Friday, June 19, 2009

Transformasi Pendidikan: Subjek Agama Dikesampingkan?


Ada beberapa isu semasa berkenaan pendidikan dalam negara yg menarik untuk kita perhalusi supaya kita dapat berfikir hikmah dan kewajarannya bukan sekadar menurut pandangan-pandangan tertentu secara taklid buta.

Had 10 Mata pelajaran SPM

Baru-baru ini, kerajaan telah mencadangkan beberapa dasar baru yang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Pertama, apabila kerajaan telah 'mengeluarkan perintah' supaya calon SPM dihadkan mengambil 10 mata pelajaran sahaja bermula tahun hadapan, masyarakat bangkit menyatakan bantahan.

Namun pengecualian diberikan kepada calon SPM aliran Sains Agama untuk mengambil 11 mata pelajaran maksimum dalam peperiksaan tersebut untuk tahun depan sahaja. Bagaimanapun 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara baru-baru ini membantah dan mahukan had mata pelajaran yang boleh diambil calon SPM ditingkatkan kepada 12 subjek.

Saya berpendapat, dasar ini secara tidak langsung akan menyebabkan pengetahuan dan penguasaan terhadap disiplin ilmu yang berbeza akan menjadi terhad. Kesan paling ketara mungkin akan dirasai oleh pelajar aliran Sains Agama. Dasar ini seolah-olah ingin memisahkan sains dan agama, seolah-olah memberi dua pilihan mutlak kepada pelajar sama ada ingin menumpukan bidang sains atau agama semata-mata, seolah-olah menghalang pembinaan modal insan yang dapat menguasai kedua-dua disiplin ilmu ini serentak.

Wajibkan Bahasa Inggeris

Terkini Kementerian Pendidikan sedang memperhalusi cadangan untuk mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan SPM. Dasar ini masih belum diputuskan namun ia dilihat tidak sesuai dalam keadaan isu PPSMI yang masih belum selesai. Perlukah ia dilaksanakan?

Saya tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa inggeris namun tidakkah kementerian melihat bahawa ramai remaja kini semakin ramai yang jahil agama? Keruntuhan akhlak semakin berleluasa. Apakah pihak kementerian tiada usaha untuk menyelamatkan anak-anak muda kita yang semakin jauh dari pegangan agama?

Saya mencadangkan, pihak kementerian wajar untuk mewajibkan subjek agama khusus kepada pelajar Muslim dan cadangan mewajibkan bahasa inggeris dilihat tidak perlu untuk dilaksanakan. Apakah subjek agama (Islam) tiada nilai atau tidak penting untuk dikuasai? Sedarkah kita ramai pelajar-pelajar lepasan SPM yang masih tidak tahu cara menunaikan solat dengan sempurna? Malah cara berwudhuk pun tidak tahu. Apa lagi perkara-perkara asas fardhu ain yang lain. Adakah pihak kementerian tidak memandang hal ini sebagai permasalahan yang serius dan boleh dikesampingkan begitu sahaja?

Subjek Agama Perlu Transformasi

Untuk ke arah itu, saya juga mencadangkan subjek agama di peringkat sekolah perlu diperkemaskan, perlu disuntik dengan 'booster' supaya lebih segar dan praktikal. Bukan sekadar diajar teori semata-mata. Ini sangat penting dalam penyediaan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik bahkan juga memiliki akhlak dan sahsiah terpuji. Saya memandang positif perubahan atau transformasi yang cuba dilaksanakan Kementerian Pendidikan namun kita juga perlu meletakkan keutamaan dari sudut nilai agama dan moral dalam memacu transformasi pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dari sudut tersendiri yang lebih diredhai.

Kaazim Kazuma

1 comments:

kak ifah said...

salam...
memang tak patut...
budak2 skarang tak tau langsung pasal agama
ilmu fardhu ain kurengs...
akak jadi cikgu tusyen pon pening:-(

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner