Thursday, November 23, 2006

Rahsia khusyuk dalam solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimankah caranya tuan solat?” Hatim berkata : “Apabila masuk waktu bersolat saya berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”
Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air. Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-

1. Bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian saya pergi ke masjid. saya kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. saya berdiri dengan penuh kewaspadaan dan saya bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan saya mula bayangkan pula bahawa saya seolah-olah berdiri di atas titian “Sirratul Mustaqim” dan saya menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian saya ruku’ dan sujud dengan tawadhu’, saya bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya solat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner