"Pak Cikkkkkkkkkkk!!!" Asyraf menjerit sekuat hati melihat seraut wajah sugul di ruang menunggu. Tidak dihiraukan lagi akan berpuluh pasang mata yang memfokus padanya. Pak Cik Abdul Rahim terus sujud syukur di kala itu juga. Mereka berpelukan dengan penuh kasih sayang.
"Pak Cik sihat? Mana Mak Cik?" bagaikan ada seribu soalan lagi yang ingin diutarakan oleh pemuda itu.
"Asyraf, Mak Cik kau ada di dalam. Masih koma…" sayu suara itu memberikan penjelasan.
"Astaghfirullahal azhim…apa yang dah terjadi?" kusut fikiran Asyraf.
"InsyaAllah, tak ada apa-apa. Cuma dia tak tahan dengan perubahan cuaca di sini. Sama-sama kita doakan agar dia cepat sihat…" Pak Cik Abdul Rahim sengaja ingin menyejukkan hati Asyraf, padahal dia sudah sedia maklum bahawa penyakit buah pinggang isterinya semakin kronik.
"Pak Cik, marilah ikut saya balik dulu. Nanti, saya akan uruskan supaya Mak Cik Zahra boleh dirawat dengan perkhidmatan doctor peribadi di rumah saya. Mari, pak cik…" Asyraf mengangkat beg-beg besar yang tersorat di balik sudut keretanya. Pak Cik Abdul Rahim tersenyum lemah. Sejuk hatinya menemui pemuda yang dianggapnya bagaikan anak sendiri itu.
Pada malam itu, Asyraf membeli hidangan yang mahal-mahal. Sepanjang berada di Jepun, inilah tetamu yang benar-benar mampu merawat kekosongan hatinya. Tetamu yang sangat istimewa. Sambil menghadap hidangan, dia berbual panjang dengan Pak Cik Abdul Rahim. Segala cerita dikongsi bersama.
Asyraf agak terkejut dengan pelbagai siri kebetulan melalui kisah pencarian Pak Cik Abdul Rahim dan isterinya di Jepun. Sebenarnya, semua itu adalah pertolongan Allah. Benarlah janji Allah, barangsiapa yang inginkan kebaikan nescaya Allah permudahkan jalan ke arah itu. Selain itu, hanya khabar yang baik sahaja yang disampaikan oleh Pak Cik Abdul Rahim tatkala Asyraf bertanyakan keadaan keluarganya. Tidak sesekali diceritakan konflik yang tercetus antara mereka. Dia juga cuba sedaya upaya mengelak daripada berbicara tentang kebahagiaan Khazinatul Asrar bersama suaminya kerana takut menghiris hati Asyraf.
Asyraf agak terkejut dengan pelbagai siri kebetulan melalui kisah pencarian Pak Cik Abdul Rahim dan isterinya di Jepun. Sebenarnya, semua itu adalah pertolongan Allah. Benarlah janji Allah, barangsiapa yang inginkan kebaikan nescaya Allah permudahkan jalan ke arah itu. Selain itu, hanya khabar yang baik sahaja yang disampaikan oleh Pak Cik Abdul Rahim tatkala Asyraf bertanyakan keadaan keluarganya. Tidak sesekali diceritakan konflik yang tercetus antara mereka. Dia juga cuba sedaya upaya mengelak daripada berbicara tentang kebahagiaan Khazinatul Asrar bersama suaminya kerana takut menghiris hati Asyraf.
"Asyraf, pak cik tengok rumah ni tak terurus betul. Bila lagi nak carikan suri? Takkan tak tersangkut kat mana-mana gadis Jepun yang Muslimah?" Pak Cik Abdul Rahim bergurau. Tujuannya supaya Asyraf menyedari bahawa masih ramai lagi wanita di dunia ini selain Khazinatul Asrar.
Namun, tanpa disangka-sangka, wajah yang tadinya riang diarak garis-garis kesedihan. Wajah jurutera komputer itu terus berubah mendung. Gurauan itu mengundang kekecewaan.
"Pak Cik, saya akan menanti Khazinatul Asrar…" luahnya jujur.
"Asyraf, terimalah kenyataan…" pujuk Pak Cik Abdul Rahim.
"Pak Cik, saya takkan jumpa lagi gadis sepertinya! Mana nak cari ganti?! Saya akan menaruh harapan seumur hidup…" nadanya yakin.
"Masyaallah… Asyraf anakku, Khazinatul Asrar dah jadi milik orang. Tak guna menaruh harapan…sia-sia!" Pak Cik Abdul Rahim cuba mengembalikannya ke alam nyata.
"Pak cik, tiada yang mustahil dengan kuasa Allah. Setiap malam saya berdoa agar Allah cepat-cepat menarik nyawa suaminya.. kerana itulah saya tetap menaruh harapan." Antara sedar atau tidak, Asyraf bercakap bagaikan hilang rasional.
"Astaghfirullahal azhim…kau doakan begitu pada adik kau sendiri? Astaghfirullahal azhim. Berdosa mendoakan keburukan untuk orang lain! Asyraf…pak cik kenal anak pak cik, Asrar memang tak suka berkawan dengan lelaki kalau tiada urusan. Tapi, dia memang boleh berkawan dengan kau kerana dia memang dia menganggap kau bagaikan abang kandungnya sendiri. Tak bolehkah kau menganggapnya sebagai adik kandung? Asyraf, redhoilah adikmu dijaga oleh lelaki yang memang dipilih Allah untuknya…" dipujuk lagi pemuda itu. Terpaksa juga perbualan yang pada mulanya penuh mesra melencong kepada seorang gadis bernama Khazinatul Asrar.
"Pak cik, 4 tahun saya menanti Khazinatul Asrar di United Kingdom. Bagi saya, semua wanita tak boleh mendapat tempat di hati saya kerana ianya milik Khazinatul Asrar. Dialah bidadari hidup saya. Ketegasannya dalam menerima lelaki telah meruntuhkan sikap playboy saya selama ini. Dia membuka minda saya tentang mahalnya harga seorang wanita untuk dipermainkan. Hidup saya lebih bermakna apabila saya dikenalkannya dengan hakikat cinta yang mesti disandarkan pada Pencipta. Adilkah Khazinatul Asrar meninggalkan saya setelah peribadinya benar-benar menambat hati ini?" Asyraf memuntahkan rasa kecewanya, kemudian menyambung lagi,
"Dah beberapa kali saya melamarnya melalui surat dari UK. Saya sedaya upaya meyakinkannya bahawa saya serius. Tak bergurau! Dia suruh saya sandarkan pada Allah dan berdoa. Dia juga menasihatkan saya agar kurangilah menghubunginya kerana ingin menjaga rahmat Allah dan mengelak dari fitnah hati. Yakin dengan Allah…itulah kata azimatnya. Saya akur dan yakin bahawa selagi saya didik diri sendiri menjaga redho Allah, selagi itulah wanita yang diredhoi- Nya dijanjikan untuk saya. Ianya satu harapan yang cukup bermakna dari Khazinatul Asrar…Tapi akhirnya? Apa semua ni? Saya tak boleh terima…" luah Asyraf, sebak.
"Asyraf, kau sebenarnya masih ada krisis dengan keyakinan kepada Allah, lantas Asrar yang kau persalahkan…" pedas kata-kata itu.
"Krisis keyakinan? Mustahil! Allah adalah segala-galanya dalam hidup saya…" Asyraf membela diri.
"Bercakap memang senang… beginikah sikap seorang hamba yang mengaku Allah adalah segala-galanya? Ciptaan Allah lebih dipuja daripada Pencipta-Nya sendiri. Khazinatul Asrar tu sesuatu yang tidak pasti, manusia biasa yang akan pergi. Apabila Allah menariknya dari kamu, kau harus yakin dengan Allah. Allah lebih bijaksana dengan perancangan-Nya. Manusia hanya mampu merancang, Allah Yang Maha Adil lah yang menentukan.. setiap taqdir Allah ada hikmahnya. Allah tak sesekali sesuka hati menganiaya hamba-Nya. Dia Maha Pengasih. Kamu seharusnya mentarbiyyah diri kerana cinta Allah bukannya kerana harapkan cinta Khazinatul Asrar. Asyraf, yakinlah…kalau kau benar-benar ikhlas dan yakin dengan Allah, pasti Allah akan menggantikan cinta manusia yang boleh dekatkan kamu pada-Nya. Gadis yang terbaik untuk kamu. Pak cik faham, mungkin kau rasa Khazinatul Asrar adalah gadis terbaik yang pernah kau kenali tapi tak semestinya dia adalah gadis yang terbaik untuk kamu. Allah lebih bijak untuk memilih seorang gadis terbaik untuk kamu dan Asrar hanya terbaik untuk suaminya. Aturan Allah juga yang terbaik.Bukankah itu azimat Khazinatul Asrar?! Terimalah ketentuan-Nya!" Asyraf terdiam seketika tatkala ditazkirah dengan panjang lebar. Matanya berkaca. Sarat dengan air mata. Air mata seorang lelaki.
"Asyraf, setiap malam Asrar beristikhoroh untuk memilih teman hidup. Ramai lelaki yang cuba memenangi hatinya. Dia yakin Allah lah yang akan membuat keputusan untuknya melalui penyerahannya yang bersungguh-sungguh pada Allah. Dia redho dengan sesiapa sahaja yang ditunjukkan Allah buatnya. Hatinya diserahkan bulat- bulat pada Allah sebelum sedia menerima cinta lelaki. Akhirnya, nama Mustaqhim Al- Qordhowi yang sering terbisik-bisik di pendengarannya. Dia redho dengan istikhoroh yang dibuatnya kerana itulah kehendak dan petunjuk Allah," tambah Pak Cik Abdul Rahim pula.
"Pak cik, dia memang sekuntum mawar berduri yang dipelihara Allah. Cintanya disandarkan pada Allah…tak hairanlah Allah turut membalas cintanya dengan lelaki yang turut dicintai-Nya. pak cik, maafkan saya…" akhirnya pemuda itu tunduk jua. Dia akur pada realiti.
"Pak cik, tentu Mustaqhim Al-Qordhowi hebat, kan? Kalau tak, masakan dia mampu memenangi hati Khazinatul Asrar.." luah Asyraf.
"Asyraf, ramai kawan-kawannya bertanyakan soalan yang sama ketika majlis perkahwinannya dulu. Tahu apa jawapannya?" ayah Khazinatul Asrar membuka cerita. Tiada ketegangan lagi antara mereka.
"Put your trust in Allah! Itu saja jawapannya…" kata Pak Cik Abdul Rahim.
"Yakin dengan Allah…itu pula kata-kata azimat Khazinatul Asrar, kan pak cik?!" Asyraf menyampuk.
"Sebenarnya, sejak awal memasuki awal kampus lagi mereka dah mula saling mengenali kerana perjuangan yang sama. Sejak itu juga mereka saling menghormati dan mengagumi antara satu sama lain. Tapi, Mustaqhim Al-Qordrowi tidak terburu-buru untuk memenangi hati Khazinatul Asrar. Akalnya mengatasi nafsu kerana kesedaran bahawa selagi belum bersedia berumah tangga, selagi itulah langkah untuk mencintai wanita adalah sia-sia. Penuh kelalaian dan warna-warni syaitan. Dia amat menyukai Asrar sejak awal perkenalan lagi, tapi dia sedar Allah lebih mengetahui adakah Asrar diciptakan untuknya atau tidak. Dia tak mahu mencintai wanita yang bukan diciptakan untuknya.
Oleh itu, dia bermujahadah melawan kemahuannya yang meronta-ronta untuk meluahkan sesuatu pada Asrar. Tempoh masa sebelum bergelar ‘orang yang bersedia’ adalah sekejap cuma. Kadangkala, dia tercabar dan bimbang apabila nama Asrar menjadi siulan. Hinggalah perasaannya terdesak untuk meluahkan jua. Namun, hanya di tahun akhir, dia memberanikan diri menghantar risalah-risalah yang mendidik ruhiyyah, tauhid, fikrah dan harakah. Itulah tanda cintanya. Mereka juga bercinta sebenarnya tapi dihijab oleh hijab yang tebal kerana kerana takut rumah tangga yang dibina atas landasan kemurkaan Allah.Lihatlah keadilan Allah untuk cinta setulus ini. Mereka mengecapi cinta yang diredhoi selepas kahwin. Mereka menang dalam mujahadah. Dalam menyukai seseorang, ingatlah segala perbuatan yang melalaikan dan menjauhkan hati dari Allah, selagi belum berkahwin, ianya adalah haram. Tapi, yang haram itu cuma sekejap. Lepas kahwin, halallah… sebab itu kena sabar dan kuat." Panjang sekali Pak Cik Abdul Rahim bercerita.
"Wah, arifnya pak cik tentang cinta! Mana pak cik dapat cerita Mustaqhim dan Asrar ni?!" Asyraf beransur ceria.
"Wah, arifnya pak cik tentang cinta! Mana pak cik dapat cerita Mustaqhim dan Asrar ni?!" Asyraf beransur ceria.
"Eh, Khazinatul Asrar tu kan satu-satunya puteri pak cik! Dah tentu setiap inci hidupnya pak cik ambil tahu. Lagipun, Mustaqhim memang tak berahsia dengan kami…." Balas Pak Cik Abdul Rahim.
"Pak cik boleh jadi contoh ayah dan mertua mithali," Asyraf mengusik ayah Khazinatul Asrar. Wajahnya berubah ceria. Sifatnya yang suka mengusik kembali menghiasi. Hatinya lembut. Kedua-duanya tidur jauh di lewat malam. Keletihan mengulit lena Pak Cik Abdul Rahim. Namun, suara rintihan seorang lelaki sedikit mengganggu tidurnya. Dalam kesamaran dia sempat juga menangkap seungkap doa Asyraf yang sedang sujud bertahajjud di sebelah katilnya.
"Ya Allah, Engkau telah takdirkan, dia bukan milikku… bawalah dia jauh dari pandanganku, luputkanlah dia dari ingatanku… dan peliharalah aku dari kekecewaan. Ya Allah, ya Tuhanku Yang Maha Mengerti, berikanlah aku kekuatan, menolak bayangannya jauh dari hidupku.."
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment