Wednesday, October 10, 2007

Jadilah graduan Universiti Ramadan yang hebat

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi mendapat cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.

Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswaserta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.

Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.

Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik jadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadan.

Apabila kesemua bentuk tarbiah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.

Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadan menjadi orang yang menantang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ˜Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?

Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriah serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.

Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."

Graduan-graduan Ramadan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.

Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Baca selanjutnya...

Perbetulkan persepsi khatam al-Quran di bulan Ramadan

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim


Kebanyakan orang Islam di negara ini menganjurkan majlis khatam al-Quran yang menandakan bahawa mereka telah selesai membacanya sepanjang Ramadan. Mereka juga beranggapan, bahawa dengan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan dari awal surah hingga ke akhirnya (atau disebut sebagai khatam al-Quran), sudah mencukupi dan menandakan ia sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah.

Walaupun dengan membaca al-Quran sebagai salah satu bentuk ibadat kepada Allah SWT, ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah ia perlu ditingkatkan kepada penghayatan al-Quran dengan mengadakan penyelidikan, kajian dan diskusi bagi melahirkan insan Muslim yang mampu menghadapi sebarang kemungkinan ketika berhadapan dengan musuh-musuh Allah.

Sebab itu, sudah 50 tahun negara kita Malaysia merdeka, belum kelihatan kesungguhan Malaysia melahirkan individu Muslim yang boleh dibanggakan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa, iaitu seorang Muslim yang menguasai intipati al-Quran, bukan sahaja menghafaz ayat-ayatnya, malah mampu mentafsir ayat al-Quran bersesuaian dengan tuntutan semasa yang akhirnya menjana umat Islam yang sanggup berkorban hanya untuk Allah.

Bukan bermakna menganjurkan majlis-majlis khatam al-Quran itu tidak bagus menurut pandangan Islam, tetapi realitinya sudah mencecah puluhan tahun kita sambut majlis seumpama itu, apa hasil yang kita dapat melainkan sekadar membaca, sedangkan ramai lagi di kalangan umat Islam masih ketinggalan mengenai isi-isi kandungannya.

Sekurang-kurangnya jika kita telah melakukan sesuatu bagi mengajak umat Islam menghayati al-Quran, sudah pasti mereka tidak menghadapi masalah untuk faham al-Quran, sebagai contoh terbaik, apabila datang bulan Ramadan, kita sering bertemu atau mendengar ayat 183 surah al-Baqarah dibacakan: Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu menjadi orang-orang yang bertakwa (kepada Allah).

Kenapa tidak lakukan kajian mengenai ayat takwa?

Pernahkah terlintas di pemikiran kita, bahawa apakah sebenarnya motif Allah menyuruh kita jadi orang-orang yang bertakwa? Apakah ciri-ciri yang sepatutnya kita perlu tahu mengenai takwa?

Kenapa kita tidak bertadarus (berdiskusi/membuat kajian) mengenai ayat takwa seperti yang difirmankan Allah dalam ayat-ayat pertama menerusi Surah al-Baqarah, firman Allah: “Alif Lam Mim, demikian itu kitab suci al-Quran, tiada keraguan di dalamnya, sebagai petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.”

Mengapa Allah SWT tidak menyebut, bahawa al-Quran itu sebagai petunjuk kepada orang-orang Islam (Muslimin) atau orang-orang yang beriman (Mukminin).

Dalam pengajian akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah menyebut, bahawa jika perkataan atau istilah orang-orang bertakwa ia mencakupi makna iman dan Islam, ini bermakna orang-orang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, tidak mesti orang-orang yang beriman itu bertakwa, begitu juga dengan orang-orang yang beriman, mereka mesti orang Islam dan tidak mesti orang-orang Islam itu beriman kepada Allah, kerana terdapat ramai orang Islam yang tidak menunaikan tuntutan solat, berpuasa di bulan Ramadan, meyakini kemampuan al-Quran bagi menyelesaikan masalah negara, masyarakat dan sebagainya termasuk tidak melaksanakan hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Selepas kita bertadarus ayat-ayat pertama dan kedua dari surah al-Baqarah, kita cuba sambung semula ayat ketiga, di mana Allah SWT sebut mengenai ciri-ciri orang yang bertakwa hingga ayat kelima, iaitu mereka yang percaya kepada yang ghaib, mendirikan solat dan mereka membelanjakan harta (pada jalan kebaikan) yang dianugerahkan kepada mereka, mereka juga beriman kepada kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, mereka begitu yakin akan adanya hari (kehidupan) akhirat.

Itulah tanda dan ciri orang-orang yang bertakwa kepada Allah yang sepatutnya ditadarus, ceramah, motivasi atau dibincangkan dalam forum agama sepanjang bulan Ramadan.

Jika tradisi khatam al-Quran dianjurkan tanpa kesedaran untuk menyelidiki, mengkaji dan berdiskusi, maka ia tidak akan melahirkan orang-orang yang bertakwa. Sebab itu apabila Ramadan melabuhkan tirainya sepanjang 30 hari, masih ada meneruskan program maksiat seperti rancangan hiburan keterlaluan, akan ada lagi Akademi Fantasia musim keenam dan sebagainya, kerana keyakinan wujudnya kehidupan di akhirat gagal diterjemahkan dalam realiti hidup manusia.

Malah berakhirnya Ramadan, pada malam hari raya mereka telah memperlihatkan jahiliah mereka dengan penyediaan program-program yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan pahala puasa, pahala baca al-Quran, pahala Tarawih, pahala sedekah, pahala zakat, pahala pergi ke surau atau masjid dan sebagainya.

Maka terserahlah kepada kita untuk menentukan kedudukan diri bagi menghadapi segala kemungkinan, kerana kematian yang akan menemui kita tidak mengenal batas usia seseorang, yang muda pun mati disebabkan jenayah yang berlaku akibat tidak mendaulatkan peraturan, undang-undang serta hukum-hukum yang ada dalam al-Quran.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Thursday, October 04, 2007

Keputusan pilihan raya kampus 2007/2008

Oleh: Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) - Pilihan raya kampus 2007/2008 telah menjadi sejarah walaupun terdapat satu episod lagi yang masih belum berakhir di Universiti Malaya.
Kumpulan Aspirasi nyata menguasai sebahagian besar IPTA namun tewas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan majoriti lapan kerusi.

Manakala promahasiswa di Universiti Putra Malaysia hanya mampu menambahkan satu kerusi berbanding prestasi mereka tahun lepas menjadikannya tujuh daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Pro mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia pula terpaksa berpuas hati dengan hanya empat kerusi yang diperolehi dari Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan berbanding 34 kerusi yang dipertandingkan.

Meskipun begitu, mereka meluahkan rasa tidak senang terhadap peraturan yang tidak membenarkan calon dan agen tempat pengiraan undi calon untuk masuk memantau ke pusat penjumlahan undi.

Kampus utara, Universiti Sains Malaysia pula menyaksikan Aspirasi berjaya mengalahkan promahasiswa dengan majoriti 29 kerusi.

Mereka juga menang selesa di Universiti Perguruan Sultan Idris meskipun terdapat perpecahan kumpulan Aspirasi.

Sementara itu, keputusan yang dinanti-nanti tentunya UM yang akan diketahui selepas pengundian semula dijalankan esok.

Baca selanjutnya...

Monday, October 01, 2007

Karnival Ibadah




Baca selanjutnya...

Saturday, September 29, 2007

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Tazkirah Ramadan: Nuzul Quran merubah sikap Muslim


Oleh: Ustaz Zain Hashim


Muslim dan al-Quran
Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Taâzir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.

Rujukan

1- Kaifa Nahya Bil Quran “ Nabih Zakariya Abd Rabbih “ Dar al-Haramain, Mesir “ 1983.

2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf “ Muhammad Rejab Farjani “Dar al-Itisom, Mesir 1976.

3- www.islamonline.net

4- www.islamweb.net

5- www.islam-qa.com


Baca selanjutnya...

Taktik keji gagalkan kemenangan bukan Aspirasi: UIAM buka pencalonan semula

Oleh: Intan Abdullah

Proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), seperti juga bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lainnya, telahpun disempurnakan semalam, 26 September, namun pengumuman terbaru petang tadi mengejutkan semua pihak.

Melalui notis yang ditandatangani Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, pihak pentadbiran UIAM memaklumkan bahawa proses pencalonan dibuka semula dan pelajar yang berminat untuk bertanding dalam PRK boleh mengisi borang untuk diserahkan pada hari penamaan calon, yang ditetapkan pada 30 September ini, iaitu hari Ahad.

Manakala hari mengundi tidak pula berganjak, iaitu ditetapkan pada 2 Oktober. Ini bermakna tempoh kempen yang dibenarkan tidak sampai pun dua hari.

Difahamkan, apabila penamaan calon ditutup semalam, sembilan calon kumpulan pro-mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding, dan ini memberi laluan mudah kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.

Kumpulan berkenaan hanya perlu menang lima kerusi sahaja lagi bagi meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, dengan makluman paling mengejutkan itu, kemenangan semua calon-calon yang menang tanpa bertanding itu dibatalkan secara automatik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk mengalahkan kumpulan bukan Aspirasi-Umno di UIAM, namun ia menemui kegagalan. Pihak Hal Ehwal Pelajarnya juga mengalami tekanan daripada Kementerian Pengajian Tinggi agar diusahakan apa jua cara bagi memenangkan kumpulan Aspirasi.

Langkah terbaru ini dilihat sebagai taktik paling kotor dan tidak bermaruah pihak UIAM, di bawah tekanan KPT, untuk bukan sahaja menimbulkan kekecohan, tetapi bagi memberi asakan kepada kumpulan pro-mahasiswa supaya memboikot pilihan raya kampus.

Berdasarkan keputusan PRK tahun lalu, hanya kampus UIAM gagal dikuasai kumpulan Aspirasi-Umno. Bagaimanapun Majlis Perwakilan Pelajar UIAM yang dibentuk itu tidak diiktiraf oleh pihak pentadbiran UIAM selama lebih empat bulan.

Copy dari: Harakahdaily.net


Baca selanjutnya...

Mahasiswa, lawan habis-habisan, kami akan membela anda

Oleh: Abdullah A Karim

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA tempatan sudah berlangsung pada 26hb September lepas dan pengundian akan dijalankan pada 2hb Oktober 2007.

Namun, tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pentadbir-pentadbir universiti, terutamanya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memastikan kemenangan mutlak parti pro Umno-BN, iaitu parti Aspirasi nampaknya sudah sampai ke tahap yang cukup menjijikkan dan tidak pernah terpikir oleh kita sebelum ini.

Bayangkan bagaimana di UIAM, parti Aspirasi sepatutnya telah kecundang seawal peringkat penamaan calon lagi disebabkan oleh kegagalan mereka mengemukakan calon-calon pada hari penamaan calon pada 26hb September 2007.

Parti We Unite for Islam (WUFI) sudah memenangi 13 kerusi tanpa bertanding (termasuk dua lagi kerusi yang mana calon Aspirasi telah dibatalkan pencalonan kerana melanggar peraturan kempen) dan hanya memerlukan satu (1) kerusi sahaja lagi untuk mendapat simple majority 14 kerusi dari 27 keseluruhan kerusi yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan (Kabinet Students Representative Council) bagi Sesi 2007/2008.

Namun, atas arahan dari 'tangan-tangan ghaib' yang dipercayai didalangi oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang sudah semestinya merupakan arahan langsung dari Umno, tidak semena-mena, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM dipaksa untuk mengeluarkan satu notis yang memaklumkan bahawa penamaan calon untuk pilihan raya kampus UIAM akan diadakan semula pada 1hb Oktober 2007 (Isnin)!!

Lihatlah betapa 'gilanya' Umno-BN yang berselindung menggunakan topeng KPT dan pentadbir UIAM untuk melaksanakan apa jua cara dan tipu muslihat, semata-mata untuk memastikan mereka dapat menawan kembali kampus UIAM.

Begitu juga di kampus UM, dimana terdapat 16 orang calon Aspirasi tidak layak bertanding disebabkan sudah berada di semester akhir pengajian, sedangkan peraturan pilihanraya UM mensyaratkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding mestilah mempunyai baki pengajian sekurang-kurangnya dua semester.

Kumpulan gabungan mahasiswa yang berlawan dengan Aspirasi mengemukakan bantahan dan sepatutnya Suruhanjaya Pilihanraya UM akan dengan mudah menerima bantahan tersebut dan memmbatalkan pencalonan 16 orang wakil Aspirasi tersebut oleh kerana ianya jelas berlawanan dengan peraturan pilihan raya yang digubal oleh UM sendiri.

Namun, SPR dan Timbalan Naib Canselor (HEP) menjadi begitu 'kecut' untuk membuat keputusan terhadap bantahan tersebut, sebaliknya mereka memberikan isyarat seolah-olah bantahan tersebut telah pun ditolak dan 16 wakil Aspirasi tersebut layak bertanding, walaupun jelas tidak mematuhi peraturan bertulis!

Bayangkan sekiranya parti gabungan mahasiswa yang mengemukakn calon yang tidak layak, saya amat yakin, aspirasi sendiri tidak perlu membuat bantahan. SPR akan awal-awal lagi menolak pencalonan tersebut tanpa perlu kepada bantahan.

Di kampus-kampus lain pula menunjukkan suasana yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lepas, iaitulah calon aspirasi bebas berkempen di dalam kampus, bahkan ditaja dan dianjurkan pula majlis kempennya oleh pihak universiti.

Sedangkan calon dari kumpulan lain diugut dan dilarang untuk masuk merayu undi di kolej-kolej kediaman dan asrama. Manakala para penyokong dan petugas terus diugut dan ditakut-takutkan.

Nampaknya, pentadbir-pentadbir universiti ini sudah menjadi semakin melampau dan semakin menurut apa sahaja arahan dari Umno.

Bukan lagi rahsia bahawa sebarang bentuk arahan politik dari KPT tidak perlu sangat kepada Menterinya untuk mengeluarkan arahan tersebut, namun cukup dengan panggilan telefon atau mesyuarat yang hanya dihadiri oleh Ahmad Ikmal Ismail, Pegawai Khas Menteri yang kebetulan merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno.

Si pencacai inilah yang menjadi antara perancang utama yang amat digeruni oleh hampir kesemua Naib Canslor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor IPTA..

Saya ingin ulangi seruan saya kepada parti-parti Barisan Alternatif dan NGO-NGO, kita jangan berselindung lagi. Marilah kita turut serta bergiat secara aktif dalam politik pelajar.

Semakin kita mengelak, maka semakin bobrok situasi di dalam kampus dan jangan harap produk kampus tempatan akan berani untuk menyokong kita apabila tamat pengajian kelak.

Umno-BN yang pengecut itu tidak perlu menunjukkan muka secara langsung disebabkan mereka memakai topeng KPT dan Hal-Ehwal Pelajar.

Mari kita 'bakulsampahkan' Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 itu yang telah sekian lama dijadikan bahan ugutan kepada pelajar supaya menjauhi kita, sedangkan Umno-BN telah 'memperkosanya' sejak dari dulu lagi.

Kepada mahasiswa, lakukan apa sahaja untuk menentang ketidakadilan dan diskriminasi sepanjang pilihan raya kampus sesi ini.

Kalau perlu berdemonstrasi, maka berdemonstrasilah dengan penuh berani.

Laksanakan kempen secara terbuka. Edarkan risalah-risalah anda secara terbuka.

Jika ada yang ditangkap atau didakwa di mahkamah universiti, jangan risau dan takut, kerana kami Pemuda PAS dan KeADILan akan membela anda.

Copy dari: Harakahdaily.net


Baca selanjutnya...

Thursday, September 27, 2007

Demonstrasi dan boikot besar-besaran pilihan raya kampus!

Oleh: Penganalisis Politik Kampus

2 Oktober 2007 adalah tarikh pilihanraya kampus (PRK). Tarikh keramat ini sepatutnya menjadi tarikh mahasiswa bergelanggang membuktikan bakat kepimpinan secara bebas dan gentlemen.

Malangnya dalam sebuah negara yang mendabik dada sebagai negara bebas dan demokrasi berparlimen ini, segalanya tinggal angan-angan sahaja.

Mahasiswa ternyata tidak sebebas dahulu lagi. Tidak sebebas dan sehebat di zaman Anwar dan Hishamudin Rais berpencak. Nikmat kebebasan tak mampu diulang kembali.

Makanya, untuk apa mahasiswa masih sanggup untuk digula-gulakan untuk berpilihanraya?

Untuk apa mahasiswa masih rela untuk diperbudakkan untuk dipermain-mainkan seumpama anak-anak patung?

Untuk apa mahasiswa pasrah untuk dijadikan bidak-bidak catur yang semuanya diremote control oleh Umno dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)?

Mahasiswa hari ini wajar sekali celik dan sedar hakikat yang berlaku ini.

Agenda utama mahasiswa kini bukan lagi rela dan pasrah untuk diperbudakkan, dipermainkan dan diremote control Umno dan KPT lagi. Itu bukan mahasiswa namanya!

Terlibat dalam PRK seumpama itu adalah satu kebodohan yang tidak boleh dimaafkan!

Kira dan bilanglah sendiri sudah berapa lama mahasiswa menanggung aib dan malu dengan kekalahan demi kekalahan. Kalah besar pulak tu! Ini semua hasil dari kongkongan dan penindasan dari Umno dan KPT? Tidak serik-serikkah lagi mahasiswa diperlakukan begitu? Bagi saya, mahasiswa tetap ada pilihan. Saya sebagai penganalisa setia dan berhubung rapat dengan KPT ingin memberi cadangan terhadap terhadap nasib dan masa depan mahasiswa. Saya mencadangkan dua pilihan yang utama kepada semua mahasiswa. Kecuali mahasiswa di UIAM.

Boikot dan Demonstrasi

Boikot adalah pilihan terbaik bagi menyatakan protes terhadap campurtangan yang sangat menjolok mata di kalangan Umno dan KPT. Boikot adalah lambang kekuasaan mahasiswa.

Ianya adalah kuasa memilih mahasiswa. Memilih untuk tidak terlibat dalam PRK samada mengundi atau menjadi calon. Hendak mengundi siapa lagi kalau sudah tahu kita akan kalah? Memilih calon-calon barua di kalangan Aspirasi Umno adalah satu dosa. Memilih untuk membuang masa di universiti semasa PRK adalah membuat kerja-kerja lagha yang ditegah mana-mana agama.

Maka, boikot adalah pilihan yang paling tepat kerana mahasiswa berjaya meluahkan rasa menyampah dan meluat terhadap kongkongan yang berlebihan terhadap mahasiswa dan pentadbiran universiti.

Kesan boikot yang menyeluruh akan membuka mata masyarakat luar terhadap kezaliman dan ketidakadilan KPT terhadap mahasiswa. Rakyat seluruhnya akan mula menyelami dan cuba memahami penderitaaan yang dialami oleh mahasiswa sekarang.

Masyarakat akan tertanya-tanya apakah sebab mahasiswa begitu berani memboikot pilihanraya kampus?

Namun boikot sahaja tanpa disususuli demgan demonstasi tidak akan ke mana. Ianya akan lebih berkesan sekiranya disusuli dengan demonstrasi pada tarikh keramat itu. Pada tarikh berlangsungnya PRK.

Bayangkan, di saat-saat mahasiswa lain sibuk mengundi, nun di sana terdapat ribuan mahasiswa yang lainnya pula memilih untuk mengadakan demonstrasi aman di hadapan istana-istana seluruh Malaysia.

Bertemu dengan canselor-canselor mereka menyatakan bantahan terhadap KPT dan Umno. Mahasiswa akan menjemput wartawan pro pembangkang bagi mendapat publisiti meluas dalam dan luar negara.

Demo dan menghantar memorundum secara beramai-ramai akan mencatatkan satu sejarah besar dalam perjuangan membebaskan mahasiswa dari belenggu penjajahan KPT dan Umno.

Rasional terhadap cadangan boikot dan Demo adalah mudah:

1. Sudah hampir 5 tahun semenjak KPT ditubuhkan, mahasiswa bukan pro kerajaan kalah berturut-turut.
2. Umno dan KPT secara menjolok mata memberi bantuan ribu kepada jentera dan calon Aspirasi Umno setiap kali PRK selepas KPT ditubuhkan (Wallahi ! saya bercakap benar!)
3. Cengkaman terhadap HEP oleh KPT bagi memenangkan calon Aspirasi Umno bukan rahsia lagi.
4. Calon dari mahasiswa bukan pro pembangkang kekurangan dana dan bantuan. Biasanya akan kalah.
5. Ugutan dan penipuan oleh HEP untuk memenangkan calon pro Aspirasi Umno adalah mainan bagi mereka.
6. Penglibatan TTNC HEP bekerjasama dengan pemuda Umno dan Puteri Umno bukan rahsia lagi.

Jika fakta-fakta yang diberikan di atas masih menyebabkan mahasiswa bukan pro Umno hendak bertanding juga, bagi kami orang yang dekat dengan kerja-kerja penipuan KPT akan tersenyum dan mengegeleng-gelengkan kepala, kerana apa?

Mengapalah bodoh sangat kita nak masuk bertanding padahal kita dah tahu CONFIRM akan kalah?

Semak dan muhasabah balik, berapa sangat dana yang kita ada? berapa kuat jentera kita dan siapalah yang nak bantu kita? Dan usah tanyalah dengan persiapan tarbiah kita.

Pandangan Dr Yusuf Al Qardawi dalam fikh aulawiyat perlu sangat dihayati oleh para mahasiswa.

Kerja utama mahasiswa adalah membuang ikatan tangan dan kaki. Bukan bertanding!

Fokuslah kepada bagaimana hendak dirungkaikan ikatan dan pasungan di kaki dan tangan yang semakin ketat ini. Bila sudah dibuka, barulah sedap hendak berpencak.

Hari ini dengan ikatan kaki dan tangan, lawan dengan mudah akan memaksa mahasiswa membuka mulut dan meludah ke dalam mulut.

Takkanlah setiap tahun mahasiswa akan muntah dek ludahan Aspirasi Umno? PRK kali ini bersediakah untuk diludah lagi?

Fokuslah untuk membuang ikatan tangan dan kaki! Kemudian barulah berfikir untuk masuk gelanggang dan berpencak silat atau bertinju.

Hakikat di depan kita hari ini PRK yang akan berlangsung tidak lebih dari Mike Tyson akan bertinju dengan Mustapa Mohamed yang diikat tangan dan kaki.

Dan kita masih nak tanya lagi soalan bodoh ini Siapa yang akan menang?

# Satu lagi yang utama ialah TARBIYAH BERTERUSAN wajar digembeling bersungguh-sungguh dan sistematik!

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner