Monday, March 27, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 21]


"Aku takkan kahwin kalau bukan dengan Khazinatul Asrar!" itulah kata-kata terakhir Asyraf kepada keluarganya sebelum bertolak ke Jepun. Perginya sarat dengan kekecewaan. Dia merajuk dengan perkahwinan Khazinatul Asrar. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa gadis pujaannya selama ini tidak ditakdirkan Allah untuknya. Bukan dia sahaja yang kecewa, seluruh keluarganya juga turut terasa.

"Zalimnya keluarga Khazinatul Asrar!" itulah antara bisikan-bisikan syaitan yang sering meracuni mereka. Mereka lupa pada kuasa Allah dan qodo’ qodar yang sudah sedia tertulis di Loh Mahfuz.

"Bang, Asyraf bang…kalau dia tak kahwin, macam mana dengan hidupnya nanti?!" luah hati seorang ibu bimbang.

"Ini semua kerana KhazinatulAsrar! Tak patut..tak patut…sanggup dia memusnahkan impian keluarga kita!" berputik dendam di hati ayah jurutera komputer itu. Menantu idaman yang sekian lama disanjung olehnya dan isterinya akhirnya sewenang- wenangnya manjadi milik orang. Mereka langsung tidak dimaklumkan dengan berita pertunangan Khazinatul asrar. Sedar tak sedar, mereka dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.

"Kejamnya situasi ini! Kenapa reality sebegini terjadi? Adilkah Asyraf menanggung semua ini setelah sekian lama setia menanti gadis itu menamatkan pengajiannya? Mengapa Asyraf tiada pengertian apa-apa baginya? Adikah ini? Adilkah ini?" monolog hati mereka diamuk kekecewaan.

"Ummi, lama tak nampak keluarga bang Asyraf ke rumah kita, kan?!" Khazinatul Asrar teringatkan keluarga itu. Soalan itu menyentap ketenangan Umminya tiba-tiba. Terngiang-ngiang lagi tangisan makcik Nab yang meratapi pemergian anak sulung ke Jepun. Baru semalam, dia mendapat berita itu melalui telefon. Ummi Khazinatul Asrar merenung wajah putihnya. Tak tergamak untuk diceritakan apa yang berlaku. Masakan tidak, puterinya itu baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan. Masih terlalu awal baginya untuk dihukum dengan berita kekecewaan Asyraf sekeluarga di atas kebahagiaannya.

Khazinatul Asrar kehairanan melihat reaksi Umminya yang kelihatan kaku dan tercengang. Pandangannya dilontar ke luar jendela. Suami dan ayahnya masih belum pulang dari Bandar untuk menguruskan urusan umrah mereka sekeluarga beberapa minggu sahaja lagi. Dilihat Umminya masih terdiam, memikirkan sesuatu. Tiada respond apa-apa. Kaku.

"Kenapa Ummi diam jea nie?" Khazinatul Asrar cuba menduga.

"Asrar ada buat silap dengan Ummi ke?" lembut suaranya sambil melangkah perlahan dari jendela, malabuhkan punggung di sofa empuk, di sisi umminya.

"Tak de lah.." hanya sepatah suara ummi yang membalas. Khazinatul asrar tersenyum puas. Diambilnya Mathurat yang terbaring di atas meja.

"Mungkin ummi pun rindukan keluarga bang Asyraf," fikirnya sambil meneruskan bacaan Mathurat. Tak lama kemudian, sebuah kereta proton aeroback menuju masuk ke perkarangan rumah sederhana besar itu.

"Ummi, mereka dah balik!" Khazinatul asrar tersenyum ceria sambil menarik tangan umminya ke muka pintu. Dia mahu sama-sama menyambut kepulangan abah dan suaminya.

"Macam mana? Dah settle?" Khazinatul Asrar bertanya ramah sebaik sahaja menyambut salam keduanya. Wajahnya manis berseri-seri.

"Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tiket pun dah siap!" balas suaminya.

"Tiket dah siap?" ummi Khazinatul Asrar minta kepastian.

"Mmm!" serentak Mustaqhim Al-Qordhowi dan si abah mengangguk.

"Untuk empat orang?" ummi bertanya lagi.

"Tentulah, Zarah! Kan dah berbincang tiga kali. Macam tak yakin jea," abah Khazinatul Asrar membalas dengan gurauan.

"Kenapa cepat sangat tiket siap?!" keluh ummi Khazinatul Asrar. Semua tercengang dengan keluhan itu. Ummi Khazinatul Asrar menyedari semua sedang memandangnya, hairan dengan keluhannya yang tersirat sesuatu. Ditariknya tangan si abah masuk ke bilik. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan suaminya itu.

"Pelik ummi hari ni…ummi tak sihat ke?" Mustaqhim Al-Qordhowi merenung mata isterinya. "Asrar pun tak tahu, bang! Ummi agak diam hari ni. InsyaAllah, ummi tak apa-apa, Asrar rasa Ummi teringatkan Mak cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di Rantau Abang. Eh, kesian abang letih. Duduklah dulu. Nanti Asrar siapkan orange juice," Khazinatul Asrar menyejukkan hati suaminya. Mustaqhim Al Qordhowi tersenyum. Ma’thurat yang` terhidang di meja tamu dijadikan santapan rohani terlebih dahulu.

Maghrib dan Isya’ berlalu dengan solat berjemaah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan, tangan abah dan ummi dicium oleh pasangan suami isteri itu setiap kali selepas solat. "Asrar,Mustaqhim…abah nak cakap sikit," Abah bersuara sekali gus membatalkan niat kedua-duanya untuk beredar dari bilik sembahyang. Bagaikan ada sesi muzakarah selepasnya. Ummi kelihatan sudah bersedia dengan apa yang akan abah sampaikan.

"Asrar…Mustaqhim…abah dan ummi dah bincang petang tadi, kami tak dapat ikut buat umrah. Mustaqhim pergi berdua sajalah dengan Asrar." Abah menerangkan dengan tenang, setenang wajah Mustaqhim Al-Qordhowi dan Khazinatul Asrar dalam mendengar keputusan mengejut abah dan ummi.

"Lagipun inikan bulan madu…pergi berdua tentu lebih manis," tambah ummi.

"Tapi, Asrar rasa lebih berkat kalau abah dan ummi pun turut bersama, kan bang?!" usul Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum sambil mengangguk akur.

"Ya, sayang! Tapi abah dan ummi ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan. InsyaAllah, selesai urusan tu, kami akan menyusul kemudian. Kami pun dah cukup rindu pada lambaian Kaabah," abahnya memberi penjelasan yang berkabus. Khazinatul Asrar menarik wajah keliru. Dahinya berkeriuk cuba menafsirkan maksud tersirat di sebalik penjelasan abah. Ummi pantas memahami wajah manis yang keliru itu.

"Asrar, anak ummi! Ingatlah…sekarang ni syurga Asrar dah beralih di bawah tapak kaki suami. Jadilah bidadari untuknya," erat digenggam jari jemari mulus puterinya.

"…dan Mustaqhim, menantu ummi! Syurga kamu tetap di bawah tapak kaki ibu. Ummi rasa, ibu bapa kamu lebih layak menerima tiket umrah tu. Bagilah tiket tu kepada mereka, bolehkan?"

"Oh, ummi! Asrar bertuah kerana lahir daripada wanita sebaik ummi!" Khazinatul Asrar memeluk umminya. Suasana mesra sebegitu memang telah menjadi kebiasaan hidupnya sejak kecil-kecil lagi.

"Kalau itulah kata ummi dan abah, Mustaqhim ikut saja," Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum tenang. Memang penyenyum orangnya. Abah dan ummi turut mengukur senyuman yang tersembunyi suatu misi yang dirahsiakan.

"Bang, Asrar teringin sangat nak ziarah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di rantau Abang sebelum kita ke Tanah Suci," ajak Khazinatul Asrar dengan sopan.

"Bila-bila masa jea Ainul Mardiah abang, cakap saja nak pergi bila? Esok? Lusa?" Mustaqhim Al-Qordhowi menghiburkan isterinya. Khazinatul Asrar tersenyum manja diberi jolokan Ainul Mardhiah oleh suami tersayang. Nama bidadari paling cantik di syurga itu dirasakan terlalu agung untuk dimahkotakan untuk dirinya.

Wajah-wajah nakal Asyraf dan adik-adiknya sejumlah lima orang pula bertamu diingatannya. Sejak kecil, keluarga itulah yang menceriakan kesepiannya sebagai anak tunggal dengan pelbagai usikan, kenakalan, ngomelan dan gelak tawa. Hatinya begitu terhibur setiap kali ummi dan abah membawanya menziarahi mereka. Kemesraan yang terjalin bermula daripada keakraban persahabatan abah dan pak cik Soleh sejak di alam kampus. Ianya bertambah erat apabila mereka menjadi rakan kongsi dalam satu syarikat penerbitan buku-buku ilmiah selepas graduate. Ummi dan mak cik Nab pula, masing-masing seorang pendidik dan pernah ditugaskan di sekolah yang sama ketika awal praktikal. Walaupun atas ikatan persahabatan namun ukhuwwah yang bersemi menjadikan dua buah keluarga itu bagaikan saudara sedarah sedaging.

Sudah agak lama suasana itu menyepi dalam hidup Khazinatul Asrar kerana dihalang oleh jarak waktu dan kesibukannya di menara gading. Asyraf pula baru sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di United Kingdom. Kedatangan pasangan pengantin baru yang baru dua purnama diijabkabulkan itu disambut oleh lonjakan riang adik-adik Asyraf yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah.

"Kak Asrar, nak hadiah!" itulah rengekan-rengekan yang sudah kalis menerjah corong telinga Khazinatul Asrar tiap kali berhadapan dengan kanak-kanak comel itu. Khazinatul Asrar tidak pernah mengecewakan permintaan mereka. Musthaqim Al-Qordhowi pula tersenyum ceria melayani telatah riang mereka. Selang setengah jam berlalu, barulah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh keluar menyambut kedatangan mereka dengan wajah yang berjalur garis-garis suram dan hambar. Tajam anak mata Pak Cik Soleh memanah batang tubuh pemuda yang mendampingi Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tetap dengan senyumannya.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner