Tuesday, October 30, 2007

Aurat wanita 'dera' emosi kaum lelaki - Nik Aziz

KOTA BHARU, 30 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata aurat kaum wanita yang terdedah secara meluas adalah suatu 'penderaan emosi' yang jarang dibincangkan dalam mana-mana perbincangan akademik.
Tambah beliau, perbincangan tentang penindasan tidak boleh dilihat daripada bentuk penderaan fizikal semata-mata.

"Lazimnya, kita selalu melihat kes penderaan kanak-kanak dan isteri dalam rumah tangga yang mudah kelihatan oleh mata, tapi penderaan emosi ke atas kaum lelaki tidak dilihat. "Solat tidak khusyuk malah tidur kita juga kerap terganggu. Jadi, inilah penderaan emosi ke atas kaum lelaki, tapi tidak ramai dibincangkan dalam bentuk intelektual,"kata beliau dalam persidangan Skima di sini anjuran pertubuhan NGO-NGO Muslim baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui kuasa politik yang dicapai oleh PAS Kelantan, maka kerajaan di bawah pimpinannya berusaha menerapkan beberapa nilai Islam semampu mungkin.

"Dalam pelaksanan sistem Islam, Kerajaan Kelantan cukup menekan dalam segala aspek. bermula dari pembinaan infrastruktur sehinggalah kepada hal penjagaan aurat.

"Kita perlu faham bahawa kita berada di bumi Islam, makanya sistem Islam itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh," kata beliau.

Menurut beliau, sikap enggan melaksanakan pemerintahan Islam bermula daripada sikap manusia pemimpin yang tidak reda, tidak rela atau berpuas hati menjadi seorang Muslim.

"Secara tidak sedar mereka sebenarnya memang tidak berpuas hati dengan hukum Allah. Mereka tak sedar nikmat bernafas, makan, minum dan mereka hidup di atas di bumi-Nya, tapi tidak mahu mengikut suruhan Allah.

"Ini menandakan mereka tidak reda dengan Allah, tapi mereka ingat selama ini mereka telah reda. Kalau mereka reda, ertinya mereka akan guna hukum-hukum Allah ini.

"Kita selalu menyebut, aku reda Allah sebagai Tuhanku, dan Islam sebagai ad-Deen dan Muhammad sebagai nabi dan rasul, tetapi sejauhmanakah penghayatan ke atas lafaz itu?" tambah beliau lagi.

Menurutnya, perbincangan mengenai aspek pemurnian dalam institusi kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, siasah dan sosial tidak terpisah dengan dosa, pahala, syurga, neraka dan alam akhirat.

"Kalau kita ingat ini semua, maka setiap langkah pentadbiran kita akan menjurus kepada keharmonian hidup bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

Nik Abdul Aziz sebelum itu tidak dapat memberi ucapan pada malam sebelumnya kerana sedikit keuzuran akibat 'salah bantal'. Beliau bagaimanapun akhirnya dapat bersama para peserta keesokannya bagi menggantikan ucapan beliau yang tertunda.

"Saya sebenarnya dah tiba semalam, minum bersama semua. Tetapi, kerana sakit akibat 'salah bantal', akhirnya saya terpaksa minta diri untuk pulang. Jadi, saya mohon maaf.

"Ini pun penyakit kita juga. Suka salahkan orang lain. Kita sendiri yang salah letak bantal hingga leher sakit, tapi bantal pula yang dipersalahkan," katanya diiringi ketawa hadirin.

Sumber: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Aku Hampir Dirogol (Kisah benar dari US)

Buat Renungan ....Kisah benar dari US. Banyak kisah-kisah aneh yang menakjubkan sebegini telah berlaku. Moga kita boleh ambil iktibar.

Seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US, memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya.Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu. Maklum hari sudah lewat.

Berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut berjalan berseorangan.Tiba-tiba dia nampak ada seora nglelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang saudari kita ni boleh buat adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya.

Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.Masa dia melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai kerumahnya.

Keesokkan paginya, saudari ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.Tapi perempuan Muslim ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia kesaorangan dimasa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia.

Muslimah ini nak tahu sangat sebabnya.Jadi dia minta kebenaran polis untukbercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).Dia pun tanya perogol itu
"Why don'tyou do anything to me on that nighteven though you know that I'm alone?" Perogol tu jawab:
"No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim."

Saudari ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

MORAL CERITA INI: Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dan memang Muslimah yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. (Kalau aurat terbuka malaikat pun malas dekat). Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.

Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab...selalulah amalkannya. Bayangkan anda seorang yang selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmatnya, sambil lewa beribadat.Dapatkah anda mendapat pertolongan sebegini dari Allah? Balasan Allah tu boleh datang semasa di dunia lagi. Di akhirat kelak memang pasti kerana itu janji Allah. Jadi, renungkanlah dimana level 'iman' kita sekarang ini.Wassalam.

Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya [Dari Abdullah bin 'Amr r.a.]

Baca selanjutnya...

Wednesday, October 24, 2007

Sunnahku...

“Sesungguhnya salah seorang daripada sekumpulan sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam telah berkata, “Berkenaan dengan diriku, maka aku akan berpuasa dan tidak berbuka. Berkata seorang yang lain: Aku akan berQiyam di malam hari dan tidak akan tidur. Dan berkata lagi seorang yang lain: Aku pula, aku tidak akan mengahwini perempuan. Seorang lagi berkata: Aku pula, sekali-kali aku tidak akan memakan daging. Lalu Baginda Sallallahu alayhi wa sallam bangun dan berucap, lantas Baginda berkata, “Apa halnya dengan pemuda-pemuda yang setiap seorang mereka ini berkata begini begitu? Aku sendiri berpuasa dan berbuka, bangun malam dan aku juga seorang yang mengahwini perempuan juga aku memakan daging. Barangsiapa yang tidak ingin kepada Sunnahku maka dia bukan dari kalangan (pengikut)ku” (Dari Sunan al-Nasaa’ie, no. 3217)

Baca selanjutnya...

Sunday, October 21, 2007

Wanita & Tudung


Wahai wanita tidak bertudung,
Sungguh cantik alunan rambut mu,
Bebas menggerbang kemas terikat,
Terserlah di bawah cahaya mentari,
Mentari dunia yang tak sehebat neraka,
Iaitu api yang kan membakar rambut mu,
di hari akhirat hari penentu,
maka hanguslah segalanya,
hilanglah cantik alun rambut mu,
tiada lagi yang menggerbang,
tiada lagi yang terserlah.
Oleh itu jadikanlah diri mu,
Sebahagian daripada wanita-wanita yang bertudung.

Wahai wanita yang bertudung,
Sungguh cantik alas kepala mu,
Ringkas pendek tersempang rapi,
Tersembul jambul tertutup dahi,
Terserlah lah bentuk tubuh,
Mengapa tidak dilindungi?
Rimaskah dengan tudung labuh ke dada?
Panaskah dengan pakaian sedemikian rupa?
Tidakkah kau ingat,
Kepanasan api neraka itu lagi hebat membakar,
Menjilat rentung kesemua mereka yang ingkar,
Mereka itu wanita yang tak bertudung,
Kau tidak ubah seperti mereka walau bertudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu,
Sebahagian daripada mereka yang bertudung,
Bertudung labuh hingga ke paras dada.

Wahai wanita bertudung labuh,
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu,
sebahagian daripada mereka yang bertudung,
bertudung labuh hingga ke paras dada,
tersemat jua bersamanya rasa taqwa.

Wahai wanita yang bertaqwa,
Andai kau telah sampai ke tahap ini,
Dengan akhlak mahmudah terpahat di hati,
Syariat islam sebati dalam diri,
Maka layaklah dikau mendapat ganjaranNya,
Yang dijanjikan di akhirat nanti,
Dan tatkala di dunia ini lagi,
Muslimah solehah kau digelari,
Menjadi idaman setiap muslim soleh,
Yang sukar sekali untuk diperoleh,

Wahai muslimah solehah pula,
Jadilah mukminah mujahidah,
Mujahidah yang akan menyeru,
Agar ditinggalkan dirinya yang dahulu,
Mujahidah yang akan berdakwah,
Agar diri dan umat berubah,
Mujahidah yang akan mengajak,
Agar islam kembali tertegak.

Dengarlah wahai wanita..
Sahutlah seruan ini..

Baca selanjutnya...

Australia Tidak Cadang Larang Pemakaian Tudung Di Lapangan Terbang


MELBOURNE, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Australia tidak mempunyai rancangan untuk melarang pemakaian burqa, tudung dan pakaian yang menutup muka sepenuhnya oleh wanita Islam ketika berada di lapangan terbang di negara itu.

Jurucakap Menteri Imigresen Australia Kevin Andrews berkata pejabat menteri itu tidak langsung mempertimbangkan rancangan seperti itu.

Seorang jurucakap menteri berkenaan berkata beliau tidak percaya rancangan itu dipertimbangkan oleh mana-mana menteri kerajaan Australia.

Beliau memberitahu demikian kepada Australian Associated Press ketika diminta mengulas laporan akhbar The Herald Sun hari ini bahawa pejabat menteri itu sedang mempertimbangkan larangan itu untuk penumpang udara atas soal keselamatan.

Kerajaan Perancis telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam apabila mengharamkan pelajar Islam memakai tudung di sekolah-sekolah awam di negara itu pada 2004.

-- BERNAMA

Baca selanjutnya...

Wednesday, October 10, 2007

Maaf Zahir & Batin





Baca selanjutnya...

Beberapa amalan menghidupkan malam, pagi raya Aidilfitri

Oleh: Zaini Hashimi

Dalam beberapa hari lagi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.

Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.

Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.

Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti pagi raya

1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.

2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.

3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.

6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.

Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.)

Baca selanjutnya...

Tazkirah Akhir Ramadan: Iktikaf dan persoalannya

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Nabi Muhammad s.a.w merupakan insan sempurna dalam segenap tindak-tanduk, dari sebasar-besar perkara hinggalah kepada sekecil-kecil, ia tetap memberikan panduan serta contoh terbaik, baginda bukan sekadar mengajar umatnya untuk bangkit melakukan pelbagai bentuk amal ibadat, akan tetapi sebelum baginda mencadang atau mengarahkan umatnya untuk berbuat demikian, baginda terlebih dahulu membuktikannya dengan pengamalan dan tindakan positif yang boleh dijadikan contoh terbaik buat semua.

Dalam segenap bentul amal ibadat, termasuklah dalam perkara itikaf khususnya di bulan Ramadan, tidak ketinggalan baginda mencontohkannya kepada umatnya cara, bentuk serta pendekatanitikaf yang sebenar, ia bertujuan agar umatnya tidak tersasar jauh malah terarah kepada hala tuju yang betul dan sihat.

Walaupun dosa-dosa terdahulu baginda telah diampunkan Allah SWT, namun sebagai seorang Nabi dan Rasul, tanggungjawabnya untuk memberi atau menyediakan modul terbaik kepada umat menjadi keutamaan, justeru dalam perbincangan kali ini, penulis berhajat untuk menyatakan panduan yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam ibadat ‘itikaf khususnya pada malam-malam terakhir Ramadan dalam bentuk yang paling mudah untuk diamalkan oleh setiap individu muslim dan muslimah.

Makna 'Itikaf

Ia bermaksud menetap pada satu tempat (terutamanya masjid) sama ada panjang atau pendek tempoh yang dilakukannya.

Hukum 'Itikaf

Para ulama bersepakat bahawa itikaf hukumnya adalah sunat yang tidak boleh dipaksakan orang lain melakukannya, melainkan ia menjadi hukum nazar yang mesti dilakukan oleh orang yang bernazar.

Tempoh masa untuk beriktikaf

Menurut jumhur (kebanyakan) ulama dari kalangan mazhab Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal, tempoh masa untuk beriktikaf yang diterima walaupun hanya sebentar, ada juga pendapat yang menyebut bahawa tempoh satu hari juga diterima sebagai amalan untuk beribadat kepada Allah SWT.

yarat untuk beriktikaf

Itikaf disyaratkan perlakuannya dalam masjid yang dilakukan solat jamaah, apatah lagi masjid yang diadakan solat Jumaat.

Bagaimana dengan 'itikaf dalam surau

Sesetengah ulama tidak mensyaratkan masjid yang diadakan solat Jumaat boleh untuk ber'itikaf, malah masjid atau surau yang didirikan solat jamaah juga adalah sah untuk dilakukan 'itikaf bagi mereka yang mahu melakukannya. (Ia berdasarkan riwayat Ibnu Abbas dan Aishah yang dipegang oleh Imam Ahmad dan al-Baihaqi).

Selain itu, bagi yang ber'itikaf, mereka tidak digalakkan menziarahi orang sakit, tidak juga mengurus jenazah, tidak dibenarkan bersentuhan dengan isteri atau melakukan persetubuhan atau melakukan sebarang aktiviti yang tiada kena mengena dengan tujuan ber'itikaf. Maksud hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (hadisnya yang ke 2473) daripada Saidatina Aishah r.a.

Bagi muslimah pula, adalah digalakkan untuk berada di rumah atau surau yang tidak diadakan solat jamaah. (Disebut dalam as-Syarh al-Mumti)

Hukum ber'itikaf dalam sebuah bilik penjuru masjid

Jika terdapat bilik-bilik yang bersambung dengan ruang masjid dan sebagainya, ia boleh dijadikan sebahagian tempat untuk ber'itikaf lebih-lebih lagi buat muslimat. (Fatawa al-Lajnah ad-Da~imah 411/10).

Tujuan ber'itikaf di bulan Ramadan

Amalan ber'itikaf boleh dilakukan pada bulan-bulan lain selain Ramadan, namun di bulan Ramadan adalah sangat digalakkan terutama dalam merebut kedatangan Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan.

Batal hukum 'itikaf jika keluar dari masjid/surau

Apabila seorang yang sedang ber'itikaf dalam masjid, keluar tanpa sebab-sebab yang dibolehkan seperti mengambil wuduk, buang air, mandi, menguruskan makan untuk berbuka atau bersahur (jika tiada pihak yang menguruskannya), bekerja, maka terbatal tujuan 'itikafnya pada hari itu. (maksud hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Aishah).

Antara 'itikaf dan belajar, mana lebih diutamakan?

Jika terdapat keinginan para pelajar di sebuah universiti yang tinggal di asrama berdekatan dengan masjid, maka belajar itu adalah lebi diutamakan daripada ber'itikaf, kerana belajar adalah wajib sementara 'itikaf pula hukumnya sunnat. (www.islam-qa.com) bab mengenai 'itikaf.

Apakah amalan tertentu untuk dilakukan ketika ber'itikaf?

Petunjuk Nabi Muhammad s.a.w dalam urusan 'itikaf amat mudah, seluruh waktunya dihabiskan dengan berzikir kepada Allah SWT, zikir yang diertikan dengan mengingati Allah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, ia termasuk membaca dan bertadarus al-Quran (berdiskusi, menyelidiki), bersolat sunat * sila lihat Zadul Ma'ad oleh Ibnu Qaiyim al-Jauziyyah (2/90).

Ahli Jawatankuasa masjid atau surau ketika ber'itikaf yang mengadakan mesyuarat khas bagi merangka dan membincangkan aktiviti bertujuan meningkatkan prestasi iman dan takwa ahli kariah juga boleh dianggap ibadat kerana mengajak manusia untuk mengingati Allah.

Jika seorang yang bekerja yang terpaksa membawa balik bahan tugasan pejabatnya memandangkan ketibaan awal Syawal semakin hampir untuk disiapkan, tidak berkesempatan untuk ber'itikaf atau melakukan solat-solat sunat walaupun di rumah, hasratnya tinggi untuk buat, tetapi dihalangi dengan kesibukan tugasan pejabat yang mesti diserahkan keesokan hari, apabila dia tahu bahawa bekerja itu adalah ibadat, maka apa yang dilakukannya juga kerana ibadat, maka segala tindakannya itu adalah diterima sebagai salah satu tuntutan ibadat, namun dia perlu berusaha untuk cuba melakukannya pada malam-malam terakhir yang masih berbaki.

Remaja perlu minta izin kedua ibu bapa untuk ber'itikaf

Mungkin terdapat segelintir remaja yang baik budi pekertinya yang masih di bawah penjagaan kedua ibu bapa mereka berhasrat untuk ber'itikaf di masjid bagi meningkatkan hubungan dengan Allah SWT, perlu meminta izin daripada mereka berdua, kerana patuh kepada mereka berdua adalah wajib sedangkan 'itikaf adalah sunnat, ia bertujuan bagi memastikan agar ibadat 'itikaf yang dilakukannya mengikut peraturan yang telah digariskan oleh hukum Syara'.

Pahala ber'itikaf

Sabda Rasulullah seperti yang difirmankan Allah dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud : Apa sahaja yang dilakukan oleh hamba-Ku bertujuan untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnat hingga Aku menyukainya, apabila Aku menyukainya maka Akulah yang akan menjadi pendengaran apa yang didengarnya, menjadi penglihatan apa yang dilihatnya, tangannya bertindak sesuatu apa yang sepatutnya dilakukan, kakinya melangkah pada apa yang sepatutnya dilakukan, jika dia meminta kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan dan jika dia minta perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya. (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari 6502).

Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud : Sesiapa yang ber'itikaf dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, sesungguhnya dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah. (Hadis riwayat ad-Dailami daripada Aishah r.a).

Peranan kita pada malam-malam terakhir Ramadan

1- Perlu kita ketahui, bahawa Allah SWT mahu menguji iman kita dengan pelaksanaan ibadat puasa selama sebulan Ramadan, bagi yang benar beriman, akan melakukan ibadat puasa dengan sungguh-sungguh adapun bagi yang berdusta, tidak sanggup untuk melakukannya dengan ikhlas kepada-Nya.

2- Kita berpuasa dengan niat untuk menyahut arahan Allah dan pahala-Nya.

3- Tidak menghabiskan puasa sehari suntuk dengan banyak tidur.

4- Kita perlu memperbaharui taubat kepada Allah.

5- Kita perlu memperbanyakkan doa, istighfar kepada Allah khususnya di bulan Ramadan, kerana ia menjanjikan kepada kita rahmat dan keampunan Allah serta pelepasan daripada api neraka.

6- Ketika berpuasa, kita perlu menahan pancaindera daripada terjebak pada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

Baca selanjutnya...

Jadilah graduan Universiti Ramadan yang hebat

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi mendapat cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.

Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswaserta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.

Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.

Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik jadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadan.

Apabila kesemua bentuk tarbiah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.

Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadan menjadi orang yang menantang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ˜Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?

Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriah serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.

Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."

Graduan-graduan Ramadan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.

Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Baca selanjutnya...

Perbetulkan persepsi khatam al-Quran di bulan Ramadan

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim


Kebanyakan orang Islam di negara ini menganjurkan majlis khatam al-Quran yang menandakan bahawa mereka telah selesai membacanya sepanjang Ramadan. Mereka juga beranggapan, bahawa dengan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan dari awal surah hingga ke akhirnya (atau disebut sebagai khatam al-Quran), sudah mencukupi dan menandakan ia sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah.

Walaupun dengan membaca al-Quran sebagai salah satu bentuk ibadat kepada Allah SWT, ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia perlu ditingkatkan kepada penghayatan al-Quran dengan mengadakan penyelidikan, kajian dan diskusi bagi melahirkan insan Muslim yang mampu menghadapi sebarang kemungkinan ketika berhadapan dengan musuh-musuh Allah.

Sebab itu, sudah 50 tahun negara kita Malaysia merdeka, belum kelihatan kesungguhan Malaysia melahirkan individu Muslim yang boleh dibanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa, iaitu seorang Muslim yang menguasai intipati al-Quran, bukan sahaja menghafaz ayat-ayatnya, malah mampu mentafsir ayat al-Quran bersesuaian dengan tuntutan semasa yang akhirnya menjana umat Islam yang sanggup berkorban hanya untuk Allah.

Bukan bermakna menganjurkan majlis-majlis khatam al-Quran itu tidak bagus menurut pandangan Islam, tetapi realitinya sudah mencecah puluhan tahun kita sambut majlis seumpama itu, apa hasil yang kita dapat melainkan sekadar membaca, sedangkan ramai lagi di kalangan umat Islam masih ketinggalan mengenai isi-isi kandungannya.

Sekurang-kurangnya jika kita telah melakukan sesuatu bagi mengajak umat Islam menghayati al-Quran, sudah pasti mereka tidak menghadapi masalah untuk faham al-Quran, sebagai contoh terbaik, apabila datang bulan Ramadan, kita sering bertemu atau mendengar ayat 183 surah al-Baqarah dibacakan: Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa (kepada Allah).

Kenapa tidak lakukan kajian mengenai ayat takwa?

Pernahkah terlintas di pemikiran kita, bahawa apakah sebenarnya motif Allah menyuruh kita jadi orang-orang yang bertakwa? Apakah ciri-ciri yang sepatutnya kita perlu tahu mengenai takwa?

Kenapa kita tidak bertadarus (berdiskusi/membuat kajian) mengenai ayat takwa seperti yang difirmankan Allah dalam ayat-ayat pertama menerusi Surah al-Baqarah, firman Allah: “Alif Lam Mim, demikian itu kitab suci al-Quran, tiada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.”

Mengapa Allah SWT tidak menyebut, bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk kepada orang-orang Islam (Muslimin) atau orang-orang yang beriman (Mukminin).

Dalam pengajian akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah menyebut, bahawa jika perkataan atau istilah orang-orang bertakwa ia mencakupi makna iman dan Islam, ini bermakna orang-orang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, tidak mesti orang-orang yang beriman itu bertakwa, begitu juga dengan orang-orang yang beriman, mereka mesti orang Islam dan tidak mesti orang-orang Islam itu beriman kepada Allah, kerana terdapat ramai orang Islam yang tidak menunaikan tuntutan solat, berpuasa di bulan Ramadan, meyakini kemampuan al-Quran bagi menyelesaikan masalah negara, masyarakat dan sebagainya termasuk tidak melaksanakan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Selepas kita bertadarus ayat-ayat pertama dan kedua dari surah al-Baqarah, kita cuba sambung semula ayat ketiga, di mana Allah SWT sebut mengenai ciri-ciri orang yang bertakwa hingga ayat kelima, iaitu mereka yang percaya kepada yang ghaib, mendirikan solat dan mereka membelanjakan harta (pada jalan kebaikan) yang dianugerahkan kepada mereka, mereka juga beriman kepada kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, mereka begitu yakin akan adanya hari (kehidupan) akhirat.

Itulah tanda dan ciri orang-orang yang bertakwa kepada Allah yang sepatutnya ditadarus, ceramah, motivasi atau dibincangkan dalam forum agama sepanjang bulan Ramadan.

Jika tradisi khatam al-Quran dianjurkan tanpa kesedaran untuk menyelidiki, mengkaji dan berdiskusi, maka ia tidak akan melahirkan orang-orang yang bertakwa. Sebab itu apabila Ramadan melabuhkan tirainya sepanjang 30 hari, masih ada meneruskan program maksiat seperti rancangan hiburan keterlaluan, akan ada lagi Akademi Fantasia musim keenam dan sebagainya, kerana keyakinan wujudnya kehidupan di akhirat gagal diterjemahkan dalam realiti hidup manusia.

Malah berakhirnya Ramadan, pada malam hari raya mereka telah memperlihatkan jahiliah mereka dengan penyediaan program-program yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan pahala puasa, pahala baca al-Quran, pahala Tarawih, pahala sedekah, pahala zakat, pahala pergi ke surau atau masjid dan sebagainya.

Maka terserahlah kepada kita untuk menentukan kedudukan diri bagi menghadapi segala kemungkinan, kerana kematian yang akan menemui kita tidak mengenal batas usia seseorang, yang muda pun mati disebabkan jenayah yang berlaku akibat tidak mendaulatkan peraturan, undang-undang serta hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Thursday, October 04, 2007

Keputusan pilihan raya kampus 2007/2008

Oleh: Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) - Pilihan raya kampus 2007/2008 telah menjadi sejarah walaupun terdapat satu episod lagi yang masih belum berakhir di Universiti Malaya.
Kumpulan Aspirasi nyata menguasai sebahagian besar IPTA namun tewas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan majoriti lapan kerusi.

Manakala promahasiswa di Universiti Putra Malaysia hanya mampu menambahkan satu kerusi berbanding prestasi mereka tahun lepas menjadikannya tujuh daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Pro mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia pula terpaksa berpuas hati dengan hanya empat kerusi yang diperolehi dari Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan berbanding 34 kerusi yang dipertandingkan.

Meskipun begitu, mereka meluahkan rasa tidak senang terhadap peraturan yang tidak membenarkan calon dan agen tempat pengiraan undi calon untuk masuk memantau ke pusat penjumlahan undi.

Kampus utara, Universiti Sains Malaysia pula menyaksikan Aspirasi berjaya mengalahkan promahasiswa dengan majoriti 29 kerusi.

Mereka juga menang selesa di Universiti Perguruan Sultan Idris meskipun terdapat perpecahan kumpulan Aspirasi.

Sementara itu, keputusan yang dinanti-nanti tentunya UM yang akan diketahui selepas pengundian semula dijalankan esok.

Baca selanjutnya...

Monday, October 01, 2007

Karnival Ibadah




Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner