simpan sahaja perasaan ini. Cinta yang lahir di hatiku, anugerah Allah S.W.T ini akan ku pelihara agar tidak dicemari dengan kelalaian dan bisikan syaitan. Tidak perlu untukku terlalu memuja cintaku ini kerana ku sedar bahawa Penciptamu lebih berhak untuk ku cintai. Aku mempunyai impian untuk menjadi seorang isteri yang bisa menyemarakkan rasa kecintaan kita pada Islam dan perjuangan. Itulah hakikat cinta yang ku pelajari dari Khazinatul Asrar,sahabatku.

**Asrar…kaulah teman yang tak mungkin ada pengganti. Terima kasih kerana banyak memimpin hidupku dari derasnya arus keduniaan yang melingkari hidupku sebagai anak kota. Kau jugalah yang mengajar aku tentang hakikat cinta. Cinta bukanlah alasan unutk menurutkan nafsu bermesra dan berfoya-foya tanpa perbatasan syariat. Cinta sejati adalah cinta yang tak dicemari kemurkaan Allah dan terpelihara kesuciannya hingga syariat menghalalkan. Cinta itulah yang akan aku hadiahkan kepada insan bernama Tsabit El-Hussainie Ibni El-Mubarakie…

Buku itu ditutup rapat. Khazinatul Asrar tidak sanggup menghabiskannya hingga ke noktah terakhir. Dia terharu dengan pendirian Hijriah tentang cinta yang selama ini sering didamba-damba olehnya. Patutlah sejak kebelakangan ini dia kelihatan banyak berfikir dan kurang bertanya pasal Tsabit. Rupa-rupanya, jauh di sudut hatinya tersimpan satu azam cinta yang kudus, mengharap cinta yang diredhai-Nya.

"Moga Allah merestui impianmu…"hatinya berbisik penuh pengharapan.

"Tik…tik..!" handsetnya memberi petanda bahawa satu message diterima. Khazinatul Asrar yang sedang mengenakan tudung, pantas mencapainya.

"Asrar, ana tunggu enti kat lobi nie..cepat sikit yea!"
-Farahnaqwiah-

Khazinatul Asrar bergegas turun ke lobi. Beberapa buah fail didakapnya. Langkahnya kali ini nampak longlai dan lemah. Setibanya di lobi, dia memberi salam kepada Faranaqwiah sambil berjabat tangan.

"Eh, Asrar..panasnya tangan! MasyaAllah, pucatnya bibir enti! Wajah pun macam orang tak bermaya. Enti sakit ke?" Faranaqwiah terperasan perubahan pada wajah Khazinatul Asrar yang tidak seceria selalu.

"Alhamdulillah, ana sihat jea. Cuma suhu badan tiba-tiba naik sikit. .InsyaAllah, demam ni tak lama…" Khazinatul Asrar cuba menghilangkan kebimbangan Faranaqwiah. Namun, Faranaqwiah tidak berpuas dengan jawapan itu. Dijamahnya dahi Khazinatul Asrar sambil berkata...

"MasyaAllah,demam panas n! Jomlah ke klinik dulu.."

"Alah, sikit jea! InsyaAllah ana boleh bertahan lagi. Ana tak mahu kita lewat ke usrah pimpinan…dari segi fiqh aulawiyyat, mana yang patut kita utamakan?" tolak Khazinatul Asrar. Dia memang tak suka memanjakan sangat dirinya apabila sakit.

"Ana tak kira, ana tetap nak bawa enti ke klinik dulu! Panas sangat suhu enti ni, Asra..bukan biasa-biasa!" tegas Faranaqwiah. Khazinatul Asrar akhirnya terpaksa akur dengan saranan itu.

Sementara itu di salah sebuah dewan kuliah, barisan pemimpin muslimat sudah sedia dalam soffnya. Seketika kemudian, soff pimpinan muslimin pula dipenuhi. Presiden Pelajar PMUKM, al-akh Mustaqhim Al-Qordrowi bin Tay Leong Muhammad kelihatan begitu segak dan berwibawa melangkah ke hadapan. Kepimpinannya memang cukup disegani. Usrah yang dikendalikannya diakui sangat terkesan di hati, menambahkan keimanan, menaikkan semangat juang dan menyedarkan dari kealpaan.

Dia bercakap dari hati, bias menembusi tiap hati yang mendengarnya. Selepas 15 minit berlalu, urusan mengambil ubat selesai.

"Asrar, enti baliklah berehat. Kan doktor dah cakap tadi, enti perlu banyakkan rehat…badan enti tu dah terlalu letih," pujuk Faranaqwiah.

"Tak apalah Fara, ujian sikit jea Allah bagi nie! InsyaAllah sebagai pengkifarah dosa. Orang mengaku pejuang tak boleh memanjakan sangat dirinya. Rasulullah lagi teruk diuji dengan peperangan… Takkan demam sikit ni pun nak dijadikan alasan untuk tinggalkan usrah tu..rugilah ana nanti.." Khazinatul Asrar tidak mahu mengalah. Kali ini, Faranaqwiah pula terpaksa akur pada kemahuan Khazinatul Asrar setelah puas dipujuknya agar pulang berehat. Dia memahami semangat cintakan ilmu yang Khazinatul Asrar miliki.

Setibanya di dewan kuliah, seangkatan pimpinan usrah sudah pun bersiap sedia dalam soff mereka. mantap. Presidennya sedang lantang berucap di hadapan. Khazinatul Asrar dan Faranaqwiah menggagahkan jua untuk menyertai mereka walaupun terpaksa bertebal muka kerana datang lambat. Sebaik sahaja ketibaan mereka dalam saff itu, al-akh presiden berhenti berucap secara tiba-tiba. Mereka berdua berasa serba salah kerana telah mengganggu kelancaran majlis.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner