Thursday, November 22, 2007

MUHASABAH DIRI...


Teman,
Jadilah kehidupan kita di bumi sementara ini berpandukan
nur iman dan Islam
bukannya berdasarkan nafsu yang
sentiasa inginkan kebebasan
dan keseronokan yang tidak berkesudahan.
Seorang ulama' telah mengukirkan
ungkapan indah bagaimana Allah mencipta malaikat
dengan diberikan kepada mereka akal tanpa nafsu,
binatang pula dianugerahi nafsu tanpa akal
manakala manusia diberikan keduanya sekali
iaitu akal dan nafsu.
Sesiapa yang mampu mengawal nafsunya dengan akal
yang berpandukan syariat Ilahi
maka dia lebih baik daripada malaikat
tetapi jika dia tewas dengan pujukan nafsunya
maka dia lebih hina daripada binatang.
Kita juga pernah mendengar kisah
bagaimana seorang 'abid di zaman silam
apabila terdetik sahaja kehendak nafsunya
yang inginkan keseronokan
maka dia akan berguling di atas padang pasir yang panas
sambil mengatakan kepada dirinya sendiri
adakah tubuhnya akan dapat menahan
daripada azab neraka yang lebih panas daripada itu??
Seorang yang lain pula menangis sehingga hilang penglihatannya
kerana menyesal dengan dosa yang dilakukan.
Tidak ketinggalan dicoretkan
bagaimana seorang hamba yang bertaqwa
tetapi pada suatu hari
seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengawal kehendak
nafsunya dan cuba melakukan zina dengan seorang
pelacur yang dilihatnya
tetapi sebelum terlanjur ke arah kemungkaran
dia tersebut nama Allah lalu dia jatuh dan
menggelempar serta menghembuskan nafas terakhir di situ
juga kerana begitu ketakutan
dengan apa yang cuba dilakukan.
Bagaimana pula dengan diri kita wahai teman?
Godaan dan cubaan berada di sekitar kita.
Adakah kita telah cuba sedaya yang mungkin
di dalam menghindarinya?
ataupun kita sendiri dihanyutkan oleh keadaan sekeliling?
Jagalah pancaindera kita daripada kemungkaran yang melata.
Ingatlah pesanan Rasulullah S.A.W sebagaimana
yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi :
Hamba yang baik
ialah mereka yang beragama dan menyediakan
bekalan amalan selepas mati.
Manakala orang
sombong adalah mereka yang mengikut kehendak
nafsu dan mengharapkan belas kasihan Allah
semata-mata.

Teman,
Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita wahai teman?
Adakah kita merasakan ia sudah banyak dan
mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah
mengenai seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat
kepada Allah selama 70 tahun.
Allah telah mengutuskan
malaikat kepadanya dan menyatakan bahawa ibadatnya
yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk
merasai nikmat Syurga Allah.
Lalu dia menyatakan
bahawa dia beribadat kerana dia dijadikan untuk
beribadat bukannya mengharapkan balasan.
Apabila malaikat memberitahu kepada Allah
tentang jawapan yang telah diberikan
maka Allah menyatakan bahawa Dia telah
mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu.
Rabi'ah 'Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah
menyatakan bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana
takut azab Allah dan mengharapkan syurga Allah
tetapi dilakukan kerana taat dan patuh pada perintahNya.
Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia
akan mencapai sesuatu tanpa kesungguhan maka dia
sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa yang
bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan
usaha yang bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.
Sayyidina Hassan juga pernah mengingatkan bahawa
mengharapkan Syurga tanpa amalan merupakan satu dosa
daripada dosa-dosa yang lain.

Teman,
Imam al-Ghazali pernah menasihati kita bahawa ilmu
tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.
Ketahuilah bahawa ilmu tidak mampu
menjauhkan diri kita hari ini daripada maksiat
dan tidak akan mendorong kepada taat
serta tidak menjauhkan diri kita daripada azab neraka.
Jika kita tidak beramal hari ini maka kita tidak akan dapat
kembali untuk beramal pada hari yang telah berlalu pergi.
Permintaan kita untuk kembali ke dunia setelah berlakunya
qiamat tidak akan diterima malah kita akan diherdik
dengan kata-kata pedas :
Wahai orang yang bongkak!
Mengapa kamu datang dari sana tanpa bekalan?
Rasulullah beristighfar lebih 70 kali sehari dan sentiasa
mengamalkan salam kepada para sahabat sehingga para
sahabat merasa malu kerana setiap kali berjumpa
maka Rasulullah S.A.W yang merupakan orang pertama yang
memberi salam bukannya mereka.
Bagaimana dengan kita wahai teman?
Hayatilah hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh imam Tarmizi :
Hitunglah diri kamu
sebelum kamu dihitung dan timbanglah amalan kamu
sebelum ia ditimbang oelh Allah kelak.

Teman,
Renungilah kata-kata imam al-Ghazali bahawa jika
kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu
kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk
mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan.
Sekalipun seseorang hamba memasuki Syurga dengan
kelebihan dan kasih sayang daripada Allah tetapi ia dapat
dicapai selepas dia menunaikan segala ketaatan dan ibadat
kerana rahmat Allah hampir dengan orang yang sentiasa
mengerjakan amalan yang baik dan soleh.
Renunglah dirimu wahai teman!
Juga diri ini yang banyak dosa dan maksiat padaNya...
Moga terampun segala dosa dan khilaf...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner