Wednesday, November 12, 2008

Diari kes | Istidraj

Diari kes | Musim peperiksaan menjelang lagi. SPM, STPM dan peperiksaan akhir semesta di IPT... Artikel ini sebenarnya pernah dipublishkan sebelum ini tetapi di'renew'kan semula atas faktor tertentu. Seorang teman datang mengadu...

"Ustaz, kenape ek saya ni susah sangat nak score, dapat pointer tinggi mcm si A tu? Padahal dia tu, dah la jarang2 smayang, bercouple pulak tu, dating sana sini.... Kita ni yang slalu pi masjid, bace quran, tak pernah couple, stay up sampai 2-3 pagi pun tak dapat mcm dia....."


Apa nak jawab??? Dalam kes si A tu, sebenarnya ape yang dia dapat bukanlah satu nikmat tapi satu laknat... Kenapa?? Sebab kejayaannya itu bukan menyebabkan dia makin dekat dengan Tuhan, makin khusyuk dalam solat, makin bertambah baik akhlaknya... Bahkan ia menjadi seperti manusia yang tdk pernah bersyukur...terus kufur...tenggelam dalam 'nikmat palsu' atau ISTIDRAJ... Semoga tulisan ini dapat menjawab persoalan teman tersebut, dan juga mungkin anda yang pernah memikirkan persoalan ini... Wallahua'alam........

Apakah dia istidraj?
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam,bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja,bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah,kereta mewah menjalar, duit banyak,dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat,dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli,sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul'Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya,Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati,namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya,akhirnya binasa juga.

Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. So, bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur. Bagaimana??? Dengan menambah baik usahanya mendekatkan diri pada Allah, bertambah baik akhlaknya dan sentiasa beringat bahawa nikmat dan kejayaannya itu juga merupakan ujian dariNya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah...

Wallahua'alam...

Baca selanjutnya...

Diari kes | Tayamum Jenazah

Diari kes | Ketika mengendalikan satu slot program berkenaan fardhu ain baru-baru ini, saya tertarik dengan satu persoalan yang dilemparkan oleh seorang peserta. Ketika itu, saya sedang membincangkan bab tayammum. Seorang peserta lelaki bertanya,


“Adakah jenazah yang hendak dimandikan perlu ditayammum sekiranya tiada air?”


Oh, mungkinkah kes seperti ini (tiada air untuk memandikan jenazah) boleh terjadi? Bukankah 2/3 daripada bumi ini terdiri dari air?


“Contohnya jika berlaku kemarau di sesuatu kawasan?” peserta tersebut menambah.


Jawapannya? Harus mentayamumkan jenazah ketika ketiadaan air dan juga jikalau dimandikan (dengan air), tubuhnya akan bertambah hancur / terpisah-pisah.


Wallahua’alam.

Baca selanjutnya...

Tuesday, November 11, 2008

Diari kes | I won’t give you A

Diari kes | 28 Okt ’08-I won’t give you A

“Where were you last night? What did you do? I won’t give you A...”

Astaghfirullahalazim… Terkedu saya mendengarnya tapi ia sesuatu yang sudah saya duga. Perangai Mr. T ni memang macam tu. Pity him. Semalam ada performance untuk English Night, kononnya untuk improve student in English. Kumpulan saya diminta untuk perform drama ‘The Cinderella Man’. Performance ni turut diambil kira markahnya untuk subjek wajib, Technical English 3.

Saya cukup ‘alergi’ dengan program yang tidak syaro' seperti ini. Apa yang berlaku sebenarnya amat mendukacitakan. First time saya involve program ni secara langsung (terpaksa dan dipaksa). Program-program seperti tarian, nyanyian, pertunjukan fesyen dilihat tidak bertepatan dengan objektif program. Dan terlalu banyak kemungkaran dan kebatilan dalam program ini, antaranya bersentuhan antara lelaki dan perempuan, berpakaian seksi dan tidak menutup aurat serta menyerupai jantina berlawanan serta pemakaian rambut palsu. Selain itu, para pelajar terlibat turut mengambil kesempatan untuk melakukan perkara-perkara yg menjengkelkan dan kurang menyenangkan.

Saya mengambil ijtihad dari penasihat peribadi saya, abg Hassan yang menasihatkan, dalam keadaan terpaksa seperti itu, jalan selamat adalah cuba ambil watak yang paling minima dalam program tersebut kerana ada kes senior yang terpaksa extend kerana digagalkan subjek berkenaan semata-mata atas alasan tidak involve langsung dalam program ini. Saya memilih untuk membantu bahagian props. Menjadi pelakon cerita yang tidak syaro’ sebegitu adalah diluar kewarasan saya. Itu prinsip saya sampai mati. Namun saya dimarahi dan diugut kerana lecturer tersebut perasan saya yang ‘wanted’ ni takde pada malam persembahan tersebut.

Bagus betul Mr. T ni. Dah la suruh orang pakai wig, yang laki disuruhnya pakai macam perempuan, yang perempuan disuruhnya pakai seksi2. pastu yang taknak libatkan diri (macam saya) kena marah pulak... Dia bagus dalam mengajar English. Bagus sangat. Tapi saya hilang respect terhadap beliau yang sesuka hatinya memperlekehkan hukum hakam agama. Saya tidak menentang English Night tetapi saya cuma minta ia diubahsuai dari segi pengisian program agar lebih berilmiah dan tidak bertentangan dengan hukum agama, bukan hiburan semata-mata.

Dipendekkan cerita, group saya menang tempat pertama. Mr.T bagi markah penuh untuk kami kecuali….hehehe.. Saya cuma diberikan 40% daripada markah penuh.

Kesimpulan saya, berpegang teguhla kepada prinsip. Biarlah dia taknak bagi A pun. Bukan A di dunia yang kita patut kejar…=)

Baca selanjutnya...

Harga petrol wajar bawah RM1.62 seliter


KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menurunkan harga minyak petrol ke paras RM1.62 seliter berikutan trend penurunan harga minyak dunia semasa yang kini berada pada paras AS$64.10 setong.

Harga itu berdasarkan jangkaan Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Abdul Rahim Anuar ketika diminta mengulas kewajaran paras harga petrol semasa jika mengikut pasaran minyak global terkini.

Namun kata Abdul Rahim, beliau yakin kerajaan mampu untuk menurunkan harga minyak pada paras yang lebih rendah..

Menurut beliau, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana ketika harga minyak petrol dijual pada harga RM1.92 seliter sebelum ini, harga minyak di pasaran dunia adalah sekitar AS$78 setong.

“Jika diikutkan, kerajaan mampu turunkan harga petrol lebih rendah daripada RM1.92 seliter kerana harga minyak di pasaran dunia dijangka turun lagi,’’ katanya.

Sumber: KOSMO!

Baca selanjutnya...

Monday, October 20, 2008

Diari kes: Talasemia

Diari kes | Seorang sahabat baru-baru ini mencadangkan kepada saya untuk menjalani ujian talasemia (salah satu ujian yg perlu dijalani oleh bakal-bakal pasangan yang mahu berkahwin). Saya sangat bersimpati apabila dikhabarkan bahawa dia serta bakal pasangannya telah disahkan sebagai pembawa talasemia setelah menjalani ujian ini. Pihak keluarga dan doktor menasihatkan agar tidak diteruskan hubungan mereka. Mereka akhirnya berpisah secara baik.

Talasemia, penyakit apa tu ya? Setelah merujuk pada halaman2 di internet, saya membuat rumusan ini :

Apakah Talasemia ?

  • Talasemia adalah penyakit kecacatan darah yang diwarisi, iaitu diwariskan dari keluarga kepada anak.
  • Mereka yang mempunyai penyakit Talasemia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah mereka.
  • Hemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru keseluruh tubuh.

Apakah yang berlaku pada penghidap Talasemia?

  • Semua tisu tubuh manusia memerlukan oksigen. Akibat kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah (anemia).
  • Kekurangan sel darah merah bagi membekalkan oksigen akan mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya, dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun.
  • Pesakit Talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada 10g/dl. Mereka yang mengidap Talasemia mempunyai kelebihan melawan penyakit Malaria.

Jenis-jenis Talasemia

§ Talasemia minor : merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda talasemia atau pembawa.

§ Talasemia major : merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia.

Apakah yang akan berlaku sekiranya salah seorang ibu atau bapa adalah pembawa?

Peratusan risiko untuk setiap kehamilan ibu tersebut ialah:

  • 50% kemungkinan adalah pembawa
  • 50% kemungkinan adalah normal
  • Tiada anak yang menghidap Talasemia(talasemia major)

Apakah yang akan berlaku sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa?

Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa keadaan berikut boleh berlaku:

  • 25% kemungkinan anak mereka adalah pesakit Talasemia
  • 50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa
  • 25% kemungkinan anak mereka adalah normal

Apakah tanda-tanda atau simptom penyakit Talasemia?

  • Biasanya anak-anak pembawa Talasemia kelihatan normal sewaktu dilahirkan. Bagaimanapun, mereka akan mulai mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan.
  • Tubuh pucat,lemah, dan gelisah.
  • Anemia yang serius akan menyebabkan kesukaran bernafas.
  • Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa.
  • Perubahan pembentukan tulang muka, pipi, dan rahang yang tidak normal(tanda lewat).

Apakah rawatan untuk pesakit Talasemia?

  • Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan.
  • Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting badan seperti hati, jantung, dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.
  • Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine.
  • Pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan keluarga.


Baca selanjutnya...

Sunday, October 19, 2008

ADUN BN, Pas berbesan

Aku tertarik dengan satu berita dari Utusanonline hari ini.. Inginku kongsikan bersama di sini..

ADUN BN, Pas berbesan


pasangan pengantin Salleh Sheikh Ibrahim dan Ernie Muneerah Mohd. Adhan bersanding di Kota Bharu, semalam.


TANAH MERAH 18 Okt. - Perbezaan politik tidak menjadi halangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik untuk berbesan dengan ADUN Pas Sungai Abong, Johor, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh.

Anak perempuan wakil rakyat BN itu, Ernie Muneerah, 25, disatukan dengan anak wakil rakyat Pas, Salleh, 25, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman Mohd. Adnan di sini hari ini.

Kedua-dua mempelai bertugas sebagai pegawai penyelidik Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang cuma dipisahkan oleh tempat kerja iaitu Ernie di Putrajaya manakala suaminya di Jerantut.

Bagi Mohd. Adhan, hubungan anak perempuannya dengan menantu tidak perlu dihalang hanya atas sebab perbezaan parti kedua-dua bapa, kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

''Sebaliknya mungkin memberikan kesan buruk bila kasih sayang mereka berdua disekat. Selaku bapa, saya ingin melihat anak saya bahagia apabila ditakdirkan mereka berdua bersatu.

"Sama dengan politik, kita tidak mahu mendapat susah kerana cuba menghalang sesuatu yang baik yang akhirnya membawa kesan kepada generasi akan datang," katanya.

Sementara Sheikh Ibrahim pula berkata, atas dasar kasih sayang, agama dan bangsa, perbezaan politik dapat diketepikan jika ada keikhlasan di dalam hati untuk memastikan anak-anak bahagia.

Salleh dan Ernie Muneerah pernah bertemu sewaktu zaman persekolahan namun terpisah kerana pekerjaan keluarga.

"Tidak sangka pula kami berdua bertemu semula sewaktu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika kami mengambil jurusan yang sama, dalam kursus ijazah Biologi Molekul.

''Kami berkenalan rapat selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin hari ini. Ibu bapa memberi sepenuh restu," ujar Salleh.

-------------------------------------------------------------------------------------------

“ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Tahniah! Selamat Pengantin Baru =)

Baca selanjutnya...

Wednesday, October 15, 2008

Harga minyak turun lagi, harga barang??

Start hari ni (15 Oktober 08)

Harga petrol RON97 : RM2.30 seliter. (harga sebelum: RM2.45)

Harga diesel : RM2.20 seliter (harga sebelum: RM2.40)

Harga petrol RON92 : RM2.20 seliter. (harga sebelum: RM2.30)

Baca selanjutnya...

Sunday, October 12, 2008

Lagi taktik jahat KPT kendali pilihan raya kampus


Oleh: Ahmad Albab at-Tabani

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TTNC dan Dekan HEP) supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Kampus (PRK) serentak, sebaliknya ditetapkan pada dua dua tarikh berbeza, tentulah sukar untuk mereka menolaknya.

Tarikh pertama PRK tahun ini ialah pada 16 Oktober 2008, manakala penamaan calon 12 Oktober, melibatkan sembilan IPTA, antara lain yang sudah dipastikan UMT, UMP, UMK, UDM, UTeM. Manakala IPTA lain, khususnya di Lembah Klang, akan diadakan pada bulan Januari 2009.

Sudah tentu media, masyarakat dan mahasiswa sendiri akan tertanya-tanya mengapakah arahan ini dikeluarkan oleh KPT.

Ironinya, pertanyaan-pertanyaan seumpama inilah yang sangat dibimbangi KPT!

Satu perjumpaan sulit diatur, dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron, Prof Madya Dr Muhammad Hussin dari UKM, Prof Azali (TNC yang mendapat kepercayaan KPT) dari UPM dan sebahagian TTNC dan Dekan HEP bertempat di Rumah Melaka, Jalan Bellamy Kuala Lumpur bertarikh 6 Mei dan 16 Julai 2008.

Pertemuan terakhir berjalan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 6 Oktober, bermula jam 9 malam. Ia dipengerusikan Idris. Antara arahan yang dikeluarkan ialah melarang wartawan memasuki kawasan kampus semasa pilihan raya.

Mereka menamakan diri sendiri sebagai Sekretariat Kampus ('nama underground', kata Idris) dan merancang pelbagai strategi terkini terutama dalam menyekat kebangkitan mahasiswa yang tidak menyokong BN.

Jemputan mesyuarat sulit ini hanya dibuat melalui SMS. Tidaklah diketahui bagaimana TTNC dan Dekan HEP ini hendak membuat tuntutan perjalanan dan penginapan tanpa melalui kelulusan Naib Canselor dan tanpa surat jemputan rasmi.

Perjumpaan sulit ini hanya mampu diadakan tiga kali berbanding tahun-tahun lalu sebanyak sembilan kali.

Sebenarnya perjumpaan sehingga jam 2.00 pagi itu mendapat tentangan sebahagian besar TTNC dan Dekan HEP kerana segala strategi KPT didalangi Mat Hussin yang membuat 'comeback' selepas Dato' Mustapa Mohamed bertukar ke Kementerian Pertanian.

Kelibat Mat Hussin sahaja mengundang rasa mual dan jelik TTNC dan Dekan HEP. Sejarah mereka diarah-arah seolah "diketuk ketampi" Mat Husin, amat menyerikkan!

Di antara keputusan yang dipersetujui dalam perjumpaan sulit ini ialah mengadakan PRK tidak secara serentak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Alasan utama KPT mengarahkan PRK diadakan secara berasingan ialah untuk mengelak daripada PRK menjadi perhatian media, rakyat, parti pembangkang dan mengelakkan kebangkitan mahasiswa.

Sepatah kata Idris: "Kalau boleh buatlah PRK secara senyap-senyap, jangan sampai diketahui sesiapa terutama media!" Inilah 'standard' pemikiran seorang timbalan menteri kita?

Beberapa strategi lain untuk melumpuhkan kebangkitan mahasiswa disenarai panjang dengan begitu terancang sekali. Sukar hendak dipercayakan, kerana seperti kata Dr Siddiq Fadhil, "umpama seorang ayah merancang untuk mencacat anaknya sendiri!"

Antaranya adalah:

1. KPT mengarahkan istilah Pilihan Raya Kampus ditukar kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Istilah pilihan raya bagi KPT adalah setanding dengan Pilihan Raya Umum dan bakal membangkitkan semangat juang mahasiswa.

Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana pilihan raya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.

2. KPT mengarahkan poster-poster calon hanya dikeluarkan HEP. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bersaiz A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!

3. KPT mengarahkan perkataan 'mahasiswa' ditukar kepada 'pelajar' sahaja. Istilah mahasiswa bagi KPT boleh membangkit rasa 'self esteem' yang tinggi di kalangan mahasiswa.

Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama 'Majlis Perwakilan Pelajar' bukan lagi 'Majlis Perwakilan Mahasiswa'. Mahasiswa dilarang menunjukkan 'taring' sebaliknya hendaklah siap sedia akur dan jangan bersikap kritikal terhadap pentadbiran universiti, apatah lagi kerajaan BN.

4. KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk menganjurkan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK.

Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianaktirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan 'gentleman'?

Sebenarnya setiap tahun, bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP dalam bentuk wang tunai berjumlah ribuan ringgit. Oleh itu jangan hairan kalau calon Aspirasi Kerajaan berupaya memenangi banyak kerusi PRK kerana di belakang mereka adalah KPT, yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas menyelenggarakan PRK.

Seolah-olah bagaikan Yahudi yang menaja calon-calon presiden di Amareka Syarikat. Siapakah yang boleh memberi jaminan wang tunai yang berjumlah ribuan ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Saya cabar Canselor dan Naib Canselor menyiasat kenyataan ini.

5. KPT mengarahkan HEP supaya calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah "double standard" HEP kepadamahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.

Dalam masa sama, HEP secara terbuka membentuk dan menaja calon-calon Aspirasi secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera. Semua maklum, HEP adalah umpama Suruhanjaya Riliha raya (SPR) di kampus. Bayangkan HEP yang membuat peraturan pilihan raya tetapi merekalah juga yang menodai dan mencabuli peraturan tersebut!

Strategi terbaru KPT untuk meraih kemenangan calon-calon Aspirasi Kerajaan ini akanmengundang beberapa persoalan yang menambah kekalutan dan keresahan di kalangan media danmahasiswa di kampus.

Beberapa persoalan di bawah wajar dijawab KPT dan HEP demi menjamin maruah dan harga diri mahasiswa yang diinjak-injak ini dapat diperkasa dan dibela.

1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas menyatakan, "Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja."

Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan "HENDAKLAH" membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal merekacukup satu tahun.

Perkataan "HENDAKLAH" tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera KPT. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian.

Namun di atas faktor kelompok sempit, KPT tetap ingin melanjutkan jawatan MPP melebihi setahun iaitu Januari 2009.

2. Mengapakah KPT takut dan bimbang sangat dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya KPT berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.

Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah KPTjuga mahu mahasiswa mampu menjadi juru bicara ummah? Atau sebenarnya KPT hanya ingin melahirkan 'mahasiswa itik gembol-gembol' tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?

3. Apakah visi dan misi KPT sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah KPT merasakan polisi terbaru terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar-gemburkan selama ini?

Mahasiswa hari ini merasakan KPT tidak lebih hanya mempunyai visi dan misi untuk "menternak" dan memperbodohkan mahasiswa dengan idea-idea 'canggih' yang layak dilakukan Yahudi ke atas pemuda-pemuda.

4. Mengapakah KPT begitu merestui dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kuota diberi kepada mahasiswa bukan bumiputera?

Ironinya, dalam masa sama KPT melarang mahasiswa lain mengadakan demonstrasidalam isu-isu yang lebih relevan.

Hakikatnya, KPT begitu arif berapakah jumlah sebenar mahasiswa bukan Bumiputera di USM dan di UPM. Ia bukan rahsia lagi. Tetapi KPT 'buat-buat pekak'. Peningkatan mahasiswa bukan Bumiputera di IPTA berkenaan tidak pula dikawal. Janganlah 'double stardard.' Kokoknya berdegar-degar tetapi ekor bergelumang najis!

5. Mengapa KPT begitu menekan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan?

Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan. Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit KPT sahaja.

Senario buruk yang didedahkan ini wajar dihapuskan. Bayangkan apa akan terjadi kepada bakalpimpinan negara sekiranya KPT masih meneruskan polisi dan "strategi" yang bakal merosakkanpemikiran dan sikap anak bangsa mereka sendiri.

Cabaran masa depan negara dan era globalisasi yang semakin getir memerlukan anjakan pradigma oleh KPT sendiri. Janganlah membawa nilai 'politik kampungan' di menara gading.

Jika beginilah cara pentadbiran KPT, jangan terkejut mahasiswa sendiri akan bangkit bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan BN. Mungkin ini sahaja jalan keluar bagi mahasiswa untuk keluar dari kezaliman KPT.

Mahasiswa sudah sekian lama disakiti. Apakah yang paling sakit bagi seorang yang bergelar 'mahasiswa tulen' di menara gading? Tidak lain dan tidak bukan ialah DIPERBODOHKAN!

Sumber: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Wednesday, September 17, 2008

Badar al Kubro


Ini bukan cerita Badang yang tiba-tiba gagah
setelah menelan muntah Hantu
Ini juga bukan cerita kependekaran Hang Tuah menewaskan Taming Sari
yang serba kebal….. dengan helah tipu,
dan ini jua bukan kisah kepahlawan Lt Adnan yang bertempur
sehingga titisan darah terakhir di Bukit Candu

Ketahuilah cerita ini bukan mengisahkan kehebatan Shih Huang Tee
yang membina Tembok Besar Negeri China
dan langsung tak serupa dengan keperkasaan Asoka
pahlawan yang pernah menakluki seluruh Benua India
kemudian melemparkan takhta…menjadi Pendita Budha

Dan cerita ini jua langsung tiada sangkutannya
dengan kebijaksanaan Socrates dengan ilmu falasafahnya
apatahlagi dengan kisah Dato Onn menubuhkan parti melayu dengan tapak jahiliyyahnya
konon mendorong anakbangsanya menuntut merdeka…….

Aduhai saudara!
Badar al Kubro bukan kisah semata
Sekadar diperagakan mengikut musim-musim
untuk mempamirkan bahawa kalian sudah cukup kuat menghayati agama
didalam sebuah negara Islam yang sekular perlembagaannya……

Badar Al Kubro sebenarnya mengisahkan segala-galanya
disana ada kisah keimanan……….
keperkasaan,keberanian,kepahlawanan,keikhlasan
dan erti sebenar setiakawan persaudaraan

Dan terlebih penting dari itu semua
disana ada kisah ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul Suruhan
maka berbondong-bondonglah …..
turun dari langit tentara yang tidak kelihatan
sehingga tertewaslah penuh aib golongan kuffar
yang menafikan keagongan Tuhan
Lantas kelompok kecil yang serba kekurangan itu mencatatkan sejarah
yang akan terus dirakam sehingga akhir zaman………
bahawa kemenangan hakiki bukan kerna persenjataan
sebaliknya kerna keyakinan dan keimanan….
bahawa hanya Islam sahajalah
yang menjamin kesejahteraan,kebebasan,kebenaran dan keadilan…..

Semoga berbahagialah kamu Sayyidina Hamzah
dan sekian para syuhadah Badar
bersiar riang di syurga Tuhanmu
menghirup segala kelazatan dan kenikmatan di dalamnya
kekal abadi ……….
Sebagaimana yang telah dijanji
Rasul Pilihan dan Pencipta Yang Maha Suci.

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner