Monday, March 27, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 21]


"Aku takkan kahwin kalau bukan dengan Khazinatul Asrar!" itulah kata-kata terakhir Asyraf kepada keluarganya sebelum bertolak ke Jepun. Perginya sarat dengan kekecewaan. Dia merajuk dengan perkahwinan Khazinatul Asrar. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa gadis pujaannya selama ini tidak ditakdirkan Allah untuknya. Bukan dia sahaja yang kecewa, seluruh keluarganya juga turut terasa.

"Zalimnya keluarga Khazinatul Asrar!" itulah antara bisikan-bisikan syaitan yang sering meracuni mereka. Mereka lupa pada kuasa Allah dan qodo’ qodar yang sudah sedia tertulis di Loh Mahfuz.

"Bang, Asyraf bang…kalau dia tak kahwin, macam mana dengan hidupnya nanti?!" luah hati seorang ibu bimbang.

"Ini semua kerana KhazinatulAsrar! Tak patut..tak patut…sanggup dia memusnahkan impian keluarga kita!" berputik dendam di hati ayah jurutera komputer itu. Menantu idaman yang sekian lama disanjung olehnya dan isterinya akhirnya sewenang- wenangnya manjadi milik orang. Mereka langsung tidak dimaklumkan dengan berita pertunangan Khazinatul asrar. Sedar tak sedar, mereka dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.

"Kejamnya situasi ini! Kenapa reality sebegini terjadi? Adilkah Asyraf menanggung semua ini setelah sekian lama setia menanti gadis itu menamatkan pengajiannya? Mengapa Asyraf tiada pengertian apa-apa baginya? Adikah ini? Adilkah ini?" monolog hati mereka diamuk kekecewaan.

"Ummi, lama tak nampak keluarga bang Asyraf ke rumah kita, kan?!" Khazinatul Asrar teringatkan keluarga itu. Soalan itu menyentap ketenangan Umminya tiba-tiba. Terngiang-ngiang lagi tangisan makcik Nab yang meratapi pemergian anak sulung ke Jepun. Baru semalam, dia mendapat berita itu melalui telefon. Ummi Khazinatul Asrar merenung wajah putihnya. Tak tergamak untuk diceritakan apa yang berlaku. Masakan tidak, puterinya itu baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan. Masih terlalu awal baginya untuk dihukum dengan berita kekecewaan Asyraf sekeluarga di atas kebahagiaannya.

Khazinatul Asrar kehairanan melihat reaksi Umminya yang kelihatan kaku dan tercengang. Pandangannya dilontar ke luar jendela. Suami dan ayahnya masih belum pulang dari Bandar untuk menguruskan urusan umrah mereka sekeluarga beberapa minggu sahaja lagi. Dilihat Umminya masih terdiam, memikirkan sesuatu. Tiada respond apa-apa. Kaku.

"Kenapa Ummi diam jea nie?" Khazinatul Asrar cuba menduga.

"Asrar ada buat silap dengan Ummi ke?" lembut suaranya sambil melangkah perlahan dari jendela, malabuhkan punggung di sofa empuk, di sisi umminya.

"Tak de lah.." hanya sepatah suara ummi yang membalas. Khazinatul asrar tersenyum puas. Diambilnya Mathurat yang terbaring di atas meja.

"Mungkin ummi pun rindukan keluarga bang Asyraf," fikirnya sambil meneruskan bacaan Mathurat. Tak lama kemudian, sebuah kereta proton aeroback menuju masuk ke perkarangan rumah sederhana besar itu.

"Ummi, mereka dah balik!" Khazinatul asrar tersenyum ceria sambil menarik tangan umminya ke muka pintu. Dia mahu sama-sama menyambut kepulangan abah dan suaminya.

"Macam mana? Dah settle?" Khazinatul Asrar bertanya ramah sebaik sahaja menyambut salam keduanya. Wajahnya manis berseri-seri.

"Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tiket pun dah siap!" balas suaminya.

"Tiket dah siap?" ummi Khazinatul Asrar minta kepastian.

"Mmm!" serentak Mustaqhim Al-Qordhowi dan si abah mengangguk.

"Untuk empat orang?" ummi bertanya lagi.

"Tentulah, Zarah! Kan dah berbincang tiga kali. Macam tak yakin jea," abah Khazinatul Asrar membalas dengan gurauan.

"Kenapa cepat sangat tiket siap?!" keluh ummi Khazinatul Asrar. Semua tercengang dengan keluhan itu. Ummi Khazinatul Asrar menyedari semua sedang memandangnya, hairan dengan keluhannya yang tersirat sesuatu. Ditariknya tangan si abah masuk ke bilik. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan suaminya itu.

"Pelik ummi hari ni…ummi tak sihat ke?" Mustaqhim Al-Qordhowi merenung mata isterinya. "Asrar pun tak tahu, bang! Ummi agak diam hari ni. InsyaAllah, ummi tak apa-apa, Asrar rasa Ummi teringatkan Mak cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di Rantau Abang. Eh, kesian abang letih. Duduklah dulu. Nanti Asrar siapkan orange juice," Khazinatul Asrar menyejukkan hati suaminya. Mustaqhim Al Qordhowi tersenyum. Ma’thurat yang` terhidang di meja tamu dijadikan santapan rohani terlebih dahulu.

Maghrib dan Isya’ berlalu dengan solat berjemaah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan, tangan abah dan ummi dicium oleh pasangan suami isteri itu setiap kali selepas solat. "Asrar,Mustaqhim…abah nak cakap sikit," Abah bersuara sekali gus membatalkan niat kedua-duanya untuk beredar dari bilik sembahyang. Bagaikan ada sesi muzakarah selepasnya. Ummi kelihatan sudah bersedia dengan apa yang akan abah sampaikan.

"Asrar…Mustaqhim…abah dan ummi dah bincang petang tadi, kami tak dapat ikut buat umrah. Mustaqhim pergi berdua sajalah dengan Asrar." Abah menerangkan dengan tenang, setenang wajah Mustaqhim Al-Qordhowi dan Khazinatul Asrar dalam mendengar keputusan mengejut abah dan ummi.

"Lagipun inikan bulan madu…pergi berdua tentu lebih manis," tambah ummi.

"Tapi, Asrar rasa lebih berkat kalau abah dan ummi pun turut bersama, kan bang?!" usul Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum sambil mengangguk akur.

"Ya, sayang! Tapi abah dan ummi ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan. InsyaAllah, selesai urusan tu, kami akan menyusul kemudian. Kami pun dah cukup rindu pada lambaian Kaabah," abahnya memberi penjelasan yang berkabus. Khazinatul Asrar menarik wajah keliru. Dahinya berkeriuk cuba menafsirkan maksud tersirat di sebalik penjelasan abah. Ummi pantas memahami wajah manis yang keliru itu.

"Asrar, anak ummi! Ingatlah…sekarang ni syurga Asrar dah beralih di bawah tapak kaki suami. Jadilah bidadari untuknya," erat digenggam jari jemari mulus puterinya.

"…dan Mustaqhim, menantu ummi! Syurga kamu tetap di bawah tapak kaki ibu. Ummi rasa, ibu bapa kamu lebih layak menerima tiket umrah tu. Bagilah tiket tu kepada mereka, bolehkan?"

"Oh, ummi! Asrar bertuah kerana lahir daripada wanita sebaik ummi!" Khazinatul Asrar memeluk umminya. Suasana mesra sebegitu memang telah menjadi kebiasaan hidupnya sejak kecil-kecil lagi.

"Kalau itulah kata ummi dan abah, Mustaqhim ikut saja," Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum tenang. Memang penyenyum orangnya. Abah dan ummi turut mengukur senyuman yang tersembunyi suatu misi yang dirahsiakan.

"Bang, Asrar teringin sangat nak ziarah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di rantau Abang sebelum kita ke Tanah Suci," ajak Khazinatul Asrar dengan sopan.

"Bila-bila masa jea Ainul Mardiah abang, cakap saja nak pergi bila? Esok? Lusa?" Mustaqhim Al-Qordhowi menghiburkan isterinya. Khazinatul Asrar tersenyum manja diberi jolokan Ainul Mardhiah oleh suami tersayang. Nama bidadari paling cantik di syurga itu dirasakan terlalu agung untuk dimahkotakan untuk dirinya.

Wajah-wajah nakal Asyraf dan adik-adiknya sejumlah lima orang pula bertamu diingatannya. Sejak kecil, keluarga itulah yang menceriakan kesepiannya sebagai anak tunggal dengan pelbagai usikan, kenakalan, ngomelan dan gelak tawa. Hatinya begitu terhibur setiap kali ummi dan abah membawanya menziarahi mereka. Kemesraan yang terjalin bermula daripada keakraban persahabatan abah dan pak cik Soleh sejak di alam kampus. Ianya bertambah erat apabila mereka menjadi rakan kongsi dalam satu syarikat penerbitan buku-buku ilmiah selepas graduate. Ummi dan mak cik Nab pula, masing-masing seorang pendidik dan pernah ditugaskan di sekolah yang sama ketika awal praktikal. Walaupun atas ikatan persahabatan namun ukhuwwah yang bersemi menjadikan dua buah keluarga itu bagaikan saudara sedarah sedaging.

Sudah agak lama suasana itu menyepi dalam hidup Khazinatul Asrar kerana dihalang oleh jarak waktu dan kesibukannya di menara gading. Asyraf pula baru sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di United Kingdom. Kedatangan pasangan pengantin baru yang baru dua purnama diijabkabulkan itu disambut oleh lonjakan riang adik-adik Asyraf yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah.

"Kak Asrar, nak hadiah!" itulah rengekan-rengekan yang sudah kalis menerjah corong telinga Khazinatul Asrar tiap kali berhadapan dengan kanak-kanak comel itu. Khazinatul Asrar tidak pernah mengecewakan permintaan mereka. Musthaqim Al-Qordhowi pula tersenyum ceria melayani telatah riang mereka. Selang setengah jam berlalu, barulah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh keluar menyambut kedatangan mereka dengan wajah yang berjalur garis-garis suram dan hambar. Tajam anak mata Pak Cik Soleh memanah batang tubuh pemuda yang mendampingi Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tetap dengan senyumannya.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 20]


Majlis konvensyen pada tahun itu disambut secara gilang-gemilang. Upacara tahunan itu memang meriah diadakan pada setiap tahun. Para graduan kelihatan begitu gembira dan bangga diiringi keluarga terutamanya ayah dan bonda. Masing-masing juga begitu bergaya menggayakan jubah konvo di atas gahnya menara gading. Senyuman, pujian dan gelak ketawa saling bersebati menyerikan lagi suasana penuh keriangan pada hari bersejarah itu. Kelihatan Tsabit bersama ayahnya yang berdarah Libya serta ibunya, Datin Nordina baru sahaja menuju masuk ke perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kereta mewah itu mencari tempat parking betul-betul di Taman Tasik Kejuruteraan.

Keluarga Hijriah juga ada disitu seperti telah dirancang. Memang semuanya suatu perancangan. Pada hari konvokesyen yang penuh makna itu, Tsabit El-Husainie dan Hijriah akan diikat dengan jalianan pertunangan. Hijriah lebih-lebih lagi merasa gembira dan bersyukur kerana sejak keluarga Tsabit datang merisik dirinya pada cuti panjang yang lalu, mummy dan daddynya mula menunjukkan perubahan positif terhadap dirinya kerana mereka mula merasakan bahawa Hijriah akan pergi daripada mahligai mereka yang dah pun setiasa sepi. Buktinya, daddynya sanggup membatalkan satu mesyuarat penting demi menghadiri hari yang membahagiakan anaknya itu.

"Marilah kita mulakan pertukaran cincin…," getus Datin Azlinda, mummy Hijriah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat jari manis anak gadisnya diserikan berlian.

"Nantilah mummy… tetamu yang paling istimewa untuk majlis ini belum tiba lagi. Betul tak, abang Tsabit?!" Hijriah memujuk ibunya sambil pandangannya sejak tadi meninjau-ninjau seseorang. Tsabit cuma tersenyum.

Tidak lama kemudian, sepasang mawar dan kumbang yang diapit kedua keluarga kedua-dua pasangan berjalan menuju ke arah tempat keluarga Tsabit dan Hijriah berkumpul. Pasangan itu kelihatan begitu romantis berpegangan tangan. Masing-masing berjubah konvo. Pada wajah masing-masing terpancar sinar kebahagiaan. Pasangan itulah yang mereka nanti-nantikan. "Aku pasrah jika kumbang sehebat ini akan menemani hidupmu duhai mawar berduriku," bisik hati Tsabit sendirian mengubat luka hatinya yang kian sembuh itu.

"Asrarrrrr…" Hijriah menjerit kecil, meluahkan lonjak hatinya.

"Nak honeymoon kat mana?" usik Hijriah sambil bersalam berpelukan dengan sahabat yang cukup dirindui sekian lama.

"Honeymoon? Alah..cukuplah sekadar kami buat umrah sama-sama beberapa bulan lagi. Yelah nak cari keberkatan untuk rumah tangga kami," jelas Khazinatul Asrar.

"Hah Hijriah…bila pulak giliran kamu? Jangan sampai Asrar tak sempat nak datang pula," Puan Zahra, ibu Khazinatul Asrar juga pandai mengusik sambil menguntum senyuman kepada Datin Azlinda.

"Apasal tak sempat pulak makcik?" duga Hijriah dengan usikan itu.

"Eh? Asrar tak cakap ke yang hujung tahun nie dia dan suaminya akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalah bidang Falsafah Islam?!" Puan Zahra membongkar perancangan Khazinatul Asrar dan suaminya.

"Betul ke nie?" Hijriah minta kepastian.

"InsyaAllah..tapi ianya masih dalam perancangan! Kalau diizinkan Allah sampailah kami ke sana," suami Khazinatul Asrar bersuara.

"Hijriah, buatlah cepat-cepat kenduri nie, tak adalah kami kempunan nak merasa nasi minyak Datin Azlinda dan Datin Nordina…lagipun, tak baik melambatkan ikatan yang baik," celah Khazinatul Asrar mengusik. Hijriah menjeling Tsabit sambil tersipu malu. Semua yang ada ketawa melihat telatah manja Hijriah. Suasana semakin ceria.

Serentak dengan itu, sebuah kereta perdana berhenti di situ. Keluarlah Mukhlisin bersama Faranaqwiah, teman seperjuangan Khazinatul Asrar. Juga berjubah konvo. Pasangan suami isteri yang baru seminggu diijab kabulkan itu kelihatan begitu mesra berjalan seiringan melangkah ke arah mereka semua. Pandangan Mukhlisin tidak berganjak memandang seorang lelaki yang cukup terkenal di UKM. Segaknya dia mendampingi Khazinatul Asrar. Bagaikan cincin dengan permata. Bagai pinang dibelah dua.

"Lelaki ini rupanya yang menjadi penawar bisa syauqah (duri)," bisik hati Mukhlisin.

"Tahniah atas perkahwinan ini!" ucap Mukhlisin sambil bersalaman dengan Mustaqhim Al-Qordhowi. Presiden PMUKM yang cukup disegani ramai itu dengan membalas ucapan yang sama. Khazinatul Asrar dan Hijriah pula mengusik-ngusik Faranaqwiah. Gadis pemalu itu pantang diusik, pasti merahlah kedua-dua pipinya…bagaikan kelopak mawar. Tsabit tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Mukhlisin dan pasangannya.

Suasana penuh mesra. Air tenang Tasik Kejuruteraan bagaikan turut gembira. Beburung berkicau riang, bertasbih memuji Allah. Itulah irama alam.

"Aku redha, Khazinatul Asrar! Allah lebih bijak menentukan. Faranaqwiah pun tak kurang istimewanya. Hadiah Allah buatku…" hati Mukhlisin sempat juga bermonolog sendiri. Matanya terus melirik penuh kasih kepada isterinya.

"Terima kasih, Asrar…kerana bersusah payah menemukan kami sebagai pasangan suami isteri," Faranaqwiah memeluk erat sahabatnya.

"Oh, Asrar lah orang tengah rupanya…ish, tak sangka betul saya! Puas saya berfikir macam mana agaknya Mukhlisin boleh tackle exco PMUKM. Rupa-rupanya….." Hijriah berceloteh. "Ish, tak adalah. Saya Cuma memudahkan jalan. Allah jualah yang memang dah rancang pertemuan ni," Khazinatul Asrar menafikan.

"Oh…saya tak tahu sampai bila saya harus menunggu untuk menyarungkan cincin perak ini ke jari bakal menantu saya," keluh daddy Hijriah diikuti gelak ketawa mereka semua.

"Ok…sekarang kita mulakan!" ayah Tsabit membuat keputusan. Ikatan pertunangan itu terjalin sebaik sahaja ibu Tsabit menyarung cincin ke jari Hijriah dan ayah Hijriah menyarung cincin ke jari Tsabit. Mustaqhim Al-Qordhowi menyambut dengan mengamin doa memohon keredhaan Allah S.W.T.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Wednesday, March 22, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 19]

Medan final exam akhirnya dihadapi jua oleh semua warga UKM. Di saat-saat genting begitu, ramailah siswa dan siswi yang sibuk mencari Allah dalam solat hajat dan sebagainya. Demikianlah fitrah seorang hamba, sejauh mana sekalipun dia lari dari Allah S.W.T, akhirnya dia akan pulang jua mencari Tuhannya. Orang yang mengenali Allah di saat tenang, InsyaAllah akan dikenali Allah di saat kesusahan. Rentetan daripada final exam itu,semua mahasiswa bercuti tiga bulan dan mahasiswa tahun akhir menunggu majlis konvokesyennya. Khazinatul Asrar termasuklah orang yang paling gembira kerana kepulangannya kali ini setelah menamatkan pengajiannya peringkat ijazah sarjana muda dan kecintaannya kepada ilmu mendorongnya berazam untuk meneruskan lagi pengajian peringkat Master dan Phd di Menara Gading. Di samping itu ada saat yang sangat bermakna, tersirat di sebalik cuti panjang kali ini.

Nun di Kuala Lumpur, Hijriah menghitung hari-hari yang penuh sepi dalam hidupnya sepanjang cuti sebelum majlis konvokesyen diadakan. Namun, perubahan personalitinya menyebabkan mummy dan daddynya lebih positif untuk mengambil berat tentang dirinya walaupun mereka sentiasa sibuk mengejar kekayaan dunia. Hijrah tetap penyejuk mata mereka sebenarnya.

Pada suatu hari, Hijriah begitu riang menerima sekeping kad wangi dari negeri Pantai Timur. Cantik sekali kad itu dengan berlatarkan sekuntum mawar berduri yang mekar dalam jambangan di perkarangan sebuah masjid. Seekor putera kumbang begitu gah menghinggapi si bunga mawar. Hijriah tersenyum menatap kad yang berwarna pink susu itu. Unik.

“Wanita beriman memang untuk lelaki beriman. Demikian janji Allah!” bisik hati kecil Hijriah. Rupa-rupanya selama ini ada episod cinta yang betul-betul terjaga dalam hidup Khazinatul Asrar. Semuanya tersembunyi menjadi rahsia. Inilah erti cinta kerana Allah yang sebenar-benarnya.

“Asrar, dalam diam-diam awak ke gerbang perkahwinan. Sejak bila pulak awak bercinta ?”demikian soalan Hijriah dalam perbualan telefonnya dengan Khazinatul Asrar pada malam itu.

“Sejak awal perkenalan lagi cinta kami dah berputik.Tapi tak perlulah dipuja-puja. Cukuplah perantaraan tazkirah saban minggu menjadi bukti cinta kami disulam atas dasar mencari keredhaan Allah bukannya menambahkan kelalaian dari meningati- Nya,” hanya itu yang Khazinatul Asrar dedahkan tentang percintaanya. Tulus. Suci. Cinta yang penuh rahsia. “Oh, awak rahsiakan percintaan awak daripada saya, ya! Pertunangan awak pun tanpa pengetahuan saya. Sampai hati awak…..”Hijriah cuba menduga respond temannya.

“Maafkan saya, Hijriah. Saya sebenarnya tak nak perkara ini diheboh-hebohkan. Awak kan tahu saya ni salah seorang perwakilan pelajar, boleh jadi isu nanti. Banyak mudhoratnya pada hati saya. Saya harap awak akan memahami saya,” jelas Khazinatul Asrar.

“Saya betul-betul tak sangka! Rahsianya cinta awak…..patutlah dalam diam-diam awak arif tentang hakikat cinta,”sindir Hijriah lembut.

“Nak kata saya bercinta…tak jugak! Sebabnya, sebelum dia melamar saya, saya tak pernah menganggapnya lelaki teristimewa kerana masih ada kemungkinan bahawa dia bukanlah lelaki yang diciptakan untuk saya. Jadi, Alhamdulillah….terjagalah sikit hati saya dari terkenang-kenangkan padanya. Setelah hampir habis belajar, dia cepat- cepat menghubungi ummi dan abah saya di kampung. Saya dah beberapa kali istikhoroh dan hati saya terasa cukup terbuka untuk menerimanya. Lagipun, abah saya menasihatkan.. kalau dah terlalu banyak sangat ujian dan fitnah dari lelaki baik percepatkan saja walimah . Saya akur…..”

“Patutlah awak bagaikan tak pernah bercinta walaupun sebenarnya bercinta…..err..perkahwinan awak ni nanti pun akan diasrarkan (rahsiakan)?”usik Hijriah.

“Ish, tak de lah. Buat apa nak disorok-sorokkan ikatan yang sah di sisi syaro’. Malah perkahwinan perlu diiklankan untuk merasmikan hubungan. InsyaAllah, seluruh warga UKM akan menerima undangan saya nanti…” jelas Khazinatul Asrar.

“MasyaAllah…tentu kecoh UKM dengan berita ini nanti. Harap-harapnya tak adalah kes mana-mana siswa yang bunuh diri sebab kecewa dengan awak,” Hijriah mengusik lagi.

“Nau’zubillah. Semoga Allah takkan jadikan saya asbab kepada kebodohan mana- mana lelaki,” Khazinatul Asrar memberikan respond yang serius.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 18]

“Asrar….cantik tak saya?” suara riang Hijriah mengganggu konsentrasi Khazinatul Asrar yang datang lebih awal ke dewan kuliah. Penampilan Hijriah dengan tudung labuh berwarna peach dan jubah coklat gelap bersulam emas di tengah menyerlahkan keanggunan seorang muslimah. Sebelum ini T-shirt lengan panjang sahaja dikenakan. Selendang bawal bermanik ringkas ataupun tudung turki dijadikan hiasan. Kadang-kala dipakainya juga baju kebaya supaya nampak agak sopan. Khazinatul Asrar mengukir senyuman sambil mengucap kesyukuran. Teman-teman yang lain turut terpegun dengan keanggunan Hijriah berpakaian sopan. Setiap pasang mata singgah ke situ.

“Bermula hari nie InsyaAllah Hijriah akan berhijrah…berhijrah untuk menutup aurat dengan sempurna!” Hijriah mengumumkan dirinya di tengah khalayak teman-teman sekuliah sambil ekor matanya melirik pada Khazinatul Asrar.

“Hijriah, iman lebih utama Hijriah,” Khazitul Asrar mengingatkan.

“Inipun salah satu bukti hijrah iman, kan?” balas Hijriah, bijak. Khazinatul Asrar mengangguk setuju.

“Asrar, bukankah ini adalah sunnah para sahabiah yang akan terus unggul meredah arus, menyusur waktu…takkan lapuk dek zaman,” Hijriah mengulangi mutiara hikmah yang pernah diungkap oleh Khazinatul Asrar suatu ketika dahulu.

“Moga kau istiqomah sahabatku..” balas Hijriah. Humaira’ bangun menghampiri Hijriah. “Malaikat Rokid yang saban hari mencatatkan amal kebajikan tentu tersenyum bangga memberi markah cemerlang kepada kamu dari sudut menutup aurat,” kata Humaira’ memberi galakan.

“Betul tue…di Mahkamah Mahsyar nanti markah inilah yang turut membantu memberatkan timbangan amalan di neraca mizan,” celah Khziantul Asrar. Fadhila yang baru datang ke dewan kuliah, terus saja tertumpu pandangannya terhadap Hijriah.

“Eh, ada pelajar baru ke? Cantik macam Puteri Pakistan!” usik Fadhila sambil langkahnya terus menuju ke arah Hijriah.

“Hijriah…cantiknya kau kenakan pakaian sebegini. Nampak ayu dan sopan. Err…kalau aku yang memakainya tentu lebih lawa," celoteh Fadhila lagi sambil tangannya rancak membelek-belek tudung dan jubah yang Hijriah kenakan.

“Fadhila, jomlah berhijrah sekali. Lagipun, memilih jubah dan tudung labuh sebagai penghias diri ibarat memilih untuk mendapat pointer cemerlang di dalam exam,” pujuk Hijriah… berda’wah...
“Maksud kau?” Fadhila tidak faham.

“Yealah, Malaikat Rokidkan setiap saat akan memberi markah untuk exam di dunia nie..resultnya nun di akhirat. Pilihlah amalan terbaik untuk exam yang sedang kita lalui nie. Betul tak?!!” terang Hijriah. Fadhila hanya berkerinsing sambil menjeling jeans dan t-shirt buatan Italy yang sedang dipakainya itu.

“Syabas, Hijriah. Saya bangga awak berhijrah dengan ada hujah bukan taklid semata-mata,” Khazinatul Asrar meluahkan kegembiraannya dengan perubahan Hijriah itu. Hijriah hanya tersenyum sambil anak matanya liar mencari-cari seseorang. Khazinatul Asrar dapat menduga pasti Tsabit yang dicarinya .

“Tsabit pun pasti bangga dengan penampilan ini,” Khazinatul Asrar mengusik Hijriah diekori senyuman penuh makna oleh teman-teman yang lain.

“Kenapa Tsabit belum datang lagi?” Hijriah separuh berbisik. Teman-teman yang lain berdehem-dehem turut mengusik. Khazinatul Asrar teringatkan peristiwa dua hari yang lalu di saat dia membongkar status dirinya yang telah disunting orang kepada Tsabit walaupun hal itu merupakan rahsia dirinya yang disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa termasuk Hijriah sendiri. Mungkin Tsabit masih merajuk. Soalan Hijriah berlalu tanpa jawapan. Seketika kemudian pensyarah pun masuk. Tsabit memang tak datang-datang.

Seminggu berlalu barulah Tsabit mula datang ke kuliah. Personalitinya yang sebelum ini periang dan peramah bertukar menjadi pendiam. Wajahnya kelihatan cengkung dengan mata yang agak bengkak. Pakaiannya pun tidak sekemas selalu.

“Sakitkah dia?” bisik hati Hijriah kebimbangan. Takut untuk didekati pemuda idamannya itu kalau-kalau menambahkan maksiat pada hati pula.

“Maafkan aku, Tsabit!” hanya itu ungkapan yang mampu dibisikkan oleh suara hati Khazinatul Asrar.

“Semoga cinta Allah tidak akan mengecewakanmu!” hatinya berbisik lagi. Hari itu pensyarah masuk lebih awal. Ketika mendengar kuliah, Tsabit hanya menongkat tangan ke dagu seperti orang yang tiada mood namun matanya asyik memerhati seseorang.Hijriah…..ya, Hijriah! Anggun sekali Hijriah dengan tudung labuh dan jubahnya. Lama direnungnya gadis itu.

“Mawar berduri bukan sekuntum,” bisik hati Tsabit sambil tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Tsabit sebenarnya seseorang yang berfikiran rasional.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner