Thursday, December 15, 2005

Novel ?!

Assalamualaikum.....
hurm... dah lama takde artikel baru kan? So,ana mintak maaf sangat²..... masa untuk online dan bahan rujukan terhad sangat.... Anyway, disebabkan trend remaja sekarang ni yg suka membaca bahan bacaan berbentuk novel dan cerpen, ana nak promote novel kat sebelah ni yang berjudul Maafkanlah Aku karya Zaharah Muhammad kepada sesiapa yang berminat... Terima kasih kepada sahabat yang telah mencadangkan novel ini kepada ana. Actually ada satu lagi novel untuk tatapan antum² skalian yang sudi ke blog yang tak seberapa ni... insyaAllah ana akan terbitkan secara bersiri tak lama lagi... Semoga bermanfaat untuk semua.... Wallahua'lam...

Baca selanjutnya...

Maafkanlah Aku [preview 2]

Ya Allah! Bila aku lihat insan berbahagia di sisi cinta,bersama kekasih mereka… aku juga ingin bahagia. Tapi aku amat pasti lagi yakin bahawa tiada Kekasih yang lebih membahagiakan selain daripadaMu… malah aku teramat pasti bahawa tiada kebahagiaan bagiku di sisi manusia melainkan dengan rahmat dan redha kasihMu ya Tuhanku…

Lalu aku menantiMu di setiap terbit fajar kehidupanku sehingga menjelang senja. Mahu mencari dan mengharap agar Engkau kurniakan cintaku kepadaMu. Aku menunggu ya Tuhanku. Meskipun berkali aku berpaling untuk melupakanMu, namun sesungguhnya memang aku tidak berdaya membuang Engkau dari hatiku… sesungguhnya aku tidak berjaya untuk bahagia tanpaMu, tanpa mengingatiMu. Aku tidak mampu melakukan segala-galanya tanpaMu.

Lalu dalam nafas yang semakin perlahan, dalam arah yang semakin kabur, dari langkah yang semakin jauh, aku memohon lagi kehadratMu… berilah aku hati yang baru kiranya hatiku yang Engkau kurniakan semalam telah musnah menjadi hitam, telah hancur bersama dosa semalam… kerana aku mahu pulang. Aku mahu kembali untuk bertemu denganMu, dengan cinta yang utuh, dalam rindu yang tertangguh, dalam pertemuan yang mulia untuk meraih kasihMu…

Ya Allah! Aku terlalu mencinta hambaMu… kerana itulah aku berasa takut untuk menjadi miliknya. Aku takut sekiranya memiliki sesuatu yang aku cintai di antara apa yang ada di dunia ini, akan menjadi hijab antara kita. Antara kasihku kepadaMu. Aku benar-benar takut. Aku takut, hidup bergembira dan berbahagia di sisinya lebih daripada kegembiraan dan kebahagiaan yang aku rasa bila bersamaMu. Aku tidak mahu merinduinya hingga aku tidak dapat berbuat apa-apa sedangkan denganMu aku tidak pula begitu. Aku tidak mahu nanti aku bergantung kasih kepadanya melebihi hatiku bergantung kasih dan harap kepadaMu. Tidak pernah aku rasakan hatiku begitu hebat bergoncang seperti mana aku merasakannya kepada hambaMu. Apalah ertinya semua yang ada padaku ini kiranya ia melebihi daripada apa yang aku rasakan kepadaMu. Bukankah itu menunjukkan aku ini jauh daripada rahmatMu…

Ampunkan aku ya Allah, ya Hannan, ya Mannan! Berikanlah aku kekuatan dan hidayah untuk mengharungi semua ini. Apalah ertinya aku hidup untuk mengasihi makhlukMu melebihi daripada aku mencintaiMu. Peliharalah diriku daripada terjerumus ke lembah itu, lembah yang menjauhkan kita, yang menjarakkan diriku daripadaMu. Kerana bukan senang untuk memupuk cinta kepadaMu….bukan mudah untuk meletakkan cintaMu di hatiku yang sudah rosak dan hitam ini. Lindungilah aku ya Allah. Lindungilah hambaMu yang tidak berdaya ini…
Aminn…

p/s : Petikan diambil dari novel Maafkanlah Aku

Baca selanjutnya...

Maafkanlah Aku [preview 1]

Ya Allah! Kubuka lembaran catatanku ini dalam perjalanan mencari cinta kepadaMu.
Telah kudaki puncak derita sengsara tatkala Kau tiada di hatiku.
Telah kujatuh tersungkur ke lembah hina bila hatiku jauh dariMu.
Telah kuterapung di langit kecewa bila hilang namaMu dari jiwaku.
Ya Allah! Maka sehinanya sifat kehambaanku ini….
Restuilah perjalananku ini dalam mencari cintaMu.
Dalam meraih cintaMu. Agar tidak sesat berliku diriku ini di penjuru waktu.
Ya Allah! Tiada serinya hidupku ini meskipun melimpah kasih insan sedang tiada pula kasihMu di hatiku.
Andai tiada juga kasihku untukMu di hatiku maka restuilah perjalanan batinku ini…
di dalam mencari jalan untuk pulang kepadaMu
dengan cinta yang suci…

p/s: petikan diambil dari novel Maafkanlah Aku...

Baca selanjutnya...

Maafkanlah Aku [preview 1]

Ya Allah! Kubuka lembaran catatanku ini dalam perjalanan mencari cinta kepadaMu.
Telah kudaki puncak derita sengsara tatkala Kau tiada di hatiku.
Telah kujatuh tersungkur ke lembah hina bila hatiku jauh dariMu.
Telah kuterapung di langit kecewa bila hilang namaMu dari jiwaku.
Ya Allah! Maka sehinanya sifat kehambaanku ini….
Restuilah perjalananku ini dalam mencari cintaMu.
Dalam meraih cintaMu. Agar tidak sesat berliku diriku ini di penjuru waktu.
Ya Allah! Tiada serinya hidupku ini meskipun melimpah kasih insan sedang tiada pula kasihMu di hatiku.
Andai tiada juga kasihku untukMu di hatiku maka restuilah perjalanan batinku ini…
di dalam mencari jalan untuk pulang kepadaMu
dengan cinta yang suci…
p/s: petikan diambil dari novel Maafkanlah Aku...

Baca selanjutnya...

Tuesday, September 27, 2005

Dari HAWA

LELAKI....

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang benar-benar sibuk dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau diketahui dunia ini hanya penuh tipu daya

Keberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Sentiasa mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri sendiri

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam dijiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat keakhirat sana
Yang ada hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidupnya lebih berat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang sentiasa bergelumang dengan majlis ilmu yang bermanfaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu yang berkat
Yang ada kini hanyalah berbangga dengan ijazah yang ada
Tapi ilmu fardhu ainnya kosong belaka

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang suka berbincang tentang ilmu akhirat
Syahid yang sentiasa menjadi matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung syariat
Yang ada cuma menghidupkan sunnah barat
Dan melupakan kehidupan akhirat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Sentiasa bertafakkur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Namun kutetap berfikir..
pasti masih ada lagi
Lelaki diakhir zaman ini
Seperti yang kufikir..

Baca selanjutnya...

Monday, June 20, 2005

Antara Fakta & Realiti : Khas buat renungan rakan-rakan seperjuangan seagama

  • Pada tahun 2003 sahaja, Malaysia mempunyai 7000 penghidap HIV atau Aids dengan purata 18 orang penghidap baru setiap hari. Satu angka yang jauh lebih tinggi daripada penghidap HIV atau Aids di Australia iaitu sekitar 800 orang pada tahun yang sama. ( Kementerian Kesihatan Malaysia )
  • Pada akhir 2004, didapati rakyat Malaysia mula melakukan hubungan seks secara purata pada umur 19.3 tahun. ( Kementerian Kesihatan Malaysia )
  • Dari tahun 1999 hingga Jun 2004, seramai 70,340 orang anak luar nikah telah direkodkan di negara ini dan 38,000 daripadanya adalah Melayu ( Jabatan Pendaftaran Negara )
  • 26.5 peratus daripada peminum arak di negara ini adalah orang Melayu. ( Malaysian Survey Research (MSR) )

Baca selanjutnya...

Sunday, June 19, 2005

“ Mama, salahkah aku menyintainya? ”

“ Mama, salahkah aku menyintainya? ”

Aku terkedu apabila soalan itu keluar dari mulut mongel itu lalu singgah di telingaku beberapa tahun lalu. Ya, aku baru sedar bahawa puteriku sudah remaja, sudah mengenali alam percintaan. Namun apa boleh ku buat, dia telah jatuh cinta! Apakah yang bakal ku ‘bual’kan kepadanya tentang cinta? Aku mencongak kata-kata yang bakal ku susun, agar dia tidak akan lari dari aku. Aku bertekad untuk menjadi ibu yang mendengar. Jika aku gagal, aku akan kehilangannya buat selama-lamanya.

Apakah cinta itu sebenarnya? Bagaimana Islam memandang cinta? Bagaimana pula jika cinta telah menghampiri kita?

Cinta atau mahabbah asalnya bermakna bening dan bersih. Boleh diertikan juga air yang melimpah ruah selepas hujan turun dengan lebatnya. Oleh itu boleh disimpulkan al Mahabbah sebagai luapan hati dan gelojak rindu ketika diselubungi keinginan untuk bertemu dengan kekasih.
Cinta boleh membawa sengsara namun boleh juga membawa bahagia. Ianya bergantung kepada bagaimana kita mengurus cinta itu. Islam memandang cinta terhadap berlainan jenis dalam 3 perspektif :

1. Menyintainya kerana Allah (mendekatkan diri pada Allah dan mentaatiNya). Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya cinta suami isteri yang bernikah untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga bernikah kerana mengikuti sunnah Rasulullah menyambung generasi pejuang.

2. Cinta yang mendatangkan murka Allah. Lebih kita kenali sebagai cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan kita dari Allah, membuat kita lupa akanNya dan mendorong untuk melanggar syariatNya. Firman Allah yang bermaksud “Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sesembahan selain Allah, mereka mencintai sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat cintanya pada Allah. Dan Allah tidak akan menunjuki orang-orang fasik.” ( al-Baqarah :65)

3. Cinta yang mubah (harus), adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya ‘cinta pandang pertama’ yang tidak sampai kita membuat maksiat kepada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Jadi bagaimana kita menanggapi dan mengurus perasaan cinta yang menghampiri kita?

Mana mampu kita hendak menolak cinta yang datangnya tanpa diundang. Memang perasaan cinta tidak boleh ditahan dan dibendung cuma kita hendaklah berlaku jujur dan menyalurkannya mengikut kehendak syariat. Perasaan ‘cinta suci remaja’ memang biasa diucapkan Cuma dalam hal ini syaitan memainkan peranan dalam menggelincirkan kitakepada kemungkaran dan larangan Allah. Memang adat bercinta semuanya mendakwa cinta mereka ikhlas dan suci murni tetapi syaitan memainkan peranannya sehingga tidak kita sedari ia banyak melanggar larangan Allah. Ingatlah bahawa setiap yang haram itu adalah haram walau apa keadaan sekalipun cuma kita yang kadang-kadang cuba ‘menghalalkannya’ dengan membuat pelbagai alasan, itu dan ini. Di sisi Allah ia adalah satu dosa dan setiap dosa layaknya adalah neraka.

Apa kata kita lihat hadis Rasulullah ini dalam sunah Ibni Majah : “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah”

Apa? Nikah?!!, Tidak mungkin... sekolah pun belum habis, bagaimana nak bernikah?

Marilah kita lihat apa yang dikatakan pencipta kita : “Janganlah kalian dekati zina...” (al Isra’:32)

“ Ah, terlalu ekstrim! Takkanlah bercinta dianggap mendekati zina?” Tapi bukankah kita pernah dengar sabda Rasulullah: “Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita… Tidaklah bersendirian diri dengan seorang wanita kecuali ketiganya syaitan…” (HR Tabrani). “ Kedua tangan juga dapat berzina dan zinanya adalah menyentuh dan kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju tempat maksiat) dan mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman” (HR. Muslim dan Abu Daud)

Anakku, kamu seorang remaja Muslim yang baik, tidak akan berdalih lagi untuk mengelak dari perkataan Allah dan RasulNya. Mampukah anakku tidak berdalih lagi? Umpamanya kerana kasihan, kerana ingin mendakwahinya, kerana boleh menasihatinya, kerana mencari rakan diskusi intelek, dan sebagainya.

Jadi mama, apa penyelesaiannya?

Bagi anakku yang sudah jatuh cinta, rasakan cintamu dalam hati, berusahalah untuk melupakannya buat sementara waktu dan sibukkan diri dengan sesuatu yang bermanfaat. Tahanlah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama seperti mengelamun, berangan-angan dan membayangkan wajahnya yang tampan dan menggoda. Bersabarlah menghadapi ujian cinta ini. Jagalah batas batas pergaulan. Peliharalah kehormatan diri. Jangan biarkan cinta yang mubah ini menjadi cinta yang salah. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan kamu jika dia paling sesuai untukmu, agamamu dan keluargamu. Apabila tiba masanya nanti, apabila jodohmu ada insyaAllah kamu akan ditemukan dalam hubungan yang diredhai Allah.

Pun begitu perhatikanlah juga perkara-perkara di bawah ini agar hatimu tidak mudah menjadi rawan :

1. Tundukkan pandanganmu dari perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu. Ataupun janganlah merenung kaum berlawanan jenis (an Nur:30-31)

2. Hindari berdua-duaan dan ikhtilat (campur gaul tanpa batasan). Elakkan berinteraksi dengan bukan mahram dengan perkara-perkara kurang penting yang melalaikan.

3. Hindari dari menonton filem atau drama atau cerita cinta yang mengasyikkan dan mengghairahkan nafsu.

4. Hindari bacaan/novel yang menghanyutkan hati kita lantas tergoda dengan perangkap cinta palsu.

5. Hindari lagu-lagu cinta kerana boleh melemahkan hati dan memendekkan cita-cita.

6. Sibukkan dengan mengaji dan berzikir. Bergaullah dengan kawan-kawan yang baik kerana kadang-kadang hati kita kalah kepada ‘cinta’ ini kerana kebodohan kita terhadap ilmu agama dan lemahnya iman kita.

7. Apabila kita telah mempunyai seorang ‘teman akrab’, cukuplah kiranya kita fahami maksud firman Allah “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata “Aduhai kiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku. Kiranya aku dulu tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku (kekasihku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku al-Quran ketika al-Quran telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia” (al-Furqan”27-29). Maka janganlah kita menyesal dikemudian hari kerana terlanjur mengambil seorang ‘teman akrab’ yang kononnya menyintai kita.

8. Puasalah untuk meredam perasaan nafsu dan rindu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempatnya” (an-Naziat:40-41).

9. Bernikah sahajalah jika sudah benar-benar mampu dari segi fizikal, kewangan, emosi dan intelekmu.

Aduhai mama, susahnya!

Boleh jika kamu mahu, jangan bersedih. Syurga itu kan lebih indah. Dalam sabda Rasulullah juga bersabda bahwa jika kita meninggalkan sesuatu yang disukai manusia tapi dibenci Allah maka Allah akan mencukupkan diri kita dari sesuatu yang kita perlukan.

Alangkah baiknya Allah, sanggupkah kita mengkhianatiNya? Bukankah Dia yang telah mencipta dan memelihara kita selama ini? Tidakkah Dia lebih baik dan sesuai, maka pantas untuk dicintai? Rasulullah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga ia lebih mencintai Allah daripada mencintai anaknya, orang tuanya dan semua manusia”

Siapakah yang dapat menolong kita di hari akhir nanti? Kekasih kita kah? Tentu tidak. Oleh kerana itu tetaplah tersenyum dan berlapang dada dalam menghadapi cinta ini. InsyaAllah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, kekasih yang suci dan soleh/solehah yang bergelar suami/isteri, di dunia dan syurga di akhirat nanti, insyaAllah.

Namun anakku, jika kamu dan kekasihmu sudah tidak boleh dipisahkan lagi, cintamu sudah terlalu mencengkam kalbu, tidurmu sudah tidak lena lagi, makanmu sudah tidak lagi kenyang, mandimu sudah tidak lagi basah, mama relakan perkahwinanmu. Mama akan aturkan pernikahanmu secepat mungkin, demi menjaga kesucian syariat dan memelihara satu rantaian zuriat masa depan yang bersih,suci dan soleh sepanjang generasi zaman. InsyaAllah...

(Sumber : Majalah Perspektif(JIM) Jan/Feb 2005)

Baca selanjutnya...

Kita merancang, Dia tentukan…

Suami/isteri yang kuimpi
Adalah yang mempunyai budi pekerti
Hidupnya adalah hanya untuk Ilahi
Kata bicaranya datang dari nurani
Ikhlas, benar dan suci
Yang boleh mendamaikan hati
Sewaktu ujian dan dugaan silih berganti
Namun dia masih mampu berdiri

Suami/isteri yang kuinginkan
Adalah yang hidupnya kesederhanaan
Namun dia punya keimanan
Bagi menghadapi sebarang cubaan
Berbekalkan tingginya ketaqwaan
Pengharapan dan kepasrahan pada tuhan

Suami/isteri yang kuimpikan
Adalah yang dapat menunjukkan jalan
Sewaktu aku tersasar kesesatan
Yang dapat menghampirkan aku pada tuhan
Tatkala aku kejauhan
Dilambai ulit keduniaan

Suami/isteri yang kuharapkan
Yang tahu tanggungjawabnya
Bersama sikap kasih sayang
Yang boleh menyejukkan tatkala kepanasan
Sentiasa tunduk ketaatan
Sujud dan rukuk walau kesejukkan
Pada kegelapan malam yang kedinginan

Suami/isteri yang kudoakan
Nilai maruahnya tiada tandingan
Zikirnya bagai nyanyian
Doanya adalah hiburan
Bicaranya lambang keikhlasan
Senyumnya pengubat kedukaan
Dan air matanya tanda sebuah kecintaan
Bersalut kerinduan dan keredhaan tuhan
Bagi aku insan yang mengharapkan.

-HambaMu yang lemah-

Baca selanjutnya...

Warkah Adam untuk HAWA

Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar islam, engkau dizalimi,
hak mu dicerobohi, engkau ditanam hidup-hidup,
tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam,
engkau hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka.
Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam bila sinar islam berkembang,
darjat mu diangkat, maruah mu terpelihara, engkau dihargai dan di pandang mulia,
dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah.

Wahai Hawa,
Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan Islam itu?
Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya,
kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya?

Wahai Hawa,
Tangan yang mengoncang buaian bisa mengoncang dunia,
sedarlah hawa kau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah, kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia.
Tapi hawa jangan sesekali kau cuba mengoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu,
dengan ayu wajahmu, dengan lenggok tubuhmu.
Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu.
Jangan Hawa , jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu.
Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu,
kerna aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah.
Tetapi memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan,
alat yang dieksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu,
andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu,
andai engkau seorang ibu didiklah anakmu
sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu,
ingatlah hawa janji tuhan kita ,
wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.
Jangan mengadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki,
jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk
menarik perhatian dan memikat kaum lelaki,
kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang nafsunya.
Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim
kerana aku khuatir dari mata turun ke hati,
dari senyuman membawa ke salam,
dari salam cenderung kepada pertemuan
dan dari pertemuan…..takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa,
lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya ,
lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, k
emanjaannya ,serta kemampuannya mengoncang iman mereka.
Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya,
peribadinya, dan ad-dinnya.
Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya
kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya.
Lelaki yang warak juga tidak akan bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu ,jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu.
Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu,
cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu,
biarlah hanya cinta kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu,
cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah kedua orang tua mu kerana kau akan beroleh keredhaan Allah
Cintailah rasul kita, Muhammad SAW dengan mengamalkan sunnah dan pengajarannya
Cintailah Allah kerana cintanya hakiki lagi abadi

Hawa ,
Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang mengoncang buaian ini
bisa mengoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi.
Jangan sesekali tangan ini juga yang mengoncang keimanan kaum Adam,
kerana aku sukar menerimanya …
dan aku benci mendengarnya…

Baca selanjutnya...

Sunday, June 12, 2005

JANGAN HAMPIRI ZINA

JANGAN HAMPIRI ZINA
Oleh : Ust. Shopuan Anuar Ahmad
shopuan@kmk.matrik.edu.my
HAK CIPTA TAK TERPELIHARA
TOLONG SEBARKAN

Kami tidak berzina!
Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum … Adakah itu menghampiri zina?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu.
Hari ini, ya. Besok belum tentu,mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipudayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalamannya banyak. Ia ada lebih 1001 cara. Ingat, pesanan Rasulullah: Janganlah engkau bersendirian dengan dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (Tabrani) Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya Iblis.

Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada perzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!
Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis, akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegang, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ketempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atid?

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.
Study Group!? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja. Kemana-manapun berdua. Kalau ye pun, carilah ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni,betul ke bincang pelajaran?Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu… banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Sudah habiskah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sens of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri / nafsu.

Tentu ada cinta secara Islam?
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa "sesuatu" sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah: Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri kepada perzinaan?
Ya. Kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam…Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan perzinaan? Penghujung jalan cinta adalah perzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah perzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!
Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

Jadi manusia itu tak tahan diuji?
Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa jangan makan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampir pokok khuldi itu. Firman Allah yang bermaksud:
Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim. (al-A'araf: 19)

Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan kearah perzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan perzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin.
Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dengan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang. penyabar,sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit.

Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti.
Bagaimana diharap kebahagian jika tidak mendapat redha Allah. Kebahagian adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagian bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahnya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagian itu, jika jalan mencapai kebahagian itu tidak diredhai Allah. Kebahagian hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? ganti bercinta..
Semua itu adalah perangkap Iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak belainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya "angkat" ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.

Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.
Apakah orang yang bercinta tidak bermaruah?

Antara kemulian manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadai maruahnya keranan mereka memenghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwain dengan orang yang beriman. Allah berfirman:
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melaikan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik . Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
(Surah al-Nur: 3).
Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan?

Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik ( an-Nur:26 )

Kami telah berjanji sehidup semati
Apa ada pada janji cinta. Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah. Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggung jawab.
Tahukah hati budi lelaki secara umumnya? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok suka dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Setengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah kehulu, kehilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah:
Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) … Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab: 35)
Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha?
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:
1. Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredai Allah ini.
2. Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3. Berazam. Bertekat didalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab Kabul.

Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau maha pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa ku curahkan kasih itu kepada orang lain. Oh tuhan, hambamu berdosa……
Amin, Ya Rabb.

Moga Allah terima taubat mu. Mereka berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh, tidak kemana! Ya Allah bantulah mereka. Kini mereka datang kepintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka.

Coretan Kisah Benar:
Suatu petang ada seorang remaja perempuan datang berjumpa saya tanpa temujanji. Pakaiannya amat sopan, bertudung labuh dan wajahnya putih bersih. Dia bertanya berbagai-bagai persoalan agama. Saya menjawab sekadar yang saya tahu. Dia bertanya: Apa hukum anak zina. Saya katakan: Anak zina tidak bersalah apa-apa. Yang bersalah ibu bapanya. Anak zina tidak menanggung apa-apa dosa. Dia bertanya lagi: Apakah hubungan anak zina dengan bapanya. Saya katakan: Islam tidak mengiktiraf hubungan darah antara anak zina dengan bapanya. Bahkan bapa itu boleh berkahwin dengan anak zinanya. Remaja itu terus bertanya: Kalau begitu anak zina itu bukan muhrim?. Saya menjawab: Ya. Anak itu tidak boleh mendedahkan auratnya kepada bapa (zina) walaupun di dalam rumah, tidak boleh bersalaman apatah lagi mengucup tangannya…

Tiba-tiba remaja itu tunduk dan kemudian menangis semahu-mahunya. Sesiapa yang melihat pasti akan turut menangis bersamanya. Dengan sedikit kekuatan yang ada, dia mengangkatkan kepalanya: Saya adalah anak zina..

Saya cuba tenangkan perasaannya. Adakah kamu pasti? Dia menjawab: Ya. Saya dengar dari sebelah bilik, mak cik bertengkar dengan mak dan ayah. Dalam keadaan marah, mak cik berkata, kamu jangan nak tunjuk baik, warak,.. kak long tu (dirinya) adalah anak zina… Apabila saya mendengar kalimah itu, saya rasakan dunia ini gelap gulita. Saya menangis semahu-mahunya. Mengapa ayah dan mak lakukan begitu.

Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya. Saya masih hidup. Sudah kering air mata. Saya tidak dapat mengubah sejarah. Ayah dan ibu yang saya kenali , adalah orang yang baik., tidak pernah mengabaikan solat dan puasa, bahkan mereka berdua amat penyayang, ambil berat pendidikan agama anak-anak. Saya tidak percaya mereka pernah terlanjur. Tapi ini adalah hakikatnya… Dia terus menangis dan menangis. Air mata belum dapat menggambarkan luka hatinya….

Ambillah iktibar. Janganlah menjadi ibu atau bapa kepada anak zina. Kasihanilah zuriat kita. Janganlah anak yang tidak berdosa menanggung keaiban ibu bapa mereka. Mereka tidak mahu dilahirkan sebagai anak zina. Oleh itu, jangan hampiri zina. Ingatlah firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. (al-Isra': 32)

Baca selanjutnya...

Thursday, May 19, 2005

Warkah Untuk ADAM dari Hawa...

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,
sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman,
itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya.
Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku
nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah
yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku,
bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku.
Tapi.....aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.
Namun.....terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam,
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan
kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita.
Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku,
memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini,
aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan.
Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku.
Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut. Tapi......realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam..... mengapa kau biarkan aku begini?
Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu.Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu.
Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara,
aku ke hutan memikul senjata.
Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja.
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba,
kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara.
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam.....
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong,
maka Adam yang patut tanggung!
Kenapa? Mengapa begitu ADAM?
Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak bapak tak pandai didik,
jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar!
Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata,
tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini

Adam,
seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku
sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka?
Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam....
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu,
aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu.
Aku...akalku satu nafsuku beribu!
Dari itu Adam,pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa dan lalai,
sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah,
perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku.
Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam,
Andainya aku masih lalai dengan karenahmu sendiri,
masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar,
maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah.
Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri
dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu.......

Petikan: Warkah Dakwah 1986

Baca selanjutnya...

Thursday, May 12, 2005

Mengubah Budaya Cinta Sebelum Kahwin

Bukan mudah hendak mengubah persepsi kita tentang bercinta. Sekian lama kita membentuk satu tanggapan dalam fikiran bahawa cinta adalah pra-syarat perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu mesti didahului oleh hubungan cinta. Ada dating, hubungan telefon dan lain-lain.
Bila dikatakan ada keindahan cinta selepas perkahwinan, kita menganggap janggal kerana ia berbeza dari persepsi kita tentang cinta. Oleh itu bermacam-macam persoalan timbul. Bolehkah bahagia bila berkahwin tidak didahului hubungan cinta? Bolehkah serasi? Dan bermacam persoalan lagi.
Mungkin kerana itulah agaknya ramai yang menganggap kehangatan cinta akan mendingin selepas berkahwin lalu mereka ingin menikmati kehangatan itu sepuas-puasnya sebelum perkahwinan. Dan ada yang mengambil masa yang cukup panjang untuk bercinta sebelum perkahwinan, kononnya mencari keserasian agar cinta terus berkekalan setelah perkahwinan.

Cinta Sebelum Perkahwinan

Bercinta sebelum kahwin mempunyai berbagai risiko yang bukan sekadar zina mata dan hati malah zina yang lebih besar yang boleh mengganggu jiwa sebab cinta sebelum kahwin ini adalah bersalut nafsu dan syaitan. Dalam keadaan sebegini bagaimana mungkin kita memiliki khusyuk di dalam solat kalau diri diselaputi iblis dan syaitan?? Apabila hati kita diisi oleh cinta manusia dan nafsu, tiada tempat untuk cinta Allah. Oleh yang demikian Islam amat menekankan kawalan terhadap hati agar tidak mudah terpesong meletakan neraca perasaan cinta kepada yang bukan hak melalui amalan seperti doa dan sebagainya.
Antara doa yang patut diamalkan : " Ya Allah, Kurniailah aku cinta- Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu dan jadikan cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku cintai daripada air yang sejuk"
Doa ini wajar diamalkan supaya kita faham erti cinta yang menjadikan kita cinta kepada Allah atau menjadikan cinta kepada orang yang hampir dengan Allah. Jika seseorang itu cinta kepada manusia, ia mestilah cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah.
Oleh itu jika kita sudah "fall in love", pastikan apakah cinta itu kerana Allah atau kerana nafsu. Kalau cinta itu kerana Allah, kita akan bertambah khusyuk di dalam solat dan bertambah ibadah. Tetapi kalau cinta itu semakin menambahkan maksiat, bermakna cinta itu didorong oleh nafsu.Namun begitu adakala cinta itu datang tanpa dipinta. Atau dalam erti kata yang lain "cinta pandang pertama" yang sememangnya tidak diundang yang boleh menganggu minda dan imaginasi.
Dalam keadaan yang sedemikian kita amat digalakkan untuk mengamalkan doa tadi. Kedua, mengerjakan solat Istikharah dan berdoa :
" Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah dia isteri (atau suami) ku. Kalau tidak baik, Ya Allah, jauhilah diriku darinya".
If you love someone mintalah kepada Allah yang mencipta diri kita. Ini kerana orang yang kita cintai itu juga adalah makhluk Allah. Allah berhak untuk menjadikan makhlukNya suka atau tidak. Silap kebanyakkan kita sekarang ini, terus direct kepada empunya diri.
Persoalan yang penting sekarang ialah apakah yang diperolehi oleh mereka yang bercinta sebelum kahwin apabila mereka sudah saling mengetahui segala perkara mengenai diri masing-masing? Sudah tidak ada nikmat selepas kahwin. Apatah lagi kalau sudah terlanjur, kemudian kahwin pula dengan orang lain dan ternyata suami itu cinta kepadanya. Individu tersebut akan menyesal kerana `she got nothing to offer` kepada suami yang betul-betul mencintainya. Ini akan melahirkan perasaan dendam dan bersalah. Jadi eloklah dijagai perhubungan kita.

Cinta Selepas Perkahwinan

Bercinta selepas kahwin adalah merupakan sunnah Rasul. Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai yang berkahwin atas pilihan ibubapa dan perkahwinan itu ternyata berjaya.
Para ibubapa ketika itu memilih calon menantu mereka berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad s. a. w melalui sabdanya : " Dikahwini wanita itu atas empat perkara : harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan". (mafhum hadis)
Bukan itu sahaja, malah trend masyarakat ketika itu juga sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi. Jadi perkahwinan melalui orang perantaraan (match maker) yang dipercayai kesolehannya juga mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.
Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang boleh dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang dibolehkan melihat calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang pekerjaan, peribadi dan lain- lain latar belakang calon. Ini semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan maklumat tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan.
Tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Marilah kita dekatkan semula keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta cinta. Rumahtangga pasti berseri apabila suami isteri sama-sama cintakan Ilahi. Jauhilah asmaraloka sebelum perkahwinan !

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner