Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 23]


Setibanya di rumah, ummi dan abah sudah dapat menduga apa yang telah berlaku. Masakan tidak, sebelum daripada itu, mereka telah berkali-kali dipersalahkan oleh Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh atas pemergian Asyraf ke Jepun dengan hati yang hancur berkecai. Cuma, sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan anak mertuanya demi menjaga hubungan baik antara mereka juga.

"Dua hari lagi nak ke Tanah Suci…berdoalah banyak-banyak agar semuanya kembali baik. Doakan juga agar Asyraf selamat di benua orang." Pujuk ummi.

"Kalaulah abah ada ramai puteri, tentu abah takkan kecewakan Asyraf.." ayah Khazinatul Asrar masih rasa bersalah kepada Asyraf dan keluarganya meskipun menyedari bahawa realiti itu suatu suratan. Fikirannya mula mengimbas saat isterinya diikat peranakan kerana telah enam kali keguguran selepas melahirkan Khazinatul Asrar.

"Abah, Asrar kesal dengan harga persahabatan mereka. Murah! Perkara sebegini pun nak diperbesarkan hingga sanggup nak bermusuhan…tiada ketulusan langsung!"

"Janganlah begini sayang, tak baik." Mustaqhim Al-Qordhowi menenangkan lagi isterinya. Ummi tersenyum melihat kesabaran menantunya. Memang puterinya itu bijak memilih teman hidupnya. Khazinatul Asrar seorang yang cukup lantang di meja pidato dan debat pada zaman remajanya, memang padan untuk dijodohkan dengan seseorang yang boleh mengajarnya supaya lebih tenang dalam menyuarakan sesuatu.

Dalam pada itu, terbayang-bayang pula wajah Asyraf yang sudah pun dianggap bagaikan putera kandung sendiri. Masih basah diingatannya, sebelum Asyraf melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dia mengusik mereka supaya menjaga Khazinatul Asrar untuknya. Khazinatul Asrar yang baru sahaja memasuki dunia UKM ketika itu cuma tersenyum tawar dengan usikan nakal Asyraf.

"Bang Asyraf ni tak habis-habis lagi nak mengusik adik sendiri. Bilalah dia tu nak matang sikit? Mungkin bila dah ada isteri cantik bermata biru nanti, barulah dia tak usik Asrar lagi, kan abah?!" Khazinatul Asrar mangadu kepada abahnya tika itu. Rupanya Asyraf yang suka berjenaka itu serius dalam gurauannya. Terbit rasa simpati ummi pada Asyraf. Namun, apakan daya, cinta tak boleh dipaksa, Khazinatul Asrar lebih berhak memilih teman hidupnya sendiri. Asyraf sepatutnya lebih rasional memikirkan bahawa tidak guna terlalu memuja-muja seseorang gadis kerana mungkin dia tidak diciptakan untuknya. Bukankah lebih baik bergantung harapan kepada Penciptanya sendiri kerana Allah lah pemilik dan pemegang hati setiap insan. Allah lebih Mengetahui siapakah yang terbaik untuk seseorang. Kesedaran inilah yang boleh menjadikan setiap insan redha dengan kebijaksanaan Allah mentaqdirkan sesuatu.

"Alangkah baiknya kalau Asyraf boleh menerima hakikat ini…" bisik hati ummi. Lambaian Kaabah, Masjidul Haram, Masjidun Nabawi dari Bumi Anbiya’, Mekkah dan Madinah makin terasa mengusap perasaan.

Di airport, Khazinatul Asrar sebak meninggalkan ayah bonda tercinta. Bagaikan itulah pertemuan terakhir antara mereka. Diciumnya berkali-kali pipi ummi dan abah. Diminta halal segala makan minum dan tiap titis susu ummi yang membesarkannya.

"Ummi, abah…ampunkah semua silap salah Asrar. Redhoilah Asrar menjadi anak ummi dan abah. Tak tahu kenapa Asrar rasa berat nak berpisah," pilu suaranya.

"Asrar, kaulah satu-satunya saham akhirat kami di dunia ini. Jadilah isteri yang solehah agar ummi dan abah pun mendapat rahmat di sisi Allah," pesan ibu Khazinatul Asrar sambil mendakap erat puteri kesayangannya itu.

"Asrar, di sana nanti, doakan keluarga kita, Mak Cik Nab, Pak Cik Soleh dan ummat Islam seluruhnya agar kita semua boleh berdamai atas nama Islam yang suci.." pesan si abah pula.

"Insyallah, bah!" balas Khazinatul Asrar, sebak. Suaminya yang pergi menjemput ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah sejak pagi tadi setelah menghantarnya berserta abah dan ummi terlebih dahulu ke lapangan terbang, masih belum kelihatan.

Hari terus merangkak tengahari. Matahari makin tegak meninggi. Saat berpisah makin mencemburui. Khazinatul Asrar memanfaatkan sepenuh masa yang masih berbaki itu untuk bermanja sepuasnya dengan abah dan ummi. Walaupun sudah bergelar isteri, namun bagi Khazinatul Asrar, kasihnya terhadap abah dan ummi tidak pernah berbelah bahagi. Kasihnya pada abah dan ummi tetap sama sampai bila-bila. Perkahwinannya bukanlah halangan untuk bermesra dengan abah dan ummi.

Tidak lama kemudian, muncullah kelibat Mustaqhim Al-Qordhowi bersama ayahbondanya di saat waktu berlepas makin menghampiri.

"Selamat Berangkat! Moga Allah rahmati," ujar abah Khazinatul Asrar sambil berjabat tangan dengan besannya. Di saat itu, bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil pergi.

"Terima kasih, doakan Allah menerima ziarah kami anak-beranak sebagai tetamu-Nya," balas besannya. Suasana sebak sekali lagi menyelubungi hati dan sanubari Khazinatul Asrar. Laju air matanya membasahi pipi tatkala bersalaman dengan ummi dan abah buat kali terakhir sebelum bertolak pergi ke Tanah Suci. Umminya juga begitu hiba menghadapi perpisahan itu. Entah mengapa hatinya sering berbisik-bisik bahawa selepas ini dia takkan berpeluang lagi menatapi wajah yang amat dicintai oleh seorang ibu. Namun, dia melawan bisikan-bisikan itu dengan zikir qolbi kerana itu mungkin bisikan-bisikan syaitan yang selalu cuba menghalang orang yang ingin membuat kebaikan.

Dia memujuk hatinya bahawa perpisahan itu cumalah sementara dan singkat kerana dia juga akan menyusuli mereka ke Tanah Suci bersama suaminya nanti. Perpisahan keluarga itu diiringi dengan nur ukhuwwah, kasih sayang dan persaudaraan yang terpancar indah menghiasi alam itulah tuntutan Rasulullah yang semakin dilupakan. Semangat ukhuwwah dan persaudaraan…
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner