Saturday, February 14, 2009

PERAK: Kembalikan Hak Rakyat!!

Kemelut politik yang melanda tanah air khususnya di negeri Perak cukup menggusarkan rakyat. Perkembangan yang berlaku cukup hangat sehinggakan para penulis dan wartawan terpaksa bertungkus lumus menyediakan laporan terbaik dan terkini.

Dalam keadaan seperti ini, laporan daripada media yang mampu menyediakan laporan semasa terkini mendapat sambutan yang cukup luar biasa. Laporan media arus perdana pula dilihat terlalu berat sebelah. Namun, teknologi melalui laman-laman blog sedikit sebanyak menyelamatkan situasi ini.

Para ‘wartawan sukarela’ ataupun lebih popular dengan panggilan ‘blogger’ dilihat mampu memainkan peranan dalam melaporkan perkembangan terkini. Ramai pihak cuba menganalisa perkembangan yang berlaku mengikut kacamata masing-masing. Pihak Barisan Nasional (BN) sibuk mempertahankan tindakan meraka mengambil alih pentadbiran Perak manakala pihak Pakatan Rakyat (PR) pula sibuk memperjuangkan hak mereka yang dikatakan telah ‘disamun, diragut dan dirompak’ itu.

Saya cuba untuk menganalisa perkembangan politik di Perak ini dari sudut dan pandangan peribadi kerana saya bukan penyokong PAS, PKR, DAP, apa lagi BN. Saya juga bukanlah ahli politik dan bukan juga ahli akademik. Saya sekadar rakyat biasa, tidak ekstrim pada mana-mana parti namun sebagai pemerhati yang mencari kebenaran.

Saudara boleh membaca perkembangan yang berlaku di Perak melalui pelbagai saluran media sama ada daripada pro kerajaan mahupun pro pembangkang. Banyak blog dan website yang boleh diakses tetapi hakikat kebenarannya belum pasti. Terpulang kepada pembaca yang bijaksana untuk menilai.

Kembali pada isu di Perak. Saya tidak mampu untuk membayangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh PR di Perak. Lebih-lebih lagi YB Datuk Seri Nizar. Saya kira, Perak sekarang turut menjadi tumpuan dunia. Mana tidaknya, Perak dikatakan mempunyai dua MB serentak!! Ini mungkin yang pertama di dunia.

Rakyat khususnya di negeri Perak kelihatan sangat tertekan dan kebingungan dengan apa yang sedang berlaku di negeri mereka. Rakyat di negeri lain turut gelisah, menanti kesudahan cerita ‘box office’ ini. Suasana yang sedang berlaku bukanlah sesuatu yang disenangi semua pihak. Saya percaya, kerajaan BN yang membentuk kerajaan pentadbiran baru di Perak juga tidak dapat duduk diam.

Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini. Secara ringkasnya, saya melihat isu di Perak ini melalui empat sudut yang saling berkaitan iaitu isu lompat parti, isu derhaka pada sultan, krisis perlembagaan dan kredibiliti pemimpin mempertahankan amanah rakyat.

1. Lompat Parti

Para pemimpin BN sering lupa pada sejarah. Kenapa? Mereka bersungguh-sungguh mengatakan isu ini dimulakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Adakah kenyataan & tuduhan ini dari fakta yang benar? Rakyat yang celik pada sejarah dan tidak taksub pada pemimpin tertentu dapat menilai kenyataan ini. Sila kembali kepada peristiwa pada 1961 di Terengganu, 1992 di Kelantan dan 1994 di Sabah.

Timbul pula persoalan di kalangan rakyat apabila pimpinan PR mengeluarkan kenyataan, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka. Adakah kenyataan seperti ini wajar? Adakah ini sikap double standard pemimpin PR? Bagi mereka yang mahu berfikir, mereka tidak akan mudah melatah.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang ulama’, saya yakin pastinya beliau ada hujah di sebalik kenyataan yang dikeluarkan. Banyak pihak yang mengulas isu ini namun secara ringkasnya, saya membuat kesimpulan, jika ‘lompatan’ itu membawa kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah s.w.t. ia dikira wajar dilakukan, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia sangat tidak wajar.

Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan seperti mana bila seorang bukan Islam ingin masuk Islam, sangat-sangat dialu-alukan tetapi berbeza jika seorang Islam ingin keluar dari agamanya.

Tidakkah saudara terfikir, bagaimana seorang pemimpin boleh melompat 2 kali dalam masa 10 hari? Apakah agenda beliau? Drama ‘culik-menculik’, ‘hilang’ dan ‘disembunyikan’ cukup meresahkan hati rakyat. Saudara boleh baca ditempat lain berkenaan drama ini. Saya tidak berminat mengulasnya. Kasihan rakyat dapat pemimpin yang ‘korup’ macam ni.

2. Derhaka pada sultan

Saya sangat kecewa apabila isu ini diapi-apikan dalam masyarakat. Media arus perdana menyiarkan laporan yang cukup berat sebelah. Ini membuatkan penonton yang tahu berfikir, akan bertambah meluat dengan media-media ini.

Saya terfikir, kenapa mereka sibuk memainkan isu ini? Seolah-olah sultan itu adalah segala-galanya. Bukan niat untuk ‘menderhaka’ tetapi harus diingat, sultan juga manusia biasa yang kadang kala melakukan kesilapan. Martabat seorang sultan di dalam masyarakat memang tidak dapat dinafikan.

Isu di sini cukup mudah, hakikat ungkapan ‘mohon sembah derhaka’ yang dilafazkan oleh YB Nizar diputar belit pihak yang sengaja mengambil kesempatan secara kurang bijak. Pada asasnya, itu sekadar bahasa istana seperti mana kata ganti diri saya yang disebut patik di istana.

Mohon sembah derhaka dalam kepada bahasa biasa adalah tidak bersetuju. Dalam konteks ini YB Nizar tidak bersetuju dengan cadangan sultan agar beliau meletak jawatan kerana beliau berpendapat, tindakan meletak jawatan adalah membelakangkan kehendak rakyat dan tindakan beliau mempertahankan kedudukannya sebagai MB dilihat tidak menyalahi apa yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri Perak.

Isu derhaka pada sultan dilihat cukup sensitif. Pihak BN dilihat beriya-iya menemplak kerajaan PR dengan isu derhaka. Tetapi rakyat masih segar dengan peristiwa di Terengganu pada 2008, juga beberapa peristiwa lampau terutama peristiwa pada 1974 di Perak yang mana MB ketika itu Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi enggan melepaskan jawatan setelah diarah sultan. Saya tidak pasti adakah kehangatan isu ini pada ketika itu sama dengan kehangatan yang dirasai sekarang kerana sememangnya saya masih belum wujud di dunia ini pada ketika itu.

Pemuda Umno ketika itu memberi pandangan; “Sultan Perak mempunyai hak melantik dan berkenan seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah dilantik dan diperkenankan, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan supaya meletakkan jawatan. Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar, ialah Presiden UMNO.”

Kesimpulan saya? Ada hikmah sultan tidak perkenan permintaan YB Nizar dan ada hikmah YB Nizar ‘mohon sembah derhaka’. Kembalilah semula kepada fitrah. Yang paling utama jangan derhaka pada Tuhan.

3. Krisis perlembagaan

Saya tidak becadang menghurai isu ini kerana sejujurnya, saya tidak pernah belajar ilmu perundangan. Namun, hikmah dari peristiwa yang berlaku ini, rakyat mula celik pada undang-undang, perlembagaan dan yang sewaktu dengannya. Akibat dari krisis ini, Perak mempunyai 2 orang MB, rakyat mula bersuara dan kredibiliti sultan dipersoalkan.

Keputusan Tuanku sultan Perak yang tidak memperkenankan cadangan YB Nizar untuk dibubarkan DUN Perak dilihat kontra dengan kemahuan majoriti rakyat menyebabkan rakyat bangkit mempertahankan hak mereka.

4. Kredibiliti pemimpin

Tidak dapat saya nafikan, ketenangan, kewibawaan dan ketokohan manusia bernama Mohd Nizar Jamaluddin yang diangkat sebagai MB Perak selepas PRU 12 ini membuatkan banyak hati dan jiwa tersentuh. Beliau dilihat begitu tegas mempertahankan hak rakyat yang dinafikan dikala orang lain hampir putus harapan. Saya tidak fikir YB Nizar mempertahankan kedudukannya sebagai MB atas faktor peribadi.

Beliau sedia melepaskan jawatannya tetapi dengan syarat rakyat yang membuat pilihan iaitu melalui pilihanraya ataupun setidak-tidaknya melalui usul undi tidak percaya pada sidang DUN negeri. Ramai penganalisis politik serta ahli akademik dan tidak kurang juga bekas pimpinan UMNO seperti Tun Dr.M dan Ku Li yang mengiktiraf, YB Nizar masih MB Perak.

Kesimpulan: Tindakan untuk memulihkan ketegangan yang berlaku

Sultan mampu mendapat semula keyakinan rakyat melalui pembubaran DUN. Justifikasinya cukup jelas, bayangkan apa yang berlaku jika dalam waktu terdekat, ADUN yang mengisytiharkan diri mereka ini bebas, kembali menyokong PR? Sudah pasti PR pula yang akan mendapat majoriti mudah. Begitu juga keadaan yang bakal berlaku jika beberapa hari kemudian, ADUN PR pula melompat kepada BN, tidakkah ini menjadikan kerajaan Perak sangat tidak stabil dan rakyat akan menjadi huru hara?

Ampun Tuanku, lakukanlah ini demi kesejahteraan rakyat tuanku. Patik pasti, rakyat akan lebih sayang pada tuanku. Biarlah rakyat yang menentukan siapa yang mereka mahu.


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


1 comments:

Anonymous said...

Dari Prof Madya Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
Pensyarah Undang2 IIUM

Komen saya terhadap rancangan “Hujah, NTV9” pada 9.30 – 10.30 malam siaran langsung dari UiTM – “Krisis Perak” pada 31b Mac 2009

Ahli2 panel akur (concede) bahawa adalah hak Baginda Sultan mengikut kewajarannya (budibicaranya) untuk atau tidak membubarkan DUN Perak.

Prof Dr Shad Faruqi tidak menolak bahawa adanya ruang (secara implikasi) dibawah Fasal 16(6) Undang2 Tubuh Negeri Perak bahawasanya jika permintaan MB untuk DUN dibubarkan tidak diperkenankan, MB berserta EXCOnya hendaklah meletakkan jawatan. Namun disini Prof Shad tidak memberikan jawapan nyata (express) bagaimana jika MB Dato Seri Nizar enggan berbuat demikian. Pada pandangan saya (Dr Abd Rani), jika Dato Seri Md Nizar engganpun, itu tidak relevan kerana akan dianggap sebagai sudah meletakkan jawatan (mahu atau tidak). Hanya selepas itulah MB dan exco baru dilantik Baginda Sultan.

Sebab Dato Seri Nizar memohon DUN dibubar tidak lain dan tidak bukan bahawa beliau sendiri akur (conceded) sudah kehilangan majoriti ADUN2 dan beliau pun tidak sekali-kali mohon kepada Sultan sidang diadakan bagi menentukan sejauh mana undi tidak percaya terhadapnya itu betul. Maka bila Dato Seri Md Nizar memohon DUN dibubar, padahnya adalah beliau dan exconya (Majlis Eksekutif) shall tender resignation jika permohonan untuk membubarkan DUN tidak diperkenankan Sultan.

Justeru, untuk kemudiannya mengesyorkan DUN dibubar sebagai jalan terbaik adalah merupakan langkah terkebelakang setelah akur bahawa sememangnya Baginda Sultan mempunyai budibicara untuk atau tidak membubarkan DUN.
Bubarkan DUN bukan lagi suatu opsyen setelah Baginda Sultan membuat keputusannya (res judicata) kerana itu ibarat tidak menghormati dan mengingkari keputusan Baginda Sultan.

Pandang Prof Dr Shad yang mengatakan bahawa dalam kes Stephen Kalongningkan DUN sememangnya “masih bersidang” sedangkan diPerak sudah ditangguhkan tanpa tarikh ditetapkan sekian lama (adjourn sine dine) perbezaan itu pada saya (DrAbdul Rani) tidak membawa apa-apa makna yang kuat. Fasal 16(6) tidak menetapkan sokongan majoriti ADUN2 hendaklah (shall) diraih dalam sidang DUN. Maka penentuan Sultan diistannya bahawa sokongan majoriti sudah berpihak kepada BN adalah tidak salah disegi undang2. Bahawa adalah lebih baik sokongan majoriti ADUN2 dibuat semasa sidang DUN samalah seperti elok sembahyang dimasjid berjemaah berbanding sembahyang sendiri dirumah. Ataupun memberikan pengajaran (lecture) didalam kelas berbanding di padang rumput - namun sah tetap sah. Lagipun Dato Seri Nizar sudah akur (concede) beliau tidak ada lagi majoriti dan minta DUN dibubar. Fakta ini tidak lagi perlu dipertikaikan (not a fact in issue - agreed fact).

Berkenaan Fasal XXXVI (1) Undang2 Tubuh Negeri Perak jelas bahawa Sultan mempunyai kuasa dan hanya bertanggungjawab mengadakan paling tidak satu sidang setiap 6 bulan - tempoh ini pun belum tamat dan akan hanya tamat mengikut kata panel2 itu - 15 Mei 2009.

Perkara XXXVI (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memperuntuk “DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan.”

Pun begitu, untuk sidang itu sah, suatu notis hendaklah diisukan oleh setiausaha DUN yang mana tidak dibuat. Notis ini adalah mandatori (wajib) sepertimana yang saya faham dari perbincangan panel2. Pun begitu,

PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan “maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul
Ridzuan memanggil mesyuarat..”.

Maka Sultan mempunyai kata akhir (ultimate say) dan jika belum diperkenankan Sultan, jika sidang dibuat diDewan pun adalah tidak sah apatah lagi ditempat yang tidak diwartakan iaitu dibawah pokok?

“PT 10 (1) mengatakan “ Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta,”

Fasal XXXVI (1) Undang2 Tubuh Perak memberi Sultan kata akhir (ultimate say) samada sidang DUN boleh atau tidak dibuat. Dalam hal ini, saya tidak nampak relevannya perbezaan samada sesi DUN di tangguhkan, prorogue atau sebab dibubarkan seperti mana pandangan Prof Dr Shad bahawa jika di tangguhkan perkenan Sultan tidak diperlukan lagi. Bukankah sultan mempunyai kata akhir (ultimate say, veto) dibawah Perkara XXXVI (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan untuk memerintah agar sidang yang ditangguhkanpun supaya tidak dibuat sehingga arahan selanjutnya dari Baginda Sultan. Tindakan “mengunci” adalah bukti Sultan tidak perkenankan sidang itu dibuat.

Indulgence (kelonggaran) Baginda Sultan tidak boleh ditakrifkan sebagai bermaksud bahawa sidang DUN boleh dibuat tanpa perkenan atau permasyuharan Bagina Sultan sepertimana terdapat dalam Undang2 Tubuh Negeri Perak

Bahawa hujah SPR adalah badan bebas dan tidak tertakluk kepada Speaker DUN dalam menentukan casual vacancy lebih kuat dan logik. Kuasa SPR sepertimana terkandung didalam Akta Pilihanraya. Speaker DUN sekadar pengaturcara/referee semasa sidang DUN, dan SPR tidak menjawab (accountable) kepada Speaker DUN. Apakah surat yang tidak bertarikh itu sah? Mengikut Mahkamah tidak. Mengapa? Dibawah undang2 kontrak pun, suatu perjanjian yang dipaksa (oppressive, undue influence dan sebagainya) adalah voidable (kesahannya boleh ditolak). Maka ADUN2 lompat itu sudah menafikan perletakkan jawatan mereka dan membatalkan surat tersebut. Lagipun mandat ADUN adalah dari rakyat (pengundi2) bukan dari parti - maka apa hak parti meminta mana2 ADUN letak jawatan jika melompat? Bukankah itu undue influence -dan dalam kontrakpun adalah voidable? Apapun, SPR bukan dibawah arahan Speaker DUN.

Lompat itu sah disisi undang2 dan dibenarkan oleh perlembagaan.

Jika parti2 politik dapat sampai kesuatu settlement, memanglah baik. Jika tidak Mahkamah adalah penyelesaian terbaik sama ada menang atau kalah. Membubarkan DUN pada saya adalah langkah kebelakang setelah Baginda Sultan membuat keputusan dan seoalah-olahnya tidak menghormati kewajaran Sultan ataupun Sultan kononya tidak menggunakan kewajarannya bila tidak perkenakan DUN dibubar.

Adakah hanya kerana 3 ADUN, Sultan dikehendakai bubar DUN? Dengan membubarkan DUN bermakna ADUN2 yang lain turut terpaksa hilang kerusi-kerusi mereka juga? Mereka-meraka ini tidak mempunyai ataupun menimbulkan apa-apa masaalahpun. Maka dimana ketidakwajaran Sultan?

Bila Pakatan Rakyat mewawarkan lompat beramai-ramai ADUN ke pihak mereka tiada pula masaalah - maka kenapa pula kerana tiga ADUNyang melompat - isu ini diperbesar-besarkan. Rakyat perlu fikir, apakah mereka berfikiran dengan baik dan wajar? Apakah mereka ini mewakili semua rakyat Malaysia atau semua rakyat Perak atau sebahagian besar/ sebahagian kecil sahaja?

Saya dah berulang-ulang kali mengatakan bahawa jika pengundi2 merasakan mereka telah ditipu dan tertipu dengan calon DUN mereka – bukankah yang “menipu” adalah calon tersebut – dimanakah salah Sultan? Adakah calon tersebut disarankan Sultan atau PKR/DAP? Siapa yang cuai dalam mencalonkan ADUN2 yang melompat tersebut? Maka siapa sebenarnya cuai - Sultankah?

Maka soal wajar DUN dibubar atau tidak, yang sudah berlalu biarlah berlalu - sekarang tugas Mahkamah menyelesaikan dan pihak2 yang menyalah guna kuasa atau menggunakan kuasa yang salah perlu dipertanggungjawabkan.

Prof Madya Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
Pensyarah Undang2 IIUM

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner