Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 22]


"Asyraf masih belum balik kerja, Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi cuba membuka perbualan. "Balik kerja? Tak tahu ke dia dah ke Jepun?" Pak Cik Soleh membalas sinis.

"Oh, ye ke?! Dia sambung belajar lagi ke Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi masih menunjukkan kemesraan untuk berbual. Namun, entah mengapa terasa sakit di hati kedua ibu bapa Asyraf tatkala mendengar pertanyaan itu. Kalaulah bukan atas nama kemanusiaan, mahu saja disumpah seranahnya pemuda yang menghancurkan impian Asyraf itu, perampas Khazinatul Asrar.

"Abang Long merajuk…Dia kata, kak Asrar dah kahwin, tak bolehlah nak main-main lagi. Dia nak cari orang yang serupa macam kak Asrar di Jepun," sampuk Alif yang bersekolah darjah Tiga. Mak cik Nab mencegilkan mata sebulat mata ikan lolong. Budak kecil itu faham isyarat di sebalik wajah ibunya sambil cepat-cepat berlalu dari situ.

"Budak-budak begitulah…ada-ada saja!" Khazinatul asrar menjernihkan keadaan sambil tersenyum. Baginya, itu tak lebih dari satu gurauan. Masakan tidak, dari dulu lagi adik-adik Asyraf suka mengusik-ngusik dirinya dengan abang sulungnya. Sedangkan, Asyraf sudah pun dianggap bagaikan abang kandung sendiri meskipun dia tetap menjaga batasan aurat sebagai ajnabiah.

"Ingat Alif tu main-main?" serius kali ini wajah Pak Cik Soleh.

"Tahu tak kenapa Asyraf ke Jepun? Dia merajuk, tau! Sedih, kecewa dan merana Asyraf dibuatnya." Suaranya meninggi, menegangkan suasana.

"Dia rela tak kahwin seumur hidup kalau bukan dengan Asrar…" Mak cik Nab menambah. Dendam. Geram. Benci.

"Kasihan Asyraf, cintanya dikhianati!" keluh Pak Cik Soleh, semakin meluap kebencian.

"Err…apa sebenarnya ni? Maaf…boleh tak kita bincang dengan baik, kita kan bersaudara?!" tenang sahaja Mustaqhim Al-Qordhowi menghadapi kekalutan yang tercetus. Menyerlahkan kewibawaanya.

"Bersaudara? Sejak bila kau memandai mengaku saudara kami?! Kau tak ada kaitan langsung dengan kami semua! Khazinatul Asrar je saudara kami, kamu bukan! Faham?!" kali ini kata-kata Pak Cik Soleh begitu berbisa bagaikan hilang rasionalnya. MustaQhim Al-Qordhowi terus tenang. Hatinya beristighfar panjang. Khazinatul Asrar pula tidak percaya suaminya dilayan sebegitu.

"Pak cik, mengucap Pak Cik! Kenapa abang Mustaqhim dilayan begini? Apa salah dia?" Khazinatul Asrar cuba masih melembutkan suara walaupun situasi itu menerjah-nerjah pintu kesabarannya.

"Apa salah dia?! Dia memang salah kerana mengkahwini kau, Asrar! Kau sepatutnya menjadi isteri Asyraf, bukan dia!" tegas Pak Cik Soleh, memuntahkan api dendamnya.

"Sampai hati kau, Asrar. Siang malam Asyraf asyik teringatkan kau….tiba-tiba kau kahwin dengan orang lain..di mana perikemanuasiaan kau pada Asyraf dan keluarga kami?" sindir Mak Cik Nab pula.

"Astaghfirullahal azhim. Saya tak pernah pun berjanji nak menjadi isteri abang Asyraf, beri harapan pun tak pernah sama sekali! Bagaimana saya boleh cintakan abang Asyraf sedangkan statusnya dalam hidup saya lebih mulia dari itu, dia dahpun macam abang kandung saya sendiri! Pak Cik, Mak Cik…ini semua taqdir Allah! Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Salahkah abang Mustaqhim kerana dipilih Allah untuk saya?" suara Khazinatul Asrar berbaur sedih.

"Sudahlah…kamu memang tak pandai menghargai persahabatan mak ayah kamu dengan kami, kejamnya kamu, Asrar!" kasar bahasa Pak Cik Soleh sekaligus meragut kesabaran Khazinatul Asrar.

"Oh, ini rupanya harga persahabatan Pak Cik, Mak Cik dengan abah dan ummi saya? Untuk kepentingan dan kepuasan keluarga Pak Cik? Di mana keikhlasan Pak cik? Beginikah sikap sebenar Pak Cik dan Mak Cik yang sangat saya hormati sekian lama?" Khazinatul Asrar bertegas sama. Mustaqhim Al-Qordhowi menepuk-nepuk perlahan bahu isterinya. Menenangkan. Khazinatul asrar menghela nafas sambil berzikir dalam hati.

Di luar sana, Alif dicubit-cubit Kak Ngahnya yang berusia 15 tahun.

"NI semua Alif punya pasal lah, kecil-kecil lagi dah celupar mulut. Kasihan Kak Asrar kena marah. Kak Ngah bagi cili api kat mulut tu baru tau!" leter Kak Ngah. Geram. Terdengar tangisan mengamuk si kecil itu.

"Pak Cik, Mak Cik…kami minta maaf. Buat masa ni biar lah kami minta diri dulu. Insyallah, lain kali kami akan ziarah lagi…" Mustaqhim Al-Qordhowi masih tenang dan bersopan sambil menghulurkan salam. Tak bersambut.

"Sabarlah, Asrar…ujian Allah itu kan bukti kasih sayang Allah. Allah menguji sebab nak melihat setakat mana tahap iman kita menghadapinya. Inilah peluang dinaikkan memartabatkan iman di sisi-Nya. Insyallah, semuanya akan kembali jernih. Yakinlah pada Allah!" pujuk Mustaqhim Al-Qordhowi dengan penuh kasih sayang. Khazinatul Asrar mengangguk perlahan sambil menatap Al-Quran kecil yang senantiasa di bawa ke mana sahaja. Hatinya berbisik kagum dengan lelaki di sisinya itu yang terus tenang memecut kereta. Berulang-ulang kali dibacanya surahnya Ar-Rahman agar Allah mengembalikan rasa kasih sayang sesama keluarga mereka.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner