Penamaan calon bagi Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA tempatan sudah berlangsung pada 26hb September lepas dan pengundian akan dijalankan pada 2hb Oktober 2007.
Namun, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pentadbir-pentadbir universiti, terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memastikan kemenangan mutlak parti pro Umno-BN, iaitu parti Aspirasi nampaknya sudah sampai ke tahap yang cukup menjijikkan dan tidak pernah terpikir oleh kita sebelum ini.
Bayangkan bagaimana di UIAM, parti Aspirasi sepatutnya telah kecundang seawal peringkat penamaan calon lagi disebabkan oleh kegagalan mereka mengemukakan calon-calon pada hari penamaan calon pada 26hb September 2007.
Parti We Unite for Islam (WUFI) sudah memenangi 13 kerusi tanpa bertanding (termasuk dua lagi kerusi yang mana calon Aspirasi telah dibatalkan pencalonan kerana melanggar peraturan kempen) dan hanya memerlukan satu (1) kerusi sahaja lagi untuk mendapat simple majority 14 kerusi dari 27 keseluruhan kerusi yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan (Kabinet Students Representative Council) bagi Sesi 2007/2008.
Namun, atas arahan dari 'tangan-tangan ghaib' yang dipercayai didalangi oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang sudah semestinya merupakan arahan langsung dari Umno, tidak semena-mena, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM dipaksa untuk mengeluarkan satu notis yang memaklumkan bahawa penamaan calon untuk pilihan raya kampus UIAM akan diadakan semula pada 1hb Oktober 2007 (Isnin)!!
Lihatlah betapa 'gilanya' Umno-BN yang berselindung menggunakan topeng KPT dan pentadbir UIAM untuk melaksanakan apa jua cara dan tipu muslihat, semata-mata untuk memastikan mereka dapat menawan kembali kampus UIAM.
Begitu juga di kampus UM, dimana terdapat 16 orang calon Aspirasi tidak layak bertanding disebabkan sudah berada di semester akhir pengajian, sedangkan peraturan pilihanraya UM mensyaratkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding mestilah mempunyai baki pengajian sekurang-kurangnya dua semester.
Kumpulan gabungan mahasiswa yang berlawan dengan Aspirasi mengemukakan bantahan dan sepatutnya Suruhanjaya Pilihanraya UM akan dengan mudah menerima bantahan tersebut dan memmbatalkan pencalonan 16 orang wakil Aspirasi tersebut oleh kerana ianya jelas berlawanan dengan peraturan pilihan raya yang digubal oleh UM sendiri.
Namun, SPR dan Timbalan Naib Canselor (HEP) menjadi begitu 'kecut' untuk membuat keputusan terhadap bantahan tersebut, sebaliknya mereka memberikan isyarat seolah-olah bantahan tersebut telah pun ditolak dan 16 wakil Aspirasi tersebut layak bertanding, walaupun jelas tidak mematuhi peraturan bertulis!
Bayangkan sekiranya parti gabungan mahasiswa yang mengemukakn calon yang tidak layak, saya amat yakin, aspirasi sendiri tidak perlu membuat bantahan. SPR akan awal-awal lagi menolak pencalonan tersebut tanpa perlu kepada bantahan.
Di kampus-kampus lain pula menunjukkan suasana yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lepas, iaitulah calon aspirasi bebas berkempen di dalam kampus, bahkan ditaja dan dianjurkan pula majlis kempennya oleh pihak universiti.
Sedangkan calon dari kumpulan lain diugut dan dilarang untuk masuk merayu undi di kolej-kolej kediaman dan asrama. Manakala para penyokong dan petugas terus diugut dan ditakut-takutkan.
Nampaknya, pentadbir-pentadbir universiti ini sudah menjadi semakin melampau dan semakin menurut apa sahaja arahan dari Umno.
Bukan lagi rahsia bahawa sebarang bentuk arahan politik dari KPT tidak perlu sangat kepada Menterinya untuk mengeluarkan arahan tersebut, namun cukup dengan panggilan telefon atau mesyuarat yang hanya dihadiri oleh Ahmad Ikmal Ismail, Pegawai Khas Menteri yang kebetulan merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno.
Si pencacai inilah yang menjadi antara perancang utama yang amat digeruni oleh hampir kesemua Naib Canslor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor IPTA..
Saya ingin ulangi seruan saya kepada parti-parti Barisan Alternatif dan NGO-NGO, kita jangan berselindung lagi. Marilah kita turut serta bergiat secara aktif dalam politik pelajar.
Semakin kita mengelak, maka semakin bobrok situasi di dalam kampus dan jangan harap produk kampus tempatan akan berani untuk menyokong kita apabila tamat pengajian kelak.
Umno-BN yang pengecut itu tidak perlu menunjukkan muka secara langsung disebabkan mereka memakai topeng KPT dan Hal-Ehwal Pelajar.
Mari kita 'bakulsampahkan' Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 itu yang telah sekian lama dijadikan bahan ugutan kepada pelajar supaya menjauhi kita, sedangkan Umno-BN telah 'memperkosanya' sejak dari dulu lagi.
Kepada mahasiswa, lakukan apa sahaja untuk menentang ketidakadilan dan diskriminasi sepanjang pilihan raya kampus sesi ini.
Kalau perlu berdemonstrasi, maka berdemonstrasilah dengan penuh berani.
Laksanakan kempen secara terbuka. Edarkan risalah-risalah anda secara terbuka.
Jika ada yang ditangkap atau didakwa di mahkamah universiti, jangan risau dan takut, kerana kami Pemuda PAS dan KeADILan akan membela anda.
Copy dari: Harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment