Wednesday, March 26, 2008

Suatu hari di Rusila

Sebelum 7 Mac 2008….
Melihat kepada persiapan jentera PR PAS, aku yakin Terengganu bakal kembali diterajui kepimpinan ulamak. Persiapan kem BN pula dilihat agak suram dan kurang bersungguh seolah-olah mereka confirm akan menang. Aku jadi musykil…

7 Mac 2008….
Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, aku terserempak dengan 2 buah bas berhampiran Kg. Rusila. Agak mencurigakan apabila mana bas tersebut dari side mirror berhenti di sebuah tempat penginapan yang mana sebelumnya aku terlihat sekumpulan manusia yang aku pasti, bukan berasal dari negeri ini. Aku mula tidak sedap hati walaupun sedikit teruja melihat pemandangan yang penuh kehijauan, tiada satu pun bendera dacing di kubu kuat PAS itu. Lebih kurang 7km jalan raya tanpa bendera BN..sangat teruja. Perjalanan pulang ke rumah diteruskan.
Selepas Asar, aku mencapai kapcai buruk milik abah untuk meninjau sekitar kawasan tempat aku akan membuang undi esok. Melihat poster dan bendera, aku semakin yakin bulan akan kembali mengambang di Terengganu.

8 Mac 2008…
Selesai sarapan, aku cepat-cepat mencapai kunci motor untuk ke tempat mengundi. DUN Batu Buruk, Parlimen Kuala Terengganu. Agak ramai, hampir 40 minit beratur, excited melenyapkan exhausted. First time jadi pemilih. Huhu..

Selesai mengundi, aku terus ke kampung lama aku, Rusila untuk menziarahi sekolah yang telah 10 tahun aku tinggalkan yang juga dijadikan pusat mengundi. Mak dan abah aku akan membuang undi di situ, aku berhasrat ingin menemani mereka ke sana tapi aku sengaja pergi lebih awal dari mereka, menunggang kapcai buruk itu.

Setibanya di simpang 3, laluan masuk ke sekolah tersebut, lebih kurang jam 11.00 pagi, aku melihat orang kampung dan anak muda sedang memprotes sesuatu. FRU turut kelihatan tetapi seperti dihambat penduduk kampung, kembali ke atas trak mereka. Aku sengaja berhenti di tepi jalan, kurang 20 meter dari mereka. Ketika mahu menggerakkan motosikal, ya Allah.. tayar belakang motorku bocor. Mungkin akibat paku dan batu tajam di tepi jalan yang masih dalam proses naik taraf itu atau mungkin Dia sengaja membocorkan motorku untuk aku menyaksikan sesuatu di situ. Kebetulan, bengkel motosikal hanya bersebelahan cuma tidak dibuka. Hampir 1 jam aku terpacak di depan bengkel, di belakang FRU sambil menunggu mak & abah.

Dari cakap-cakap orang kampung, 2 bas yang disyaki membawa pengundi hantu telah datang mencari nahas sebelum itu, kira-kira jam 10.30 pagi. Polis mengiringi depan, belakang dan juga atas dengan heli. Aku tak pasti ape jadi selepas itu. Kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan 4 roda dihentam bertubi-tubi oleh orang kampung. Mungkin milik SPR. Kenderaan tersebut memecut laju keluar dari simpang dengan membuta tuli. Dengan kuasa Allah, mujur tiada kenderaan atau manusia di tengah jalan walaupun jalan tersebut agak sesak. Abah dan mak tiba dan aku menumpang mereka untuk ke sekolah tempat mengundi.

Alhamdulillah, aku diizinkan kembali menjejakkan kaki ke sekolah itu setelah 10 tahun lamanya. Hampir tidak kenal kerana terlalu banyak perubahan. Sementara menunggu mak dan abah selesai mengundi, aku merayau ke kawasan sekolah itu. Hatiku semakin resah apabila kelihatan sebuah heli berlegar di persimpangan kejadian tadi. Agak lama. Bukan heli polis, mungkin dari tentera. Ketika sedang memerhati heli tersebut dari sebuah pondok di sebelah surau, aku terhidu gas yang sangat menyakitkan. Terasa sehingga ke tekak. Mataku amat pedih, mengalirkan air mata laju tanpa henti. Hidung turut berair. Cuba meraba mencari tandas dalam keadaan huyung hayang. Tempias gas pemedih mata itu begitu kuat walaupun lokasi kejadian agak jauh hampir 1km dari sekolah. Namun, angin dari pantai membantu tempias gas tersebut ke sekolah di atas bukit itu.

Anak-anak kecil mula meraung. Para pengundi gelisah dengan suasana yang berlaku. Tiada rasa selamat. Aku tidak pasti apa yang berlaku di persimpangan sana. Seakan suatu kejadian buruk sedang berlaku. Terdengar bunyi tembakan gas pemedih mata. Hampir 50 kali. Aku beristighfar, berfikir sejenak, kenapa begitu banyak gas dilepaskan? Padahal orang kampung dan anak muda yang dilihat sebagai penghalang pengundi hantu ini tidaklah mencecah ribuan orang. Dan ada yang dilepaskan di hadapan masjid, ketika orang mahu mengerjakan solat Zohor. Apakah ini yang dikatakan kerajaan yang selamat, aman, makmur???

Kami terkandas seketika memandangkan persimpangan tersebut merupakan satu2nya jalan keluar dan masuk. Setelah keadaan mula reda, kami berangkat pulang. Kelihatan FRU masih ramai, belum beredar. Aku cuba mendapatkan reaksi mereka di tempat kejadian termasuk angah. Anak muda dan penyokong PAS mula bertindak agresif setelah polis menahan anak Ayah Chik, Ust Khalil yang mengambil IC penumpang bas yang disyaki membawa pengundi hantu. Tujuannya adalah untuk menyemak, bukan merampas seperti dakwaan pihak polis dan media arus perdana.

Agak mengejutkan apabila ditanya, ada penumpang bas menjawab mahu ke Pulau Duyung dan macam-macam tempat dengan alasan melancong namun yang pastinya bukan melalui jalan masuk ke sekolah itu satu-satunya jalan keluar masuk. Sebahagian dari mereka juga adalah pelatih jururawat dari Selangor dan Perak. Jelas, agenda BN bersama SPR, ingin menakluk Terengganu dengan cara kotor. Dalam perjalanan balik ke rumah, aku terserempak dengan sebuah lagi kenderaan pacuan 4 roda yang pecah cerminnya dipercayai akibat tindak balas penghalang pengundi2 hantu ini sedang di escort polis dari arah Bukit Payong.

Malamnya terasa sangat meletihkan. Keputusan PRU12 yang ditunggu-tunggu amat lambat untuk diumumkan. Agak terkilan melihat keputusan di Terengganu, seakan tidak percaya kerana pada lewat petang itu aku mendapat sms dari sorang teman, undi PAS melebihi BN di beberapa kawasan tetapi kecundang setelah di campur undi pos. Namun kekecewaan ini segera diubat dengan kemenangan BA atau BR di 6 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Agak mengejutkan apabila Bandar-bandar besar ini ditawan BA termasuk negeri Pak Lah. Betullah ramalan sesetengah pihak, Pak Lah akan menjadi pembangkang di negeri sendiri apabila dia terlalu fokus untuk menawan Kelantan dan Terengganu. Memang Pak Lah harus dipersalahkan dengan kekalahan paling teruk BN. Pak Lah perlu berundur seiring kehendak rakyat.

Aku bangga, walaupun PAS tidak menang di Terengganu. Kekalahan inilah yang sedikit sebanyak telah membawa kemenangan PAS dan BA menang di negeri-negeri lain. Kebanyakan ‘hantu’ yang tertangkap adalah dari Selangor dan Perak. Para petugas PAS Terengganu berjaya menggagalkan percubaan pengundi-pengundi hantu ini untuk pulang membuang undi di tempat mereka sendiri. Macam-macam cara digunakan BN untuk menang di Kelantan dan Terengganu. Yang dibawa dengan ambulance pun ada. Kelantan paling kelakar. Pengundi luar yang dibawa masuk BN turut mengundi PAS. Kempunan si Awang Adek untuk jadi MB.

Semuanya telah ditentukan dan diizikan olehNya untuk berlaku. Sebagai insan biasa, aku bersyukur diberi kesempatan ini untuk berada dalan saf yang memperjuangkan agamaNya. InsyaAllah, Malaysia baru dibawah kepimpinan ulamak akan berjaya dibentuk selepas PRU13.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner