Sunday, March 08, 2009

Aku Cinta Kamu..


Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Mari kita bercerita tentang Nabi kita.
Iaitu Rasulullah SAW, penyelamat manusia dunia Akhirat.
Walaupun sebelum ini kita telah menceritakan banyak kali tentangnya.
Mungkin kita ceritakan di sudut -sudut lain yang belum diceritakan lagi.
Kalau pun diceritakan lagi banyak kali tidak mengapa.
Supaya yang lupa diingat kembali.
Bertambah ingat lagi.
Nabi Muhammad SAW orang luar biasa yang tidak ada taranya.
Sebelum dan sesudahnya di kalangan manusia.
Sekalipun di kalangan para rasul dan para nabi yang telah diberita.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Orang paling cerdik dan paling bersih rohnya.
Di kalangan manusia sebelum dan sesudahnya.
Maka dia diberi julukan oleh Tuhan ‘fathonah’.
Bahkan yang paling ‘fathonah’ di kalangan rasulNya.
Ilmunya bukan didapati dari akalnya.
Walaupun dia orang yang paling tajam akalnya.
Dia mendapat ilmu dijatuhkan Tuhan di dalam hatinya.
Wahyu namanya, dia belajar langsung dari Tuhannya.
Kerana inilah dia tidak perlu menulis.
Dan membaca seperti manusia biasa.
Kerana itulah ilmunya tidak dilupa sepanjang masa.
Kalau dari akal mungkin dilupakannya.
Ilmunya menceritakan dunia dan akhirat

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Tawakalnya luar biasa.
Sebab itulah di malamnya makanan tidak disimpan untuk esok harinya.
Dan diberikan kepada manusia yang memerlukannya.
Kerana dia yakin, kalau esoknya dia hidup, Tuhan merezekikannya.
Dia tidak membunuh orang.
Walaupun di setengah-setengah waktu dia harus membunuhnya.
Tapi dia tidak membunuhnya. .
Dia mengambil jalan yang utama, iaitu memaafkannya.
Kerana itu orang itu Islam di tangannya.
Beraninya luar biasa tiada tandingannya.
Dia sanggup lalu di hadapan musuhnya seorang diri.
Musuhnya tidak mengapa-apakannya bahkan terpinga-pinga.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Kasih sayangnya sangat ketara.
Terutama kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda.
Orang yang bersalah dimaafkannya.
Sekalipun orang itu tidak memintanya.
Pernah hamba sahaya hendak dihukum oleh tuannya.
Dia membuka bajunya untuk disebat.
Pengganti hamba sahaya, tuan hamba sahaya itu malu dibuatnya.
Lalu dimerdekakannya.
Pernah Rasulullah SAW membeli hamba sahaya kemudian dimerdekakannya.
Pemurahnya tidak ada taranya.
Macam angin kencang lajunya.
Tiada siapa yang boleh menandinginya.
Dan tidak pernah menghampakan orang yang meminta .
Sekalipun dia terpaksa berhutang buat sementara .

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Kalau ada orang mengata dan menghinanya.
Dia diam sahaja, tidak menjawabnya.
Gembiranya tidak ketawa, hanya senyum sahaja.
Cuma ketaranya pada mukanya.
Bahkan tidak pernah menghina orang atau mengata aibnya.
Sekalipun musuhnya.
Rasulullah makannya sedikit sekadar mengalas perutnya.
Dia tidak pernah makan seorang, sekalipun lapar.
Paling tidak, dia makan berdua.
Tapi kalau dia tidak suka setengah jenis makanan itu.
Dia tidak pula mencercanya. .
Kalau dia marah dengan orang, disembunyikan marahnya.
Sehingga orang tidak tahu marahnya.
Dia tidak pernah melahirkan jijik kepada manusia.
Sebab itu dia sanggup makan dengan orang berkudis-kudis badannya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Sabarnya luar biasa.
Tentang ujian yang Tuhan timpakan kepadanya berbagai-bagai bentuknya.
Dia redha. Lantaran itu Tuhan beri dia gelaran ‘Ulul Azmi’.
Yang tiada bandingannya. Bahkan dia ketua ‘Ulul Azmi’ di kalangan rasul-rasul.
Di tangannya lahirlah murid-murid yang luar biasa.
Diberi gelaran Sahabat namanya.
Ratusan ribu banyaknya, lebih seratus ribu bilangannya.
Ini tidak pernah berlaku di kalangan rasul-rasul sebelumnya.
Semua Sahabat-Sahabatnya masuk Syurga.
Kerana dosa-dosa mereka diampunkan oleh Tuhannya.
Kerana berkat menjadi Sahabat-Sahabatnya.
Sahabat-Sahabatnya laksana bintang-bintang di langit.
Rasul adalah bulan pumama.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Hatinya tidak tidur sekalipun matanya tidur.
Menunjukkan hatinya sentiasa jaga.
Sebab itulah kalau dia tidur tidak membatalkan wudhuknya.
Dia menghormati manusia sesuai dengan darjatnya.
Sekalipun orang itu kafir.
Kadang-kadang dibentangkan serbannya untuk tempat duduk tetamunya.
Kerana menghormati tetamunya.
Dia tidak mengutuk dan melaknat makhluk Tuhan.
Sekalipun binatang yang melata.
Begitu juga tidak pemah melakukan kesalahan.
Sekalipun menyalahi utama.
Kalau dia melihat perempuan, matanya ditundukkannya.
Dia orang paling pemalu.
Malunya kalah anak dara yang paling pemalu.
Kalau dia lalu, tidak dibenarkan perempuan di hadapannya .

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Ibadahnya banyak, terutama di waktu malam
Hingga bengkak-bengkak kakinya.
Dia suka berkhidmat dengan isteri-isteri dan keluarga.
Bukan diarah-arahkan oleh isteri-isterinya.
Tapi dia buat dengan sukarela.
Kerana mencari redha TuhanNya.
Dia sebaik-baik suami.
Tidak mampu orang lain membuatnya .

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Bahkan dia berkhidmat dengan musuhnya.
Satu cerita yang menyayat hati kita.
Seorang buta yang benci kepadanya .
Rasul berkhidmat tanpa diketahuinya .
Hingga sampai waktu wafatnya. Diganti oleh Saidina Abu Bakar untuk berkhidmat kepadanya.
Tapi dirasakan olehnya ada kelainan dari sebelumnya .
Kamu ini siapa?.Saidina Abu Bakar berkata: “Saya Abu Bakar.
Pengganti Rasul berkhidmat kepada kamu, yang Rasul itu sudah wafat.”
Si buta itu terkejut! Rupanya yang berkhidmat padanya orang yang paling dibenci.
Kerana terkejutnya menjadikan dia mati.
Tapi sempat dia mengucap dua kalimah syahadat, Islamlah dia.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Kalau dia bersahabat atau berkawan. Mengutamakan kawannya.
Bahkan berkhidmat kepada sahabatnya.
Setiap orang yang bergaul, berpuas hati dengannya.
Setiap orang merasa dia dihormatinya.
Walaupun berbagai-bagai peringkat kedudukannya.
Mari kita teruskan cerita tentang nabi kita.
Supaya lebih terperinci lagi.
Cerita dan beritanya.
Dia manusia luar biasa kekasih Tuhannya.
Agar lebih nampak dia manusia istimewa.
Dia tidak akan makan sebelum lapar.
Dia akan berhenti sebelum kenyang.
Tidak macam manusia biasa.
Dia tidak suka makanan banyak jenis lauknya .
Kalau dia suka kerana Tuhannya.
Kalau dia marah pun kerana Tuhannya.
Bukan kerana peribadinya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Bila wafat, boleh dikatakan tidak meninggalkan harta.
Dia tidak meninggalkan sembahyang jemaah.
Kecuali sekali saja di dalam hidupnya.
Iaitu waktu sakit hingga membawa wafatnya.
Makan minumnya bukan diusahakannya.
Tetapi setiap kali hendak makan, ada rezekinya.
Tapi pengikutnya disuruh berusaha.
Terutama yang ada keluarga..
Dia tidak menerima upah
Lebih-lebih lagi meminta upah.
Kerana usaha perjuangannya. .
Tetapi ada manusia hari ini, memakan upah.
Dari usaha dakwahnya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Takut dengan Tuhan ketara di mukanya .
Dia beristerikan wanita kaya, Khadijah namanya .
Hartanya diserahkan habis kepada nabinya .
Tetapi Nabi korbankan harta itu semuanya .
Dan Nabi, kalau dia berkawan, sebaik-baik kawan.
Kalau dia di rumah, sebaik-baik bapa
Kalau dia bersama isteri, sebaik-baik suami.
Kalau dia memimpin, sebaik-baik pemimpin

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Kalau dia bercakap lantang suaranya .
Tegang urat merihnya.
Kalau dia bercakap bak mutiara.
Sangat berkesan pada jiwa orang yang mendengarnya.
Kalau dia berucap atau berpidato tidak ada gelak ketawa manusia yang mendengarnya
Kerana manusia yang mendengar insaf dibuatnya.
Tidak seperti sesetengah manusia hari ini.
Kalau mereka bercakap gelak ketawa orang yang mendengarnya.
Kerana yang dicakapkan itu dari lidahnya.
Bukan dari hatinya.
Nabi kalau bercakap singkat-singkat sahaja, tidak meleret, tidak seperti kebanyakan manusia biasa.
Dia bercakap pendek sahaja..
Tapi terhimpun berbagai-bagai ilmu di dalamnya .

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Dikatakan oleh hadis ‘jawa miul kalim’ .
Kata-katanya singkat tapi padat .
Kata-katanya singkat tapi maksudnya luas .
Kata-katanya singkat tapi puas dan menggetarkan jiwa.
Tidak seperti orang lain bercakap berjela-jela, isinya tiada.
Masa terbuang, cakapnya tidak menggetarkan jiwa
Kita sambung lagi cerita nabi kita.
Nabi tidak suka berjalan-jalan membuang masa.
Juga tidak akan bercakap yang sia-sia.
Sekalipun tidak berdosa.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Kalau dia ketawa tidak berbunyi.
Insafnya dapat dilihat di mukanya.
Takutnya kepada Tuhan di mukanya ketara .
Dia melahirkan kegembiraan bila kawan-kawannya gembira .
Dia melahirkan kesedihan di atas kesedihan kawan-kawannya.
Rasulullah mudah menangis.
Kerana takutkan Tuhannya
Rasulullah tahu Tuhan kasih kepadanya.
Akhlaknya sungguh agung.
Tuhan memujinya.
Bahkan mengatakan dia yang paling bertaqwa di kalangan manusia .
Sebelum dan sesudahnya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya.

Seolah-olah dia tidak mendengar apa yang Tuhan kata terhadap dirinya.
Tuhan berkata: “Akhlaknya, sungguh agungnya.”
Tidak ada siapa boleh menandinginya.
Tetapi dia tidak merasa bangga, dia tetap merasa hamba.
Dia tetap dapat mengekalkan rasa takut dengan Tuhannya.
Rasa kehambaan sentiasa di dalam hatinya.
Bahkan tidak pernah putus daripada perasaannya.
Soal Tuhan memujinya itu hak Tuhannya.
Tapi dia tetap merasa hamba kepada Tuhannya.
Tawadhuk dengan Tuhannya, sentiasa ada.
Sangat ketara, di dalam hidupnya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya

Dia berpakaian jubah dan serban.
Warna yang disukai kebanyakannya putih dan hijau
Warna hitam ada juga dipakainya.
Tapi sekali sekala.
Makanan yang dia suka, susu dan tamar.
Daging sebagai lauknya
Itulah penguat badannya.
Demikianlah secara ringkas..
Yang global tentang cerita nabi kita
Yang tidak disebut berusahalah untuk mempelajarinya.

Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya
Ya ALLAH jadikanlah kami penyambung peribadi dan perjuangan Rasulullah saw.
Ya Rasulullah, kami tidak pernah melupakanmu. Dalam solat kami, kami menyebut berulang-ulang kali setiap hari:


...Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Di dalam sejarah Nabi kita ada dicerita .
Mukjizat banyak berlaku di tangannya.
Yang lahir dan yang batin ..
Yang besar ialah Al-Quran dan Al-Hadis .
Yang kekal sampai ke akhir zaman.
Untuk pengajaran dan panduan kepada manusia .
Demi keselamatan manusia dunia dan Akhiratnya .
Tetapi apa yang disebutkan itu sudah memadai.
Bagi orang yang tiada masa mengkajinya .

Aku cinta kamu wahai kekasih Allah...
Salam Maulidurrasul..

[Artikel ini diambil dari satu emel forward. Credit kepada siapa yang menulisnya (",) ]


0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner