Thursday, September 27, 2007

KPT hantar perisik ke HEP untuk menangkan Aspirasi!


Pilihan raya kampus semakin hampir. Pasungan dan ikatan kaki dan tangan mahasiswa semakin diperketatkan. Terbaru, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar "perisik-perisik" mereka untuk bertugas di semua universiti awam di Malaysia. Mereka merupakan kalangan lepasan pelajar yang kini aktif dengan Putera dan Puteri Umno.
Setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dibekalkan dua orang "spy" ini, yang bertujuan untuk membantu memenangkan calon-calon Aspirasi Umno dalam pilihan raya kampus (PRK) yang akan berlangsung 2 Oktober ini.

Surat makluman lantikan "barua-barua" Umno ini telah ditandatangani oleh Prof. Madya Dr Fauzi bin Hj. Ramlan dari Jabatan Pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi.

Pihak Naib Canselor universiti seluruh Malaysia dipaksa menerima mereka bekerja atas status "Pekerja Khidmat Singkat". Skop kerja "perisik-perisik" Umno yang dibayar gaji oleh kerajaan ini ialah bagi mengenal pasti pelajar-pelajar yang dilabelkan sebagai propembangkang dan kemudiannya menyerahkan nama mereka yang terlibat kepada KPT.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan bertanggungjawab mengenal pasti mana-mana staf IPTA yang terlibat dalam menyokong pelajar propembangkang dan nama-nama kakitangan itu akan diserahkan kepada pihak KPT. Memang mudahkan skop kerja seorang barua itu, ya?

Lihatlah bagaimana Umno mengeksploitasi sebuah kementerian dengan begitu menjolok mata sekali! Lihatlah bagaimana duit rakyat telah disalahgunakan dengan begitu menjijikkan sekali!

Lantikan mereka ini berkuatkuasa selama 6 bulan, bermula 1 Ogos 2007. Bayangkan kalau mereka digajikan minima RM1,500 untuk 42 orang, di semua 21 buah IPTA seluruh Malaysia selama 6 bulan!

Mungkin ada yang mengatakan, "Ah! Berapalah sangat ringgit Malaysia habis kalau hendak dibandingkan dengan salahgunakuasa Najib Razak dalam membeli jet Sukhoi?" Salahgunakuasa tetap salahguna kuasa. Bukan jumlah ringgitnya sahaja yang diambil kira. Islam tetap mengira setiap perbuatan itu walaupun hanya sebesar zarah!

Tak kisahkah kita dengan pembaziran wang rakyat telah disalahgunakan semata-mata untuk memenangkan calon Aspirasi Umno?

Inilah konspirasi peringkat tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah asuhan Mustapa Mohamed!

Pelik bin ajaib, apakah begitu sekali pencabulan kuasa yang dilakukan oleh KPT semata-mata takutkan budak-budak universiti? Sanggup melakukan perbuatan yang memalukan ini semata-mata untuk memenangkan calon Aspirasi Umno?

Semua mahasiswa dan warga kampus di seluruh IPTA boleh siasat sendiri adakah dakwaan ini palsu. Saya cabar semua warga IPTA membuat lawatan mengejut di setiap IPTA dan lihatlah sendiri ada dua orang "barua Umno" yang makan gaji buta dan semata-mata menghabiskan masa dengan bermain "game" dan berbual kosong.

Berani dan hebat sungguh Umno membantu anak-anak didik mereka di IPTA. PAS dan KeADILan nak tunggu apa lagi? Tapi janganlah tolong sampai kemaruk dan salahguna kuasa macam Umno!

Sudah sampai masanya seperti yang dianjurkan Abdullah Abdul Karim, anggota Exco Pemuda PAS, yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) untuk parti-parti pembangkang dan NGO membantu mahasiswa secara terbuka!

Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda KeADILan juga mengatakan cadangan penglibatan parti pembangkang ke dalam kampus ini sangat menarik untuk diberi perhatian tinggi oleh pimpinan pembangkang.

Beliau juga pernah bertanding atas tiket Aspirasi Umno di UIAM pada pilihan raya sesi 1996/7 dan Aspirasi ketika itu menang di UIAM tanpa bantuan Umno. Apa masalah sebenar sehingga Umno sekarang begitu beria-ia benar untuk campur tangan politik kampus? Adakah calon Aspirasi Umno sekarang sah pondan?

Saya berani bersumpah dengan nama Allah bahawa perlantikan pekerja khidmat singkat oleh Jabatan Pengurusan IPT ini adalah bertujuan untuk membantu Aspirasi Umno menang dalam pilihan raya kampus secara tidak beradab.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

UIA jual borang pencalonan tanpa notis pembubaran

Oleh: Intan Abdullah

Walaupun Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor IPTA telah membuat pengumuman rasmi pembubaran semua kabinet Majlis Perwakilan Pelajar pada 24 September lalu dan hampir semua kampus di Lembah Klang telah mempamerkan notis pembubaran di papan kenyataan IPT,namun hal sedemikian tidak berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut sumber, apa yang lebih menimbulkan kesangsian ialah sejak semalam borang pencalonan telah dijual kepada mahasiswa.

Ia telah menyebabkan ada sebilangan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan situasi terbabit.

Difahamkan, pilihan raya MPP UIAM akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, iaitu We Unite For Islam (Wufi), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta Aspirasi.

Pada PRK yang lalu, kumpulan Wufi telah berjaya membentuk kerajaan mahasiswa dengan memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan.

Namun, hak mereka sebagai MPP dinafikan apabila ia ditangguhkan pengesahan kabinetnya selama lebih empat bulan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UIAM.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Pilihan raya kampus: UPM akhirnya akui salah rampas laptop siswa

Oleh: Intan Abdullah & Wan Nordin Wan Yaacob

Pihak pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam mengaku kesilapan mereka ketika merampas barang-barang peribadi milik mahasiswa tahun pertama, Yee Yang Yang.

Dalam pertemuan dengan wakil-wakil NGO dan mahasiswa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM jam 11 pagi semalam, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Abdullah Arshad berkata beliau mengakui terdapat kesilapan berhubung tindakan yang diambil oleh pihak universiti.

Pengarah Jabatan Keselamatan UPM, Mejar Othman Jailani berkata siasatan berhubung kes rampasan barang-barang peribadi Yee telah pun siap dijalankan.

Walau bagaimanapun, disebabkan Yee telah melaporkan kes tersebut kepada polis maka semua barang-barang beliau telah diambil oleh pihak polis.

"Tetapi, sekiranya Yee menarik kembali laporan tersebut daripada pihak polis, mungkin kami (Jabatan Keselamatan) akan dapat membantu mendapatkan semula barang-barang beliau," tegasnya lagi.

Dalam perbincangan tersebut juga, wakil-wakil yang hadir mendesak supaya pihak universiti memulangkan semula barang-barang Yee yang dirampas tanpa sebab secara bertulis.

Layanan bawah pokok

Perhimpunan anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut membabitkan lebih daripada 50 orang daripada pelbagai pertubuhan itu bermula pada jam 9.30 pagi di perhentian bas di depan fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Mereka kemudiannya bergerak menuju ke pejabat pentadbiran universiti, dengan membawa sepanduk 'Hentikan keganasan Pegawai', 'Pulangkan harta mahasiswa', tetapi ia dihalang sejurus tiba di pintu masuk kampus.

Pihak Jabatan Keselamatan memaklumkan bahawa wakil Naib Canselor, Abdullah Arshad dalam perjalanan untuk menemui delegasi mahasiswa dan NGO tersebut di sebuah rumah, berhampiran pintu masuk kampus utama UPM.

Akan tetapi, sebaik wakil NC tiba untuk sesi penyerahan memo pada jam 10.30 pagi, delegasi sekali lagi diarak ke rumah yang dikatakan dan mereka dikejutkan dengan lokasi 'bawah pokok' yang telah dipilih oleh pentadbiran universiti untuk mengadakan urusan terbabit

Mengulas 'layanan' yang ditunjukkan oleh pihak UPM tersebut, wakil-wakil NGO dan mahasiswa yang datang menganggap ia adalah satu bentuk penghinaan terhadap objektif utama kedatangan mereka.

Lalu, beberapa pegawai yang turut serta bermesyuarat seketika sambil diperhatikan oleh seluruh delegasi termasuk wakil-wakil media serta pegawai-pegawai polis.

Tidak lama selepas itu, pada jam 11 pagi mereka berarak lagi ke Fakuliti Bahasa Moden dan Komunikasi untuk meneruskan perbincangan dan penyerahan memorandum.

Universiti hanya berani buli mahasiswa

Penyerahan memorandum dibuat Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan kepada wakil NC, Abdullah Arshad dengan disaksikan oleh wakil-wakil NGO dan parti politik yang hadir.

"Bagaimana pihak universiti boleh tahu isi kandungan lapotop tersebut sedangkan kata laluan atau passwordnya tidak diberikan oleh pemiliknya?" ujar Ketua Unit NGO, DAP, Ronnie Liu.

Beliau turut hairan berhubung tindakan pihak keselamatan dan pentadbiran universiti yang merampas barang peribadi mahasiswa sedangkan tidak ada sebarang siasatan dibuat sebelum itu untuk mensabitkan sebarang kesalahan kepadanya.

"Ini sudah menyalahi prosedur. Atau mereka ini bertindak tanpa prosedur? Malulah kalau universiti yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan negara bersikap sedemikian," ujarnya nada kekecewaan dalam perbincangan tersebut.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak pentadbiran universiti yang bersikap tidak profesional.

"Mereka hanya berani membuli mahasiswa, tapi kami akan membela mereka," ujatnya lagi.

Ronnie juga menggesa agar pihak universiti membuat siasatan dalaman yang menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian ini.

Wakil Jerit, Kohila berkata tindakan pihak keselamatan UPM telah menyebabkan mahasiswa sendiri hilang kepercayaan terhadap kredibiliti mereka yang seterusnya akan menjejaskan nama naik universiti.

Beliau juga berharap pihak pentadbiran universiti tidak campurtangan dalam urusan pilihan raya kampus seterusnya memberikan hak kepada mahasiswa untuk menentukan sendiri pemimpin yang mereka kehendaki.

Taktik kotor Aspirasi

Sementara itu, pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syeikh Omar Ali berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat 'arahan daripada pihak tertentu' berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor UPM mengenai insiden rampasan barang Yee.

Apa yang berlaku ujarnya adalah jelas bertentangan dengan hak asasi manusia serta mengancam keselamatan mahasiswa.

Memorandum yang dikemukakan, mereka menuntut agar Ketua Unit Tugas Khas (UTK) Zamali Samsi memohon maaf secara terbuka kepada Yee atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan

Pada 14 September lalu, laptop, telefon bimbit, mp4, serta dua pendrive yang bernilai lebih RM500 telah dirampas oleh pegawai keselamatan UPM dalam satu operasi siasatan kolej 13, UPM.

Walau bagaimanapun sehingga kini, tidak ada sebarang dakwaan bertulis yang dikemukakan kepada beliau berhubug tindakan tersebut.

Namun, wakil Barisan Mahasiswa Bersatu berkata mereka percaya ia adalah satu taktik kotor yang dirancang oleh pihak Aspirasi yang berkompromi dengan pentadbiran universiti.

Copy day: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

UIAM bakal saksi pertandingan 3 penjuru?

Oleh: Intan Abdullah

Seawal jam 9 pagi tadi(26Sept), serentak di seluruh negara, semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memulakan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kampus (PRK) 2007 dan hampir semuanya berjalan lancar.

Perhatian kali ini lebih tertumpu kepada satu-satunya kampus yang dikuasai oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai pro-mahasiswa di Lembah Klang, yakni bukannya kumpulan bukan Aspirasi-Umno (GPMS), iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Situasi pencalonan berjalan dengan lancar meskipun terdapat sedikit keraguan terhadap seorang 'calon' yang muncul di saat akhir bagi menyertai pertandingan 29 kerusi peringkat kuliyyah melibatkan kampus cawangan Bandar Muazzam Shah, Kuantan Pahang.

Sungguhpun begitu, menurut sumber, PRK kali ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu membabitkan golongan Aspirasi-Umno, kumpulan pro-mahasiswa serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Sementara di beberapa kampus-kampus lain pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu, antara kumpulan pro-mahasiswa menentang kumpulan Aspirasi-Umno.

Manakala di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia pula, kira-kira 400 mahasiswa berarak menuju ke tempat penamaan calon sambil membawa bendera dan sepanduk kumpulan masing-masing.

Bagi kumpulan Aspirasi-Umno, mereka dibayangi oleh sokongan jawatankuasa kebajikan kolej-kolej kediaman yang berpakaian serba hitam sambil membawa bersama kompang untuk menarik perhatian masyarakat kampus.

Namun, menurut sumber, terdapat calon-calon pro-mahasiswa di UPM, yang diugut serta dikecam oleh pengetua-pengetua kolej, agar menarik diri daripada terlibat dalam PRK.

Meskipun di semua IPTA lain kadar maksimum deposit calon hanya RM50, malah ada serendah RM10, tetapi pihak UPM mengenakana bayaran sebanyak RM100 bagi setiap pencalonan.

Tinjauan IPT di utara semenanjung mendapati terdapat unsur provokasi menakut-nakutkan calon dengan aksi beberapa individu merakamkan foto mahasiswa yang turun mengikuti sesi penamaan yang dijangka berakhir 3 petang ini.

Sesi rapat umum calon membentangkan manifesto mereka pula akan dijalankan pada 27, 29 September dan 1 Oktober akan datang.

Sumber juga memaklumkan bahawa beberapa individu yang tidak dikenali berkeliaran memantau perjalanan situasi kampus Universiti Teknologi Malaysia khususnya pejabat Hal Ehwal Pelajar sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Dipercayai bahawa mereka dihantar khusus oleh Unit Cawangan Khas Polis yang bergerak dengan berpakaian biasa supaya kehadiran mereka tidak disedari.

Keseluruhannya, senario penamaan calon hari ini ternyata mendapat sambutan yang dingin daripada masyarakat kampus di seluruh negara, yang hanya melibatkan kelompok kecil komuniti universiti.

Proses penamaan calon juga berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang unsur provokasi yang mengundang kekecohan di mana-mana IPTA.

Apa yang dikesali, insiden-insiden ugutan dan kecaman masih mewarnai perjalanan PRK yang sewajarnya lebih adil dan bersih, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

HEP tidak layak jadi SPR pilihan raya kampus

Oleh: Nasrudin Hassan Tantawi

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap situasi politik kampus yang dicabuli habis-habisan oleh agen-agen kerajaan Umno-Barisan Nasional khususnya menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di seluruh negara bermula dengan pembubaran MPM sessi 2006/07 pada 24 September 2007.

Siri-siri ugutan dan ancaman kepada mahasiswa kumpulan 'pro-mahasiswa' berlaku secara terancang dan konsisten seperti terbaru yang berlaku di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya ibarat sebagai permulaan kepada skrip konspirasi untuk melanyak 'standard' pilihan raya kampus sehingga tahap yang paling bawah.

Kami melihat kelangsungan tradisi campurtangan yang langsung dan serius daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berterusan pada tahun ini dengan menghantar staf-staf khusus dengan misi memenangkan kumpulan ASPIRASI dalam pilihan raya kampus yang akan datang.

Ternyata KPT di bawah Dato' Mustapa Mohamed langsung tidak berminat untuk melihat para mahasiswa menunaikan hak mereka untuk memilih dan dipilih dalam pilihan raya kampus yang akan datang secara bebas dan adil .

Kami melihat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang ditugaskan sebagai SPR bagi pilihan raya kampus langsung tidak mempunyai kredebiliti untuk mengendalikan pilihan raya kampus.

Para pegawai tertinggi HEP terbukti telah diprogramkan sebagai salah satu faktor memenangkan kumpulan Aspirasi melalui siri pertemuan dengan Menteri dan Setiausaha Parlimen KPT dan dihadiri wakil tetap daripada Umno.

Bahkan berdasar laporan-laporan pilihan raya kampus yang lepas , para pegawai HEP secara terang-terangan membuli kelompok mahasiswa bukan Aspirasi dengan pelbagai sekatan yang tidak demokratik.

Kami menganggap perubahan tempoh berkempen dari 3 hari kepada 6 hari seperti yang diumumkan hanyalah sandiwara untuk menutup kepincangan dan ketempangan perjalanan pilihan raya kampus kali ini.

Apalah makna sekiranya tempoh kempen dipanjangkan tetapi ruang untuk semua calon yang berkempen secara bebas kepada semua calon yang bertanding disekat secara terpilih.

Adalah sangat malang jika rangking universiti-universiti tempatan menjunam di peringkat antarabangsa, HEP terus merendahkan daya fikir dan gerak tindak mahasiswa dengan menghadkan kebebasan politik mahasiswa secara total.

Justeru itu , kami menuntut agar Jawatan Kuasa bebas pemantauan pilihan raya kampus ditubuhkan terdiri daripada wakil Persatuan Kakitangan Akademik Universiti (PKAU) untuk memantau perjalanan pilihan raya kampus yang akan datang.

DPPP juga menuntut agar pihak Suhakam dibenarkan untuk mengawasi perjalanan pilihan raya kampus pada kali ini bagi memastikan wujudnya sedikit unsur 'semak dan imbang' dalam perlaksanaan pilihan raya kampus di seluruh negara.

Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Exco MPP Aspirasi sibuk berpacaran, lupa kebajikan siswa

Oleh: Ali Bukhari Amir

Persekutuan, kompromi dan konspirasi antara bani-bani Hep, kabilah-kabilah Aspirasi dan rabai-rabai Yahudi daripada KPT semakin menjadi-jadi. Saya ambil istilah Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Noor yang menggunakan istilah "Pakatan Ahzab" bagi menggambarkan kompromi Umno-MCA-MIC dalam mendepani kemaraan PAS.

Untuk lebih adil, biarlah saya berterus-terang juga. Bahawa, istilah ini juga turut dipakai seorang penulis berhaluan Sosialis di negara kita ini. Untuk sementara, izinkan saya meminjam istilah ini daripada mereka, guna melunaskan geram yang mendekam sebagai sekam membara dalam hati.

Dan, saya memohon maaf kerana ada istilah yang kasar sebagai tajuk di atas. Apabila menulis ini pun, emosi saya tak tenteram dan gelodak jiwa makin tidak terkawal. Dendam pun kian menebal. Pada saat ini juga saya menerima kiriman sms daripada teman-teman:

"Salam. Penamaan calon hari ini dan ada perarakan pro-mahasiswa. STUDENT POWER!"

Iklan Bicara Siswa

Pagi ini juga saat menonton program Selamat Pagi Malaysia saya terlihat iklan Bicara Siswa (BS) yang topiknya membincangkan hal kemajuan dan kegemilangan universiti. Ia akan diadakan pada Jumaat ini (malam Sabtu). Kalau tidak silap, biasanya BS ditayangkan pada Sabtu malam.

Saya jadi keliru kerana kadangkala BS ada, dan kadangkala ia ditiadakan bagi memberikan laluan kepada tayangan acara tv bola sepak yang disiarkan secara langsung.

Tiba-tiba BS muncul semula di celah-celah kegawatan PRK kali ini. Ertinya, Bani HEP dan rabai-rabai KPT sedang mengguna Aspirasi bagi tujuan memeriahkan PRK kali ini untuk menonjolkan siswa yang pro-kerajaan.

Jadi, ketika menulis ini, saya tidak tahu sejauhmana parti pembangkang memanfaatkan perarakan STUDENT POWER di Universiti Malaya sekarang ini. Adakah mereka turun memberi sokongan atau tidak? Wallahu'Alam. Mungkin ada pihak yang boleh memberikan jawapannya.

Jadi, sedang saya menulis ini, mungkin beberapa kelompok mahasiswa tertindas sedang berjuang dan membela nasib mereka sendiri, setelah mereka tak betah lagi memperjuangkan isu-isu rakyat. Mungkin kurang pengalaman. Ah! Hal itu boleh kita bahaskan kemudian.

Keutamaan, awlawiyyat kini ialah meriwayatkan hikayat Bani HEP dan ceritera Kabilah Aspirasi yang menuba benih-benih legasi Student Power di universiti-universiti awam.

Setakat ini, rasanya mereka berjaya. Di USM misalnya, tahun lalu dengarnya kita kurang lelaki sebagai pimpinan. Ini petanda buruk. Saya harap tahun ini akan ada perubahan.

Di UPM, Angkatan Muda Keadilan mengadakan percubaan memasuki kawasan kampus. Mereka dipantau oleh pegawai keselamatan dengan angka yang ramai juga. Sebenarnya tujuan "ziarah" itu hanyalah untuk menyerahkan memorandum kepada TNC HEP UPM Dr Azali.

Derita berpanjangan

Alkisahnya, setelah kumpulan pro pelajar dibentuk di UPM, kenderaan salah seorang pimpinannya diwarnakan dengan cat kuning dengan "percuma".

Masalahnya, kelompok pengkhianat itu "tersilap" mengecat; di bahagian tempat duduk motor yang tidak boleh dicat itulah yang dikhianatinya.

Tuhan telah mengecat hati mereka dengan warna hitam sebelum mereka memberikan warna negatif kepada siswa yang mereka gelar sebagai pro pembangkang. Hati yang hitam tidak akan mengenal lagi perbezaan antara halal haram, kebaikan dan keburukan.

Segala yang dideritai Student Power kini; Wan Afifi ditampar, Khalila Bakri yang dikasari ketika beliau bangun qiamullail, Hilman yang dirampas komputer ribanya adalah jelmaan peristiwa lampau di mana perang antara kabilah dan bani-bani ini sedang meletus ke atas Muslimin di bumi Makkah.

Seolah-olah, gambaran peristiwa lalu menjelma; Bilal bin Rabah ditampar, Mus'ab bin Umair dan Sumayyah ditindas pada awal-awal kebangkitan Islam. Jika mereka tabah menggalas fitnah dan terus perjuangkan semua ini selepas berijazah, ganjaran besar Allah memberi.

Ada maklumat tiba ke pengetahuan saya yang menuntut Bani HEP - Kabilah Aspirasi menjawabnya jika tak keberatan. Iaitu hal penyalahgunaan pejabat MPP khasnya oleh exco tertinggi MPP. Benarkah pejabat MPP UPM menjadi tempat tidur oleh exco tertinggi MPP di universiti berkenaan?

Menurut kenyataan segolongan mahasiswa yang menggelar diri mereka sebagai Mahasiswa Prihatin SeMalaysia (GMPS), hal ini juga tidak sampai ke pengetahuan universiti. Harap dapatlah universiti memberikan responnya.

Selepas MPP dibubarkan Isnin lalu (24 September) dalam tinjauannya GMPS mendapati motor salah seorang exco tertinggi badan induk pelajar itu masih diletakkan di suatu sudut di depan pejabat MPP.

Adakah setelah MPP dibubarkan bilik pejabat masih beroperasi lagi? Menurut GMPS, motor itu telah diletakkan di situ sejak sebulan sebelum ini.

"Pejabat MPP yang sepatutnya dibuka kepada mahasiswa untuk mengadu masalah kebajikan akhirnya ditutup," kata seorang wakil GMPS Abdul Hakim Abdullah.

Tambahnya, masalah ini yang menyebabkan MPP Aspirasi gagal berfungsi untuk perjuangkan isu parking pelajar dan hal kebenaran membawa kenderaan pelajar di kampus.

Tandus intelektualisme

Acara hiburan menjadi keutamaan. Acara intelektual tidak dirancang. Mereka gemar berhibur. Battle Of the Band, adalah antara ramuan utama dalam konvo UPM.

"Bayangkan bagaimana Exco Kerohanian MPP menari dan berkaraoke dengan wanita berusia. Belum lagi hal bekas pimpinan Aspirasi yang ada hubungan cinta sesama mereka dan keluar berpeleseran tanpa memikirkan kedudukan mereka sebagai role model kepada pelajar lain.

"Ini berbeza dengan generasi terdahulu. Kita melihat bagaimana MPP pro pelajar menyuarakan hak pelajar. Mereka berjaya mendesak penurunan kadar riba PTPTN kepada 3%," kata beliau.

Abdul Hakim berkata, kumpulan Aspirasi gagal berfungsi dengan baik, hatta hal mudah seperti tugas menurunkan banner program pun tidak dapat diuruskan. "Banner program Carnival PC sudah hampir satu sesi digantung. Dari semester lepas hingga tiba Carnival PC baru, banner itu masih di situ.

"Kami dapat maklumat ini daripada MPP Aspirasi sendiri yang tak puas hati dengan kepimpinan yang ada. Dan, mereka ini tak sanggup bersubahat dengan ketidakadilan," tambah Abdul Hakim.

Aliran kepenggunaan wang kolej kediaman

Sementara itu, menyentuh isu aliran kepenggunaan wang di kolej kediaman di Universiti Malaya, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syekh Omar menjelaskan bahawa hal ini turut mewujudkan kesulitan dalam kalangan pelajar yang membabitkan keselesaan mereka di kampus.

"Alasannya, untuk pembangunan kolej. Tapi yuran itu ke mana perginya? Kita hairan mereka ada banyak kereta, rumah di Damansara. Tapi, mereka tidak lantik pengurus domestik yang menyelia permasalahan kolej kediaman dan sebagainya.

"Pengetua Kolej ke-3 pernah berdepan dengan persoalan yang menyentuh yuran kolej kediaman yang tinggi yang dibangkitkan oleh kalangan warga kolej," jelas Syekh Omar.

Beliau risau ada pihak tertentu yang mengaut keuntungan daripada yuran kolej kediaman dengan menempatkan empat orang dalam sebuah bilik, di mana kadar sewa bilik itu adalah RM10 sehari.

"Walhal sepatutnya, setiap bilik adalah untuk dua orang saja. Selain itu, jika kebakaran berlaku tentu pihak bomba salahkan pihak atasan kolej. Ini kerana peraturan yang dibenarkan berdasarkan keluasan bilik itu adalah terhad kepada dua orang sahaja," kata beliau.

Tindakan meletakkan empat orang pelajar dalam sebuah bilik yang cuma memuatkan dua pelajar ini, disifatkan Syekh Omar sebagai "penjajahan bentuk baru" dalam kampus yang perlu dibanteras.

"Penjajah dahulu mengenakan cukai tinggi dan berlebihan ke atas orang tempatan. Kami pejuang kemerdekaan telah dicerca, diugut, dipukul, dirosakkan hak milik dan sebagainya. Tapi, berundur tidak sekali," katanya.

Menyentuh hal demokrasi yang diperjuangkan SMM, beliau berkata pilihan raya kampus (PRK) perlu bersih dan adil kerana ia mendedahkan kepada pelajar mengenai pengendalian demokrasi negara melalui pengundian.

Mahasiswa perlu celik demokrasi dan dapat menemui sesiapa saja atas kesedaran demokrasi. SMM sebagai forum mewakili semua badan mahasiswa amat prihatin soal demokrasi ini.

Campur tangan ketara

”Kesedaran demokrasi dalam konteks PRK perlu difahami semua mahasiswa kerana sistem PRK yang adil sudah pasti melahirkan pemimpin yang adil. Demikianlah sebaliknya.

Namun, realiti mutakhir ini menyaksikan wujudnya kelompangan yang parah dalam PRK akibat campur tangan dalam sistem demokrasi kampus. Lalu, bagaimana SMM mendepani hal ini?

"Bagi memastikan PRK berjalan secara adil, SMM menyerahkan memorandum ke KPT meskipun Menteri Pengajian Tinggi, Dato Mustapa Mohamed enggan bertemu kami. "Kemudian menyusul perarakan pelajar ke Suhakam dan pertemuan SMM dengan Kaukus Hak Asasi Manusia bersama Datuk Nazri Aziz," kata beliau.

Namun, bagi Syekh Omar, ada suatu masalah unik yang perlu diberi perhatian khusus mengenai status Aspirasi. Iaitu, status "pertubuhan" Aspirasi sebagai suatu pertubuhan haram kerana tidak didaftarkan secara sah di dalam mana-mana universiti.

"Ia (Aspirasi) ditaja oleh pihak luar kampus. Mereka tuduh kita sebagai pro pembangkang dalam masa yang sama mereka tutup pekung sendiri kerana mereka juga ada kaitan dengan parti politik luar.

"Mereka risau pro pelajar membersihkan pengaruh ketidakadilan yang menyelubungi pentadbiran berkaitan pelajar. Aspirasi serang PMI walhal Aspirasi bukan pertubuhan berdaftar. Mereka tuduh PMI agen Yahudi di UM," jelas beliau lagi.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa Aspirasi adalah badan haram yang menyerang kumpulan berdaftar lain.

"Justeru, golongan ini bukanlah pro idealisme universiti seperti yang mereka laung-laungkan," kata Syekh Omar.

Perang-perang antara kabilah HEP, bani-bani, suku kaum Aspirasi ke atas mahasiswa pro pelajar akan berlarutan dalam tempoh yang tak dapat dijangkakan.

KPT akan terus berfungsi sebagai rabai Yahudi yang menggubal Auku bagi menyempitkan laluan denai demokrasi kampus termasuklah mengetatkan kebebasan akademik kaum pensyarahnya.

Pembangkang pun tak peduli

Dalam sirah agama-agama Samawi, hanyalah pendeta rabai Yahudi yang berani campurtangan dalam urusan memindahkan firman dan surah Tuhan demi kepentingan mereka.

Tapi, Tembok Besar China dan Tembok Berlin yang harus juga direbahkan dari jiwa pro pelajar ialah, bolehkah mereka bersuara dalam Parlimen untuk menentang Menteri Pengajian Tinggi setelah berentap di luar Parlimen?

Atau, sejauhmanakah mereka dapat menyedarkan pembangkang untuk peduli isu demokrasi kampus? Atau, setidaknya membawa senior untuk beraksi, berdemo di luar kampus untuk menekan Bani HEP.

Adakah diberi ruang kepada siswa untuk beraksi dalam PRU, agar mereka dapat mewiridkan Laporan Penyelewengan PRK kepada Suhakam di depan Agong? Di sana, pelajar dapat memerangi rabai KPT untuk batalkan Auku di Parlimen.

Kata H Fansuri, tak dapat bersuara dalam Parlimen, jadi Senator di Dewan Negara pun jadilah. Tiada rotan, akar pun berguna juga. Tepuklah gendang PRK, nescaya kompang PRU-Bersih berbunyi jua.


Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

PRK UM: TNC HEP collapse bila diasak pelajar!

Bahang pilihan raya kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) terasa sudah panas seawal hari penamaan calon semalam, 26 September 2007.

Kali ini pertempuran dengan Aspirasi di UM bukan sekadar melibatkan lawan tradisi mereka Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (Gagasan) tetapi juga calon-calon bebas yang secara 'consensus' membuat pakatan menghadapi Aspirasi dalam pertandingan dua penjuru di 13 daripada 16 fakulti.

Setakat tamat sesi penamaan calon, calon-calon yang menawarkan diri di tiga fakulti secara tidak rasmi menang tanpa bertanding.

Kedua-dua calon Aspirasi menang tanpa bertanding di kedua-dua kerusi di Pusat Kebudayaan.

Kerusi-kerusi di Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Undang-undang telah dimenangi secara percuma oleh calon-calon bukan Aspirasi.

Pelajar Undang-undang mengajar 'Ayahanda'

Kekecohan mula tercetus dalam majlis taklimat pilihan raya kampus yang turut dihadiri oleh 'Ayahanda' Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof. Madya Dr Azarae Hj Idris selaku Pengerusi Suruhanjaya Plihan Raya(SPR) kampus.

Seorang calon yang merupakan pelajar Fakulti Undang-undang membangkitkan semula bantahan yang dibuat terhadap lima orang calon kawasan umum tajaan Aspirasi yang sudah berada pada tahun akhir pengajian masing-masing.

Beliau membangkitkan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Universiti Malaya (P.U. (A) 107/97), seksyen 52(4) yang menyatakan bahawa:

"The members of the Undergraduates' Representative Council and its office bearers shall be elected for one year."

Seterusnya beliau membangkitkan definisi terma 'Pelajar Berdaftar' iaitu Seksyen 52(18) yang menyatakan:

"For the purpose of this section, 'registered student' means a student who is following a course of study in the University for a degree or a diploma, not being a post-graduate diploma, and includes a student who is a holder of a diploma and is following a course of study of a degree:

Provided that a student shall cease to be a registered student within the meaning of this subsection-

1. upon the publication of the result of the final examination for such course of study, if he passes such examination;"

Ini bermakna, menurut beliau, sekiranya calon-calon yang berada pada tahun akhir pengajian dibenarkan bertanding, tempoh mereka berada dalam MPP sekiranya menang, tidak sampai setahun.

Hal ini bertentangan dengan peruntukan dalam perlembagaan Universiti. Beliau juga membangkitkan, adakah universiti sehebat UM menggalakkan budaya extend pengajian di kalangan pelajar tahun akhir tanpa sebarang alasan yang munasabah.

'Ayahanda Collapse', Aspirasi panik

Seorang demi seorang calon dan wakil-wakil calon bertubi-tubi mengajukan perkara yang sama kepada 'Ayahanda' TNC HEP dan jawatankuasa SPR kampus.

Ayahanda sememangnya tidak mampu menjawab langsung soalan-soalan yang diajukan sehingga bangun seorang pelajar, mencabar semua calon-calon yang berada di tahun akhir secara sukarela menarik diri daripada bertanding kerana tidak menepati syarat kelayakan untuk bertanding.

Kumpulan Aspirasi kelihatan tersentak kerana daripada perkiraan rambang lebih daripada 15 calon mereka adalah pelajar tahun akhir!

Kegagalan jawatankuasa pemilihan untuk membuat keputusan memaksa Naib Canselor UM membincangkan perkara ini dalam mesyuarat senat universiti yang diadakan esok untuk membuat keputusan terhadap bantahan yang dikemukakan oleh calon-calon pilihan raya kampus.

Persoalannya apakah Senat mempunyai cukup keberanian untuk melucutkan kelayakan 15 orang lebih calon Aspirasi daripada bertanding dalam pilihan raya kampus kali ini?

Kepada pejuang-pejuang muda di kampus, ayuh kita lanyak kebatilan dan menyanggah kezaliman!

Biar putih tulang, jangan putih mata!

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Thursday, September 20, 2007

Mayat dalam beg sah mayat Nurin Jazlin


PETALING JAYA 20 Sept — Polis hari ini mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

Saya ayah Nurin... Saya lebih mengenali anak saya dari semua orang.

Dalam hati saya berkata mayat itu bukan anak saya.

“Jika polis suruh saya ambil mayat tersebut, saya akan terima, saya akan mandikan dan akan mengebumikannya. Tetapi saya hendak polis teruskan usaha mencari Nurin kerana saya tahu Nurin masih berada di luar sana dalam keadaan selamat,” kata Jazimin kepada pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jazimin juga berkata, beliau pasti mayat itu bukan anaknya berdasarkan keadaan gigi dan parut yang dipunyai oleh Nurin.

Nurin, katanya, mempunyai kedudukan gigi yang rapat dan mempunyai parut akibat luka di pangkal pehanya

Jazimin berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut.

Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35 telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.

Norazian yang kelihatan sugul ketika ditemui pemberita berkata, beliau rela menerima sebarang keputusan pihak berkuasa.

“Apa lagi yang boleh saya kata. Keputusan DNA menunjukkan itu anak saya. Saya reda dengan kehendak Ilahi.

“Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami,” katanya dengan linangan air mata.

Norazian berkata sekiranya Nurin Jazlin selamat ditemui, perayaan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini adalah yang paling bermakna dalam hidupnya.

Malah pakaian raya untuk Nurin Jazlin sudahpun dibeli dan “saya tetap akan menunggu kepulangannya,” katanya sebak.-Bernama

p/s: Si ayah masih tak mengaku...hmm...!!??? Al-Fatihah buat mangsa...

Baca selanjutnya...

Pilihanraya Kampus 2007 pada 2 Oktober ini!


Oleh: Intan Abdullah


KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Pelbagai pihak cuba berteka teki tarikh pilihan raya kampus bagi sesi 2007/2008. Namun, ia disangkal oleh pelbagai pihak yang cuba untuk menutup jejak dan strategi yang sedang digunapakai dalam 'peperangan' ini.

Harakahdaily mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa tarikh PRK akan diadakan pada 2 Oktober, iaitu dua minggu sebelum umat Islam merayakan hari raya Aidilfitri.

Ini bermakna hari penamaan calon adalah pada 24 September, yang memberi peluang kepada semua calon untuk berkempen selama seminggu.

Dalam pada itu, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pembubaran kabinet mahasiswa adalah pada 21 September ini iaitu esok.

Tindakan itu selaras dengan semua kampus lain yang akan menjalani hari pembuangan undi pada tarikh yang sama.

Sebelum ini, pelbagai pihak cuba membuat andaian, termasuklah berita terbaru yang menyebarkan bahawa PRK akan dijalankan pada 27 September ini. Tetapi maklumat tersebut dinafikan oleh pihak pentadbiran universiti berkenaan yang menyatakan ia adalah maklumat palsu.

PRK 2007 diwarnai dengan pelbagai insiden menarik yang dimulai dengan tuntutan mahasiswa terhadap perjalanan PRK yang bersih dan adil kepada beberapa pihak yang berkuasa seperti Kementerian Pengajian Tinggi(KPT), Suruhanjaya hak Asasi Manusia(Suhakam) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Parlimen Malaysia(Kaukus).

Suhakam menyambut baik hasrat mahasiswa tersebut, sekadar boleh menyuarakan tuntutan mereka kepada pihak yang berkuasa, namun mereka tetap tidak dibenarkan masuk ke kampus untuk memantau perjalanan PRK.

Apabila dirujuk kepada Kaukus pula, mereka menyatakan bahwa ia bukan bidang kuasa mereka dalam nada menyokong tuntutan yang diperjuangkan kelompok mahasiswa tersebut.

Tidak cukup dengan itu, kampus dikejutkan dengan insiden geledah bilik, rampasan barang persendirian, sabotaj kenderaan, notis dan sms ugutan, tindakan buang kolej dan pelbagai lagi yang merancakkan pertembungan antara kumpulan Aspirasi dan pro-mahasiswa di seluruh kampus.

Anehnya, pihak KPT masih berdiam diri, kelu tanpa sebarang reaksi terhadap rungutan dan permintaan mahasiswa seolah-olah sedang merancang atau melakukan sesuatu.

Copy dari: Harakahdaily.net

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner