Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 26]


"Pak Cik, Mak Cik macam mana?" Asyraf bersuara lembut sebaik sahaja wanita berwajah lembut itu perlahan-lahan membuka mata. Badannya masih lemah terbaring di katil hospital.
"Asyraf? Asyraf ke ni? Mak Cik bermimpi?" Mak Cik Zahra minta kepastian sambil tangannya digosok-gosok ke mata.
"Ini Asyraf mak cik. Mak cik tak bermimpi!" Asyraf mengukir senyuman.
"Oh, Asyraf! Mak cik rindukan kamu….kamu sihat?" ceria wajah penyayang itu.
"Alhamdulillah, saya sihat. Saya minta maaf sebab menyusahkan keluarga mak cik. Ampunkan saya!" Asyraf memang cukup kesal.
"Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Asyraf, pulanglah ke Malaysia. Tak baik membiarkan mak dan ayah kamu rindu. Kasihan mereka," seakan suatu rayuan. Asyraf tertunduk.
"Maafkan saya, mak cik. Biarlah saya fikirkan dulu. Namun, saya tahu Malaysia tetap negara saya. Keluarga saya di sana…." Asyraf bersuara perlahan.
"Ramai orang yang sedang menunggu kamu pulang…pulanglah!" Mak Cik Zahra merayu lagi.
"Err…bila mak cik dan pak cik nak balik ke Malaysia?" Asyraf bertanya.
"Tak pasti lagi, Asyraf. Lepas ni, kami nak buat umrah di Mekkah. Mak cik tak nak lama di Jepun, Mak cik tak tahan dengan musim salji…" terang mak cik Zahra.
"Tapi…tahan ke mak cik dengan suhu panas di Mekkah nanti?" Asyraf mengingatkan.
"Panas Mekkah penuh baraqoh! Mak Cik tak kisah… mati di sana pun, tak mengapa. Lagi baik…" tenang wajah mak cik Zahra.
"Eh, mana pak cik kau?" wajah suami tersayang berlegar-legar di fikiran.
"Pak cik ada berehat di rumah saya. Saya datang ni pun sebab nak jemput mak cik. InsyaAllah, saya akan dapatkan rawatan peribadi untuk mak cik nanti."

***********************************************************************************
"Bang, tak sabar rasanya nak sampaikan berita nie pada ummi dan abah, tentu mereka bersujud syukur. Asrar dah dapat imagine, cerianya wajah-wajah ummi dan abah nanti…" Khazinatul Asrar mengomel manja di sisi suaminya. Mereka dalam perjalanan pulang dari Tanah Suci Mekkah.
"Banyakkan bersyukur…pastikan Asrar cukup halus menjaga maksiat hati agar si comel kita dipelihara Allah dari karat mazmumah. Dampingi Al-Quran selalu agar itulah yang menjadi hujjah hidupnya nanti. Sejak di alam rahim, kenalkanlah dia pada ibadah hati dan fizikal, agar dia rasa lazat bersama Penciptanya. Mudah-mudahan lahirlah dia sebagai zuriat yang soleh. Rasulullah cukup berbangga tiap kali umatnya lahir, moga-moga bakal mewarisi perjuangan Baginda," pesan seorang nakhoda bahtera rumahtangga.
Sebelum berangkat pulang, ayahbonda Mustaqhim Al-Qordhowi beberapa kali sujud di Baitul Haram. Cucu dari anak lelaki bongsunya itu cukup dinanti-nantikan. Mereka terharu kerana menerima berita Khazinatul Asrar mengandung selama sebulan di bumi barokah tersebut. Khazinatul Asrar termuntah-muntah dalam tudungnya tatkala bertahajjud di Masjidil Haram. Badannya lemah longlai, tak bermaya. Mulanya, ingatkan dia cuma demam, rupa-rupanya doktor mengesahkan bahawa dia alahan kerana mengandung.
Di lapangan terbang, kepulangan mereka disambut oleh puluhan sanak saudara. Khazinatul Asrar gembira kerana Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh pun turut serta. Maha luasnya rahmat-Mu, Ya Allah!
"Mana ummi dan abah?" bisik hatinya sambil meninjau-ninjau dua wajah tercinta itu dari celahan manusia. Ibu Mustaqhim Al-Qordhowi pula begitu exited mengumumkan berita gembira tentang menantunya. Khazinatul Asrar tersenyum manis sambil menggenggam erat jari jemariibu mentuanya. Suasana bertambah meriah dengan berita itu. Mak cik Nab menghampiri Khazinatul Asrar sambil memohon maaf. Dipeluknya gadis itu. Pak Cik Soleh pula tersenyum malu pada Mustaqhim Al- qordhrowi. Mustaqhim Al-qordhrowi terlebih dahulu menghulurkan tangan, bersalaman dengan Pak Cik Soleh. Awan mendung berarak sudah, terjalin kembali ukhuwwahfillah, yang takkan lagi musnah, walau ombak badai dating mendesah, tautan erat tak mungkin patah.
"Ummi dan abah tak datang?" soalan yang sudah sedia diduga oleh semua sanak saudara yang mengerumuni mereka. Seorangpun tidak tampil memberikan jawapan. Malah ada yang mula berlawak jenaka agar soalan itu berlalu tanpa jawapan. Mak Cik Nab cepat-cepat mengajak pulang. Enam buah kereta siap menanti.
"Mungkin ummi dan abah menanti di rumah!" pujuk hati kecil Khazinatul Asrar. Hatinya begitu melonjak untuk mengucup tangan dan pipi keduanya bersama sebuah berita gembira.
"Mustaqhim, Asrar…apa kata kalau ke rumah kakak, boleh?!" ajak Kak Mukminah, kakak sulung Mustaqhim Al-qordhrowi yang dah pun mempunyai lima orang anak. Pintu keretanya dibuka untuk mempersilakan adiknya masuk bersama isteri. Ayahbonda Mustaqhim Al-qordhrowi sudah pun masuk ke kereta Kak Muslimah, anak kedua mereka yang sudah 3 tahun berumah tangga dengan seorang warga Pakistan. Muslimah tinggal sementara bersama ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Syah sementara menanti suaminya yang menguruskan urusan perpindahan di Pakistan.
"Eh, Mak Cik Nab dah masak sedap-sedap. Balik rumah kami sajalah.." pelawanya bersungguh-sungguh.
"Terima-kasihlah semua. Asrar rasa nak balik rumah Asrar dulu… boleh kan, bang? Kasihan ummi dan abah yang dah lama menanti di rumah," pelawaan itu ditolak baik. Mereka terdiam lagi. Akhirnya, Pak Cik Soleh dan Mak Cik Nab menghantar mereka pulang ke rumahnya yang sepi tak bertuan. Khazinatul Asrar dan suaminya tertanya-tanya melihat rumahnya rapat berkunci. Akhirnya, Mak Cik Nab berani membuka mulut, menceritakan apa yang telah berlaku. Nadanya sebak dan rasa bersalah.
"Apa? Ummi dan abah ke Jepun? Semata-mata mencari Abang Asyraf?! Ya Allah, lindungilah mereka…" Khazinatul Asrar cuba mengawal perasaan. Kolam matanya tidak mampu lagi menyeka banjir air mata.
"Bila ummi dan abah akan pulang, mak cik?" soalnya kesayuan.
"Sayang…kita masuklah dulu. Kasihan pak cik dan mak cik berdiri di luar begini. Abang ada kunci spare ni," pujuk seorang suami. Khazinatul Asrar akur. Dioraknya langkah lemah.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner