Friday, January 26, 2007

C.O.U.P.L.E.

Ber’couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. ada yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber’couple’.

Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.

Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber’couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.

Mengapa Ber’couple’ Haram?

Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber’couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Ada yang berkata, Allah telah menjadikan makhluk-Nya berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan, mengapa tidak boleh bercinta atau ber’couple’? Memang tidak dinafikan,dalam Al-Quran Allah ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin(36) ayat 36:
“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” Dan juga firman-Nya dalam Surah Al-Hujrat(49) ayat 13:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Meskipun begitu, ayat-ayat ini tidak menjelaskan yang kita boleh mengadakan hubungan percintaan dan berkasih kasihan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah;
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surah An-Nur(24) ayat 30.
Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman;
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...” Surah An-Nur(24) ayat 31.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,
"Kami tidak berzina. Kami berbual-bual saja” , “Kami keluar makan saja” dan “Kami main SMS saja.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca, sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘...walaa taqrobuu...’ (...dan jangan hampiri...) dan bukannya kalimah ‘...walaa ta`maluu...’ (...dan jangan melakukan...). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”* Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya’ “Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”**
(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281. **Sahih Muslim, hadis ke 2282)

Daripada dua hadis ini, jelas rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantikannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.

Apa Yang Patut Dilakukan?

Bagi yang belum terjebak, adalah dinasihatkan jangan sekali-kali menjerumuskan diri ke lembah percintaan. Susah untuk meninggalkan suatu perbuatan maksiat seperti ini setelah merasai kenikmatannya. Silap-silap boleh terlanjur dan langsung tidak dapat meninggalkannya lagi. Bagi yang sudah terjebak, sedang, ataupun yang mula berjinak-jinak dengan percintaan, sedarlah. Segeralah kita meninggalkan perbuatan maksiat yang tidak diredhai lagi dimurkai Allah ini. Tiada gunanya kita terus melakukan dosa demi meneruskan hubungan terlarang ini demi mendapatkan kebahagiaan duniawi yang sementara ini. Hanya satu jalan sahaja yang menghalalkannya iaitu melalui ikatan pernikahan.

Bagi pasangan-pasangan yang benar-benar serius, diingatkan, semakin manis hubungan sebelum berkahwin, semakin tawar hubungan selepas menjadi suami isteri nanti. Lihatlah ibu-bapa serta atuk nenek kita, keutuhan rumah tangga mereka boleh dilihat sehingga kini tanpa melalui zaman percintaan yang diimpikan remaja-remaja kini.

Setiap dari kita tentu mengidamkan pasangan hidup yang baik. Kita tidak mahu pasangan kita seorang yang tidak beriman. Seburuk-buruk perangai manusia, dia tetap menginginkan seseorang yang bain sebagai teman hidupnya. Firman Allah;
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” Surah An-Nuur(24) ayat 26. Janji Allah, dia akan mengurniakan kepada lelaki yang baik-baik dengan perempuan yang baik-baik. Begitulah sebaliknya. Allah akan berikan yang baik, dengan syarat, kita juga berusaha menjadi baik serta meilih jalan yang baik serta diredhai-Nya.

Bagaimana hendak mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia serta diredhai Allah jika pokok pangkal permulaannya sudah pincang, tidak berlandaskan Islam serta tidak diredhai Allah? Mungkin pada mulanya kita menganggap perkara yang kita lakukan ini cukup baik, niatnya baik, caranya pun kita rasakan cukup baik.tetapi sebenarnya, ia adalah rencana syaitan yang membuatkan kita kabur memandang perbuatan yang kita lakukan itu. Firman Allah;
“Dan setan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” Surah Al-‘ankabut(29), ayat 38.

Sebenarnya, dalam Islam, lelaki dan perempuan tidak dibenarkan bergaul terlalu rapat, sehingga menjadi teman karib dan sebagainya. Lelaki tidak boleh menghampiri perempuan dan perempuan tidak boleh menghampiri lelaki sesuka hati tanpa sebab. Tetapi Islam membenarkan apabila ada keperluan dan tujuan yang benar-benar perlu. Misalnya apabila ditugaskan mengadakan perbincangan dalam kumpulan besar yang melibatkan lelaki dan perempuan atau perlu berbincang mengenai sesuatu yang penting. Untuk berbual-bual kosong atau bergurau senda tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi untuk saling meluahkan perasaan dan sebagainya. Cukuplah kaum sejenis sendiri untuk dijadikan teman karib dan tempat berbincang masalah.

Perasaan suka dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Tak salah bagi seseorang lelaki untuk menyukai seseorang perempuan dan seseorang perempuan menyukai seorang lelaki. Tapi, perasaan ini tidak boleh dilayan dan difikir-fikirkan kerana ianya merupakan hasutan syaitan yang membawa kepada zina hati. Sepatutnya apabila kita terfikir mengenai perkara-perkara ini, kita hendaklah menepisnya dan berhenti terus daripada memikirkannya. Firman Allah;
“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan setan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-A’raf ayat 201.

Adalah diingatkan, semua hujah-hujah yang telah diberikan adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika kita menolaknya, sebenarnya kita menolak perintah Allah dan Rasul. Na’uzubillah.. Firman Allah dalam Surah Al-Anfal, ayat 20-22;
“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya),(20) dan janganlah kamu menjadi sebagai orang-orang (munafik) yang berkata: "Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.(21) Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar dan tidak memahami kebenaran) yaitu orang-orang yang tidak mengerti.(22).

Orang yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tidak mahu menuruti perintah-perintah Allah. Janganlah kita tergolong dalam golongan ini. Balasan bagi golongan ini ialah neraka jahannam seperti firman Allah dalam Surah Aj-Jaatsiyah(45) ayat 7-11 :
“Kecelakaan yang besarlah bagi tiap-tiap orang yang banyak berdusta lagi banyak berdosa,(7) Dia mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya kemudian dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka beri kabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.(8) Dan apabila dia mengetahui barang sedikit tentang ayat-ayat Kami, maka ayat-ayat itu dijadikan olok-olok. Merekalah yang memperoleh azab yang menghinakan.(9) Di hadapan mereka neraka Jahanam dan tidak akan berguna bagi mereka Sedikit pun apa yang telah mereka kerjakan, dan tidak pula berguna apa yang mereka jadikan sebagai sembahan-sembahan (mereka) dari selain Allah. Dan bagi mereka azab yang besar.(10) Ini (Al Qur'an) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Tuhannya bagi mereka azab yaitu siksaan yang sangat pedih.(11)”

Akhir sekali, ambillah Islam secara syumul,bukan hanya ambil Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. Firman Allah,“ Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasu-rasul-Nya, dan bermaksud memperbedakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: "Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)", serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir),(150) Merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan. (151).
Surah An-Nisaa’(4) ayat 150-151.

Kembalilah ke jalan yang lurus. Tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran, Surah Aj-Jaatsiah(45) ayat 23;
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”

Memang pada mulanya untuk meninggalkan maksiat-maksiat ini amat susah, tetapi,ia masih wajib kita tinggalkan. Ingatlah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 216,
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina. Ia adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah HARAM. Wallahua’lam..

BAGAIMANA BERCINTA SECARA ISLAM ??

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk memebunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.Rasulullah pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin cinta-menyintai ini.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini. Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006, iaitu pada hari Jumaat. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah kali itu agak menarik ; Jodoh.
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan yang cara masyarakat sekarang telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
“Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan yang empunya diri dan terus menyatakan niat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan,” terang beliau.

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau,
“Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah Haram perempuan itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan,” jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh manusia serta diredhai oleh Allah. Inilah percintaan dalam Islam, iaitu selepas perkahwinan. Insya-Allah kalau segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan kita itu.

Untuk kita yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya. Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM. Walau bagaimanapun, untuk golongan pelajar khususnya yang telah terjebak dalam hal ini,' Nikah Khitbah' yang telah dibincang sebelum ini boleh menjadi alternatif penyelesaiannya.

Moga tulisan ini dapat menjadi peringatan untuk ana terutamanya dan juga dapat dikongsi bersama sesiapa saje yang mahukan kebaikan, keberkatan dan keredhaanNya.. Moga diberi kekuatan, bukan hanya dalam perkataan mahupun tulisan tapi juga amal pelaksanaannya... Wallahua'lam.

Baca selanjutnya...

Monday, November 27, 2006

Mencari cinta sejati?

Mencari cinta sejati?.siapakah yang benar-benar mencintai kita?

Bertepuk sebelah tangan sahaja tidak akan berbunyi.
Bercinta dengan yang tidak mencintai, akan menyebabkan seseorang itu kecewa dan merana.

Itulah lumrahnya apabila bercinta dengan manusia.
Sebaliknya bercinta dengan Allah, Tuhan yang Maha Pencinta atau'Al Waduud' itu, cinta kita pasti akan berbalas. Bahkan ia diberi penghargaan dan disambut dengan baik.

Cinta Allah yang Maha Pencinta tidak memilih siapa, rupa, gaya dan bagaimana keadaannya.
CintaNya boleh direbut oleh sesiapa sahaja, asalkan rajin berusaha untuknya.
Cinta yang tidak pernah luput walau sesaat malahan terus berkekalan.
Berbeza dengan manusia yang hanya cinta pada yang disukai dan diminati.
Cintanya pula bermusim dan tidak kekal.
Sewaktu disenangi dicintai, bila jemu atau benci tidak lagi dicintai malah ditinggalkan.

Cinta manusia juga terhad dan ada kepentingan.
Isteri cintakan suami kerana suami tempatnya bergantung.
Ibu mencintai anak kerana anak itulah penghiburnya di kala sunyi.
Kawan menyayangi kawan kerana dapat berkongsi
merasai senang dan susahnya hidup.
Pengikut sayangkan ketua kerana ketua menjadi
penaungnya.

Namun Allah yang Maha Pencipta mencintai hamba-hambanya tanpa ada kepentingan apa-apa.
Allah hanya melebihkan kecintaanNya kepada orang-orang yang mencintaiNya,
sebagai ganjaran buat hambaNya itu..
Allah akan murka kepada orang yang mengingkariNya, yang sombong,
dan memang tidak mahu langsung mencintaiNya.

Cinta Seindah Yang Diucap.
Semua orang boleh mengaku dan berikrar bahawa
dia mencintai Allah.
Tapi tindak-tanduknya dapat mencerminkan
apakah dia benar-benar mencintaiNya.
Dan Allah sendiri lebih tahu siapakah diantara
hamba-hambanya yang benar-benar mencintaiNya.
Orang yang benar-benar mencintai Allah sanggup
berbuat apa sahaja keranaNya.
Kalau terhadap orang yang dikasihi, suami dan
lain-lain diberikan perhatian dan tumpuan,
Sanggup berkorban apa sahaja, pastilah terhadap
Allah lebih-lebih lagi.
Malah sanggup pula bersusah payah bangun
malam untuk bertemu dan bercakap-cakap dengan
kecintaannya.
Sedang orang lain seronok bergaul bebas dengan
kekasih hati, dia bermujahadah
(melawan kehendak nafsu) menolak ajakan
kekasihnya kerana mengutamakan
larangan Allah SWT yang kasihNya lebih utama.

Tanda Cinta.
Tanda seseorang itu mencintai Allah ialah dia
beriman kepada Allah,
bertaqwa, berkorban untukNya dengan melakukan
kebajikan, sabar,
bertaubat,membantu kerja-kerja menegakkan
agama melakukan ibadah yang
fardhu dan rajin mengerjakan ibadah-ibadah sunat.
Dia berkasih sayang dengan sesama manusia dan
saling bersilaturrahim kerana Allah, dengan
menjaga batas-batasnya (),
saling beri-memberi kerana Allah demi
keredhaanNya.
Tidak kerana yang lain.Allah melimpahkan
kecintaanNya dan menempatkan orang-orang yang
dicintaiNya itu pada kedudukan yang tinggi dan
mulia di Akhirat.

Allah isytiharkan cintaNya di dalam Al-Quran
kepada orang yang
sungguh-sungguh beribadah berbuat kebaikan
danberakhlak mulia.
Diantaranya Allah berfirman:

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang
sabar."
( Surah: Ali Imran,Ayat:146.)

"Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat
kebajikan."
( Surah Ali-Imran,Ayat: 134 )

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
bertaubat dan mencintai orang-orang yang
mensucikan diri."
( Surah: Al-Baqarah. Ayat: 222 )

Untungnya Orang Bercinta.
Beruntunglah orang yang bercinta dengan Allah
kerana mendapat
perhatian,cinta dan kasih sayangNya.
Istimewanya orang yang bercinta dengan Allah dan
mendapat balasan cintaNya,
seluruh isi langit dan bumi akan turut mencintainya.
Dia menjadi kekasih Allah manakala orang yang
mencintainya turut mendapat kecintaan daripada
Allah pula.
Orang yang mendapat kecintaan Allah hidup
bahagia dan tenang ketika di dunia lagi.
Di Akhirat Allah akan berikan kebahagian yang
abadi.

Begitulah istimewanya orang yang bercinta dengan
Tuhan yang Maha Pencinta itu.
Kita pasti tidak mahu gagal dalam bercinta.
Agar cinta kita berbalas, bercintalah
denganNya,Tuhan yang Maha
Pencinta itu dengan curahan cinta agung.
Pasti akan mendapat balasan cinta yang istimewa
dariNya.
Usahkan di Akhirat, di dunia lagi, terasa di hati
balasan cintaNya.

Rasulullah pernah bersabda :-
"Cintailah sesuatu itu sekadar saja.
Berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu
pada suatu seketika
Bencilah yang engkau benci itu sekadar saja..
berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu
pada suatu ketika."

Baca selanjutnya...

Saturday, November 25, 2006

KHADIJAH R.A. BERKAHWIN DENGAN RASULULLAH S.A.W. PADA USIA 25 TAHUN???

Dikatakan bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap seolah-olah sebahagian daripada ugama. Ini adalah percubaan untuk membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama-sama dengan seorang wanita tua. Dalam usia lanjut , beliau r.a telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah, sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.
Saidatina Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind. Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam. (Seerat-un-Nabi , Jilid II, m/s 402).

Di sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia agak bertentangan dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun?

Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil kesempatan untuk mencemuh Islam.

Namun begitu, ulama kita sebaliknya menganggap kejadian ini sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w. kerana sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda belia.

Di pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w.

Golongan Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a. ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah.

Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a.

Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun . Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30 tahun , dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’.

Hafiz Ibn Kathir menulis:

“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295)

Dengan lain perkataan, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.

Di tempat lain , Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)

Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. ) adalah salah dan tidak benar sama sekali..

Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin semata-mata.

Apabila kami mengkaji ‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir, barulah kami menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa mengampuni kami, kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham yang besar. Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua kefahaman akan Kebenaran.

Wallahua’lam..

http://www.darulkautsar.com/pemurniansejarah/teks/umreaisyah.htm#KHADIJAH_R.A.

Baca selanjutnya...

CINTA RASULULLAH S.A.W

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"."Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,"tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya (puteri yg. paling Rasulullah sayang -- booklover) itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut bersama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua surga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan

Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan surga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis-shalaati, wamaa malakat aimaanukum – (ertinya) : peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar, pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. "Ummatii, ummatii, ummatiii!" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allaahumma sholli 'alaa Muhammad wa'alaihi wasahbihi wasallim. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Baca selanjutnya...

Karangan 'terbaik' UPSR 2005...




Baca selanjutnya...

Thursday, November 23, 2006

Nak minta tolong sikit boleh tak?

Assalamualaikum sahabatku...
Nak minta tolong sikit boleh tak?

Tolong ingatkan aku
Andai aku terlupakan Tuhan
Dalam kelapangan dan kesibukan
Dalam kesenangan dan kesusahan

Tolong ingatkan aku
Jangan jadi anak derhaka
Mak ayah jangan dilupa
Usah diluka hati dan perasaan mereka

Tolong ingatkan aku
Supaya ingat pesanan guru
Bukan sekadar ingatan
Tapi tarbiyyah berpanjangan

Tolong ingatkan aku
Dengarlah dan bacalah AlQuran
Tika radio penuh hiburan
Tika televisyen penuh Hindustan

Tolong ingatkan aku
Dimana Islamnya zahirku
Jika aurat didedahkan
Disingkat, diketat, dijarangkan

Tolong ingatkan aku
Jadilah sahabat yang baik
Sentiasa memberi peringatan
Sentiasa menerima teguran

Tolong ingatkan aku
Kalau bercinta biar keranaNya
Dalam memilih utamakan iman
Kelak ikatan dihindari syaitan

Tolong ingatkan aku
Hidup ini satu kembara
Kutiplah mutiara dalam perjalanan
Moga di sana menjadi bekalan

Tolong ingatkan aku
Diri ini milik Yang Kuasa
KepadaNya diserahkan jiwa
Segala-galaNya Dialah tumpuan

Tolong ye ingatkan aku...
Terima kasih wassalam..

Baca selanjutnya...

Rahsia khusyuk dalam solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimankah caranya tuan solat?” Hatim berkata : “Apabila masuk waktu bersolat saya berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”
Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air. Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-

1. Bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian saya pergi ke masjid. saya kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. saya berdiri dengan penuh kewaspadaan dan saya bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan saya mula bayangkan pula bahawa saya seolah-olah berdiri di atas titian “Sirratul Mustaqim” dan saya menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian saya berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian saya ruku’ dan sujud dengan tawadhu’, saya bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan saya memberi salam dengan ikhlas. Beginilah saya solat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Baca selanjutnya...

Bisikan Malam

Bila ku didatangi malam
Gelora perasaan mencengkam dijiwa
Masihkah ada lagi
Dayaku menghindar dari kealpaan

Diterjah berbagai persoalan
Dihujani airmata penyesalan
Bisakah terhapus semua
Segala dosa-noda yang bertakhta

Terangi jalan hidupku
Dengan cahaya kasih Mu
Pimpinlah daku dengan hidayah Mu

Tuhanku...
Di malam syahdu ku merayu
Ampunilah segala dosaku yang lalu
Sujud ku mendambakan keredhaan Mu
Tempatkan daku di dalam rahmat Mu

Tuhanku...
Usah Kau biarkan diri ku
Hanyut terleka, di jiwa dunia membelenggu
Dan aku sesungguhnya pasrah pada Mu
Hidup matiku hanyalah untuk Mu

Ya Allah tunjukkan jalan kebenaran
Suburkan jiwa ku dengan keimanan
Hanya pada Mu Oh Tuhan
Ku sandarkan harapan

Baca selanjutnya...

Bangkitlah Wahai pemuda pemudi Islam

Wahai pemuda pemudi Islam,
Bangkitlah dari tidurmu,
Sedarlah dari mimpi yang
menghanyutkan,
Bersiaplah kerana ada cabaran hebat
akan mendatang

Ketahuilah,
Dunia sekarang mengharapkanmu,
Islam meletakkan padamu satu amanah,
Ketika saat umat dalam kelemahan,
Justeru itu bangunlah,
Wahai pemuda pemudi Islam.

Carilah identiti dirimu yang sebenar,
Sebagai remaja Islam,
Berbanggalah kerana engkau seorang
muslim,
Miskipun sering diserang pemikiran Barat
dan Yahudi,

Namun beristiqamahlah,
Teguhkanlah pendirianmu,
Janganlah langkahmu berundur
walaupun setapak.

Wahai pemuda Islam,
Berjuanglah,
Sebagai pemuda gagah berani,
Tetap utuh disaf pertama dimedan
perjuangan,
Rela dirinya dikorbankan demi jihad
fisabilillah.

Wahai srikandi Islam,
Ketahuilah,
Dirimu umpama peniup semangat,
Dalam sebuah perjuangan,
Miskipun dalam kelembutan,
Engkau mampu memberi fikiran yang
tajam.

Kerana itu, dirimu amat bernilai disisi
Islam.


faislamy_kusza
24 Ogos 05

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner