Sunday, February 24, 2008

KENYATAAN AKHBAR PARTI MAHASISWA NEGARA

Parti Mahasiswa Negara (PMN) amat terkilan dengan kenyataan Datuk Mustapa Mohamed baru-baru ini di dalam media perdana kerana mengugut akan memberikan tindakan keras kepada mahasiswa dan pensyarah yang terlibat dalam kempen parti politik.

Parti Mahasiswa Negara (PMN) ingin menegaskan di sini bahawa kenyataan itu sama sekali tidak demokratik dan menghakis kredibiliti beliau sebagai seorang Menteri Pengajian Tinggi. Kenyataan itu juga menggambarkan bahawa beliau seorang menteri yang tidak telus dalam soal memegang dan melaksanakan prinsip yang telah ditetapkan oleh perlembagaan.

PMN juga ingin mengingatkan kepada Datuk Mustapa bahawa beliau jangan sekali-kali menutup mata terhadap mahasiswa, pensyarah termasuk Naib dan Timbalan Naib Cancelor yang terlibat dengan UMNO atau Barisan Nasional. PMN sedang berusaha untuk mengumpulkan bukti-bukti yang menunjukkan keterlibatan mereka dengan UMNO.

Pihak UMNO juga telah memperkudakan NC dan TNC dalam politik terutamanya campur tangan UMNO dalam Pilihan Raya Kampus sejak bertahun-tahun lamanya. Adakah UMNO tidak pernah mengadakan mesyuarat bersama NC, TNC mahupun staf universiti bagi menjayakan agenda mereka? Adakah UMNO tidak pernah memperuntukkan perbelanjaan yang besar semata-mata ingin memenangkan calon-calon aspirasi mereka dalam Pilihan Raya Kampus? Adakah penubuhan GPMS di universiti-universi ti adalah semangat untuk mengumnokan mahasiswa di universiti? Adakah Ketua Biro Ekonomi Pemuda UMNO Pusat yang menjadi Presiden GPMS kebangsaan?

PMN juga tidak akan teragak-agak mengheret dan mengumumkan mahasiswa aspirasi dan tenaga akademik di universiti yang terlibat dengan UMNO, Pemuda UMNO, Putera UMNO, Wanita UMNO dan Puteri UMNO. Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971) jelas bertentangan dengan semangat demokrasi dan hak asasi seorang warganegara. Gerak kerja kempen dalam pilihanraya adalah satu usaha untuk membantu dan menyokong sesebuah parti. Begitu juga dengan pembuangan undi, ia juga satu simbolik untuk menyokong sesebuah parti politik. Dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat termasuk mahasiswa berhak untuk memilih mana-mana pemimpin yang layak untuk menjadi pemimpin mereka. Secara fitrahnya juga, seorang manusia itu berhak turut serta dalam mana-mana kumpulan untuk memperjuangkan keadilan dan kebenaran kepada manusia. Manusia itu sendiri bersifat sosial dan ingin melibatkan diri dengan manusia yang lain. Jika dalam Islam, sembahyang berjema¢ah juga mengajar seseorang untuk berpolitik. Sekiranya imam melakukan kesalahan, mana-mana makmum berhak menegur imam tersebut walaupun makmum tersebut seorang perempuan.

PMN berpandangan bahawa Datuk Mustapa sendiri agak tertekan dengan kebangkitan golongan pelajar dan akademik yang semakin cerdik untuk menilai situasi politik yang berlaku di dalam negara. PMN sendiri ingin menegaskan kepada KPT supaya bukan hanya menyibuk memikirkan soal menyekat hak mahasiswa dan pensyarah tetapi memikirkan dan melaksanakan perancangan untuk meningkatkan ranking atau daya saing IPTA di mata dunia, soal kebejatan sosial yang berlaku dikalangan pelajar, soal penafian biasiswa dan mengenakan caj yang tinggi dalam pinjaman PTPTN, masalah pengangguran dan sebagainya.

Disediakan oleh,

Ahmad Fawwaz Abd Aziz
Setiausaha Politik
Parti Mahasiswa Negara
013-697 3646

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner