Monday, March 27, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 20]


Majlis konvensyen pada tahun itu disambut secara gilang-gemilang. Upacara tahunan itu memang meriah diadakan pada setiap tahun. Para graduan kelihatan begitu gembira dan bangga diiringi keluarga terutamanya ayah dan bonda. Masing-masing juga begitu bergaya menggayakan jubah konvo di atas gahnya menara gading. Senyuman, pujian dan gelak ketawa saling bersebati menyerikan lagi suasana penuh keriangan pada hari bersejarah itu. Kelihatan Tsabit bersama ayahnya yang berdarah Libya serta ibunya, Datin Nordina baru sahaja menuju masuk ke perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kereta mewah itu mencari tempat parking betul-betul di Taman Tasik Kejuruteraan.

Keluarga Hijriah juga ada disitu seperti telah dirancang. Memang semuanya suatu perancangan. Pada hari konvokesyen yang penuh makna itu, Tsabit El-Husainie dan Hijriah akan diikat dengan jalianan pertunangan. Hijriah lebih-lebih lagi merasa gembira dan bersyukur kerana sejak keluarga Tsabit datang merisik dirinya pada cuti panjang yang lalu, mummy dan daddynya mula menunjukkan perubahan positif terhadap dirinya kerana mereka mula merasakan bahawa Hijriah akan pergi daripada mahligai mereka yang dah pun setiasa sepi. Buktinya, daddynya sanggup membatalkan satu mesyuarat penting demi menghadiri hari yang membahagiakan anaknya itu.

"Marilah kita mulakan pertukaran cincin…," getus Datin Azlinda, mummy Hijriah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat jari manis anak gadisnya diserikan berlian.

"Nantilah mummy… tetamu yang paling istimewa untuk majlis ini belum tiba lagi. Betul tak, abang Tsabit?!" Hijriah memujuk ibunya sambil pandangannya sejak tadi meninjau-ninjau seseorang. Tsabit cuma tersenyum.

Tidak lama kemudian, sepasang mawar dan kumbang yang diapit kedua keluarga kedua-dua pasangan berjalan menuju ke arah tempat keluarga Tsabit dan Hijriah berkumpul. Pasangan itu kelihatan begitu romantis berpegangan tangan. Masing-masing berjubah konvo. Pada wajah masing-masing terpancar sinar kebahagiaan. Pasangan itulah yang mereka nanti-nantikan. "Aku pasrah jika kumbang sehebat ini akan menemani hidupmu duhai mawar berduriku," bisik hati Tsabit sendirian mengubat luka hatinya yang kian sembuh itu.

"Asrarrrrr…" Hijriah menjerit kecil, meluahkan lonjak hatinya.

"Nak honeymoon kat mana?" usik Hijriah sambil bersalam berpelukan dengan sahabat yang cukup dirindui sekian lama.

"Honeymoon? Alah..cukuplah sekadar kami buat umrah sama-sama beberapa bulan lagi. Yelah nak cari keberkatan untuk rumah tangga kami," jelas Khazinatul Asrar.

"Hah Hijriah…bila pulak giliran kamu? Jangan sampai Asrar tak sempat nak datang pula," Puan Zahra, ibu Khazinatul Asrar juga pandai mengusik sambil menguntum senyuman kepada Datin Azlinda.

"Apasal tak sempat pulak makcik?" duga Hijriah dengan usikan itu.

"Eh? Asrar tak cakap ke yang hujung tahun nie dia dan suaminya akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalah bidang Falsafah Islam?!" Puan Zahra membongkar perancangan Khazinatul Asrar dan suaminya.

"Betul ke nie?" Hijriah minta kepastian.

"InsyaAllah..tapi ianya masih dalam perancangan! Kalau diizinkan Allah sampailah kami ke sana," suami Khazinatul Asrar bersuara.

"Hijriah, buatlah cepat-cepat kenduri nie, tak adalah kami kempunan nak merasa nasi minyak Datin Azlinda dan Datin Nordina…lagipun, tak baik melambatkan ikatan yang baik," celah Khazinatul Asrar mengusik. Hijriah menjeling Tsabit sambil tersipu malu. Semua yang ada ketawa melihat telatah manja Hijriah. Suasana semakin ceria.

Serentak dengan itu, sebuah kereta perdana berhenti di situ. Keluarlah Mukhlisin bersama Faranaqwiah, teman seperjuangan Khazinatul Asrar. Juga berjubah konvo. Pasangan suami isteri yang baru seminggu diijab kabulkan itu kelihatan begitu mesra berjalan seiringan melangkah ke arah mereka semua. Pandangan Mukhlisin tidak berganjak memandang seorang lelaki yang cukup terkenal di UKM. Segaknya dia mendampingi Khazinatul Asrar. Bagaikan cincin dengan permata. Bagai pinang dibelah dua.

"Lelaki ini rupanya yang menjadi penawar bisa syauqah (duri)," bisik hati Mukhlisin.

"Tahniah atas perkahwinan ini!" ucap Mukhlisin sambil bersalaman dengan Mustaqhim Al-Qordhowi. Presiden PMUKM yang cukup disegani ramai itu dengan membalas ucapan yang sama. Khazinatul Asrar dan Hijriah pula mengusik-ngusik Faranaqwiah. Gadis pemalu itu pantang diusik, pasti merahlah kedua-dua pipinya…bagaikan kelopak mawar. Tsabit tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Mukhlisin dan pasangannya.

Suasana penuh mesra. Air tenang Tasik Kejuruteraan bagaikan turut gembira. Beburung berkicau riang, bertasbih memuji Allah. Itulah irama alam.

"Aku redha, Khazinatul Asrar! Allah lebih bijak menentukan. Faranaqwiah pun tak kurang istimewanya. Hadiah Allah buatku…" hati Mukhlisin sempat juga bermonolog sendiri. Matanya terus melirik penuh kasih kepada isterinya.

"Terima kasih, Asrar…kerana bersusah payah menemukan kami sebagai pasangan suami isteri," Faranaqwiah memeluk erat sahabatnya.

"Oh, Asrar lah orang tengah rupanya…ish, tak sangka betul saya! Puas saya berfikir macam mana agaknya Mukhlisin boleh tackle exco PMUKM. Rupa-rupanya….." Hijriah berceloteh. "Ish, tak adalah. Saya Cuma memudahkan jalan. Allah jualah yang memang dah rancang pertemuan ni," Khazinatul Asrar menafikan.

"Oh…saya tak tahu sampai bila saya harus menunggu untuk menyarungkan cincin perak ini ke jari bakal menantu saya," keluh daddy Hijriah diikuti gelak ketawa mereka semua.

"Ok…sekarang kita mulakan!" ayah Tsabit membuat keputusan. Ikatan pertunangan itu terjalin sebaik sahaja ibu Tsabit menyarung cincin ke jari Hijriah dan ayah Hijriah menyarung cincin ke jari Tsabit. Mustaqhim Al-Qordhowi menyambut dengan mengamin doa memohon keredhaan Allah S.W.T.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner