Friday, January 16, 2009

Memilih Pemimpin Satu AMANAH

Di dalam Islam, syarat-syarat dan ciri-ciri kepimpinan adalah amat ketat. Bukan sebarang orang boleh dengan mudah mengaku mampu menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi Islam amat menolak orang yang bersungguh-sungguh mahu menjadi pemimpin. Dalam soal kepimpinan, bukan soal siapa mahu, tetapi ialah siapa yang mampu. Sedangkan yang mampu itu sudah menjadi sunnatullah amat sedikit jumlahnya.

Kerana pada asasnya pemimpin sejati yang ada jaminan selamat dan menyelamatkan ialah mereka yang dipimpin oleh Tuhan. Tugas dan peranan para pemimpin ialah memberi tunjuk ajar kepada manusia khususnya yang dipimpin. Maka seharusnya seorang pemimpin mestilah yang mampu mendidik diri, mampu menundukkan nafsu sendiri, mampu berakhlak sempurna dan mampu menjadi model dalam segala hal khususnya ilmu dan minda, ibadah, akhlak, kepimpinan serta kemahiran-kemahiran lain. Manusia terjamin selamat di bawah pimpinan pemimpin super model ini.

Memilih pemimpin juga adalah satu tanggungjawab besar masyarakat. Terdapat beberapa kaedah dalam memilih pemimpin. Salah satunya adalah melalui pilihanraya. Memilih pemimpin melalui undian ini tidak seharusnya dijadikan perkara remeh kerana natijahnya sangat besar khususnya dalam memilih pemimpin sesebuah masyarakat.

Menurut Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya ‘Maza ya’ni intima’ie lil islam’, usaha untuk mewujudkan masyarakat yang beriltizam dengan fikrah dan cara hidup Islam, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang melaksanakan syariat, method dan perlembagaan Islam, memikul tanggungjawab dakwah serta berusaha menegakkan kebenaran dan keadilan dunia adalah kewajipan yang syar’ie.

Kewajipan ini tidak akan gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat memikul tanggungjawab ini dan memelihara urusan orang-orang Islam. Selagi kekuasaan ini tidak wujud, segala kecuaian daripada mereka yang beramal atau kecuaian mereka yang berdiam diri merupakan satu dosa di sisi syariat.

Justeru, adalah wajib ke atas setiap individu untuk berusaha ke arah tertegaknya kuasa pentadbir seperti mana yang disebutkan di atas. Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memilih pemimpin yang betul. Pilihanraya dilihat sebagai salah satu medium pemilihan pemimpin khususnya di negara ini. Tidak kira sama ada pemimpin masyarakat mahupun pemimpin mahasiswa di IPT-IPT, adalah menjadi kewajipan untuk memilih calon yang memiliki kriteria-kriteria yang disebutkan di atas sekiranya ada.

Adalah dinasihatkan, sekiranya ‘tidak mampu’ untuk memberi undi kepada calon pemimpin yang memperjuangkan Islam atas sebab-sebab tertentu (kepentingan peribadi), janganlah pula menggandakan kesalahan dengan memberi undi kepada calon pemimpin yang tidak mampu dijadikan role model, memiliki akhlak yang meragukan serta terang-terangan melakukan maksiat.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner