Thursday, September 27, 2007

Pilihan raya kampus: UPM akhirnya akui salah rampas laptop siswa

Oleh: Intan Abdullah & Wan Nordin Wan Yaacob

Pihak pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam mengaku kesilapan mereka ketika merampas barang-barang peribadi milik mahasiswa tahun pertama, Yee Yang Yang.

Dalam pertemuan dengan wakil-wakil NGO dan mahasiswa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM jam 11 pagi semalam, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Abdullah Arshad berkata beliau mengakui terdapat kesilapan berhubung tindakan yang diambil oleh pihak universiti.

Pengarah Jabatan Keselamatan UPM, Mejar Othman Jailani berkata siasatan berhubung kes rampasan barang-barang peribadi Yee telah pun siap dijalankan.

Walau bagaimanapun, disebabkan Yee telah melaporkan kes tersebut kepada polis maka semua barang-barang beliau telah diambil oleh pihak polis.

"Tetapi, sekiranya Yee menarik kembali laporan tersebut daripada pihak polis, mungkin kami (Jabatan Keselamatan) akan dapat membantu mendapatkan semula barang-barang beliau," tegasnya lagi.

Dalam perbincangan tersebut juga, wakil-wakil yang hadir mendesak supaya pihak universiti memulangkan semula barang-barang Yee yang dirampas tanpa sebab secara bertulis.

Layanan bawah pokok

Perhimpunan anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut membabitkan lebih daripada 50 orang daripada pelbagai pertubuhan itu bermula pada jam 9.30 pagi di perhentian bas di depan fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Mereka kemudiannya bergerak menuju ke pejabat pentadbiran universiti, dengan membawa sepanduk 'Hentikan keganasan Pegawai', 'Pulangkan harta mahasiswa', tetapi ia dihalang sejurus tiba di pintu masuk kampus.

Pihak Jabatan Keselamatan memaklumkan bahawa wakil Naib Canselor, Abdullah Arshad dalam perjalanan untuk menemui delegasi mahasiswa dan NGO tersebut di sebuah rumah, berhampiran pintu masuk kampus utama UPM.

Akan tetapi, sebaik wakil NC tiba untuk sesi penyerahan memo pada jam 10.30 pagi, delegasi sekali lagi diarak ke rumah yang dikatakan dan mereka dikejutkan dengan lokasi 'bawah pokok' yang telah dipilih oleh pentadbiran universiti untuk mengadakan urusan terbabit

Mengulas 'layanan' yang ditunjukkan oleh pihak UPM tersebut, wakil-wakil NGO dan mahasiswa yang datang menganggap ia adalah satu bentuk penghinaan terhadap objektif utama kedatangan mereka.

Lalu, beberapa pegawai yang turut serta bermesyuarat seketika sambil diperhatikan oleh seluruh delegasi termasuk wakil-wakil media serta pegawai-pegawai polis.

Tidak lama selepas itu, pada jam 11 pagi mereka berarak lagi ke Fakuliti Bahasa Moden dan Komunikasi untuk meneruskan perbincangan dan penyerahan memorandum.

Universiti hanya berani buli mahasiswa

Penyerahan memorandum dibuat Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan kepada wakil NC, Abdullah Arshad dengan disaksikan oleh wakil-wakil NGO dan parti politik yang hadir.

"Bagaimana pihak universiti boleh tahu isi kandungan lapotop tersebut sedangkan kata laluan atau passwordnya tidak diberikan oleh pemiliknya?" ujar Ketua Unit NGO, DAP, Ronnie Liu.

Beliau turut hairan berhubung tindakan pihak keselamatan dan pentadbiran universiti yang merampas barang peribadi mahasiswa sedangkan tidak ada sebarang siasatan dibuat sebelum itu untuk mensabitkan sebarang kesalahan kepadanya.

"Ini sudah menyalahi prosedur. Atau mereka ini bertindak tanpa prosedur? Malulah kalau universiti yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan negara bersikap sedemikian," ujarnya nada kekecewaan dalam perbincangan tersebut.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak pentadbiran universiti yang bersikap tidak profesional.

"Mereka hanya berani membuli mahasiswa, tapi kami akan membela mereka," ujatnya lagi.

Ronnie juga menggesa agar pihak universiti membuat siasatan dalaman yang menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian ini.

Wakil Jerit, Kohila berkata tindakan pihak keselamatan UPM telah menyebabkan mahasiswa sendiri hilang kepercayaan terhadap kredibiliti mereka yang seterusnya akan menjejaskan nama naik universiti.

Beliau juga berharap pihak pentadbiran universiti tidak campurtangan dalam urusan pilihan raya kampus seterusnya memberikan hak kepada mahasiswa untuk menentukan sendiri pemimpin yang mereka kehendaki.

Taktik kotor Aspirasi

Sementara itu, pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syeikh Omar Ali berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat 'arahan daripada pihak tertentu' berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor UPM mengenai insiden rampasan barang Yee.

Apa yang berlaku ujarnya adalah jelas bertentangan dengan hak asasi manusia serta mengancam keselamatan mahasiswa.

Memorandum yang dikemukakan, mereka menuntut agar Ketua Unit Tugas Khas (UTK) Zamali Samsi memohon maaf secara terbuka kepada Yee atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan

Pada 14 September lalu, laptop, telefon bimbit, mp4, serta dua pendrive yang bernilai lebih RM500 telah dirampas oleh pegawai keselamatan UPM dalam satu operasi siasatan kolej 13, UPM.

Walau bagaimanapun sehingga kini, tidak ada sebarang dakwaan bertulis yang dikemukakan kepada beliau berhubug tindakan tersebut.

Namun, wakil Barisan Mahasiswa Bersatu berkata mereka percaya ia adalah satu taktik kotor yang dirancang oleh pihak Aspirasi yang berkompromi dengan pentadbiran universiti.

Copy day: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner