Monday, December 03, 2007

PREVIU: Tautan Hati

Mungkin agak terlambat aku mem'promote' 'kitab' ni...tapi lebih baik dari tak promote langsung [khusus kepada yg belum bace laa...] =) Novel pertamanya, Seindah Mawar Berduri yg diterbitkan dengan tajuk rasmi 'Mawar Berduri' telah pun ku abadikan dalam blog ini tanpa hak kebenaran rasmi [moga dihalalkan ye kak =) ]...begitu juga dengan sebahagian dari novel terbarunya ini telah pun aku post tak lama dulu [Hatiku Milikmu-yang ketika itu ku kira hanyalah sebuah cerpen.Tak sangka ia sebahagian dari novel ni..]. Tahniah & trima kasih buat ukhti fatimah syarha...

Asiah Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka. .Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya.

Namun,halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi. Berputus asa seakan akan tidak wujud dalam kamus hidupnya.

Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai. Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri.

Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki. Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Walaupun sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga berpotensi untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam. Namun, berkat keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh membawanya ke jalan Allah s.w.t.

Adakah usaha tarbiahnya akan berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati. Novel hasil karya novelis Sayembara Novel Remaja Jubli Emas DBP 2006, Fatimah Syarha Mohd ini mengisahkan kehidupan gadis istimewa, Asiah Yusra yang sentiasa meletakkan dakwah Islamiah sebagai nadi kehidupannya.

Ramai di antara rakan-rakannya yang tertarik dengan keperibadiannya yang tinggi. Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal psikologi dan sebagainya.

Segala penerangan tersebut telah berjaya disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner