Sunday, April 16, 2006

Teguran Dariku Buat Sahabat dan Sahabiah Semua...

Meneliti beberapa weblog kawan-kawan, rakan taulan, sahabat-handai membuatkan ana terkasima, terjanggama, tersangkasuma serta pelbagai lagi rasa tidak seksama di hati dan kurang senang di diri.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar" (At-Taubah: 71).

Permasalahan Bercampur Lelaki Perempuan

Sesungguhnya perintah menundukkan pandangan merupakan satu adab, tuntutan dan perintah sunnah yang diperintah oleh Allah swt dan diajari oleh sunnah baginda salallahualaihiwasalam. Ana merasa pelik bagaimana pemilik-pemilik weblog tertentu boleh memaparkan gambar lelaki dan wanita bergambar di tepi pantai yang indah..... konon melalui satu program, baktisiswa dan pelbagai lagi.

"Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)"
(Al-isra : 32).

Sungguh persahabatan lelaki perempuan, memual di friendster, di Sms.ac, YM dan pelbagai lagi medan yang ana tahu dan tidak tetapi sebenarnya ianya meragukan dan dipenuhi syubhat. Tidak bersalah berkenalan, tidak bersalah apa-apa untuk seorang lelaki menjemput seorang muslimah menyertai rangkaian "friendster"nya atau apa....

Namun menjadi kesalahan bagi seorang muslim yang beriman dengan Allah dan rasul serta mengakui menuruti perintah Al-Qur'an dan sunnah untuk memaparkan gambar-gambar wanita dan lelaki sekalipun bertudung tetapi bercampur dalam sebuah gambar dengan tanpa keperluan yang mustahak dan darurat.

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas" (Al-Maidah : 87).

Apakah kepentingan dan manfaat seorang yang beriman kepada Allah swt memaparkan gambar rakan-rakan kenalan wanitanya dalam weblog, friendster dan lain-lain sekiranya dia seorang yang muslim ?

"Dan katakanlah kepada lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya" (An-Nur: 30).

"Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (An-Nur: 31).

Lalu menulis di bawahnya " rehlah ke pantai" atau " kami berposing dengan gembira" apakah ini adab dan teladan sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam ? Sekalipun pada zaman baginda rasulullah tiada kamera digital dan kamera manual tetapi tentu kita tahu bahawa sekiranya wujud kamera pun pada zaman nabi salallahualaihiwasalam para sahabat ra dan rasulullah tidak akan berpossing-possing bercampur lelaki dan perempuan dalam satu gambar !!!

Sedangkan baginda pernah menyebut : "Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar (dari rumah) , syaitan akan menghiasinya" (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan dishahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).

" Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…" (Yusof : 53).

Baginda rasul pernah mengatakan : "Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan" (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Apakah mungkin sahabat ra akan berpossing bertangkap gambar dengan sahabat wanita ra dengan alasan mereka bergambar kenangan kononnya "ukhuwah fillah" di tepi pantai yang indah atau di hutan peranginan kawasan rekreasi ?

"Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik."
(Surah Al-Ahzab : 21).

Astaghfirullah... sekalipun ana ini dianggap kolot tetapi ana merasakan perlulah menegur sahabat-sahabat dan kenalan ana yang terlalu sangat modennya dan bebas pergaulannya.

Kita perlu sedar, perbuatan bersosial lelaki perempuan tanpa batasan sangat ketara bertentangan dengan perintah daripada Al-Qur'an dan sunnah dan hendaklah kita berusaha menjaga diri dari maksiat.

Tidak haram perempuan muslimah memaparkan gambarnya yang menutup aurat dan gambar-gambar bersama kawan-kawan perempuannya sekalipun hukumnya makruh dan dibenci serta boleh jatuh haram apabila mengundang fitnah tetapi apabila dia memaparkan gambar dirinya
(wanita) dengan kawan-kawan lelakinya maka ianya sudah jadi salah dan seolah-olah umat Islam ini sama sahaja seperti barat yang biasa bergambar lelaki perempuan kawan kenalan cuma hanya tudung yang membezakan.

Hubungan Bebas Lelaki Dan Wanita

Sesungguhnya syariat Islam membataskan perhubungan lelaki dan wanita dalam apa jua keadaan yang tiada keperluan dan hendaklah hubungan itu berlangsung dengan menuruti syariat dan membawa manfaat bukan mudharat.

Terlalu bebas hubungan lelaki perempuan baik dalam ruangan chat di yahoo mesengger, di dalam mirc dan juga di dalam ruangan-ruangan agama yang merapu dan mengarut.

" Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…" (Yusof : 53).
Kita lihat dalam group-group dan ruangan agama yang dibangunkan secara portal banyak mengarut sekalipun mengunakan nama-nama agama dan arab tetapi dalamnya lelaki dan perempuan bebeas mengarut dan bermaksiat dan merapu dan berkenalan dan bersosial seolah-olah seperti barat cuma di atas namakan agama.

eida (bukan nama sebenar) : Hai..apa kaba ? cihat x ? i just visit ur blog...nice i like it... ukhuwahfillah...bila leh jumpe
tuan punya blog ( lelaki) : baik....u pulak jaga diri yee...Ukhuwah Fillah !

Apabila ana membaca tulisan di atas dalam ruangan chitchat di blog-blog dan juga seringkali menemui percakapan bodoh, kosong seperti ini dalam ruangan-ruangan agama maka ana merasa sedih dan terkilan dengan budaya Islam di Malaysia yang sudah mengarut.

Rasulullah Shalallahu `alaihi wassalam bersabda : "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakkan penduduknya adalah wanita"
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan Imran serta selain keduanya).

Dari Imran bin Husain dia berkata, Nabi Shalallahu `alaihi wassalam bersabda :
"Sesungguhnya penduduk syurga yang paling sedikit adalah wanita."
(hadith riwayat Muslim dan Ahmad).

Imam Qurthubi rahimahullah mengulas hadits di atas dengan pernyataannya :
"Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat."
(Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tadzkirah halaman 369).

Apalah gunanya ada jemaah-jemaah dan gerakan sofwah Islamiyah sekiranya mereka dengan gerakan-gerakan dan persatuan-persatuan ini lebih merosakan dan mencampurkan anak-anak muda lelaki dan perempuan dengan mengatas namakan agama ??

Muslimat tudung labuh konon menjaga diri tetapi boleh pula bergambar senyum manis dengan rakan-rakan lelaki yang berkopiah merah, putih dan kopiah raihan konon "ukhuwah Islamiyah" sedangkan Islam bukanlah demikian dan pemikiran umat Islam Malaysia sudah melampaui batasan.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt dan dalam kesakitan dan kesihatan yang merosot dan diri yang lemah ini ana memanjatkan rayuan kepada umat Islam kembalilah kepada sunnah Rasulullah salallahualaihiwasalam.

Pesanan buat muslimah, hentikanlah kata-kata mengedik-gedik, terhegeh-hegeh, mengatal tak tentu hala dan jadilah muslimah solehah yang menjaga diri, cakapan dan tulisan serta perangai.

Bagi muslimin, hendaklah menjaga diri dengan iman dan ilmu serta akhlak yang soleh dan mentaati perintah Allah dan rasul-Nya, usahakan menghindari fitnah wanita dan godaan percampuran bebas kerana lelaki yang soleh ialah yang menjaga dirinya dari maksiat
kepada Allah swt.

Sabda baginda rasulullah : " Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah swt di hari tiada naungan (perlindungan) selain dari perlindungan Allah...pemuda yang hidup dalam ibadah kepada Allah (jauh dari maksiat) ....pemuda yang apabila digoda oleh wanita yang cantik dan berkedudukan untuk melakukan maksiat lalu berkata : Sesungguhnya aku takut kepada Allah..." ( Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Katakanlah wahai muslimin sejati, salafi dan sunni dan hakiki dan umat Nabi Salallahualaihiwasalam apabila kamu di goda oleh muslimat-muslimat dengan menerima kehadiran mereka tanpa diundang dalam hidup kamu dengan berkata "Sesungguhnya aku takut kepada Allah".

Segala puji hanyalah bagi Allah swt, semoga Allah menerima diri ana di sisinya dan kepadanyalah ana kembali...

Sakit ini satu nikmat
Kerananya kita menyedari akan perihal rahmat
Hikmah yang tersembungi di dalam langit tinggi
Hanya pemilik langit dan bumi yang mengetahui
Kesembuhan itu aku tidak ingini
Keredhaan itulah yang aku dambai

Hamba Allah
From putra kaazim : Hurmm...sama-sama fikir dan sampaikan...

Baca selanjutnya...

Semuanya Plastik...

Romantik, Caring, Sentimental Value, Sehati Sejiwa, Fantastik: Semuanya Hanyalah Plastik

Melibatkan diri dalam perhubungan erat yakni dunia percintaan yang lebih ke arah nilai-nilai di atas semuanya adalah plastik atau tiada pengertian cinta hakiki sebenarnya. Cinta di atas lebih ke arah kepada rangsangan nafsu yang disalah erti kerana perhubungan persahabatan yang rapat dan terbuai oleh dodoian perasaan.

Sebab hakikat percintaan yang di benarkan oleh Islam ialah asas daya tarikan kepada kewarakan seseorang yang menjadi tarikan kepada cinta yang bersyariatkan islam.

Kebanyakan persahabatan yang lebih bermotifkan memikat sememangnya lebih ke arah sentimental value yakni lebih kepada pemberian hadiah tidak kira apa jua barangnya. Jika tidak berminat masakan nak mengorbankan wang kepada seseorang. Romantik pada dasarnya adalah bukan satu prinsip di dalam Islam. Oleh itu, bagaimanakah akan wujudnya hubungan romantik sekiranya mereka tidak berhubungan atas alasan kalau hanyalah melalui asas pendekatan Islam ?

Cinta di dalam Islam sebenarnya tiada hubungan romantik atau caring atas alasan jika benar pencinta pencinta yang memahami corak Islam lebih ke arah menulis peringatan peringatan Allah yang senantiasa takutkan kemurkaan Allah di dalam konteks cara perhubungan walaupun mungkin tidak pernah berdating. Malah orang yang bercinta di dalam bentuk syariat Islam takut untuk berhubungan secara menulis kerana was was dengan keupayaan menahan bentuk luahan hati yang akan menimbulkan zina hati.

Malah orang yang benar benar beriman takut untuk berhubungan melalui telefon atau kaedah bercakap yang penuh lemah lembut dalam bentuk hubungan lain seperti chat kerana biasanya kekerapan hubungan percakapan lebih ke arah tidak tertapis dan bisa menggoda keimanan dengan rasa rindu dengan suara dan gurauan sehingga akhirnya membuat tautan rasa cinta asmara dana bermula kecuali bagi mereka yang benar-benar tidak ada masalah hati, itu pun boleh menjadi satu bentuk perhubungan awalan jika tidak disekat.

Semakin kerap berhubung akan menjadikan semakin rapat perhubungan dan akhirnya tanpa mengimbangkan kewarasan akal dan lebih mementingkan perasaan dan nafsu akhirnya menjerumus kepada kefahaman itulah cinta yang sebenarnya.

Kerana atas dasar apa rasa rindu yang amat sangat? Sedangkan hakikat rindu yang sebenar ialah rindukan Allah. Orang yang beriman dapat menangkis ketahanan rindu apabila asas cinta benar benar berlandaskan iman .

Bukankah di dalam Islam sendiri sudah menggaris pandu corak meminang wanita, tetapi anak-anak muda dewasa ini lebih suka kepada bercinta dan mencari cinta serta mencari masalah di dalam konteks perhubungan cinta yang mana akhirnya akan terjebak di dalam lautan cinta yang memabukkan.

Cinta berasaskan Islam ialah cintakan kebaikan, keimanan dan keutuhan pendirian kerana ia adalah asas kepada tiang pengukuhan iman di hari depan. Malah cinta di dalam Islam lebih ke arah rasa hormat, malu dengan kewarakan responden kerana itulah cinta hakiki yang tidak boleh dijual beli. Malah malu untuk berkata-kata di sebalik kata-kata yang tidak sepatutnya.

Apabila individu itu benar-benar mencintai seseorang itu atas sifat-sifat di dalam diri respondennya, ia lebih ke arah sifat mengkagumi untuk memilikinya tanpa syak dan was was akan kebaikan, keimanannya dan keutuhan pendirian responden. Jika ia benar-benar memahami konteks iman didalam percintaan yang terbina di dalam dirinya, daya tarikan ke arah cabaran cabaran cinta luaran murahan yang mendatang tidak bisa menembusinya. Maka tidak ada dua tiga ke atau empat sikap jatuh cinta di dalam satu masa.

Malah, masalah samada sayang atau tidak sayang tidak timbul kerana asas cinta sebenar ialah keupayaan untuk sama sama menggembeling meningkatkan iman andaikata terbina ikatan yang di akhiri ukhwah di dalam percintaan iaitu ikatan rumahtangga. Cinta berasaskan Islam dan syariat lebih ke arah memupuk ukhwah islamiyah di dalam pemantapan jasmani dan rohani. Itulah cinta yang sebenar di dalam Islam. Bukan seperti sebahagian dari anak-anak muda yang tidak memahami konteks percintaan hakiki yang mana terlalu mudah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang, dan juga dengan hanya tautan kata -kata.

Sememangnya tidak dinafikan kuasa cinta benar-benar dapat menguasai respondennya. Ada yang berubah sikap dengan rangsangan cinta. Sebagai contoh ada yang semakin beriman, semakin baik dan semakin terdidik kerana nasihat dan peringatan oleh orang yang dicintainya. Tetapi adakah rangsangan itu akan terus berkekalan andaikata cinta berpaling arah atau tidak menjadi. Inilah yang dibimbangi kerana rangsangan cinta murahan hanya satu kepura-puraan yang tidak berkekalan atas asas tujuan untuk memikat hati. Ada yang jadi baik dan bercakap yang baik-baik di depan orang yang dicintainya. Maklumlah orang yang dicintai itu seorang yang beriman. Tetapi bila bercakap dengan kawan-kawan lain mulalah membebel entah apaapa kerana tiada asas malu.

Sebab itu di dalam konteks perhubungan cinta sesama Islam, jika ingin memulakan ikatan cinta itu berasaskan cinta yang penuh didikan iman, perhatikan muamalat responden agar tidak tersalah jatuh di dalam jerat percintaan yang tidak patut. Sebab ia lebih ke arah mengheret masalah baru. Mungkin akan menjatuhkan ke lembah hina seperti yang terjadi di dalam kes Nur Aisyah Bukhari. Semuanya bermula dari kesilapan Nur Aisyah sendiri yakni tidak memerhati, memikir baik-baik dan memutuskan apa yang dicintainya itu layak atau tidak untuk dicintai. Sungguhpun di katakan Nur Aisyah sudah terdidik sebelum ini, akan tetapi iman yang sebenarnya ialah dari asas pendekatan dirinya sendiri. Ilmu yang dipelajarinya sekiranya tidak diamalkan akan menjadi perosak di dalam dirinya maka itulah yang berlaku di dalam diri Nur Aisyah.

Begitu juga dengan anak-anak muda kita bila mana seorang pemuda menyampaikan hasrat cintanya, jangan mudah terusik hati. Perhatikan agamanya, kebaikannya dan segalanya sejak dia belum mengenali kita. Maksudnya ialah sifat asalnya dan muamalat asalnya, kerana jika kita mudah membenarkan hati dilalui, ia hanya akan membuka peluang kepada ke arah ketidak fahaman konsep cinta berasaskan islam. Uji mereka dulu dengan corak akhlak dan pergaulan iaitu jangan membenarkan kita dirapati akan perasaan mereka agar menimbulkan keraguan dan was-was yang kita tidak menerima cinta mereka. Ini tidak, anak-anak gadis dan pemuda suka melayan dan melayan dan akhirnya terbuai kata-kata asmara yang terbina sendiri dan menimbulkan kerosakan hati di dalam hati mereka sendiri. Biarlah dikatakan diri kita ego tetapi ego untuk kebaikan iaitu menjaga diri untuk mengimbangi antara kewarasan akal dan iman yang akan menjadi benteng dan senjata melumpuhkan pihak lawan.

Benarkah begitu? Sebab bagi perempuan mahupun lelaki yang beriman mempunyai sifat sifat yang konkrit di dalam pendirian mahupun akhlak. Bukankah akhlak yang cantik terbina dari didikan hati naruni iman yang cantik?

Bagi yang memahami dan mengerti apa itu iman, dia tidak ragu-ragu untuk terus memiliki perempuan itu dengan jalan terbaik iaitu apa? Tentulah sekali dengan meminang wanita ini. Sebab wanita ini bukan calang-calang imannya. Tentulah terfikir di hati mereka "Akulah yang paling bertuah andaikata aku berupaya memiliki wanita yang paling payah untuk dikuasai kerana apabila diberinya cintanya pada aku, akulah orang yang paling agung dan terhormat di atas pemberiannya itu dengan cara yang diizin dan dihalalkan oleh Islam dan Allah Ta`ala"

Oleh itu, kata-kata bidalan "Berkawan biar beribu bercinta biar satu" tidak begitu tepat di dalam konteks Islam dan patut ditambah "Bercinta biarlah untuk teman di akhirat yang dihalalkan oleh Islam" disebabkan faktor-faktor semua panahan cinta di atas konsep berkawan adalah tidak tepat dan bercanggah di dalam konteks perhubungan di dalam Islam kerana ia hanya boleh menjatuhkan ke arah perhubungan dalam suasana fitnah.

Akhir kalam, hanya Jauhari sahaja yang mengenal Manikamnya yakni hanya orang-orang yang beriman akan menghargai dan mengagungi keimanan orang yang patut dicintainya kerana hanya orang yang baik-baik sahaja yang inginkan sesuatu yang baik. Di situ sudah menampakkan penilaiannya di mana jodoh yang baik adalah untuk orang yang baik dan begitulah sebaliknya. Kerana orang yang tidak baik tidak menyanggupi untuk hidup bersama dengan orang yang baik kecuali dalam dirinya itu adalah mempunyai zat yang baik juga.

Berkata Imam Nawawi:

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"

-Hamba Allah-

Baca selanjutnya...

Tentang CINTA

Oleh: Pahrol Mohd Juoi

Harga PasaranSemenanjung Malaysia: RM25.90
Sabah & Serawak: RM27.90
Terbitan dan Edaran Telaga Biru Sdn Bhd

Cinta adalah isu lama, selama kewujudan Nabi Adam a.s. Melihat sepasang burung yang bercinta, tumbuhlah perasaan itu di dalam hati baginda. Allah s.w.t. menciptakan Siti Hawa a.s untuk melengkapkan perasaan tersebut.
Malangnya cinta kepada makanan (buah khuldi) dalam taman larangan yang menjadi lambang nafsu kehidupan duniawi menyebabkan baginda dicampakkan ke dunia.
Dan cinta juga yang menaikkan semangat Nabi Adam a.s. untuk menyeberangi Titian Adam (Adam's Bridge) dari puncak pergunungan Sri Langka ke benua kecil India. Lantas baginda mengharungi hutan belantara, melangkahi banjaran gunung ganang, menapak padang pasir dan merentas benua...

" Rujukan wajib buat remaja, ibubapa atau sesiapa juga yang ingin memahami realiti cinta berteraskan Islam." - Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah

copy from www.telagabiru.net.my






Baca selanjutnya...

Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri AKHIR]


"Encik ni, Abdul Rahim bin Abdullah?" Tanya pengurus itu.
"Ya, saya!" jawab Pak Cik Abdul Rahim tersenyum mesra.
"Err, suami kepada Puan Zahra binti Muhammad?" tanyanya lagi.
"Ya, ya…" balasnya, makin tersimpul senyuman. Rupa-rupanya, kehadirannya bersama satu berita. Seorang jemaah umrah Malaysia telah dipanggil menghadap Allah buat selama-lamanya. Nyawanya diangkat di Masjidil Haram.
"Zahra meninggal dunia???" satu hakikat yang sukar ditelan. Perginya takkan kembali lagi, meninggalkan semua yang menjadi kesayangan, membakar tiap kerinduan dan kasih sayang.
"Allahyarhamah mati dalam keadaan memangku al-Quran setelah solat Tahajjud," jelas pengurus itu lagi. Dada Pak Cik Abdul Rahim berombak kencang. Dia cuba mengumpul ketabahan dan kekuatan.
"Innalillahi wainna ialihi rojiu’n…" manik-manik jernih gugur membasahi pipinya satu persatu. Kolam matanya tewas menentang arus kesedihan.
"Beratnya ujian ini…Oh, Tuhan!!!" dadanya sedih menahan sebak.
"Zahra, kau pinjaman Allah! Abang redho dengan kuasa Allah menarik balik pinjaman- Nya. sedangkan Rasulullah juga berpisah dengan Khadijah tercinta…Al-Fatihah," bisik hatinya penuh sayu dan hiba. Pipinya banjir dibasahi air mata. Jenazah ibu Khazinatul Asrar selamat disemadikan di Bumi Barakoh, Mekkah Al-Mukarromah. Beruntunglah dia kerana disembahyangkan oleh lautan para jemaah umrah.
Tenang wajah Allahyarhamah di saat kematian.
"Ya Allah, golongkan dia bersama golongan yang Kau redhoi kerana dia isteri yang solehah. Jadikan dia sebagai bidadariku andai aku layak untuk syurga-Mu..amin ya Rabbal A’lamin,". Doa kudus seorang suami mengakhiri tawaf wida’ sebelum berangkat dari Tanah Suci. Hatinya berbisik lagi,
"Khazinatul Asrar puteriku, maafkan abah kerana pulang tanpa ummi bersama. Semoga kau akan tabah menerima suratan ini nanti. Abah dapat rasakan, betapa pilunya hatimu duhai puteriku kerana tak dapat lagi melihat ummi untuk selamanya. Ummi milik Allah, anakku…Allah lebih menyayanginya. Abah terpaksa tinggalkan jenazah ummi di Bumi Barakoh ini, namun sifat penyayang ummi tetap abah bawa pulang bersama. Moga, kaulah nanti yang mewarisi keindahan ummimu sabagai hiasan duniawi seorang suami, seindah mawar berduri…….."
Dan air mata lelakinya tumpah lagi.
DEMIKIANLAH, SEINDAH MAWAR BERDURI…..
Ku damba kasih Ilahi…
.::TAMAT::.

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 29]


Rahmat Allah yang melimpah-limpah begitu terasa. Pak Cik Abdul Rahim bersyukur kerana kali ini, di tengah-tengah lautan manusia dia berpeluang mencium Hajaratul Aswad. Dingin pagi yang menanti kehadiran fajar as-siddiq, mencengkam ke tangkai naluri. Langit gelap yang tak berawan menambahkan lagi kedinginan subuh. Meskipun begitu, jutaan manusia yang bergelar hamba tidak tergoda dengan lena, masing-masing lunak dalam esak tangis mendambakan keampunan Pencipta. Terasa hangat bahang keagungan Allah, pemilik kerajaan alam semesta.
Dalam kelazatan rintihan dengan nikmat ketenangan, tiba-tiba bauan harum semerbak daripada kuntuman-kuntuman mawar menyelinap masuk ke rongga hidungnya. Mata yang sejak tadi terpejam khusyuk, dibuka perlahan-lahan. Jemaah umrah di kiri dan kanannya tidak menunjukkan respond apa-apa. Terus khusyuk menghadap Khaliqnya. Bagaikan dia seorang sahaja yang tercium haruman wardah itu. Bauan itu sepintas lalu dibawa angin dingin. Perlahan-lahan pandangannya beralih pula ke kaabah yang tersergam megah dan indah. Gemersik dedaunan Raihan dengan irama mengasyikkan…bermain-main di pendengarannya.
Tiba-tiba, kelihatan di dada Kaabah terskrin secara samar-samar wajah seorang wanita yang cukup dikenali, cukup disayangi. Wajah itu indah bermandikan seri, penuh perhiasan yang melengkapi, bagaikan bidadari dari Taman Firdausi. Itulah wajah isteri tercinta, ibu yang telah melahirkan Khazinatul Asrar untuknya. Manis wajah itu mengukir senyuman. Semakin lama, semakin menghilang lalu luput dari pandangan. Segalanya berlalu pantas. Lama Pak Cik Addul Rahim terpukau dengan peristiwa ajaib yang dilaluinya di awal Subuh di Tanah Suci…sehinggalah azan Subuh mendayu-dayu kedengaran dari menara-menara yang terbina kukuh di sudut-sudut Masjidil Haram.
Selepas mendirikan solat Subuh berjemaah bersama jutaan Ummat Islam, dia bergegas ke hotel penginapan untuk menyampaikan berita menakjubkan itu kepada isterinya.
"Zahra, wajahmu dimuliakan Allah, terskrin di dada kaabah!" lonjak hatinya. Setibanya di hotel, sarapan untuk jemaah umrah sudah sedia menanti, namun isterinya masih belum pulang dari Masjidil Haram. Sabar lelaki itu menanti.
"Mungkin dia solat sunat Syuruk seterusnya menunggu Dhuha," fikirnya. Lama waktu penantiannya….berjam-jam. Diisi dengan tasbih dan zikir. Jantungnya asyik berdebar-debar. Entah mengapa… Tak lama kemudian, muncul kelibat seseorang. Pengurus jemaah umrah Malaysia rupanya. Lelaki itu berjalan ke arahnya.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 28]


"Assalamualaikum.."

Suatu suara garau bergema di muka pintu pagar Mak Cik Nab.

"Alif, Aina, Alim, Kak Ngah…pergilah tengok siapa yang datang tu. Mak tengah masak ni," laung Mak Cik Nab dari ceruk dapur.

"Alif tengah sibuk ni…abang Alim tu relex-relex je!" suara Alif pula melaung kuat sambil sibuk bermain game.

"Apa pulak…Alim tengah makan ni!" si alim pula memberi alasan sambil makanan ringan Mamee Monster itu dirangupnya satu persatu.

"Ha…ha…jangan nak suruh Aina pulak. Aina tengah temankan si Tompok ni. Dia takut main sorang-sorang nanti bapaknya gigit," cepat-cepat Aina memberi alasan sambil dipusing-pusingnya tali benang supaya ditangkap oleh anak kucing kesayangannya.

"Mak, Kak Ngah tengah tidur ni…adik-adik tu pemalas, cubit jea!" gadis remajanya pula yang mencecah Tingkatan Tiga memekik dari dalam bilik. Serentak dengan itu sebuah kereta meluncur ke perkarangan pintu pagar. Hon dibunyikan berkali-kali.

"Eh, tu kereta ayah!" spontan sahaja Alif, Aina, Alim dan Kak Ngah meluru keluar. Takut dimarahi nanti. Kelihatan di luar pagar sana, ayah sedang berpelukan dengan seseorang. Berkeriuk dahi mereka melihat telatah ayah.

"Eh, abang Long!!!!" jerit Alim tiba-tiba. Semuanya riuh rendah menjerit memanggil-manggil nama abang mereka. Mak Cik Nab sangat terkejut, lantas meninggal sahaja ayam goreng yang masih tercelup dalam minyak panas di atas dapur, tergesa-gesa dia meluru ke luar.

"Ya Allah, Asyraf??!!" Mak Cik Nab seakan tidak percaya.

"Mak, Asyraf mintak maaf! Ampu kan Asyraf…" tangan ibunya dikucup mesra.

"Syukurlah kau dah balik, Asyraf. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim kau tentu balik sekali, kan?!" nada Mak Cik Nab berbaur harapan.

"Tak, mak! Mereka terus berangkat ke Tanah Suci…" jelas Asyraf. Badannya yang letih direbahkan ke sofa empuk.

"Iya?! Oh..kasihan Asrar terlalu merindukan mereka!" kesal Mak Cik Nab.

"Ini semua salah ayah..." Sesalan demi sesalan masih menghantui Pak Cik Soleh.

"Tak, ayah! Sayalah puncanya!" Asyraf membela ayahnya. Pak Cik Soleh tetap menyesali perbuatannya terhadap keluarga itu sambil menceritakan segalanya kepada Asyraf. Asyraf terkedu seketika.

"Mulianya hati Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim. Mereka tak pernah menceritakan apa-apa keburukan tentang mak dan ayah sepanjang di sana. Khabar baik-baik sahaja mereka sampaikan," luah Asyraf. Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh tertunduk malu. kesal.

"Eh, bau apa ni?" ayah Asyraf tiba-tiba menyedari suatu bau yang menusuk hidung. Hangit.
"Err…jangan suruh Kak Ngah. Kak Ngah nak tolong angkat beg abang Long ni," gadis belasan tahun itu cepat-cepat berlalu sambil mengangkat beg berat abangnya.

"Kau tengoklah adik-adik kau, Asyraf," ibunya berleter sambil bergegas ke dapur. Asyraf memandang adik-adiknya yang comel.

"Ooo…abang Long tak de, semua nakal yea!" mulalah adik-adiknya bising membela diri. Asyraf menggeleng-gelengkan kepala.

"Ayah, esok saya nak ziarah Asrar dan suaminya. Saya sedar kini, dia bagaikan adik kandung saya sendiri. Saya rasa bersalah pada Mustaqhim," kata Asyraf.
Sebuah kereta Mercedez Benz mewah berwarna silver metallic diparking di perkarangan rumah Khazinatul Asrar.

"Mungkin dia ada tetamu," bisik hati kecil Asyraf. Setelah difikir beberapa kali, dia meneruskan juga niatnya untuk menziarahi Khazinatul Asrar sekeluarga. Apatah lagi, adiknya itu sudah tentu terlalu ingin mengetahui khabar abah dan umminya. Seperti kedatangan Hijriah, kedatangan Asyraf sangat memeranjatkan Khazinatul Asrar dan suaminya. Semuanya datang dengan tiba-tiba. Berdegup kencang jantung Khazinatul Asrar untuk mendengar berita abah dan umminya yang tidak pulang bersama Asyraf dari Jepun.

Namun, sebagai adab melayan tetamu, dia mempersilakan dulu Asyraf duduk. Tidak terburu-buru untuk bertanya. Kemudian, diperkenalkan Asyraf kepada daddy Hijriah, Hijriah dan juga Humaira’.

"Asrar, abang minta maaf atas semua yang berlaku," Asyraf sudah tidak mampu lagi menahan rasa bersalah walaupun di depan tetamu lain.

"Tidak, abang Asyraf! Bukan silap abang. Semuanya kehendak Allah. Bagaimana ummi dan abah, mereka sihat?" Tanya Khazinatul Asrar bersopan.

"Alhamdulillah….Cuma, Mak Cik Zahra yang kurang tahan dengan perubahan cuaca. Apatah lagi di musim salji. Tapi, sekarang mereka tak berada lagi di Jepun, mereka dah pun ke Tanah Suci Mekkah." Jelas Asyraf. Khazinatul Asrar tenang mendengarnya.

"Sama-samalah kita doakan mereka…" Mustaqhim Al-Qordhrowi menambah. Asyraf pantas merenung wajah yang bercahaya dengan nur keimanan di sisi Khazinatul Asrar.

"Mustaqhim…saya pun ingin minta maaf dari kamu kerana banyak menyusahkan. InsyaAllah, saya datang kali ni sebagai abang kandung Asrar. Kita kan tetap bersaudara…" tutur katanya sarat dengan keikhlasan. Semuanya tersenyum.

"Nanti, jemputlah sekali ke rumah!" daddy Hijriah yang berpangkat Dato’ itu menghulurkan kad perkahwinan anaknya kepada Asyraf. Asyraf ceria mencapai kad itu dan menatapnya seketika. Kemudian, pandangannya beralih pada dua orang gadis di sebelah lelaki yang agak berusia itu. Kedua-duanya manis berbusana Muslimah. Dijelingnya pula jari-jemari mereka. Salah seorangnya memakai cincin berlian di jari manis. Itulah Hijriah seperti yang diperkenalkan sebelumnya.

Degupan jantungnya tiba-tiba berdeguk agak kencang tatkala menyedari gadis di sebelah Hijriah itu tiada sebentuk cincin pun menghiasi jari sebagai tanda diri yang belum berpunya. Namun, Asyraf tidak berani mengangkat pandangannya terlalu lama. Bimbang kalau- kalau menimbulkan maksiat pada hati. Apatah lagi, tabir aurat yang menghijab diri menimbulkan rasa hormat buat mana-mana lelaki. Salah satu ciri-ciri mawar berduri. Pertemuan yang tidak dirancang itu semuanya telah menjadi perancangan Ar- Rahman. Dia Maha Berkuasa mentaqdirkan apa sahaja. Yang pasti, Dia Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.
"Mungkin, dia seindah Aisyah Al-Humaira’ untukku…" bisik hati kecil Asyraf.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 27]


Di ruang tamu, ada sekeping manila card menyambut kepulangan mereka di atas meja tamu. Tulisan abah tertera di situ…

"ASSALAMUALAIKUM. SELAMAT PULANG PENYERI KELUARGA! MAAFKAN ABAH DAN UMMI KERANA KAMI RASA MUNGKIN KAMI TAK SEMPAT MENYAMBUT ANAKANDA BERDUA DARI TANAH SUCI. MUSAFIR KAMI ADALAH MUSAFIR YANG MUNGKIN PANJANG. DOAKAN AGAR ALLAH MEREDHOI ABAH DAN UMMI DAN DOAKAN AGAR KAMI BERJAYA MENCARI ASYRAF DEMI MENJALINKAN KEMBALI SEBUAH PERSAUDARAAN…KERANA ALLAH!"
LOVE,
ABAH DAN UMMI.

Bertambah sayu sekeping hati seorang anak. Mak Cik Nab dan Pak Cik soleh juga turut sebak menahan pilu. Mereka benar-benar rasa bersalah dan berdosa terhadap keluarga itu. Lantaran itu, berulang-ulang kali mereka memohon maaf, sementara Khazinatul Asrar dan suami berulang kali juga melarang mereka agar tidak memohon maaf lagi. Tiada maaf yang perlu diberikan kerana mereka tak pernah menyimpan dendam. Persaudaraan dan berkasih sayang adalah prinsip keluarganya.

"Abah, ummi…Asrar akan menanti kepulangan abah dan ummi! Begitu juga kandungan Asrar ini. Abah…ummi… Asrar terlalu rindukan abah dan ummi, pulanglah…" monolog Asrar sendiri.
"Mungkin Allah atur ujian ini untu mengajarku lebih berdikari sebagai seorang isteri tanpa abah dan ummi. Allah Maha Perancang, aku redho…" pujuk hati Khazinatul Asrar, berbaik sangka dengan Allah.

**********************************************************************************
"Mummy, kalau boleh Hijriah nak jemput sendiri Khazinatul Asrar ke majlis perkahwinan Hijriah nanti. Boleh tak mummy temankan Hijriah ke sana hujung minggu ni…ala, bolehlah Mummy!!" Hijriah cuba memujuk ibunya.
"Kawan Hijriah, Humaira’ tu pun nak ikut sekali. Kami dah rindu sangat kat Khazinatul Asrar," terus memujuk.
"Nanti Mummy check balik diari Mummy, rasa macam ada appointment dengan client Mummy this weekend…" begitulah gaya wanita berkerjaya.
"Never mind.. Daddy boleh bawakan," pelawa dady Hijriah tanpa dipinta.
"Betul ke ni, Daddy? Eh, macam tak caye!" Hijriah melonjak keriangan. Daddynya betul-betul berubah sikap sejak dirinya bakal diambil orang. Masakan tidak, lelaki separuh abad bergelar Dato’ itu sebenarnya cukup bimbang kalau-kalau anak tunggalnya itu di bawa ke Libya. Sepilah banglo itu nanti, tiada erti lagi segala kemewahan.
"Tentu Asrar terkejut kalau datang dengan surprise..." Hijriah tersenyum nakal sambil bercakap dengan diri sendiri. Terus sahaja dicapai ganggang telefon untuk menyampaikan plan itu pada Humaira’.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 26]


"Pak Cik, Mak Cik macam mana?" Asyraf bersuara lembut sebaik sahaja wanita berwajah lembut itu perlahan-lahan membuka mata. Badannya masih lemah terbaring di katil hospital.
"Asyraf? Asyraf ke ni? Mak Cik bermimpi?" Mak Cik Zahra minta kepastian sambil tangannya digosok-gosok ke mata.
"Ini Asyraf mak cik. Mak cik tak bermimpi!" Asyraf mengukir senyuman.
"Oh, Asyraf! Mak cik rindukan kamu….kamu sihat?" ceria wajah penyayang itu.
"Alhamdulillah, saya sihat. Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga mak cik. Ampunkan saya!" Asyraf memang cukup kesal.
"Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Asyraf, pulanglah ke Malaysia. Tak baik membiarkan mak dan ayah kamu rindu. Kasihan mereka," seakan suatu rayuan. Asyraf tertunduk.
"Maafkan saya, mak cik. Biarlah saya fikirkan dulu. Namun, saya tahu Malaysia tetap negara saya. Keluarga saya di sana…." Asyraf bersuara perlahan.
"Ramai orang yang sedang menunggu kamu pulang…pulanglah!" Mak Cik Zahra merayu lagi.
"Err…bila mak cik dan pak cik nak balik ke Malaysia?" Asyraf bertanya.
"Tak pasti lagi, Asyraf. Lepas ni, kami nak buat umrah di Mekkah. Mak cik tak nak lama di Jepun, Mak cik tak tahan dengan musim salji…" terang mak cik Zahra.
"Tapi…tahan ke mak cik dengan suhu panas di Mekkah nanti?" Asyraf mengingatkan.
"Panas Mekkah penuh baraqoh! Mak Cik tak kisah… mati di sana pun, tak mengapa. Lagi baik…" tenang wajah mak cik Zahra.
"Eh, mana pak cik kau?" wajah suami tersayang berlegar-legar di fikiran.
"Pak cik ada berehat di rumah saya. Saya datang ni pun sebab nak jemput mak cik. InsyaAllah, saya akan dapatkan rawatan peribadi untuk mak cik nanti."

***********************************************************************************
"Bang, tak sabar rasanya nak sampaikan berita nie pada ummi dan abah, tentu mereka bersujud syukur. Asrar dah dapat imagine, cerianya wajah-wajah ummi dan abah nanti…" Khazinatul Asrar mengomel manja di sisi suaminya. Mereka dalam perjalanan pulang dari Tanah Suci Mekkah.
"Banyakkan bersyukur…pastikan Asrar cukup halus menjaga maksiat hati agar si comel kita dipelihara Allah dari karat mazmumah. Dampingi Al-Quran selalu agar itulah yang menjadi hujjah hidupnya nanti. Sejak di alam rahim, kenalkanlah dia pada ibadah hati dan fizikal, agar dia rasa lazat bersama Penciptanya. Mudah-mudahan lahirlah dia sebagai zuriat yang soleh. Rasulullah cukup berbangga tiap kali umatnya lahir, moga-moga bakal mewarisi perjuangan Baginda," pesan seorang nakhoda bahtera rumahtangga.
Sebelum berangkat pulang, ayahbonda Mustaqhim Al-Qordhowi beberapa kali sujud di Baitul Haram. Cucu dari anak lelaki bongsunya itu cukup dinanti-nantikan. Mereka terharu kerana menerima berita Khazinatul Asrar mengandung selama sebulan di bumi barokah tersebut. Khazinatul Asrar termuntah-muntah dalam tudungnya tatkala bertahajjud di Masjidil Haram. Badannya lemah longlai, tak bermaya. Mulanya, ingatkan dia cuma demam, rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa dia alahan kerana mengandung.
Di lapangan terbang, kepulangan mereka disambut oleh puluhan sanak saudara. Khazinatul Asrar gembira kerana Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh pun turut serta. Maha luasnya rahmat-Mu, Ya Allah!
"Mana ummi dan abah?" bisik hatinya sambil meninjau-ninjau dua wajah tercinta itu dari celahan manusia. Ibu Mustaqhim Al-Qordhowi pula begitu exited mengumumkan berita gembira tentang menantunya. Khazinatul Asrar tersenyum manis sambil menggenggam erat jari jemariibu mentuanya. Suasana bertambah meriah dengan berita itu. Mak cik Nab menghampiri Khazinatul Asrar sambil memohon maaf. Dipeluknya gadis itu. Pak Cik Soleh pula tersenyum malu pada Mustaqhim Al- qordhrowi. Mustaqhim Al-qordhrowi terlebih dahulu menghulurkan tangan, bersalaman dengan Pak Cik Soleh. Awan mendung berarak sudah, terjalin kembali ukhuwwahfillah, yang takkan lagi musnah, walau ombak badai dating mendesah, tautan erat tak mungkin patah.
"Ummi dan abah tak datang?" soalan yang sudah sedia diduga oleh semua sanak saudara yang mengerumuni mereka. Seorangpun tidak tampil memberikan jawapan. Malah ada yang mula berlawak jenaka agar soalan itu berlalu tanpa jawapan. Mak Cik Nab cepat-cepat mengajak pulang. Enam buah kereta siap menanti.
"Mungkin ummi dan abah menanti di rumah!" pujuk hati kecil Khazinatul Asrar. Hatinya begitu melonjak untuk mengucup tangan dan pipi keduanya bersama sebuah berita gembira.
"Mustaqhim, Asrar…apa kata kalau ke rumah kakak, boleh?!" ajak Kak Mukminah, kakak sulung Mustaqhim Al-qordhrowi yang dah pun mempunyai lima orang anak. Pintu keretanya dibuka untuk mempersilakan adiknya masuk bersama isteri. Ayahbonda Mustaqhim Al-qordhrowi sudah pun masuk ke kereta Kak Muslimah, anak kedua mereka yang sudah 3 tahun berumah tangga dengan seorang warga Pakistan. Muslimah tinggal sementara bersama ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sementara menanti suaminya yang menguruskan urusan perpindahan di Pakistan.
"Eh, Mak Cik Nab dah masak sedap-sedap. Balik rumah kami sajalah.." pelawanya bersungguh-sungguh.
"Terima-kasihlah semua. Asrar rasa nak balik rumah Asrar dulu… boleh kan, bang? Kasihan ummi dan abah yang dah lama menanti di rumah," pelawaan itu ditolak baik. Mereka terdiam lagi. Akhirnya, Pak Cik Soleh dan Mak Cik Nab menghantar mereka pulang ke rumahnya yang sepi tak bertuan. Khazinatul Asrar dan suaminya tertanya-tanya melihat rumahnya rapat berkunci. Akhirnya, Mak Cik Nab berani membuka mulut, menceritakan apa yang telah berlaku. Nadanya sebak dan rasa bersalah.
"Apa? Ummi dan abah ke Jepun? Semata-mata mencari Abang Asyraf?! Ya Allah, lindungilah mereka…" Khazinatul Asrar cuba mengawal perasaan. Kolam matanya tidak mampu lagi menyeka banjir air mata.
"Bila ummi dan abah akan pulang, mak cik?" soalnya kesayuan.
"Sayang…kita masuklah dulu. Kasihan pak cik dan mak cik berdiri di luar begini. Abang ada kunci spare ni," pujuk seorang suami. Khazinatul Asrar akur. Dioraknya langkah lemah.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 25]


"Pak Cikkkkkkkkkkk!!!" Asyraf menjerit sekuat hati melihat seraut wajah sugul di ruang menunggu. Tidak dihiraukan lagi akan berpuluh pasang mata yang memfokus padanya. Pak Cik Abdul Rahim terus sujud syukur di kala itu juga. Mereka berpelukan dengan penuh kasih sayang.

"Pak Cik sihat? Mana Mak Cik?" bagaikan ada seribu soalan lagi yang ingin diutarakan oleh pemuda itu.

"Asyraf, Mak Cik kau ada di dalam. Masih koma…" sayu suara itu memberikan penjelasan.
"Astaghfirullahal azhim…apa yang dah terjadi?" kusut fikiran Asyraf.

"InsyaAllah, tak ada apa-apa. Cuma dia tak tahan dengan perubahan cuaca di sini. Sama-sama kita doakan agar dia cepat sihat…" Pak Cik Abdul Rahim sengaja ingin menyejukkan hati Asyraf, padahal dia sudah sedia maklum bahawa penyakit buah pinggang isterinya semakin kronik.

"Pak Cik, marilah ikut saya balik dulu. Nanti, saya akan uruskan supaya Mak Cik Zahra boleh dirawat dengan perkhidmatan doctor peribadi di rumah saya. Mari, pak cik…" Asyraf mengangkat beg-beg besar yang tersorat di balik sudut keretanya. Pak Cik Abdul Rahim tersenyum lemah. Sejuk hatinya menemui pemuda yang dianggapnya bagaikan anak sendiri itu.

Pada malam itu, Asyraf membeli hidangan yang mahal-mahal. Sepanjang berada di Jepun, inilah tetamu yang benar-benar mampu merawat kekosongan hatinya. Tetamu yang sangat istimewa. Sambil menghadap hidangan, dia berbual panjang dengan Pak Cik Abdul Rahim. Segala cerita dikongsi bersama.

Asyraf agak terkejut dengan pelbagai siri kebetulan melalui kisah pencarian Pak Cik Abdul Rahim dan isterinya di Jepun. Sebenarnya, semua itu adalah pertolongan Allah. Benarlah janji Allah, barangsiapa yang inginkan kebaikan nescaya Allah permudahkan jalan ke arah itu. Selain itu, hanya khabar yang baik sahaja yang disampaikan oleh Pak Cik Abdul Rahim tatkala Asyraf bertanyakan keadaan keluarganya. Tidak sesekali diceritakan konflik yang tercetus antara mereka. Dia juga cuba sedaya upaya mengelak daripada berbicara tentang kebahagiaan Khazinatul Asrar bersama suaminya kerana takut menghiris hati Asyraf.

"Asyraf, pak cik tengok rumah ni tak terurus betul. Bila lagi nak carikan suri? Takkan tak tersangkut kat mana-mana gadis Jepun yang Muslimah?" Pak Cik Abdul Rahim bergurau. Tujuannya supaya Asyraf menyedari bahawa masih ramai lagi wanita di dunia ini selain Khazinatul Asrar.

Namun, tanpa disangka-sangka, wajah yang tadinya riang diarak garis-garis kesedihan. Wajah jurutera komputer itu terus berubah mendung. Gurauan itu mengundang kekecewaan.

"Pak Cik, saya akan menanti Khazinatul Asrar…" luahnya jujur.

"Asyraf, terimalah kenyataan…" pujuk Pak Cik Abdul Rahim.

"Pak Cik, saya takkan jumpa lagi gadis sepertinya! Mana nak cari ganti?! Saya akan menaruh harapan seumur hidup…" nadanya yakin.

"Masyaallah… Asyraf anakku, Khazinatul Asrar dah jadi milik orang. Tak guna menaruh harapan…sia-sia!" Pak Cik Abdul Rahim cuba mengembalikannya ke alam nyata.

"Pak cik, tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Setiap malam saya berdoa agar Allah cepat-cepat menarik nyawa suaminya.. kerana itulah saya tetap menaruh harapan." Antara sedar atau tidak, Asyraf bercakap bagaikan hilang rasional.

"Astaghfirullahal azhim…kau doakan begitu pada adik kau sendiri? Astaghfirullahal azhim. Berdosa mendoakan keburukan untuk orang lain! Asyraf…pak cik kenal anak pak cik, Asrar memang tak suka berkawan dengan lelaki kalau tiada urusan. Tapi, dia memang boleh berkawan dengan kau kerana dia memang dia menganggap kau bagaikan abang kandungnya sendiri. Tak bolehkah kau menganggapnya sebagai adik kandung? Asyraf, redhoilah adikmu dijaga oleh lelaki yang memang dipilih Allah untuknya…" dipujuk lagi pemuda itu. Terpaksa juga perbualan yang pada mulanya penuh mesra melencong kepada seorang gadis bernama Khazinatul Asrar.

"Pak cik, 4 tahun saya menanti Khazinatul Asrar di United Kingdom. Bagi saya, semua wanita tak boleh mendapat tempat di hati saya kerana ianya milik Khazinatul Asrar. Dialah bidadari hidup saya. Ketegasannya dalam menerima lelaki telah meruntuhkan sikap playboy saya selama ini. Dia membuka minda saya tentang mahalnya harga seorang wanita untuk dipermainkan. Hidup saya lebih bermakna apabila saya dikenalkannya dengan hakikat cinta yang mesti disandarkan pada Pencipta. Adilkah Khazinatul Asrar meninggalkan saya setelah peribadinya benar-benar menambat hati ini?" Asyraf memuntahkan rasa kecewanya, kemudian menyambung lagi,

"Dah beberapa kali saya melamarnya melalui surat dari UK. Saya sedaya upaya meyakinkannya bahawa saya serius. Tak bergurau! Dia suruh saya sandarkan pada Allah dan berdoa. Dia juga menasihatkan saya agar kurangilah menghubunginya kerana ingin menjaga rahmat Allah dan mengelak dari fitnah hati. Yakin dengan Allah…itulah kata azimatnya. Saya akur dan yakin bahawa selagi saya didik diri sendiri menjaga redho Allah, selagi itulah wanita yang diredhoi- Nya dijanjikan untuk saya. Ianya satu harapan yang cukup bermakna dari Khazinatul Asrar…Tapi akhirnya? Apa semua ni? Saya tak boleh terima…" luah Asyraf, sebak.

"Asyraf, kau sebenarnya masih ada krisis dengan keyakinan kepada Allah, lantas Asrar yang kau persalahkan…" pedas kata-kata itu.

"Krisis keyakinan? Mustahil! Allah adalah segala-galanya dalam hidup saya…" Asyraf membela diri.

"Bercakap memang senang… beginikah sikap seorang hamba yang mengaku Allah adalah segala-galanya? Ciptaan Allah lebih dipuja daripada Pencipta-Nya sendiri. Khazinatul Asrar tu sesuatu yang tidak pasti, manusia biasa yang akan pergi. Apabila Allah menariknya dari kamu, kau harus yakin dengan Allah. Allah lebih bijaksana dengan perancangan-Nya. Manusia hanya mampu merancang, Allah Yang Maha Adil lah yang menentukan.. setiap taqdir Allah ada hikmahnya. Allah tak sesekali sesuka hati menganiaya hamba-Nya. Dia Maha Pengasih. Kamu seharusnya mentarbiyyah diri kerana cinta Allah bukannya kerana harapkan cinta Khazinatul Asrar. Asyraf, yakinlah…kalau kau benar-benar ikhlas dan yakin dengan Allah, pasti Allah akan menggantikan cinta manusia yang boleh dekatkan kamu pada-Nya. Gadis yang terbaik untuk kamu. Pak cik faham, mungkin kau rasa Khazinatul Asrar adalah gadis terbaik yang pernah kau kenali tapi tak semestinya dia adalah gadis yang terbaik untuk kamu. Allah lebih bijak untuk memilih seorang gadis terbaik untuk kamu dan Asrar hanya terbaik untuk suaminya. Aturan Allah juga yang terbaik.Bukankah itu azimat Khazinatul Asrar?! Terimalah ketentuan-Nya!" Asyraf terdiam seketika tatkala ditazkirah dengan panjang lebar. Matanya berkaca. Sarat dengan air mata. Air mata seorang lelaki.

"Asyraf, setiap malam Asrar beristikhoroh untuk memilih teman hidup. Ramai lelaki yang cuba memenangi hatinya. Dia yakin Allah lah yang akan membuat keputusan untuknya melalui penyerahannya yang bersungguh-sungguh pada Allah. Dia redho dengan sesiapa sahaja yang ditunjukkan Allah buatnya. Hatinya diserahkan bulat- bulat pada Allah sebelum sedia menerima cinta lelaki. Akhirnya, nama Mustaqhim Al- Qordhowi yang sering terbisik-bisik di pendengarannya. Dia redho dengan istikhoroh yang dibuatnya kerana itulah kehendak dan petunjuk Allah," tambah Pak Cik Abdul Rahim pula.

"Pak cik, dia memang sekuntum mawar berduri yang dipelihara Allah. Cintanya disandarkan pada Allah…tak hairanlah Allah turut membalas cintanya dengan lelaki yang turut dicintai-Nya. pak cik, maafkan saya…" akhirnya pemuda itu tunduk jua. Dia akur pada realiti.

"Pak cik, tentu Mustaqhim Al-Qordhowi hebat, kan? Kalau tak, masakan dia mampu memenangi hati Khazinatul Asrar.." luah Asyraf.

"Asyraf, ramai kawan-kawannya bertanyakan soalan yang sama ketika majlis perkahwinannya dulu. Tahu apa jawapannya?" ayah Khazinatul Asrar membuka cerita. Tiada ketegangan lagi antara mereka.
"Put your trust in Allah! Itu saja jawapannya…" kata Pak Cik Abdul Rahim.
"Yakin dengan Allah…itu pula kata-kata azimat Khazinatul Asrar, kan pak cik?!" Asyraf menyampuk.
"Sebenarnya, sejak awal memasuki awal kampus lagi mereka dah mula saling mengenali kerana perjuangan yang sama. Sejak itu juga mereka saling menghormati dan mengagumi antara satu sama lain. Tapi, Mustaqhim Al-Qordrowi tidak terburu-buru untuk memenangi hati Khazinatul Asrar. Akalnya mengatasi nafsu kerana kesedaran bahawa selagi belum bersedia berumah tangga, selagi itulah langkah untuk mencintai wanita adalah sia-sia. Penuh kelalaian dan warna-warni syaitan. Dia amat menyukai Asrar sejak awal perkenalan lagi, tapi dia sedar Allah lebih mengetahui adakah Asrar diciptakan untuknya atau tidak. Dia tak mahu mencintai wanita yang bukan diciptakan untuknya.

Oleh itu, dia bermujahadah melawan kemahuannya yang meronta-ronta untuk meluahkan sesuatu pada Asrar. Tempoh masa sebelum bergelar ‘orang yang bersedia’ adalah sekejap cuma. Kadangkala, dia tercabar dan bimbang apabila nama Asrar menjadi siulan. Hinggalah perasaannya terdesak untuk meluahkan jua. Namun, hanya di tahun akhir, dia memberanikan diri menghantar risalah-risalah yang mendidik ruhiyyah, tauhid, fikrah dan harakah. Itulah tanda cintanya. Mereka juga bercinta sebenarnya tapi dihijab oleh hijab yang tebal kerana kerana takut rumah tangga yang dibina atas landasan kemurkaan Allah.Lihatlah keadilan Allah untuk cinta setulus ini. Mereka mengecapi cinta yang diredhoi selepas kahwin. Mereka menang dalam mujahadah. Dalam menyukai seseorang, ingatlah segala perbuatan yang melalaikan dan menjauhkan hati dari Allah, selagi belum berkahwin, ianya adalah haram. Tapi, yang haram itu cuma sekejap. Lepas kahwin, halallah… sebab itu kena sabar dan kuat." Panjang sekali Pak Cik Abdul Rahim bercerita.

"Wah, arifnya pak cik tentang cinta! Mana pak cik dapat cerita Mustaqhim dan Asrar ni?!" Asyraf beransur ceria.

"Eh, Khazinatul Asrar tu kan satu-satunya puteri pak cik! Dah tentu setiap inci hidupnya pak cik ambil tahu. Lagipun, Mustaqhim memang tak berahsia dengan kami…." Balas Pak Cik Abdul Rahim.

"Pak cik boleh jadi contoh ayah dan mertua mithali," Asyraf mengusik ayah Khazinatul Asrar. Wajahnya berubah ceria. Sifatnya yang suka mengusik kembali menghiasi. Hatinya lembut. Kedua-duanya tidur jauh di lewat malam. Keletihan mengulit lena Pak Cik Abdul Rahim. Namun, suara rintihan seorang lelaki sedikit mengganggu tidurnya. Dalam kesamaran dia sempat juga menangkap seungkap doa Asyraf yang sedang sujud bertahajjud di sebelah katilnya.

"Ya Allah, Engkau telah takdirkan, dia bukan milikku… bawalah dia jauh dari pandanganku, luputkanlah dia dari ingatanku… dan peliharalah aku dari kekecewaan. Ya Allah, ya Tuhanku Yang Maha Mengerti, berikanlah aku kekuatan, menolak bayangannya jauh dari hidupku.."
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 24]


"Selagi anak aku tak balik, selagi tue kita putus saudara!" Ayah Asyraf betul- betul melampau kali ini. Ziarah ummi dan abah Khazinatul Asrar ke rumahnya pada suatu petang di sambut dengan kata-kata sekasar itu. Mereka pulang dengan perasaan yang sedih dan hiba. Namun, mereka yakin semuanya akan kembali pulih. Mereka tetap akan berusaha mencari jalan perdamaian kerana bukanlah prinsip hidup mereka bermusuhan sesam insan bersaudara.

"Bang, betul ke bang masih ingat Do Co Mos Centre tu?" ibu Khazinatul Asrar meminta kepastian. Dia dan suaminya telah pun membulatkan tekad untuk mencari Asyraf di Negeri Matahari Terbit. Itulah misi yang dirahsiakannya. Mereka yakin hanya dengan memujuk Asyraf boleh memulihkan keretakan persahabatan keluarga mereka.

"Kalau tak silap abang, Do Co Mos Centre tui di kawasan Hibya Line, Tokyo subway…Nama pengurusnya pun abang masih ingat, Yusuke Katayose. Nanti, abang akan dapatkan maklumat lanjut dari Agensi pelancongan tu," Abah Khazinatul Asrar meyakinkan isterinya.

"Saya yakin, bang…mesti Asyraf ada kat situ!" wajahnya sarat dengan harapan.

"Kita doakanlah…Abang pun yakin Asyraf tetap ada misi hidup tersendiri di Jepun walaupun pergi dalam keadaan merajuk. Abang masih ingat lagi, sejak dari sekolah menengah dulu, dia suka sangat bercerita tentang maklumat yang dikumpulnya melalui internet mengenai pusat komputer yang di antara tercanggih di dunia tu. Tak hairanlah dia begitu bersungguh mempelajari bahasa Jepun ketika menuntut di UK," imbas suaminya.


"Betul lah, bang. Asyraf pun pernah berangan-angan nak bawa Asrar ke Do Co Mos Centre tu. Banyak kali dia beritahu saya." Kenangan diimbas pula oleh isterinya.

"Zahra, kita teruskan berdoa. Malam ni, Insyallah kita solat hajat 12 rakaat sama- sama lagi, larat tak?" lembut suara lelaki yang hampir mencecah usia separuh abad itu.

"InsyaAllah, bang…pada Allah jua tempat kita mengadu untuk permudahkan urusan kita," isterinya akur.

Beberapa minggu berlalu, gemparlah penduduk sekitar tentang keberangkatan Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim ke Jepun semata-mata untuk mencari dan memujuk anak sahabatnya. Sucinya hati mereka dalam menghargai erti persahabatan. Akhirnya tempias berita itu sampai juga ke corong telingan Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh. Kekerasan hati mereka terlentur dengan pengorbanan yang tak pernah terlintas di fikiran. Di manakah Asyraf perlu dicari di dunia teknologi secanggih Jepun? Terasa diri mereka diketuk-ketuk oleh keegoan sendiri. Malunya pada diri sendiri. Barulah mula terfikir, Khazinatul Asrar lebih layak untuk Mustaqhim Al-Qordhowi bukan untuk Asyraf. Jauh sekali keluhuran peribadi lelaki itu jika nak dibandingkan dengan anak lelaki mereka yang nakal walaupun berpelajaran tinggi. Satu-persatu sikap melampau mereka terskrin di ruang mata sendiri.

"Oh, Tuhan…" akhirnya Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh kembali juga pada Ar- Rahman.

Bagaikan permata di celahan kaca,
Kerdipnya sukar tuk dibezakan,
Kepada-Mu Tuhan ku pasrah harapan,
Moga tak tersalah pilihan.
Nur Kasih-Mu mendamai di kalbu,
Jernih setulus tadahan doaku,
Rahmati daku dan permintaanku,
Untuk bertemu di dalam restu.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.
Ya Allah, kurniakanlah kami isteri dan zuriat yang soleh,
Sebagai penyejuk mata….
Di tangan-Mu Tuhan ku sandar impian,
Penentu jodoh pertemuan,
Seandai dirinya dicipta untukku,
Rela ku menjadi miliknya.
Kurniakan daku serikandi,
Penyejuk di mata penawar di hati,
Di dunia dialah penyeri,
Di Syurga menanti dia bidadari,
Kekasih sejati teman yang berbudi,
Kasihnya bukan keterpaksaan,
Bukan jua kerana keduniaan,
Mekar hidup ini disirami Nur Kasih.

Irama In-Team dari kaset yang sempat dibawanya dari Malaysia itu menjadi penghiburnya tiapkali kesunyian.

"Ku tujukan lagu ini buatmu, Khazinatul Asrar…" bisiknya sendiri. Sekali lagi lagu itu diputarkan memecah kesunyian kamarnya. Keadaan dirinya agak tidak terurus. Makan dan minum tidak dihiraukan sangat, cukuplah sedikit air mineral dan roti menjadi alas perut. Mujurlah dia masih rasional untuk menyara hidupnya dengan bekerja di Do Co Mos Centre kerana kelayakan akademik yang dimilikinya. Tubuhnya dibalut dengan baju berbulu tebal. Tidak cukup dengan itu, kain selimut pula diselimuti ke badannya. Kedinginan musim sejuk di Jepun yang menusuk- nusuk tulang sum-sum begitu menyengat bagi orang Malaysia seperti Asyraf.

Dalam kesejukan malam salji tebal menutup alam, tiba-tiba kedengaran suara tetamu dari luar. Suara tegas yang cukup dikenali. Haip! Haip! Penghormatan diberi kepada Yusuku Katayose, pengurus Do Co Mos Centre. Kehairanan menerjah fikiran dengan kunjungan jutawan yang cukup disegani itu. Dua orang lelaki berwajah Melayu juga turut mengiringi. Mereka seakan-akan fasih berbahasa Jepun. Setelah beberapa minit berbincang, fahamlah Asyraf bahawa dua orang lelaki itu adalah wakil salah satu agensi pelancongan dari Malaysia. Rupa-rupanya, kehadiran mereka bersama satu berita yang sukar untuk dipercayai. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim sedang berada di Bandar itu untuk mencarinya.

"Kerana aku???" hatinya sukar untuk mempercayai. Dalam kekagetan itu, dia bertambah kaget apabila dimaklumkan bahawa mereka sedang berada di hospital utama di Tokyo. Apatah lagi, sepantas kilat keretanya dipecut ke sana. Tidak dipedulikan lagi kesejukan malam di musim salji yang memamah-mamah urat sendi. Sepanjang perjalanan, pelbagai andaian dan tafsiran yang bermain-main di fikiran, terbayang-bayang bermacam kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh ibu dan ayah gadis pujaannya dalam pencarian mereka. Segala persoalan yang menerjah ke kotak fikiran hanya terjawab dengan kepiluan. Sedih. Terharu...
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 23]


Setibanya di rumah, ummi dan abah sudah dapat menduga apa yang telah berlaku. Masakan tidak, sebelum daripada itu, mereka telah berkali-kali dipersalahkan oleh Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh atas pemergian Asyraf ke Jepun dengan hati yang hancur berkecai. Cuma, sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan anak mertuanya demi menjaga hubungan baik antara mereka juga.

"Dua hari lagi nak ke Tanah Suci…berdoalah banyak-banyak agar semuanya kembali baik. Doakan juga agar Asyraf selamat di benua orang." Pujuk ummi.

"Kalaulah abah ada ramai puteri, tentu abah takkan kecewakan Asyraf.." ayah Khazinatul Asrar masih rasa bersalah kepada Asyraf dan keluarganya meskipun menyedari bahawa realiti itu suatu suratan. Fikirannya mula mengimbas saat isterinya diikat peranakan kerana telah enam kali keguguran selepas melahirkan Khazinatul Asrar.

"Abah, Asrar kesal dengan harga persahabatan mereka. Murah! Perkara sebegini pun nak diperbesarkan hingga sanggup nak bermusuhan…tiada ketulusan langsung!"

"Janganlah begini sayang, tak baik." Mustaqhim Al-Qordhowi menenangkan lagi isterinya. Ummi tersenyum melihat kesabaran menantunya. Memang puterinya itu bijak memilih teman hidupnya. Khazinatul Asrar seorang yang cukup lantang di meja pidato dan debat pada zaman remajanya, memang padan untuk dijodohkan dengan seseorang yang boleh mengajarnya supaya lebih tenang dalam menyuarakan sesuatu.

Dalam pada itu, terbayang-bayang pula wajah Asyraf yang sudah pun dianggap bagaikan putera kandung sendiri. Masih basah diingatannya, sebelum Asyraf melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dia mengusik mereka supaya menjaga Khazinatul Asrar untuknya. Khazinatul Asrar yang baru sahaja memasuki dunia UKM ketika itu cuma tersenyum tawar dengan usikan nakal Asyraf.

"Bang Asyraf ni tak habis-habis lagi nak mengusik adik sendiri. Bilalah dia tu nak matang sikit? Mungkin bila dah ada isteri cantik bermata biru nanti, barulah dia tak usik Asrar lagi, kan abah?!" Khazinatul Asrar mangadu kepada abahnya tika itu. Rupanya Asyraf yang suka berjenaka itu serius dalam gurauannya. Terbit rasa simpati ummi pada Asyraf. Namun, apakan daya, cinta tak boleh dipaksa, Khazinatul Asrar lebih berhak memilih teman hidupnya sendiri. Asyraf sepatutnya lebih rasional memikirkan bahawa tidak guna terlalu memuja-muja seseorang gadis kerana mungkin dia tidak diciptakan untuknya. Bukankah lebih baik bergantung harapan kepada Penciptanya sendiri kerana Allah lah pemilik dan pemegang hati setiap insan. Allah lebih Mengetahui siapakah yang terbaik untuk seseorang. Kesedaran inilah yang boleh menjadikan setiap insan redha dengan kebijaksanaan Allah mentaqdirkan sesuatu.

"Alangkah baiknya kalau Asyraf boleh menerima hakikat ini…" bisik hati ummi. Lambaian Kaabah, Masjidul Haram, Masjidun Nabawi dari Bumi Anbiya’, Mekkah dan Madinah makin terasa mengusap perasaan.

Di airport, Khazinatul Asrar sebak meninggalkan ayah bonda tercinta. Bagaikan itulah pertemuan terakhir antara mereka. Diciumnya berkali-kali pipi ummi dan abah. Diminta halal segala makan minum dan tiap titis susu ummi yang membesarkannya.

"Ummi, abah…ampunkah semua silap salah Asrar. Redhoilah Asrar menjadi anak ummi dan abah. Tak tahu kenapa Asrar rasa berat nak berpisah," pilu suaranya.

"Asrar, kaulah satu-satunya saham akhirat kami di dunia ini. Jadilah isteri yang solehah agar ummi dan abah pun mendapat rahmat di sisi Allah," pesan ibu Khazinatul Asrar sambil mendakap erat puteri kesayangannya itu.

"Asrar, di sana nanti, doakan keluarga kita, Mak Cik Nab, Pak Cik Soleh dan ummat Islam seluruhnya agar kita semua boleh berdamai atas nama Islam yang suci.." pesan si abah pula.

"Insyallah, bah!" balas Khazinatul Asrar, sebak. Suaminya yang pergi menjemput ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah sejak pagi tadi setelah menghantarnya berserta abah dan ummi terlebih dahulu ke lapangan terbang, masih belum kelihatan.

Hari terus merangkak tengahari. Matahari makin tegak meninggi. Saat berpisah makin mencemburui. Khazinatul Asrar memanfaatkan sepenuh masa yang masih berbaki itu untuk bermanja sepuasnya dengan abah dan ummi. Walaupun sudah bergelar isteri, namun bagi Khazinatul Asrar, kasihnya terhadap abah dan ummi tidak pernah berbelah bahagi. Kasihnya pada abah dan ummi tetap sama sampai bila-bila. Perkahwinannya bukanlah halangan untuk bermesra dengan abah dan ummi.

Tidak lama kemudian, muncullah kelibat Mustaqhim Al-Qordhowi bersama ayahbondanya di saat waktu berlepas makin menghampiri.

"Selamat Berangkat! Moga Allah rahmati," ujar abah Khazinatul Asrar sambil berjabat tangan dengan besannya. Di saat itu, bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil pergi.

"Terima kasih, doakan Allah menerima ziarah kami anak-beranak sebagai tetamu-Nya," balas besannya. Suasana sebak sekali lagi menyelubungi hati dan sanubari Khazinatul Asrar. Laju air matanya membasahi pipi tatkala bersalaman dengan ummi dan abah buat kali terakhir sebelum bertolak pergi ke Tanah Suci. Umminya juga begitu hiba menghadapi perpisahan itu. Entah mengapa hatinya sering berbisik-bisik bahawa selepas ini dia takkan berpeluang lagi menatapi wajah yang amat dicintai oleh seorang ibu. Namun, dia melawan bisikan-bisikan itu dengan zikir qolbi kerana itu mungkin bisikan-bisikan syaitan yang selalu cuba menghalang orang yang ingin membuat kebaikan.

Dia memujuk hatinya bahawa perpisahan itu cumalah sementara dan singkat kerana dia juga akan menyusuli mereka ke Tanah Suci bersama suaminya nanti. Perpisahan keluarga itu diiringi dengan nur ukhuwwah, kasih sayang dan persaudaraan yang terpancar indah menghiasi alam itulah tuntutan Rasulullah yang semakin dilupakan. Semangat ukhuwwah dan persaudaraan…
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 22]


"Asyraf masih belum balik kerja, Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi cuba membuka perbualan. "Balik kerja? Tak tahu ke dia dah ke Jepun?" Pak Cik Soleh membalas sinis.

"Oh, ye ke?! Dia sambung belajar lagi ke Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi masih menunjukkan kemesraan untuk berbual. Namun, entah mengapa terasa sakit di hati kedua ibu bapa Asyraf tatkala mendengar pertanyaan itu. Kalaulah bukan atas nama kemanusiaan, mahu saja disumpah seranahnya pemuda yang menghancurkan impian Asyraf itu, perampas Khazinatul Asrar.

"Abang Long merajuk…Dia kata, kak Asrar dah kahwin, tak bolehlah nak main-main lagi. Dia nak cari orang yang serupa macam kak Asrar di Jepun," sampuk Alif yang bersekolah darjah Tiga. Mak cik Nab mencegilkan mata sebulat mata ikan lolong. Budak kecil itu faham isyarat di sebalik wajah ibunya sambil cepat-cepat berlalu dari situ.

"Budak-budak begitulah…ada-ada saja!" Khazinatul asrar menjernihkan keadaan sambil tersenyum. Baginya, itu tak lebih dari satu gurauan. Masakan tidak, dari dulu lagi adik-adik Asyraf suka mengusik-ngusik dirinya dengan abang sulungnya. Sedangkan, Asyraf sudah pun dianggap bagaikan abang kandung sendiri meskipun dia tetap menjaga batasan aurat sebagai ajnabiah.

"Ingat Alif tu main-main?" serius kali ini wajah Pak Cik Soleh.

"Tahu tak kenapa Asyraf ke Jepun? Dia merajuk, tau! Sedih, kecewa dan merana Asyraf dibuatnya." Suaranya meninggi, menegangkan suasana.

"Dia rela tak kahwin seumur hidup kalau bukan dengan Asrar…" Mak cik Nab menambah. Dendam. Geram. Benci.

"Kasihan Asyraf, cintanya dikhianati!" keluh Pak Cik Soleh, semakin meluap kebencian.

"Err…apa sebenarnya ni? Maaf…boleh tak kita bincang dengan baik, kita kan bersaudara?!" tenang sahaja Mustaqhim Al-Qordhowi menghadapi kekalutan yang tercetus. Menyerlahkan kewibawaanya.

"Bersaudara? Sejak bila kau memandai mengaku saudara kami?! Kau tak ada kaitan langsung dengan kami semua! Khazinatul Asrar je saudara kami, kamu bukan! Faham?!" kali ini kata-kata Pak Cik Soleh begitu berbisa bagaikan hilang rasionalnya. MustaQhim Al-Qordhowi terus tenang. Hatinya beristighfar panjang. Khazinatul Asrar pula tidak percaya suaminya dilayan sebegitu.

"Pak cik, mengucap Pak Cik! Kenapa abang Mustaqhim dilayan begini? Apa salah dia?" Khazinatul Asrar cuba masih melembutkan suara walaupun situasi itu menerjah-nerjah pintu kesabarannya.

"Apa salah dia?! Dia memang salah kerana mengkahwini kau, Asrar! Kau sepatutnya menjadi isteri Asyraf, bukan dia!" tegas Pak Cik Soleh, memuntahkan api dendamnya.

"Sampai hati kau, Asrar. Siang malam Asyraf asyik teringatkan kau….tiba-tiba kau kahwin dengan orang lain..di mana perikemanuasiaan kau pada Asyraf dan keluarga kami?" sindir Mak Cik Nab pula.

"Astaghfirullahal azhim. Saya tak pernah pun berjanji nak menjadi isteri abang Asyraf, beri harapan pun tak pernah sama sekali! Bagaimana saya boleh cintakan abang Asyraf sedangkan statusnya dalam hidup saya lebih mulia dari itu, dia dahpun macam abang kandung saya sendiri! Pak Cik, Mak Cik…ini semua taqdir Allah! Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Salahkah abang Mustaqhim kerana dipilih Allah untuk saya?" suara Khazinatul Asrar berbaur sedih.

"Sudahlah…kamu memang tak pandai menghargai persahabatan mak ayah kamu dengan kami, kejamnya kamu, Asrar!" kasar bahasa Pak Cik Soleh sekaligus meragut kesabaran Khazinatul Asrar.

"Oh, ini rupanya harga persahabatan Pak Cik, Mak Cik dengan abah dan ummi saya? Untuk kepentingan dan kepuasan keluarga Pak Cik? Di mana keikhlasan Pak cik? Beginikah sikap sebenar Pak Cik dan Mak Cik yang sangat saya hormati sekian lama?" Khazinatul Asrar bertegas sama. Mustaqhim Al-Qordhowi menepuk-nepuk perlahan bahu isterinya. Menenangkan. Khazinatul asrar menghela nafas sambil berzikir dalam hati.

Di luar sana, Alif dicubit-cubit Kak Ngahnya yang berusia 15 tahun.

"NI semua Alif punya pasal lah, kecil-kecil lagi dah celupar mulut. Kasihan Kak Asrar kena marah. Kak Ngah bagi cili api kat mulut tu baru tau!" leter Kak Ngah. Geram. Terdengar tangisan mengamuk si kecil itu.

"Pak Cik, Mak Cik…kami minta maaf. Buat masa ni biar lah kami minta diri dulu. Insyallah, lain kali kami akan ziarah lagi…" Mustaqhim Al-Qordhowi masih tenang dan bersopan sambil menghulurkan salam. Tak bersambut.

"Sabarlah, Asrar…ujian Allah itu kan bukti kasih sayang Allah. Allah menguji sebab nak melihat setakat mana tahap iman kita menghadapinya. Inilah peluang dinaikkan memartabatkan iman di sisi-Nya. Insyallah, semuanya akan kembali jernih. Yakinlah pada Allah!" pujuk Mustaqhim Al-Qordhowi dengan penuh kasih sayang. Khazinatul Asrar mengangguk perlahan sambil menatap Al-Quran kecil yang senantiasa di bawa ke mana sahaja. Hatinya berbisik kagum dengan lelaki di sisinya itu yang terus tenang memecut kereta. Berulang-ulang kali dibacanya surahnya Ar-Rahman agar Allah mengembalikan rasa kasih sayang sesama keluarga mereka.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner