Sunday, February 24, 2008

Sekitar Penamaan Calon PRU12

Nenek, 89, cuba nasib di Kuala Terengganu

Kerusi parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan seorang calon bebas.

Menariknya, calon bebas tersebut Maimun Yusuf merupakan seorang nenek berusia 89 tahun.

Beliau akan berdepan dengan Datuk Razali Idris (BN) dan Mohamad Sabu (PAS).


Abdullah, Najib tetap dicabar

Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditentang calon PAS Subri Arshad, bagi kerusi Kepala Batas, sementara timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar oleh calon muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainudin di Pekan pada pilihanraya umum 8 Mac.


Penamaan calon bermula

Sebanyak 222 pusat penamaan di seluruh negara dibuka pada 9 pagi ini untuk proses pencalonan bagi merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri pada pilihanraya umum 8 Mac.

Penyerahan kertas pencalonan dari 9 pagi hingga 10 pagi, diikuti tempoh bantahan selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihanraya mengumumkan calon yang akan bertanding.

Seseorang calon diperlukan membayar deposit RM10,000 untuk bertanding bagi kerusi parlimen dan RM5,000 untuk kerusi DUN semasa mengemukakan borang pencalonan mereka.

Sejumlah 10,922,139 pengundi berdaftar, termasuk 221,085 pengundi pos, dan kira-kira 600,000 pengundi baru dalam pilihan raya kali ini berbanding 10.3 juta pengundi pada pilihan raya umum 2004.

Sejumlah 30 parti politik layak bertanding dalam pilihan raya umum kali
ini.

Barisan Nasional menguasai 199 kerusi, DAP (12 kerusi), PAS (tujuh kerusi) dan bebas (satu kerusi) di parlimen dengan sejumlah 219 kerusi sebelum pembubarannya.

Terdapat tiga tambahan kerusi parlimen dalam pilihanraya kali ini -- Igan, Sibuti dan Limbang (semuanya di Sarawak) -- berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

SPR menetapkan 13 hari kempen, bermula hari ini sebaik sahaja selesai proses penamaan calon sehinggalah 12 tengah malam, 7 Mac.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner