Friday, March 13, 2009

SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 20A


KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.

Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.

Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.

Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).

Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A. Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.

Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah.

Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.

Katanya, dua pelajar Maahad Tahfiz Sains mendapat 11A.

"Pencapaian keseluruhan membanggakan memandangkan tahun 2007 hanya 15 sekolah Yik memperolehi kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai tiga pelajar memperolehi keputusan 13A, 11 orang (12A) dan lima orang (11A).

Kata beliau secara keseluruhannya pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus apabila melonjak kepada 98.01 peratus.

Mohd Amar juga meluahkan rasa kecewa apabila keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN).
Difahamkan pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut pagi tadi.

"Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Apa salahnya kalau dimaklumkan awal kepada kami," ujarnya.

Mohd Amar juga berkata, antara rahsia kejayaan pelajar agama di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan.
"Namun sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama dan hari ini mereka melihat sendiri kejayaannya," kata beliau.

Sumber: http://harakahdaily.net/

Alhamdulillah... Tahniah buat adik Nik Nor Madihah. Pencapaiannya bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan sekolahnya tetapi pada agama juga. Syabas dan tahniah!!!

1 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah..anak2 Maahad berjaya buktikan kemampuan Maahad di mata masyarakat..setelah sekian lama di anaktirikan oleh kerajaan persekutuan semata2 kerana Maahad adalah sekolah under Yayasan Islam Kelantan (YIK)..alfun mabruk utk adik Madiha dan adik2 Maahad yg lain (MML,MMP,MAIP,MADA dll)..teruskan kegemilangan Maahad!
~semangat & jiwa Maahad tetap subur~

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner