Sunday, October 19, 2008

ADUN BN, Pas berbesan

Aku tertarik dengan satu berita dari Utusanonline hari ini.. Inginku kongsikan bersama di sini..

ADUN BN, Pas berbesan


pasangan pengantin Salleh Sheikh Ibrahim dan Ernie Muneerah Mohd. Adhan bersanding di Kota Bharu, semalam.


TANAH MERAH 18 Okt. - Perbezaan politik tidak menjadi halangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik untuk berbesan dengan ADUN Pas Sungai Abong, Johor, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh.

Anak perempuan wakil rakyat BN itu, Ernie Muneerah, 25, disatukan dengan anak wakil rakyat Pas, Salleh, 25, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman Mohd. Adnan di sini hari ini.

Kedua-dua mempelai bertugas sebagai pegawai penyelidik Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang cuma dipisahkan oleh tempat kerja iaitu Ernie di Putrajaya manakala suaminya di Jerantut.

Bagi Mohd. Adhan, hubungan anak perempuannya dengan menantu tidak perlu dihalang hanya atas sebab perbezaan parti kedua-dua bapa, kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

''Sebaliknya mungkin memberikan kesan buruk bila kasih sayang mereka berdua disekat. Selaku bapa, saya ingin melihat anak saya bahagia apabila ditakdirkan mereka berdua bersatu.

"Sama dengan politik, kita tidak mahu mendapat susah kerana cuba menghalang sesuatu yang baik yang akhirnya membawa kesan kepada generasi akan datang," katanya.

Sementara Sheikh Ibrahim pula berkata, atas dasar kasih sayang, agama dan bangsa, perbezaan politik dapat diketepikan jika ada keikhlasan di dalam hati untuk memastikan anak-anak bahagia.

Salleh dan Ernie Muneerah pernah bertemu sewaktu zaman persekolahan namun terpisah kerana pekerjaan keluarga.

"Tidak sangka pula kami berdua bertemu semula sewaktu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika kami mengambil jurusan yang sama, dalam kursus ijazah Biologi Molekul.

''Kami berkenalan rapat selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin hari ini. Ibu bapa memberi sepenuh restu," ujar Salleh.

-------------------------------------------------------------------------------------------

“ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Tahniah! Selamat Pengantin Baru =)

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner