Wednesday, October 10, 2007

Perbetulkan persepsi khatam al-Quran di bulan Ramadan

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim


Kebanyakan orang Islam di negara ini menganjurkan majlis khatam al-Quran yang menandakan bahawa mereka telah selesai membacanya sepanjang Ramadan. Mereka juga beranggapan, bahawa dengan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan dari awal surah hingga ke akhirnya (atau disebut sebagai khatam al-Quran), sudah mencukupi dan menandakan ia sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah.

Walaupun dengan membaca al-Quran sebagai salah satu bentuk ibadat kepada Allah SWT, ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia perlu ditingkatkan kepada penghayatan al-Quran dengan mengadakan penyelidikan, kajian dan diskusi bagi melahirkan insan Muslim yang mampu menghadapi sebarang kemungkinan ketika berhadapan dengan musuh-musuh Allah.

Sebab itu, sudah 50 tahun negara kita Malaysia merdeka, belum kelihatan kesungguhan Malaysia melahirkan individu Muslim yang boleh dibanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa, iaitu seorang Muslim yang menguasai intipati al-Quran, bukan sahaja menghafaz ayat-ayatnya, malah mampu mentafsir ayat al-Quran bersesuaian dengan tuntutan semasa yang akhirnya menjana umat Islam yang sanggup berkorban hanya untuk Allah.

Bukan bermakna menganjurkan majlis-majlis khatam al-Quran itu tidak bagus menurut pandangan Islam, tetapi realitinya sudah mencecah puluhan tahun kita sambut majlis seumpama itu, apa hasil yang kita dapat melainkan sekadar membaca, sedangkan ramai lagi di kalangan umat Islam masih ketinggalan mengenai isi-isi kandungannya.

Sekurang-kurangnya jika kita telah melakukan sesuatu bagi mengajak umat Islam menghayati al-Quran, sudah pasti mereka tidak menghadapi masalah untuk faham al-Quran, sebagai contoh terbaik, apabila datang bulan Ramadan, kita sering bertemu atau mendengar ayat 183 surah al-Baqarah dibacakan: Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa (kepada Allah).

Kenapa tidak lakukan kajian mengenai ayat takwa?

Pernahkah terlintas di pemikiran kita, bahawa apakah sebenarnya motif Allah menyuruh kita jadi orang-orang yang bertakwa? Apakah ciri-ciri yang sepatutnya kita perlu tahu mengenai takwa?

Kenapa kita tidak bertadarus (berdiskusi/membuat kajian) mengenai ayat takwa seperti yang difirmankan Allah dalam ayat-ayat pertama menerusi Surah al-Baqarah, firman Allah: “Alif Lam Mim, demikian itu kitab suci al-Quran, tiada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.”

Mengapa Allah SWT tidak menyebut, bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk kepada orang-orang Islam (Muslimin) atau orang-orang yang beriman (Mukminin).

Dalam pengajian akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah menyebut, bahawa jika perkataan atau istilah orang-orang bertakwa ia mencakupi makna iman dan Islam, ini bermakna orang-orang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, tidak mesti orang-orang yang beriman itu bertakwa, begitu juga dengan orang-orang yang beriman, mereka mesti orang Islam dan tidak mesti orang-orang Islam itu beriman kepada Allah, kerana terdapat ramai orang Islam yang tidak menunaikan tuntutan solat, berpuasa di bulan Ramadan, meyakini kemampuan al-Quran bagi menyelesaikan masalah negara, masyarakat dan sebagainya termasuk tidak melaksanakan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Selepas kita bertadarus ayat-ayat pertama dan kedua dari surah al-Baqarah, kita cuba sambung semula ayat ketiga, di mana Allah SWT sebut mengenai ciri-ciri orang yang bertakwa hingga ayat kelima, iaitu mereka yang percaya kepada yang ghaib, mendirikan solat dan mereka membelanjakan harta (pada jalan kebaikan) yang dianugerahkan kepada mereka, mereka juga beriman kepada kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, mereka begitu yakin akan adanya hari (kehidupan) akhirat.

Itulah tanda dan ciri orang-orang yang bertakwa kepada Allah yang sepatutnya ditadarus, ceramah, motivasi atau dibincangkan dalam forum agama sepanjang bulan Ramadan.

Jika tradisi khatam al-Quran dianjurkan tanpa kesedaran untuk menyelidiki, mengkaji dan berdiskusi, maka ia tidak akan melahirkan orang-orang yang bertakwa. Sebab itu apabila Ramadan melabuhkan tirainya sepanjang 30 hari, masih ada meneruskan program maksiat seperti rancangan hiburan keterlaluan, akan ada lagi Akademi Fantasia musim keenam dan sebagainya, kerana keyakinan wujudnya kehidupan di akhirat gagal diterjemahkan dalam realiti hidup manusia.

Malah berakhirnya Ramadan, pada malam hari raya mereka telah memperlihatkan jahiliah mereka dengan penyediaan program-program yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan pahala puasa, pahala baca al-Quran, pahala Tarawih, pahala sedekah, pahala zakat, pahala pergi ke surau atau masjid dan sebagainya.

Maka terserahlah kepada kita untuk menentukan kedudukan diri bagi menghadapi segala kemungkinan, kerana kematian yang akan menemui kita tidak mengenal batas usia seseorang, yang muda pun mati disebabkan jenayah yang berlaku akibat tidak mendaulatkan peraturan, undang-undang serta hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Copy dari: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner