Sunday, October 19, 2008

ADUN BN, Pas berbesan

Aku tertarik dengan satu berita dari Utusanonline hari ini.. Inginku kongsikan bersama di sini..

ADUN BN, Pas berbesan


pasangan pengantin Salleh Sheikh Ibrahim dan Ernie Muneerah Mohd. Adhan bersanding di Kota Bharu, semalam.


TANAH MERAH 18 Okt. - Perbezaan politik tidak menjadi halangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik untuk berbesan dengan ADUN Pas Sungai Abong, Johor, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh.

Anak perempuan wakil rakyat BN itu, Ernie Muneerah, 25, disatukan dengan anak wakil rakyat Pas, Salleh, 25, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman Mohd. Adnan di sini hari ini.

Kedua-dua mempelai bertugas sebagai pegawai penyelidik Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang cuma dipisahkan oleh tempat kerja iaitu Ernie di Putrajaya manakala suaminya di Jerantut.

Bagi Mohd. Adhan, hubungan anak perempuannya dengan menantu tidak perlu dihalang hanya atas sebab perbezaan parti kedua-dua bapa, kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

''Sebaliknya mungkin memberikan kesan buruk bila kasih sayang mereka berdua disekat. Selaku bapa, saya ingin melihat anak saya bahagia apabila ditakdirkan mereka berdua bersatu.

"Sama dengan politik, kita tidak mahu mendapat susah kerana cuba menghalang sesuatu yang baik yang akhirnya membawa kesan kepada generasi akan datang," katanya.

Sementara Sheikh Ibrahim pula berkata, atas dasar kasih sayang, agama dan bangsa, perbezaan politik dapat diketepikan jika ada keikhlasan di dalam hati untuk memastikan anak-anak bahagia.

Salleh dan Ernie Muneerah pernah bertemu sewaktu zaman persekolahan namun terpisah kerana pekerjaan keluarga.

"Tidak sangka pula kami berdua bertemu semula sewaktu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika kami mengambil jurusan yang sama, dalam kursus ijazah Biologi Molekul.

''Kami berkenalan rapat selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin hari ini. Ibu bapa memberi sepenuh restu," ujar Salleh.

-------------------------------------------------------------------------------------------

“ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).

Tahniah! Selamat Pengantin Baru =)

Baca selanjutnya...

Wednesday, October 15, 2008

Harga minyak turun lagi, harga barang??

Start hari ni (15 Oktober 08)

Harga petrol RON97 : RM2.30 seliter. (harga sebelum: RM2.45)

Harga diesel : RM2.20 seliter (harga sebelum: RM2.40)

Harga petrol RON92 : RM2.20 seliter. (harga sebelum: RM2.30)

Baca selanjutnya...

Sunday, October 12, 2008

Lagi taktik jahat KPT kendali pilihan raya kampus


Oleh: Ahmad Albab at-Tabani

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TTNC dan Dekan HEP) supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Kampus (PRK) serentak, sebaliknya ditetapkan pada dua dua tarikh berbeza, tentulah sukar untuk mereka menolaknya.

Tarikh pertama PRK tahun ini ialah pada 16 Oktober 2008, manakala penamaan calon 12 Oktober, melibatkan sembilan IPTA, antara lain yang sudah dipastikan UMT, UMP, UMK, UDM, UTeM. Manakala IPTA lain, khususnya di Lembah Klang, akan diadakan pada bulan Januari 2009.

Sudah tentu media, masyarakat dan mahasiswa sendiri akan tertanya-tanya mengapakah arahan ini dikeluarkan oleh KPT.

Ironinya, pertanyaan-pertanyaan seumpama inilah yang sangat dibimbangi KPT!

Satu perjumpaan sulit diatur, dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron, Prof Madya Dr Muhammad Hussin dari UKM, Prof Azali (TNC yang mendapat kepercayaan KPT) dari UPM dan sebahagian TTNC dan Dekan HEP bertempat di Rumah Melaka, Jalan Bellamy Kuala Lumpur bertarikh 6 Mei dan 16 Julai 2008.

Pertemuan terakhir berjalan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, 6 Oktober, bermula jam 9 malam. Ia dipengerusikan Idris. Antara arahan yang dikeluarkan ialah melarang wartawan memasuki kawasan kampus semasa pilihan raya.

Mereka menamakan diri sendiri sebagai Sekretariat Kampus ('nama underground', kata Idris) dan merancang pelbagai strategi terkini terutama dalam menyekat kebangkitan mahasiswa yang tidak menyokong BN.

Jemputan mesyuarat sulit ini hanya dibuat melalui SMS. Tidaklah diketahui bagaimana TTNC dan Dekan HEP ini hendak membuat tuntutan perjalanan dan penginapan tanpa melalui kelulusan Naib Canselor dan tanpa surat jemputan rasmi.

Perjumpaan sulit ini hanya mampu diadakan tiga kali berbanding tahun-tahun lalu sebanyak sembilan kali.

Sebenarnya perjumpaan sehingga jam 2.00 pagi itu mendapat tentangan sebahagian besar TTNC dan Dekan HEP kerana segala strategi KPT didalangi Mat Hussin yang membuat 'comeback' selepas Dato' Mustapa Mohamed bertukar ke Kementerian Pertanian.

Kelibat Mat Hussin sahaja mengundang rasa mual dan jelik TTNC dan Dekan HEP. Sejarah mereka diarah-arah seolah "diketuk ketampi" Mat Husin, amat menyerikkan!

Di antara keputusan yang dipersetujui dalam perjumpaan sulit ini ialah mengadakan PRK tidak secara serentak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Alasan utama KPT mengarahkan PRK diadakan secara berasingan ialah untuk mengelak daripada PRK menjadi perhatian media, rakyat, parti pembangkang dan mengelakkan kebangkitan mahasiswa.

Sepatah kata Idris: "Kalau boleh buatlah PRK secara senyap-senyap, jangan sampai diketahui sesiapa terutama media!" Inilah 'standard' pemikiran seorang timbalan menteri kita?

Beberapa strategi lain untuk melumpuhkan kebangkitan mahasiswa disenarai panjang dengan begitu terancang sekali. Sukar hendak dipercayakan, kerana seperti kata Dr Siddiq Fadhil, "umpama seorang ayah merancang untuk mencacat anaknya sendiri!"

Antaranya adalah:

1. KPT mengarahkan istilah Pilihan Raya Kampus ditukar kepada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Istilah pilihan raya bagi KPT adalah setanding dengan Pilihan Raya Umum dan bakal membangkitkan semangat juang mahasiswa.

Oleh itu kalimat ini wajar dihapuskan supaya mahasiswa tidak dapat merasa seperti suasana pilihan raya di luar kampus. Cukuplah dengan kalimat pemilihan, seperti memilih ketua kelas semasa sekolah rendah dan tadika sahaja.

2. KPT mengarahkan poster-poster calon hanya dikeluarkan HEP. Calon dilarang mencetak poster sendiri. Kreativiti calon tidak perlu dan dilarang. Cukuplah menunggu poster bersaiz A4 dari HEP. Adakah ini cara HEP membentuk kepimpinan dan kreativiti mahasiswa? Semua disediakan, mahasiswa dilayan seperti robot layaknya!

3. KPT mengarahkan perkataan 'mahasiswa' ditukar kepada 'pelajar' sahaja. Istilah mahasiswa bagi KPT boleh membangkit rasa 'self esteem' yang tinggi di kalangan mahasiswa.

Oleh itu KPT mengarahkan semua universiti menggunakan nama 'Majlis Perwakilan Pelajar' bukan lagi 'Majlis Perwakilan Mahasiswa'. Mahasiswa dilarang menunjukkan 'taring' sebaliknya hendaklah siap sedia akur dan jangan bersikap kritikal terhadap pentadbiran universiti, apatah lagi kerajaan BN.

4. KPT telah dan akan mengeluarkan perbelanjaan yang besar kepada HEP untuk menganjurkan kursus calon dan jentera Aspirasi Kerajaan sebagai persiapan PRK.

Sebaliknya calon bukan Aspirasi Kerajaan dianaktirikan dan tiada langsung bajet untuk kursus calon apatah lagi untuk jentera mereka. Jelas sekali mahasiswa telah diperbodohkan. Apakah permainan padang yang tidak sama rata ini adil dan 'gentleman'?

Sebenarnya setiap tahun, bajet ini dikeluarkan kepada TTNC dan Dekan HEP dalam bentuk wang tunai berjumlah ribuan ringgit. Oleh itu jangan hairan kalau calon Aspirasi Kerajaan berupaya memenangi banyak kerusi PRK kerana di belakang mereka adalah KPT, yang sepatutnya bertindak sebagai badan bebas menyelenggarakan PRK.

Seolah-olah bagaikan Yahudi yang menaja calon-calon presiden di Amareka Syarikat. Siapakah yang boleh memberi jaminan wang tunai yang berjumlah ribuan ini, tidak disalahgunakan oleh TTNC dan Dekan HEP? Saya cabar Canselor dan Naib Canselor menyiasat kenyataan ini.

5. KPT mengarahkan HEP supaya calon bukan Aspirasi Kerajaan tidak dibenarkan bertanding secara berkumpulan kerana ini akan membentuk kekuatan kepada mereka. Calon bukan Aspirasi hanya dibenarkan bertanding atas kapasiti individu. Begitulah "double standard" HEP kepadamahasiswa bukan Aspirasi Kerajaan.

Dalam masa sama, HEP secara terbuka membentuk dan menaja calon-calon Aspirasi secara kumpulan dengan mengadakan kursus calon dan jentera. Semua maklum, HEP adalah umpama Suruhanjaya Riliha raya (SPR) di kampus. Bayangkan HEP yang membuat peraturan pilihan raya tetapi merekalah juga yang menodai dan mencabuli peraturan tersebut!

Strategi terbaru KPT untuk meraih kemenangan calon-calon Aspirasi Kerajaan ini akanmengundang beberapa persoalan yang menambah kekalutan dan keresahan di kalangan media danmahasiswa di kampus.

Beberapa persoalan di bawah wajar dijawab KPT dan HEP demi menjamin maruah dan harga diri mahasiswa yang diinjak-injak ini dapat diperkasa dan dibela.

1. Mengapakah PRK tidak diadakan serentak pada tahun ini, sebaliknya dilanjutkan ke bulan Januari 2009? Umumnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti jelas menyatakan, "Hendaklah jawatan Majlis Perwakilan Pelajar dipegang selama satu tahun sahaja."

Dalam kaedah tafsiran undang-undang perkataan "HENDAKLAH" membawa maksud mandatori. Tidak dapat tidak, tempoh perjawatan MPP dengan ini WAJIB berakhir apabila tempoh penggal merekacukup satu tahun.

Perkataan "HENDAKLAH" tidak boleh ditafsirkan secara bebas mengikut selera KPT. Tafsiran sebegini hanya boleh dimungkinkan sekiranya ada proviso yang membenarkan kelonggaran peruntukan tersebut dan pemanjangan tempoh MPP dengan memberi kuasa kepada Naib Canselor atau pihak lain untuk membuat demikian.

Namun di atas faktor kelompok sempit, KPT tetap ingin melanjutkan jawatan MPP melebihi setahun iaitu Januari 2009.

2. Mengapakah KPT takut dan bimbang sangat dengan liputan media dan perhatian masyarakat terhadap PRK dan kebangkitan mahasiswa? Sepatutnya KPT berbangga kerana mahasiswa menjadi perhatian dan tumpuan media dan rakyat.

Bukankah mahasiswa juga mempunyai hak untuk masyarakat mendengar suara mereka? Bukankah KPTjuga mahu mahasiswa mampu menjadi juru bicara ummah? Atau sebenarnya KPT hanya ingin melahirkan 'mahasiswa itik gembol-gembol' tukang angguk-angguk dan tukang geleng-geleng?

3. Apakah visi dan misi KPT sebenarnya dalam melahirkan mahasiswa yang berketrampilan dan mencapai tahap global? Apakah KPT merasakan polisi terbaru terutama melibatkan PRK ini bakal melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah seperti yang digembar-gemburkan selama ini?

Mahasiswa hari ini merasakan KPT tidak lebih hanya mempunyai visi dan misi untuk "menternak" dan memperbodohkan mahasiswa dengan idea-idea 'canggih' yang layak dilakukan Yahudi ke atas pemuda-pemuda.

4. Mengapakah KPT begitu merestui dan menggalakkan mahasiswa UiTM mengadakan demonstrasi bila Menteri Besar Selangor mencadangkan supaya sedikit kuota diberi kepada mahasiswa bukan bumiputera?

Ironinya, dalam masa sama KPT melarang mahasiswa lain mengadakan demonstrasidalam isu-isu yang lebih relevan.

Hakikatnya, KPT begitu arif berapakah jumlah sebenar mahasiswa bukan Bumiputera di USM dan di UPM. Ia bukan rahsia lagi. Tetapi KPT 'buat-buat pekak'. Peningkatan mahasiswa bukan Bumiputera di IPTA berkenaan tidak pula dikawal. Janganlah 'double stardard.' Kokoknya berdegar-degar tetapi ekor bergelumang najis!

5. Mengapa KPT begitu menekan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedangkan mereka juga mempunyai hak dan pendirian untuk tidak menyokong calon Aspirasi Kerajaan?

Tentu kita masih ingat bagaimana pejabat MPP UIAM dikunci berbulan lamanya semata-mata kerana mereka tidak condong kepada Aspirasi Kerajaan. Berlaku adillah kepada semua mahasiswa. Janganlah peralatkan mahasiswa untuk kepentingan politik sempit KPT sahaja.

Senario buruk yang didedahkan ini wajar dihapuskan. Bayangkan apa akan terjadi kepada bakalpimpinan negara sekiranya KPT masih meneruskan polisi dan "strategi" yang bakal merosakkanpemikiran dan sikap anak bangsa mereka sendiri.

Cabaran masa depan negara dan era globalisasi yang semakin getir memerlukan anjakan pradigma oleh KPT sendiri. Janganlah membawa nilai 'politik kampungan' di menara gading.

Jika beginilah cara pentadbiran KPT, jangan terkejut mahasiswa sendiri akan bangkit bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan BN. Mungkin ini sahaja jalan keluar bagi mahasiswa untuk keluar dari kezaliman KPT.

Mahasiswa sudah sekian lama disakiti. Apakah yang paling sakit bagi seorang yang bergelar 'mahasiswa tulen' di menara gading? Tidak lain dan tidak bukan ialah DIPERBODOHKAN!

Sumber: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Wednesday, September 17, 2008

Badar al Kubro


Ini bukan cerita Badang yang tiba-tiba gagah
setelah menelan muntah Hantu
Ini juga bukan cerita kependekaran Hang Tuah menewaskan Taming Sari
yang serba kebal….. dengan helah tipu,
dan ini jua bukan kisah kepahlawan Lt Adnan yang bertempur
sehingga titisan darah terakhir di Bukit Candu

Ketahuilah cerita ini bukan mengisahkan kehebatan Shih Huang Tee
yang membina Tembok Besar Negeri China
dan langsung tak serupa dengan keperkasaan Asoka
pahlawan yang pernah menakluki seluruh Benua India
kemudian melemparkan takhta…menjadi Pendita Budha

Dan cerita ini jua langsung tiada sangkutannya
dengan kebijaksanaan Socrates dengan ilmu falasafahnya
apatahlagi dengan kisah Dato Onn menubuhkan parti melayu dengan tapak jahiliyyahnya
konon mendorong anakbangsanya menuntut merdeka…….

Aduhai saudara!
Badar al Kubro bukan kisah semata
Sekadar diperagakan mengikut musim-musim
untuk mempamirkan bahawa kalian sudah cukup kuat menghayati agama
didalam sebuah negara Islam yang sekular perlembagaannya……

Badar Al Kubro sebenarnya mengisahkan segala-galanya
disana ada kisah keimanan……….
keperkasaan,keberanian,kepahlawanan,keikhlasan
dan erti sebenar setiakawan persaudaraan

Dan terlebih penting dari itu semua
disana ada kisah ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul Suruhan
maka berbondong-bondonglah …..
turun dari langit tentara yang tidak kelihatan
sehingga tertewaslah penuh aib golongan kuffar
yang menafikan keagongan Tuhan
Lantas kelompok kecil yang serba kekurangan itu mencatatkan sejarah
yang akan terus dirakam sehingga akhir zaman………
bahawa kemenangan hakiki bukan kerna persenjataan
sebaliknya kerna keyakinan dan keimanan….
bahawa hanya Islam sahajalah
yang menjamin kesejahteraan,kebebasan,kebenaran dan keadilan…..

Semoga berbahagialah kamu Sayyidina Hamzah
dan sekian para syuhadah Badar
bersiar riang di syurga Tuhanmu
menghirup segala kelazatan dan kenikmatan di dalamnya
kekal abadi ……….
Sebagaimana yang telah dijanji
Rasul Pilihan dan Pencipta Yang Maha Suci.

Baca selanjutnya...

Saturday, August 02, 2008

TurunkanLah Harga Minyak Cepat!!!




Harga minyak dunia dah turun. Tapi harga minyak Malaysia tak turun2... Kenapa nak tunggu September? Hmm...

Baca selanjutnya...

Friday, August 01, 2008

Jangan Tiru Aksi Ini....

Foto dari Utusan Online

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”.
(Surah al-Anbiya 50-54)”

FATWA TENTANG PERLETAKAN KALUNGAN BUNGA

FATWA MUFTI PAHANG

- Di bawah SubSeksyen 36(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengikut SubSeksyen 39(6) Enakmen menyatakan:

" Meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan"

Hmm... Degil sungguh orang tua ni..... Ya Allah.. Ampunkanlah dia...



Baca selanjutnya...

Caj 3% HARAM (Riba) - PTPTN Tak Mengaku?

Wakil PTPTN memberikan penerangan

Ramai mahasiswa terutama para peminjam PTPTN tertunggu-tunggu apakah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung status caj 3% PTPTN, adakah ianya HARAM, ataupun Harus?


Walaupun bukan sebagai peminjam PTPTN, saya sangat berminat mengikuti isu ini memandangkan ia berkaitan dengan hukum syariah dan secara kebetulan saya juga adalah pimpinan mahasiswa.

Ramai yang mengadu bahawa caj yg dikenakan ini adalah haram kerana mengandungi unsur riba. Serba salah dibuatnya. Tak bayar hutang berdosa. Melibatkan diri dalam perkara yang berunsur riba juga berdosa. Sudah pasti ianya sangat mengelirukan.

Satu muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah diadakan pada 28 Julai 2008. Apakah keputusan sebenar yang telah dicapai?


Setelah meneliti beberapa halaman dari internet, saya mendapati ianya amatlah mengelirukan. Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa MFK telah memutuskan bahawa caj perkhidmatan sebanyak 3% yang dikenakan PTPTN ke atas peminjamnya tidak menyalahi syarak tetapi mahu kadar 3% itu dikurangkan bagi meringankan beban pelajar.

Namun, setelah diamati pula di ruangan S.S Mufti Perlis yang juga merupakan salah seorang individu berautoriti dalam jawatankuasa tersebut, kenyataannya agak berbeza.

"Dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba. Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan." - S.S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Beliau turut menyatakan, "yang dianggap oleh Jawatankuasa Fatwa sebagai tidak bertentangan dengan syarak adalah kaedah caj baru yang bakal diubah, bukan yang ada sekarang". Jika begitu, ia adalah sangat berbeza daripada apa yang dilaporkan dalam media arus perdana.

Persoalannya, mengapakah pihak PTPTN tidak mengaku bahawa sistem pinjaman sebelum ini (caj perkhidmatan) adalah riba? Saya percaya dan begitu yakin, mahasiswa tidak mudah diperbodoh dengan kenyataan tidak bertanggungjawab ini.

Wallahua'lam...

Kazeem ibnu Muhammad
1 Ogos 2008

Baca selanjutnya...

Tuesday, July 29, 2008

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan
WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM
.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Baca selanjutnya...

Kronologi 'Mercedes vs Perdana V6'

Tarikh

Peristiwa

20 Julai

- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu Dato’ Mokhtar Nong menyatakan

keputusan kerajaan membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor baru bagi

menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kereta rasmi yang akan

digunakan oleh Exco dan pegawai kanan kerajaan.

- Menteri Besar (MB) Terengganu Dato' Ahmad Said membuat justifikasi tindakan

kerajaan membeli kereta mewah itu adalah usaha menjimatkan kos perbelanjaan

tahunan, dan dibeli bukan dengan duit royalty minyak

21 Julai

- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan membawa

perkara tersebut untuk dibincangkan dalam kabinet kerana keputusan itu adalah

melanggar dasar kerajaan yang mengkehenddaki semua kementerian kerajaan pusat

dan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional.

22 Julai

- Setelah mendapat reaksi negatif dari rakyat negeri Terengganu, Pejabat MB

Terengganu mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan kerajaan

Terengganu dan mendedahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa membayar kos tinggi

untuk menyenggara kereta Perdana V6 Executive sejak 2004 hingga 2008.
- Kenyataan itu menyebut contoh penyenggaraan dua kereta Proton Perdana V6 terlalu

tinggi, mencecah RM175,229.97 dan menyatakan kereta Perdana V6 Executive yang

pernah digunakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh

mencatatkan kos tertinggi senggaraan berjumlah RM235,123.08

23 Julai

- SUK membuat penjelasan bahawa penyelenggaraan kereta Idris berjumlah

RM131,449.83 bukannya RM235,123.08 dan perbelanjaan keseluruhan

penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri

dalam tempoh empat tahun adalah RM1,071,668.82,

- Mesyuarat kabinet memutuskan bahawa kerajaan Terengganu tetap mesti

menggunakan kereta nasional dan tidak dibenarkan menggunakan kereta Mercedes

walaupun ia telah dibeli.
- MB Ahmad Said menggesa kerajaan pusat menarik balik pekeliling Perbendaharaan

Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) sekiranya tindakan kerajaan Terengganu

menggunakan Mercedes adalah melanggar kandungan Pekeliling Perbendaharaan

Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul

Samad berkata kerajaan Terengganu tersilap tafsir maksud kenderaan yang dipasang

dalam negara kerana mengikut Arahan Penbendaharaan ia tidak membabitkan kereta

tetapi kenderaan lain termasuk jip dan pacuan empat roda.

24 Julai

- Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan untuk mengesan kemungkinan

berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan keatas salah sebuah kereta Proton

Perdana V6 Executive kerajaan negeri Terengganu yang mencecah RM175,229.97

sebuah sepanjang empat tahun, kerana jumlah tersebut adalah terlalu besar.

- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mokhtar Nong mengesahkan empat

pemandu Exco Kerajaan Negeri Terengganu disoal oleh Badan Pencegah Rasuah

(BPR) berkaitan kos ‘terlampau’ penyenggaraan Proton Perdana V6.

- Pedana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kerajaan Terengganu

perlu akur dengan arahan penggunaan kereta Perdana V6 Eksekutif untuk kegunaan

Exco Kerajaan Negeri. Abdullah berkata, disebabkan kerajaan negeri terbabit sudah

membeli 14 kereta Mercedes-Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta, ia akan

digunakan untuk kegunaan tetamu kerajaan negeri itu.

- MB Ahmad Said berkata isu pembelaian kereta Mercedes selesai mengikut

fahamannya setelah berjumpa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri

25 Julai

- Idris Jusoh melantik seorang peguam untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan

berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan Proton Perdana V6

Executive yang pernah digunakannya.

- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya, Seni dan Warisan Negeri

Terengganu, Dato’ Za’abar Mohd Adib melanggar arahan Perdana Menteri,apabila

menghadiri Pesta Bunga Malaysia pertama di Johor Bharu dengan Mercedes baru

- Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil lima orang lagi untuk memberi

keterangan berhubung kes perbelanjaan penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive

menjadikan kesemuanya sembilan orang telah dipanggil.

26 Julai

- Setiausaha Politik MB, Ahmad Nizam menyifatkan tindakan Idris melantik peguam

dalam isu kos penyelenggaraan kereta yang tinggi dibangkitkan adalah suatu tindakan

yang tidak kena.

- BPR telah menahan lapan buah kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan

pegawai kanan kerajaan Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kos

penyenggaraan kenderaan itu yang terlalu tinggi.
-
Proton bertindak hantar pasukan audit, gantung pusat servis EON

27 Julai

- Tiga pemilik bengkel kereta turut ditahan BPR membantu siasatan kes berkenaan.

- Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mokhtar Nong mendedahkan empat pusat

servis utama yang digunakan oleh ahli-ahli Exco dan pegawai kanan negeri ialah Pusat

Servis EON, Tenaga Setia Service Sdn. Bhd., Pusat Servis Ranaco dan AMBL

Services.

- MB Ahmad Said berkata Ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan

menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat

sementara waktu sehingga selesai siasatan kes selesai

- Pendedahan media berhubung isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai

kenderaan rasmi Exco Terengganu bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6

Executive menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemimpin UMNO

Terengganu


Sumber: BuletinOnline.net

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner