Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 23]


Setibanya di rumah, ummi dan abah sudah dapat menduga apa yang telah berlaku. Masakan tidak, sebelum daripada itu, mereka telah berkali-kali dipersalahkan oleh Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh atas pemergian Asyraf ke Jepun dengan hati yang hancur berkecai. Cuma, sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan anak mertuanya demi menjaga hubungan baik antara mereka juga.

"Dua hari lagi nak ke Tanah Suci…berdoalah banyak-banyak agar semuanya kembali baik. Doakan juga agar Asyraf selamat di benua orang." Pujuk ummi.

"Kalaulah abah ada ramai puteri, tentu abah takkan kecewakan Asyraf.." ayah Khazinatul Asrar masih rasa bersalah kepada Asyraf dan keluarganya meskipun menyedari bahawa realiti itu suatu suratan. Fikirannya mula mengimbas saat isterinya diikat peranakan kerana telah enam kali keguguran selepas melahirkan Khazinatul Asrar.

"Abah, Asrar kesal dengan harga persahabatan mereka. Murah! Perkara sebegini pun nak diperbesarkan hingga sanggup nak bermusuhan…tiada ketulusan langsung!"

"Janganlah begini sayang, tak baik." Mustaqhim Al-Qordhowi menenangkan lagi isterinya. Ummi tersenyum melihat kesabaran menantunya. Memang puterinya itu bijak memilih teman hidupnya. Khazinatul Asrar seorang yang cukup lantang di meja pidato dan debat pada zaman remajanya, memang padan untuk dijodohkan dengan seseorang yang boleh mengajarnya supaya lebih tenang dalam menyuarakan sesuatu.

Dalam pada itu, terbayang-bayang pula wajah Asyraf yang sudah pun dianggap bagaikan putera kandung sendiri. Masih basah diingatannya, sebelum Asyraf melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dia mengusik mereka supaya menjaga Khazinatul Asrar untuknya. Khazinatul Asrar yang baru sahaja memasuki dunia UKM ketika itu cuma tersenyum tawar dengan usikan nakal Asyraf.

"Bang Asyraf ni tak habis-habis lagi nak mengusik adik sendiri. Bilalah dia tu nak matang sikit? Mungkin bila dah ada isteri cantik bermata biru nanti, barulah dia tak usik Asrar lagi, kan abah?!" Khazinatul Asrar mangadu kepada abahnya tika itu. Rupanya Asyraf yang suka berjenaka itu serius dalam gurauannya. Terbit rasa simpati ummi pada Asyraf. Namun, apakan daya, cinta tak boleh dipaksa, Khazinatul Asrar lebih berhak memilih teman hidupnya sendiri. Asyraf sepatutnya lebih rasional memikirkan bahawa tidak guna terlalu memuja-muja seseorang gadis kerana mungkin dia tidak diciptakan untuknya. Bukankah lebih baik bergantung harapan kepada Penciptanya sendiri kerana Allah lah pemilik dan pemegang hati setiap insan. Allah lebih Mengetahui siapakah yang terbaik untuk seseorang. Kesedaran inilah yang boleh menjadikan setiap insan redha dengan kebijaksanaan Allah mentaqdirkan sesuatu.

"Alangkah baiknya kalau Asyraf boleh menerima hakikat ini…" bisik hati ummi. Lambaian Kaabah, Masjidul Haram, Masjidun Nabawi dari Bumi Anbiya’, Mekkah dan Madinah makin terasa mengusap perasaan.

Di airport, Khazinatul Asrar sebak meninggalkan ayah bonda tercinta. Bagaikan itulah pertemuan terakhir antara mereka. Diciumnya berkali-kali pipi ummi dan abah. Diminta halal segala makan minum dan tiap titis susu ummi yang membesarkannya.

"Ummi, abah…ampunkah semua silap salah Asrar. Redhoilah Asrar menjadi anak ummi dan abah. Tak tahu kenapa Asrar rasa berat nak berpisah," pilu suaranya.

"Asrar, kaulah satu-satunya saham akhirat kami di dunia ini. Jadilah isteri yang solehah agar ummi dan abah pun mendapat rahmat di sisi Allah," pesan ibu Khazinatul Asrar sambil mendakap erat puteri kesayangannya itu.

"Asrar, di sana nanti, doakan keluarga kita, Mak Cik Nab, Pak Cik Soleh dan ummat Islam seluruhnya agar kita semua boleh berdamai atas nama Islam yang suci.." pesan si abah pula.

"Insyallah, bah!" balas Khazinatul Asrar, sebak. Suaminya yang pergi menjemput ayahbondanya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah sejak pagi tadi setelah menghantarnya berserta abah dan ummi terlebih dahulu ke lapangan terbang, masih belum kelihatan.

Hari terus merangkak tengahari. Matahari makin tegak meninggi. Saat berpisah makin mencemburui. Khazinatul Asrar memanfaatkan sepenuh masa yang masih berbaki itu untuk bermanja sepuasnya dengan abah dan ummi. Walaupun sudah bergelar isteri, namun bagi Khazinatul Asrar, kasihnya terhadap abah dan ummi tidak pernah berbelah bahagi. Kasihnya pada abah dan ummi tetap sama sampai bila-bila. Perkahwinannya bukanlah halangan untuk bermesra dengan abah dan ummi.

Tidak lama kemudian, muncullah kelibat Mustaqhim Al-Qordhowi bersama ayahbondanya di saat waktu berlepas makin menghampiri.

"Selamat Berangkat! Moga Allah rahmati," ujar abah Khazinatul Asrar sambil berjabat tangan dengan besannya. Di saat itu, bila-bila masa sahaja mereka akan dipanggil pergi.

"Terima kasih, doakan Allah menerima ziarah kami anak-beranak sebagai tetamu-Nya," balas besannya. Suasana sebak sekali lagi menyelubungi hati dan sanubari Khazinatul Asrar. Laju air matanya membasahi pipi tatkala bersalaman dengan ummi dan abah buat kali terakhir sebelum bertolak pergi ke Tanah Suci. Umminya juga begitu hiba menghadapi perpisahan itu. Entah mengapa hatinya sering berbisik-bisik bahawa selepas ini dia takkan berpeluang lagi menatapi wajah yang amat dicintai oleh seorang ibu. Namun, dia melawan bisikan-bisikan itu dengan zikir qolbi kerana itu mungkin bisikan-bisikan syaitan yang selalu cuba menghalang orang yang ingin membuat kebaikan.

Dia memujuk hatinya bahawa perpisahan itu cumalah sementara dan singkat kerana dia juga akan menyusuli mereka ke Tanah Suci bersama suaminya nanti. Perpisahan keluarga itu diiringi dengan nur ukhuwwah, kasih sayang dan persaudaraan yang terpancar indah menghiasi alam itulah tuntutan Rasulullah yang semakin dilupakan. Semangat ukhuwwah dan persaudaraan…
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 22]


"Asyraf masih belum balik kerja, Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi cuba membuka perbualan. "Balik kerja? Tak tahu ke dia dah ke Jepun?" Pak Cik Soleh membalas sinis.

"Oh, ye ke?! Dia sambung belajar lagi ke Pak Cik?" Mustaqhim Al-Qordhowi masih menunjukkan kemesraan untuk berbual. Namun, entah mengapa terasa sakit di hati kedua ibu bapa Asyraf tatkala mendengar pertanyaan itu. Kalaulah bukan atas nama kemanusiaan, mahu saja disumpah seranahnya pemuda yang menghancurkan impian Asyraf itu, perampas Khazinatul Asrar.

"Abang Long merajuk…Dia kata, kak Asrar dah kahwin, tak bolehlah nak main-main lagi. Dia nak cari orang yang serupa macam kak Asrar di Jepun," sampuk Alif yang bersekolah darjah Tiga. Mak cik Nab mencegilkan mata sebulat mata ikan lolong. Budak kecil itu faham isyarat di sebalik wajah ibunya sambil cepat-cepat berlalu dari situ.

"Budak-budak begitulah…ada-ada saja!" Khazinatul asrar menjernihkan keadaan sambil tersenyum. Baginya, itu tak lebih dari satu gurauan. Masakan tidak, dari dulu lagi adik-adik Asyraf suka mengusik-ngusik dirinya dengan abang sulungnya. Sedangkan, Asyraf sudah pun dianggap bagaikan abang kandung sendiri meskipun dia tetap menjaga batasan aurat sebagai ajnabiah.

"Ingat Alif tu main-main?" serius kali ini wajah Pak Cik Soleh.

"Tahu tak kenapa Asyraf ke Jepun? Dia merajuk, tau! Sedih, kecewa dan merana Asyraf dibuatnya." Suaranya meninggi, menegangkan suasana.

"Dia rela tak kahwin seumur hidup kalau bukan dengan Asrar…" Mak cik Nab menambah. Dendam. Geram. Benci.

"Kasihan Asyraf, cintanya dikhianati!" keluh Pak Cik Soleh, semakin meluap kebencian.

"Err…apa sebenarnya ni? Maaf…boleh tak kita bincang dengan baik, kita kan bersaudara?!" tenang sahaja Mustaqhim Al-Qordhowi menghadapi kekalutan yang tercetus. Menyerlahkan kewibawaanya.

"Bersaudara? Sejak bila kau memandai mengaku saudara kami?! Kau tak ada kaitan langsung dengan kami semua! Khazinatul Asrar je saudara kami, kamu bukan! Faham?!" kali ini kata-kata Pak Cik Soleh begitu berbisa bagaikan hilang rasionalnya. MustaQhim Al-Qordhowi terus tenang. Hatinya beristighfar panjang. Khazinatul Asrar pula tidak percaya suaminya dilayan sebegitu.

"Pak cik, mengucap Pak Cik! Kenapa abang Mustaqhim dilayan begini? Apa salah dia?" Khazinatul Asrar cuba masih melembutkan suara walaupun situasi itu menerjah-nerjah pintu kesabarannya.

"Apa salah dia?! Dia memang salah kerana mengkahwini kau, Asrar! Kau sepatutnya menjadi isteri Asyraf, bukan dia!" tegas Pak Cik Soleh, memuntahkan api dendamnya.

"Sampai hati kau, Asrar. Siang malam Asyraf asyik teringatkan kau….tiba-tiba kau kahwin dengan orang lain..di mana perikemanuasiaan kau pada Asyraf dan keluarga kami?" sindir Mak Cik Nab pula.

"Astaghfirullahal azhim. Saya tak pernah pun berjanji nak menjadi isteri abang Asyraf, beri harapan pun tak pernah sama sekali! Bagaimana saya boleh cintakan abang Asyraf sedangkan statusnya dalam hidup saya lebih mulia dari itu, dia dahpun macam abang kandung saya sendiri! Pak Cik, Mak Cik…ini semua taqdir Allah! Siapalah kita untuk mempertikaikan ketentuan-Nya. Salahkah abang Mustaqhim kerana dipilih Allah untuk saya?" suara Khazinatul Asrar berbaur sedih.

"Sudahlah…kamu memang tak pandai menghargai persahabatan mak ayah kamu dengan kami, kejamnya kamu, Asrar!" kasar bahasa Pak Cik Soleh sekaligus meragut kesabaran Khazinatul Asrar.

"Oh, ini rupanya harga persahabatan Pak Cik, Mak Cik dengan abah dan ummi saya? Untuk kepentingan dan kepuasan keluarga Pak Cik? Di mana keikhlasan Pak cik? Beginikah sikap sebenar Pak Cik dan Mak Cik yang sangat saya hormati sekian lama?" Khazinatul Asrar bertegas sama. Mustaqhim Al-Qordhowi menepuk-nepuk perlahan bahu isterinya. Menenangkan. Khazinatul asrar menghela nafas sambil berzikir dalam hati.

Di luar sana, Alif dicubit-cubit Kak Ngahnya yang berusia 15 tahun.

"NI semua Alif punya pasal lah, kecil-kecil lagi dah celupar mulut. Kasihan Kak Asrar kena marah. Kak Ngah bagi cili api kat mulut tu baru tau!" leter Kak Ngah. Geram. Terdengar tangisan mengamuk si kecil itu.

"Pak Cik, Mak Cik…kami minta maaf. Buat masa ni biar lah kami minta diri dulu. Insyallah, lain kali kami akan ziarah lagi…" Mustaqhim Al-Qordhowi masih tenang dan bersopan sambil menghulurkan salam. Tak bersambut.

"Sabarlah, Asrar…ujian Allah itu kan bukti kasih sayang Allah. Allah menguji sebab nak melihat setakat mana tahap iman kita menghadapinya. Inilah peluang dinaikkan memartabatkan iman di sisi-Nya. Insyallah, semuanya akan kembali jernih. Yakinlah pada Allah!" pujuk Mustaqhim Al-Qordhowi dengan penuh kasih sayang. Khazinatul Asrar mengangguk perlahan sambil menatap Al-Quran kecil yang senantiasa di bawa ke mana sahaja. Hatinya berbisik kagum dengan lelaki di sisinya itu yang terus tenang memecut kereta. Berulang-ulang kali dibacanya surahnya Ar-Rahman agar Allah mengembalikan rasa kasih sayang sesama keluarga mereka.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Monday, March 27, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 21]


"Aku takkan kahwin kalau bukan dengan Khazinatul Asrar!" itulah kata-kata terakhir Asyraf kepada keluarganya sebelum bertolak ke Jepun. Perginya sarat dengan kekecewaan. Dia merajuk dengan perkahwinan Khazinatul Asrar. Dia masih belum dapat menerima hakikat bahawa gadis pujaannya selama ini tidak ditakdirkan Allah untuknya. Bukan dia sahaja yang kecewa, seluruh keluarganya juga turut terasa.

"Zalimnya keluarga Khazinatul Asrar!" itulah antara bisikan-bisikan syaitan yang sering meracuni mereka. Mereka lupa pada kuasa Allah dan qodo’ qodar yang sudah sedia tertulis di Loh Mahfuz.

"Bang, Asyraf bang…kalau dia tak kahwin, macam mana dengan hidupnya nanti?!" luah hati seorang ibu bimbang.

"Ini semua kerana KhazinatulAsrar! Tak patut..tak patut…sanggup dia memusnahkan impian keluarga kita!" berputik dendam di hati ayah jurutera komputer itu. Menantu idaman yang sekian lama disanjung olehnya dan isterinya akhirnya sewenang- wenangnya manjadi milik orang. Mereka langsung tidak dimaklumkan dengan berita pertunangan Khazinatul asrar. Sedar tak sedar, mereka dijemput menghadiri majlis perkahwinannya.

"Kejamnya situasi ini! Kenapa reality sebegini terjadi? Adilkah Asyraf menanggung semua ini setelah sekian lama setia menanti gadis itu menamatkan pengajiannya? Mengapa Asyraf tiada pengertian apa-apa baginya? Adikah ini? Adilkah ini?" monolog hati mereka diamuk kekecewaan.

"Ummi, lama tak nampak keluarga bang Asyraf ke rumah kita, kan?!" Khazinatul Asrar teringatkan keluarga itu. Soalan itu menyentap ketenangan Umminya tiba-tiba. Terngiang-ngiang lagi tangisan makcik Nab yang meratapi pemergian anak sulung ke Jepun. Baru semalam, dia mendapat berita itu melalui telefon. Ummi Khazinatul Asrar merenung wajah putihnya. Tak tergamak untuk diceritakan apa yang berlaku. Masakan tidak, puterinya itu baru sahaja melangkah ke gerbang perkahwinan. Masih terlalu awal baginya untuk dihukum dengan berita kekecewaan Asyraf sekeluarga di atas kebahagiaannya.

Khazinatul Asrar kehairanan melihat reaksi Umminya yang kelihatan kaku dan tercengang. Pandangannya dilontar ke luar jendela. Suami dan ayahnya masih belum pulang dari Bandar untuk menguruskan urusan umrah mereka sekeluarga beberapa minggu sahaja lagi. Dilihat Umminya masih terdiam, memikirkan sesuatu. Tiada respond apa-apa. Kaku.

"Kenapa Ummi diam jea nie?" Khazinatul Asrar cuba menduga.

"Asrar ada buat silap dengan Ummi ke?" lembut suaranya sambil melangkah perlahan dari jendela, malabuhkan punggung di sofa empuk, di sisi umminya.

"Tak de lah.." hanya sepatah suara ummi yang membalas. Khazinatul asrar tersenyum puas. Diambilnya Mathurat yang terbaring di atas meja.

"Mungkin ummi pun rindukan keluarga bang Asyraf," fikirnya sambil meneruskan bacaan Mathurat. Tak lama kemudian, sebuah kereta proton aeroback menuju masuk ke perkarangan rumah sederhana besar itu.

"Ummi, mereka dah balik!" Khazinatul asrar tersenyum ceria sambil menarik tangan umminya ke muka pintu. Dia mahu sama-sama menyambut kepulangan abah dan suaminya.

"Macam mana? Dah settle?" Khazinatul Asrar bertanya ramah sebaik sahaja menyambut salam keduanya. Wajahnya manis berseri-seri.

"Alhamdulillah. Allah permudahkan. Tiket pun dah siap!" balas suaminya.

"Tiket dah siap?" ummi Khazinatul Asrar minta kepastian.

"Mmm!" serentak Mustaqhim Al-Qordhowi dan si abah mengangguk.

"Untuk empat orang?" ummi bertanya lagi.

"Tentulah, Zarah! Kan dah berbincang tiga kali. Macam tak yakin jea," abah Khazinatul Asrar membalas dengan gurauan.

"Kenapa cepat sangat tiket siap?!" keluh ummi Khazinatul Asrar. Semua tercengang dengan keluhan itu. Ummi Khazinatul Asrar menyedari semua sedang memandangnya, hairan dengan keluhannya yang tersirat sesuatu. Ditariknya tangan si abah masuk ke bilik. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan suaminya itu.

"Pelik ummi hari ni…ummi tak sihat ke?" Mustaqhim Al-Qordhowi merenung mata isterinya. "Asrar pun tak tahu, bang! Ummi agak diam hari ni. InsyaAllah, ummi tak apa-apa, Asrar rasa Ummi teringatkan Mak cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di Rantau Abang. Eh, kesian abang letih. Duduklah dulu. Nanti Asrar siapkan orange juice," Khazinatul Asrar menyejukkan hati suaminya. Mustaqhim Al Qordhowi tersenyum. Ma’thurat yang` terhidang di meja tamu dijadikan santapan rohani terlebih dahulu.

Maghrib dan Isya’ berlalu dengan solat berjemaah sekeluarga. Sudah menjadi kebiasaan, tangan abah dan ummi dicium oleh pasangan suami isteri itu setiap kali selepas solat. "Asrar,Mustaqhim…abah nak cakap sikit," Abah bersuara sekali gus membatalkan niat kedua-duanya untuk beredar dari bilik sembahyang. Bagaikan ada sesi muzakarah selepasnya. Ummi kelihatan sudah bersedia dengan apa yang akan abah sampaikan.

"Asrar…Mustaqhim…abah dan ummi dah bincang petang tadi, kami tak dapat ikut buat umrah. Mustaqhim pergi berdua sajalah dengan Asrar." Abah menerangkan dengan tenang, setenang wajah Mustaqhim Al-Qordhowi dan Khazinatul Asrar dalam mendengar keputusan mengejut abah dan ummi.

"Lagipun inikan bulan madu…pergi berdua tentu lebih manis," tambah ummi.

"Tapi, Asrar rasa lebih berkat kalau abah dan ummi pun turut bersama, kan bang?!" usul Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum sambil mengangguk akur.

"Ya, sayang! Tapi abah dan ummi ada urusan yang lebih penting untuk diselesaikan. InsyaAllah, selesai urusan tu, kami akan menyusul kemudian. Kami pun dah cukup rindu pada lambaian Kaabah," abahnya memberi penjelasan yang berkabus. Khazinatul Asrar menarik wajah keliru. Dahinya berkeriuk cuba menafsirkan maksud tersirat di sebalik penjelasan abah. Ummi pantas memahami wajah manis yang keliru itu.

"Asrar, anak ummi! Ingatlah…sekarang ni syurga Asrar dah beralih di bawah tapak kaki suami. Jadilah bidadari untuknya," erat digenggam jari jemari mulus puterinya.

"…dan Mustaqhim, menantu ummi! Syurga kamu tetap di bawah tapak kaki ibu. Ummi rasa, ibu bapa kamu lebih layak menerima tiket umrah tu. Bagilah tiket tu kepada mereka, bolehkan?"

"Oh, ummi! Asrar bertuah kerana lahir daripada wanita sebaik ummi!" Khazinatul Asrar memeluk umminya. Suasana mesra sebegitu memang telah menjadi kebiasaan hidupnya sejak kecil-kecil lagi.

"Kalau itulah kata ummi dan abah, Mustaqhim ikut saja," Mustaqhim Al-Qordhowi tersenyum tenang. Memang penyenyum orangnya. Abah dan ummi turut mengukur senyuman yang tersembunyi suatu misi yang dirahsiakan.

"Bang, Asrar teringin sangat nak ziarah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh sekeluarga di rantau Abang sebelum kita ke Tanah Suci," ajak Khazinatul Asrar dengan sopan.

"Bila-bila masa jea Ainul Mardiah abang, cakap saja nak pergi bila? Esok? Lusa?" Mustaqhim Al-Qordhowi menghiburkan isterinya. Khazinatul Asrar tersenyum manja diberi jolokan Ainul Mardhiah oleh suami tersayang. Nama bidadari paling cantik di syurga itu dirasakan terlalu agung untuk dimahkotakan untuk dirinya.

Wajah-wajah nakal Asyraf dan adik-adiknya sejumlah lima orang pula bertamu diingatannya. Sejak kecil, keluarga itulah yang menceriakan kesepiannya sebagai anak tunggal dengan pelbagai usikan, kenakalan, ngomelan dan gelak tawa. Hatinya begitu terhibur setiap kali ummi dan abah membawanya menziarahi mereka. Kemesraan yang terjalin bermula daripada keakraban persahabatan abah dan pak cik Soleh sejak di alam kampus. Ianya bertambah erat apabila mereka menjadi rakan kongsi dalam satu syarikat penerbitan buku-buku ilmiah selepas graduate. Ummi dan mak cik Nab pula, masing-masing seorang pendidik dan pernah ditugaskan di sekolah yang sama ketika awal praktikal. Walaupun atas ikatan persahabatan namun ukhuwwah yang bersemi menjadikan dua buah keluarga itu bagaikan saudara sedarah sedaging.

Sudah agak lama suasana itu menyepi dalam hidup Khazinatul Asrar kerana dihalang oleh jarak waktu dan kesibukannya di menara gading. Asyraf pula baru sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian di United Kingdom. Kedatangan pasangan pengantin baru yang baru dua purnama diijabkabulkan itu disambut oleh lonjakan riang adik-adik Asyraf yang masing-masing bersekolah rendah dan menengah.

"Kak Asrar, nak hadiah!" itulah rengekan-rengekan yang sudah kalis menerjah corong telinga Khazinatul Asrar tiap kali berhadapan dengan kanak-kanak comel itu. Khazinatul Asrar tidak pernah mengecewakan permintaan mereka. Musthaqim Al-Qordhowi pula tersenyum ceria melayani telatah riang mereka. Selang setengah jam berlalu, barulah Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh keluar menyambut kedatangan mereka dengan wajah yang berjalur garis-garis suram dan hambar. Tajam anak mata Pak Cik Soleh memanah batang tubuh pemuda yang mendampingi Khazinatul Asrar. Mustaqhim Al-Qordhowi tetap dengan senyumannya.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 20]


Majlis konvensyen pada tahun itu disambut secara gilang-gemilang. Upacara tahunan itu memang meriah diadakan pada setiap tahun. Para graduan kelihatan begitu gembira dan bangga diiringi keluarga terutamanya ayah dan bonda. Masing-masing juga begitu bergaya menggayakan jubah konvo di atas gahnya menara gading. Senyuman, pujian dan gelak ketawa saling bersebati menyerikan lagi suasana penuh keriangan pada hari bersejarah itu. Kelihatan Tsabit bersama ayahnya yang berdarah Libya serta ibunya, Datin Nordina baru sahaja menuju masuk ke perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kereta mewah itu mencari tempat parking betul-betul di Taman Tasik Kejuruteraan.

Keluarga Hijriah juga ada disitu seperti telah dirancang. Memang semuanya suatu perancangan. Pada hari konvokesyen yang penuh makna itu, Tsabit El-Husainie dan Hijriah akan diikat dengan jalianan pertunangan. Hijriah lebih-lebih lagi merasa gembira dan bersyukur kerana sejak keluarga Tsabit datang merisik dirinya pada cuti panjang yang lalu, mummy dan daddynya mula menunjukkan perubahan positif terhadap dirinya kerana mereka mula merasakan bahawa Hijriah akan pergi daripada mahligai mereka yang dah pun setiasa sepi. Buktinya, daddynya sanggup membatalkan satu mesyuarat penting demi menghadiri hari yang membahagiakan anaknya itu.

"Marilah kita mulakan pertukaran cincin…," getus Datin Azlinda, mummy Hijriah. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat jari manis anak gadisnya diserikan berlian.

"Nantilah mummy… tetamu yang paling istimewa untuk majlis ini belum tiba lagi. Betul tak, abang Tsabit?!" Hijriah memujuk ibunya sambil pandangannya sejak tadi meninjau-ninjau seseorang. Tsabit cuma tersenyum.

Tidak lama kemudian, sepasang mawar dan kumbang yang diapit kedua keluarga kedua-dua pasangan berjalan menuju ke arah tempat keluarga Tsabit dan Hijriah berkumpul. Pasangan itu kelihatan begitu romantis berpegangan tangan. Masing-masing berjubah konvo. Pada wajah masing-masing terpancar sinar kebahagiaan. Pasangan itulah yang mereka nanti-nantikan. "Aku pasrah jika kumbang sehebat ini akan menemani hidupmu duhai mawar berduriku," bisik hati Tsabit sendirian mengubat luka hatinya yang kian sembuh itu.

"Asrarrrrr…" Hijriah menjerit kecil, meluahkan lonjak hatinya.

"Nak honeymoon kat mana?" usik Hijriah sambil bersalam berpelukan dengan sahabat yang cukup dirindui sekian lama.

"Honeymoon? Alah..cukuplah sekadar kami buat umrah sama-sama beberapa bulan lagi. Yelah nak cari keberkatan untuk rumah tangga kami," jelas Khazinatul Asrar.

"Hah Hijriah…bila pulak giliran kamu? Jangan sampai Asrar tak sempat nak datang pula," Puan Zahra, ibu Khazinatul Asrar juga pandai mengusik sambil menguntum senyuman kepada Datin Azlinda.

"Apasal tak sempat pulak makcik?" duga Hijriah dengan usikan itu.

"Eh? Asrar tak cakap ke yang hujung tahun nie dia dan suaminya akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalah bidang Falsafah Islam?!" Puan Zahra membongkar perancangan Khazinatul Asrar dan suaminya.

"Betul ke nie?" Hijriah minta kepastian.

"InsyaAllah..tapi ianya masih dalam perancangan! Kalau diizinkan Allah sampailah kami ke sana," suami Khazinatul Asrar bersuara.

"Hijriah, buatlah cepat-cepat kenduri nie, tak adalah kami kempunan nak merasa nasi minyak Datin Azlinda dan Datin Nordina…lagipun, tak baik melambatkan ikatan yang baik," celah Khazinatul Asrar mengusik. Hijriah menjeling Tsabit sambil tersipu malu. Semua yang ada ketawa melihat telatah manja Hijriah. Suasana semakin ceria.

Serentak dengan itu, sebuah kereta perdana berhenti di situ. Keluarlah Mukhlisin bersama Faranaqwiah, teman seperjuangan Khazinatul Asrar. Juga berjubah konvo. Pasangan suami isteri yang baru seminggu diijab kabulkan itu kelihatan begitu mesra berjalan seiringan melangkah ke arah mereka semua. Pandangan Mukhlisin tidak berganjak memandang seorang lelaki yang cukup terkenal di UKM. Segaknya dia mendampingi Khazinatul Asrar. Bagaikan cincin dengan permata. Bagai pinang dibelah dua.

"Lelaki ini rupanya yang menjadi penawar bisa syauqah (duri)," bisik hati Mukhlisin.

"Tahniah atas perkahwinan ini!" ucap Mukhlisin sambil bersalaman dengan Mustaqhim Al-Qordhowi. Presiden PMUKM yang cukup disegani ramai itu dengan membalas ucapan yang sama. Khazinatul Asrar dan Hijriah pula mengusik-ngusik Faranaqwiah. Gadis pemalu itu pantang diusik, pasti merahlah kedua-dua pipinya…bagaikan kelopak mawar. Tsabit tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Mukhlisin dan pasangannya.

Suasana penuh mesra. Air tenang Tasik Kejuruteraan bagaikan turut gembira. Beburung berkicau riang, bertasbih memuji Allah. Itulah irama alam.

"Aku redha, Khazinatul Asrar! Allah lebih bijak menentukan. Faranaqwiah pun tak kurang istimewanya. Hadiah Allah buatku…" hati Mukhlisin sempat juga bermonolog sendiri. Matanya terus melirik penuh kasih kepada isterinya.

"Terima kasih, Asrar…kerana bersusah payah menemukan kami sebagai pasangan suami isteri," Faranaqwiah memeluk erat sahabatnya.

"Oh, Asrar lah orang tengah rupanya…ish, tak sangka betul saya! Puas saya berfikir macam mana agaknya Mukhlisin boleh tackle exco PMUKM. Rupa-rupanya….." Hijriah berceloteh. "Ish, tak adalah. Saya Cuma memudahkan jalan. Allah jualah yang memang dah rancang pertemuan ni," Khazinatul Asrar menafikan.

"Oh…saya tak tahu sampai bila saya harus menunggu untuk menyarungkan cincin perak ini ke jari bakal menantu saya," keluh daddy Hijriah diikuti gelak ketawa mereka semua.

"Ok…sekarang kita mulakan!" ayah Tsabit membuat keputusan. Ikatan pertunangan itu terjalin sebaik sahaja ibu Tsabit menyarung cincin ke jari Hijriah dan ayah Hijriah menyarung cincin ke jari Tsabit. Mustaqhim Al-Qordhowi menyambut dengan mengamin doa memohon keredhaan Allah S.W.T.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Wednesday, March 22, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 19]

Medan final exam akhirnya dihadapi jua oleh semua warga UKM. Di saat-saat genting begitu, ramailah siswa dan siswi yang sibuk mencari Allah dalam solat hajat dan sebagainya. Demikianlah fitrah seorang hamba, sejauh mana sekalipun dia lari dari Allah S.W.T, akhirnya dia akan pulang jua mencari Tuhannya. Orang yang mengenali Allah di saat tenang, InsyaAllah akan dikenali Allah di saat kesusahan. Rentetan daripada final exam itu,semua mahasiswa bercuti tiga bulan dan mahasiswa tahun akhir menunggu majlis konvokesyennya. Khazinatul Asrar termasuklah orang yang paling gembira kerana kepulangannya kali ini setelah menamatkan pengajiannya peringkat ijazah sarjana muda dan kecintaannya kepada ilmu mendorongnya berazam untuk meneruskan lagi pengajian peringkat Master dan Phd di Menara Gading. Di samping itu ada saat yang sangat bermakna, tersirat di sebalik cuti panjang kali ini.

Nun di Kuala Lumpur, Hijriah menghitung hari-hari yang penuh sepi dalam hidupnya sepanjang cuti sebelum majlis konvokesyen diadakan. Namun, perubahan personalitinya menyebabkan mummy dan daddynya lebih positif untuk mengambil berat tentang dirinya walaupun mereka sentiasa sibuk mengejar kekayaan dunia. Hijrah tetap penyejuk mata mereka sebenarnya.

Pada suatu hari, Hijriah begitu riang menerima sekeping kad wangi dari negeri Pantai Timur. Cantik sekali kad itu dengan berlatarkan sekuntum mawar berduri yang mekar dalam jambangan di perkarangan sebuah masjid. Seekor putera kumbang begitu gah menghinggapi si bunga mawar. Hijriah tersenyum menatap kad yang berwarna pink susu itu. Unik.

“Wanita beriman memang untuk lelaki beriman. Demikian janji Allah!” bisik hati kecil Hijriah. Rupa-rupanya selama ini ada episod cinta yang betul-betul terjaga dalam hidup Khazinatul Asrar. Semuanya tersembunyi menjadi rahsia. Inilah erti cinta kerana Allah yang sebenar-benarnya.

“Asrar, dalam diam-diam awak ke gerbang perkahwinan. Sejak bila pulak awak bercinta ?”demikian soalan Hijriah dalam perbualan telefonnya dengan Khazinatul Asrar pada malam itu.

“Sejak awal perkenalan lagi cinta kami dah berputik.Tapi tak perlulah dipuja-puja. Cukuplah perantaraan tazkirah saban minggu menjadi bukti cinta kami disulam atas dasar mencari keredhaan Allah bukannya menambahkan kelalaian dari meningati- Nya,” hanya itu yang Khazinatul Asrar dedahkan tentang percintaanya. Tulus. Suci. Cinta yang penuh rahsia. “Oh, awak rahsiakan percintaan awak daripada saya, ya! Pertunangan awak pun tanpa pengetahuan saya. Sampai hati awak…..”Hijriah cuba menduga respond temannya.

“Maafkan saya, Hijriah. Saya sebenarnya tak nak perkara ini diheboh-hebohkan. Awak kan tahu saya ni salah seorang perwakilan pelajar, boleh jadi isu nanti. Banyak mudhoratnya pada hati saya. Saya harap awak akan memahami saya,” jelas Khazinatul Asrar.

“Saya betul-betul tak sangka! Rahsianya cinta awak…..patutlah dalam diam-diam awak arif tentang hakikat cinta,”sindir Hijriah lembut.

“Nak kata saya bercinta…tak jugak! Sebabnya, sebelum dia melamar saya, saya tak pernah menganggapnya lelaki teristimewa kerana masih ada kemungkinan bahawa dia bukanlah lelaki yang diciptakan untuk saya. Jadi, Alhamdulillah….terjagalah sikit hati saya dari terkenang-kenangkan padanya. Setelah hampir habis belajar, dia cepat- cepat menghubungi ummi dan abah saya di kampung. Saya dah beberapa kali istikhoroh dan hati saya terasa cukup terbuka untuk menerimanya. Lagipun, abah saya menasihatkan.. kalau dah terlalu banyak sangat ujian dan fitnah dari lelaki baik percepatkan saja walimah . Saya akur…..”

“Patutlah awak bagaikan tak pernah bercinta walaupun sebenarnya bercinta…..err..perkahwinan awak ni nanti pun akan diasrarkan (rahsiakan)?”usik Hijriah.

“Ish, tak de lah. Buat apa nak disorok-sorokkan ikatan yang sah di sisi syaro’. Malah perkahwinan perlu diiklankan untuk merasmikan hubungan. InsyaAllah, seluruh warga UKM akan menerima undangan saya nanti…” jelas Khazinatul Asrar.

“MasyaAllah…tentu kecoh UKM dengan berita ini nanti. Harap-harapnya tak adalah kes mana-mana siswa yang bunuh diri sebab kecewa dengan awak,” Hijriah mengusik lagi.

“Nau’zubillah. Semoga Allah takkan jadikan saya asbab kepada kebodohan mana- mana lelaki,” Khazinatul Asrar memberikan respond yang serius.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [siri 18]

“Asrar….cantik tak saya?” suara riang Hijriah mengganggu konsentrasi Khazinatul Asrar yang datang lebih awal ke dewan kuliah. Penampilan Hijriah dengan tudung labuh berwarna peach dan jubah coklat gelap bersulam emas di tengah menyerlahkan keanggunan seorang muslimah. Sebelum ini T-shirt lengan panjang sahaja dikenakan. Selendang bawal bermanik ringkas ataupun tudung turki dijadikan hiasan. Kadang-kala dipakainya juga baju kebaya supaya nampak agak sopan. Khazinatul Asrar mengukir senyuman sambil mengucap kesyukuran. Teman-teman yang lain turut terpegun dengan keanggunan Hijriah berpakaian sopan. Setiap pasang mata singgah ke situ.

“Bermula hari nie InsyaAllah Hijriah akan berhijrah…berhijrah untuk menutup aurat dengan sempurna!” Hijriah mengumumkan dirinya di tengah khalayak teman-teman sekuliah sambil ekor matanya melirik pada Khazinatul Asrar.

“Hijriah, iman lebih utama Hijriah,” Khazitul Asrar mengingatkan.

“Inipun salah satu bukti hijrah iman, kan?” balas Hijriah, bijak. Khazinatul Asrar mengangguk setuju.

“Asrar, bukankah ini adalah sunnah para sahabiah yang akan terus unggul meredah arus, menyusur waktu…takkan lapuk dek zaman,” Hijriah mengulangi mutiara hikmah yang pernah diungkap oleh Khazinatul Asrar suatu ketika dahulu.

“Moga kau istiqomah sahabatku..” balas Hijriah. Humaira’ bangun menghampiri Hijriah. “Malaikat Rokid yang saban hari mencatatkan amal kebajikan tentu tersenyum bangga memberi markah cemerlang kepada kamu dari sudut menutup aurat,” kata Humaira’ memberi galakan.

“Betul tue…di Mahkamah Mahsyar nanti markah inilah yang turut membantu memberatkan timbangan amalan di neraca mizan,” celah Khziantul Asrar. Fadhila yang baru datang ke dewan kuliah, terus saja tertumpu pandangannya terhadap Hijriah.

“Eh, ada pelajar baru ke? Cantik macam Puteri Pakistan!” usik Fadhila sambil langkahnya terus menuju ke arah Hijriah.

“Hijriah…cantiknya kau kenakan pakaian sebegini. Nampak ayu dan sopan. Err…kalau aku yang memakainya tentu lebih lawa," celoteh Fadhila lagi sambil tangannya rancak membelek-belek tudung dan jubah yang Hijriah kenakan.

“Fadhila, jomlah berhijrah sekali. Lagipun, memilih jubah dan tudung labuh sebagai penghias diri ibarat memilih untuk mendapat pointer cemerlang di dalam exam,” pujuk Hijriah… berda’wah...
“Maksud kau?” Fadhila tidak faham.

“Yealah, Malaikat Rokidkan setiap saat akan memberi markah untuk exam di dunia nie..resultnya nun di akhirat. Pilihlah amalan terbaik untuk exam yang sedang kita lalui nie. Betul tak?!!” terang Hijriah. Fadhila hanya berkerinsing sambil menjeling jeans dan t-shirt buatan Italy yang sedang dipakainya itu.

“Syabas, Hijriah. Saya bangga awak berhijrah dengan ada hujah bukan taklid semata-mata,” Khazinatul Asrar meluahkan kegembiraannya dengan perubahan Hijriah itu. Hijriah hanya tersenyum sambil anak matanya liar mencari-cari seseorang. Khazinatul Asrar dapat menduga pasti Tsabit yang dicarinya .

“Tsabit pun pasti bangga dengan penampilan ini,” Khazinatul Asrar mengusik Hijriah diekori senyuman penuh makna oleh teman-teman yang lain.

“Kenapa Tsabit belum datang lagi?” Hijriah separuh berbisik. Teman-teman yang lain berdehem-dehem turut mengusik. Khazinatul Asrar teringatkan peristiwa dua hari yang lalu di saat dia membongkar status dirinya yang telah disunting orang kepada Tsabit walaupun hal itu merupakan rahsia dirinya yang disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa termasuk Hijriah sendiri. Mungkin Tsabit masih merajuk. Soalan Hijriah berlalu tanpa jawapan. Seketika kemudian pensyarah pun masuk. Tsabit memang tak datang-datang.

Seminggu berlalu barulah Tsabit mula datang ke kuliah. Personalitinya yang sebelum ini periang dan peramah bertukar menjadi pendiam. Wajahnya kelihatan cengkung dengan mata yang agak bengkak. Pakaiannya pun tidak sekemas selalu.

“Sakitkah dia?” bisik hati Hijriah kebimbangan. Takut untuk didekati pemuda idamannya itu kalau-kalau menambahkan maksiat pada hati pula.

“Maafkan aku, Tsabit!” hanya itu ungkapan yang mampu dibisikkan oleh suara hati Khazinatul Asrar.

“Semoga cinta Allah tidak akan mengecewakanmu!” hatinya berbisik lagi. Hari itu pensyarah masuk lebih awal. Ketika mendengar kuliah, Tsabit hanya menongkat tangan ke dagu seperti orang yang tiada mood namun matanya asyik memerhati seseorang.Hijriah…..ya, Hijriah! Anggun sekali Hijriah dengan tudung labuh dan jubahnya. Lama direnungnya gadis itu.

“Mawar berduri bukan sekuntum,” bisik hati Tsabit sambil tiba-tiba dia tersenyum sendiri. Tsabit sebenarnya seseorang yang berfikiran rasional.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Tuesday, February 28, 2006

Seindah Mawar Berduri [Siri 17]


Cuti pertengahan semester telah berakhir… Final exam semakin hampir. Segulung ijazah yang diperjuangkan oleh setiap mahasiswa, mengimarahkan lagi library Tun Sri Lanang di musim-musim exam sebegitu. Para mahasiswa yang kampusnya di KL biasanya tidak lagi meninjau-ninjau kampus induk di Bangi. Terutamanya, pelajar tahun akhir. Kesibukan mereka tentunya berganda kerana itulah exam terakhir yang akan menentukan CGPA mereka. Kelihatan di salah satu sudut dalam perputakaan itu, seorang gadis sedang khusyuk membuat revision.

"Malam ni aku mesti berani!" bisik hati Tsabit sambil langkahnya menghala ke arah gadis itu. Awal-awal lagi dia telah menjangka bahawa Khazinatul Asrar pasti bertandang ke situ. Tatkala salam pemuda itu disambut, Khazinatul Asrar cuba menenangkan raut wajahnya yang kurang senang dengan kehadiran Tsabit.

"Asrar, saya tak berniat nak mengganggu awak…tapi saya inginkan jawapan! Tolonglah…hati saya tak tenang untuk hadapi final exam nanti." Tsabit tidak berselindung lagi.

"Jawapan?" Asrar berpura-pura membangkitkan soalan.

"Kau tentu tahu erti sekuntum mawar, kan?" balas Tsabit.

"Err…saya hanya tahu erti duri mawar. Awak juga pasti lebih tahu erti duri mawar, kan?"Khazinatul Asrar turut berkias.

"Asrar, saya tak kisah kalau awak tak suka layan saya. Saya menghormati duri yang memagari batas pergaulan awak. Tapi, tolonglah berikan saya harapan. Hormatilah perasaan saya. Saya tak mungkin mencintai awak jika bukan ianya naluri lahiriah anugerah Allah..Niat saya ikhlas!!!" Tsabit berani berterus-terang. Mukanya nampak serius. Khazinatul Asrar menarik nafas panjang. Dipandangnya sekeliling. Bimbang kalau-kalau situasi itu mengganggu konsentrasi student lain.

"Tapi awak juga tak pernah menghormati perasaan Hijriah setelah awak berinya harapan…" kata-kata itu tajam menikam naluri Tsabit bagaikan tikaman duri mawar.

"Oh...rupa-rupanya selama ini Hijriah lah punca kesangsian awak pada cinta saya. Gadis KL yang manja mengada-ngada tue. Dia bukan gadis idaman saya. Dia.."

"Cukup! Cukup Tsabit! Jangan salah sangka dan cuba memburuk burukkan sahabat saya. Hijriah gadis yang baik! Cuma awak yang tak pernah nampak kebaikannya. Siang malam dia berdoa agar Allah permudahkan segala urusan awak. Dia setia pada cinta. Bawalah kebahagian untuknya. Kebahagiaan Hijriah sebahagian daripada kebahagiaan saya juga. Dia menanti awak…" nada Khazinatul Asrar beransur-ansur menjadi semakin lembut. Memujuk.

"Tapi itu bukanlah alasan untuk awak mempersia-siakan perasaan saya pada awak!" Tsabit masih menaruh harapan. Pujuk rayu pemuda kacak itu sedikit sebanyak turut mengusik jiwa kewanitaan Khazinatul Asrar. Serba salah dibuatnya.

"Tsabit...maafkan saya. Saya sebenarnya tak pernah merasakan apa-apa kelebihan pada diri saya untuk sewenang-wenangnya menolak awak. Tapi...." tuturnya terhenti di situ.

"Tapi apa? Cakaplah Asrar..." Tsabit merayu.

"Saya pentingkan fikrah teman hidup saya!" tegasnya.

"Fikrah?" Tsabit kurang faham maksud kata-kata itu.

"Fikrah seseorang terbukti melalui hala tuju hidupnya. Saya rindukan seorang lelaki yang berfikrahkan dakwah dan perjuangan. Ianya takkan terbukti hanya melalui kata-kata..." jelas Khazinatul Asrar.

"Awak meragui fikrah saya? Saya dah banyak mempersiapkan diri dengan buku-buku fikrah kerana saya mempunyai visi hidup yang jelas dan untuk menyamai cita rasa awak juga. Saya berusaha keras dalam akademik untuk mengatasi awak. Saya berusaha membaiki akhlak dari semasa ke semasa supaya awak akan menerima saya. Awaklah inspirasi dalam hidup saya selama ini. Apa lagi yang awak mahu saya lakukan? Saya terlalu cintakan awak, Khazinatul Asrar. Tolonglah...saya perlukan jawapan!" Tsabit memuntahkan perasaan yang meluap-luap terbuku di dadanya.

"Astaghfirullahal azhim...nampaknya diri saya telah melalaikan hidup awak selama ini. Malangnya diri awak kerana meniatkan itu semua kerana saya. Siapalah sangat diri saya ni? Hanyalah seorang gadis yang lemah, diciptakan Allah dari setitis air mani yang jijik... tidakkah awak terfikir untuk meniatkannya kerana Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan diri saya, awak dan seluruh alam maya ni?! Beristighfarlah Tsabit... kerana memberikan saya cinta sebegini. Saya tak minta untuk dicintai melebihi Pencipta saya..." Khazinatul asrar berasa agak kesal dengan pengakuan Tsabit.

"Asrar, kerana ingin dekat dengan Allah lah, saya mencintai awak. Saya yakin awak boleh membawa bi’ah solehah dalam keluarga saya dan ibu mithali untuk zuriat saya nanti agar generasi kita adalah generasi yang mengenal Allah dengan hati dan amalan.." luah Tsabit lagi, tidak malu untuk berterus terang.

"Tapi, awak tak boleh terburu-buru meminta jawapan daripada saya begini!" keluh Khazinatul Asrar.

"Terburu-buru? Saya bimbang kalau saya terlewat memenangi hati awak, Asrar. Awak takkan faham jiwa lelaki. Lelaki yang terpaksa mencari pasangan, perempuan hanya perlu menanti dan membuat pilihan. Awak tahu tak betapa resahnya hati saya bila nama orang yang saya sayangi sering menjadi siulan ramai siswa di kamsis saya. Lebih-lebih lagi, bila saya dapat tahu awak turut digila-gilakan oleh seorang pelajar tahun akhir di kampus Medic. Tengoklah, hingga ke sana nama awak pergi. Kalau awak di tempat saya, awak sendiri tak kan keruan..." rungut Tsabit pula.

"Tapi saya berhak mempunyai lelaki impian saya sendiri. Bukannya boleh dipaksa begini. Saya idamkan seorang lelaki yang jelas fikrahnya dan sanggup mewakafkan diri dalam perjuangan Islam agar generasi saya adalah generasi yang menjadi pewaris risalah dakwah Rasulullah S.A.W, penerus kebangkitan Islam.."

"Awak tak yakin dengan saya Asrar? Tak jelas lagikah fikrah saya ni?" Tsabit semakin diamuk kekecewaan dalam memenangi hati gadis itu.

"Tapi…." Khazinatul Asrar cuba menjelaskan.

"Tapi, apa lagi? Mungkin alasan lain pula yang awak cari…" kata-kata itu mendesak Khazinatul Asrar menerangkan rahsia hatinya.

"Tsabit, biarlah saya jelaskan. Saya harap awak dapat menerimanya dengan rasional dan terbuka." Nafas ditarik panjang.

"Jelaskan, Asrar. Saya dah tak sanggup lagi diseksa begini…" dengus Tsabit. "Sebenarnya hati saya baru dimiliki seorang lelaki..."

"Apa?" Tsabit seolah-olah tidak percaya.

"Ya, Tsabit! Cincin ni menjadi saksi," sambil jari jemari halus yang biasanya terselindung di sebalik tudung labuh itu diangkat ke atas meja. Terbeliak biji mata Tsabit melihat sebuntuk cincin emas bertakhta berlian begitu berseri menghiasi jari manis Khazinatul Asrar.

"Tsabit, cinta saya pada lelaki pilihan Allah buat saya ini tidak boleh dikongsi sesiapa. Nilainya terlalu mahal untuk dicemari lelaki lain bahkan namanya sekali pun. Sekian lama kesucian saya pelihara dengan mujahadah yang hakikatnya perit. Izinkan saya terus setia pada bakal suami saya kerana saya pasti takkan menyatukan namanya dengan mana-mana lelaki…" ketegasan gadis itu menikam lagi. Tsabit terdiam seribu bahasa. Tidak disedari air mata kelelakiannya yang mahal itu menitis dengan murahnya di hadapan Khazinatul Asrar. Hatinya remuk menerima kenyataan itu. Mawar yang dipujanya selama ini rupanya mekar di jambangan orang. Dia pantas berlalu meninggalkan Khazinatul Asrar dengan wajah yang sarat kekecewaan dan kesedihan, membawa bersama pedihnya racun duri mawar yang berbisa.

"Oh Tuhan…Pencipta mawarku!!!" jerit batinnya cuba merawat luka yang dalam menusuk ke tangkai nurani. Nama Pencipta terungkap jua di sudut hatinya. Khazinatul Asrar masih bersikap tenang. Dia berasa tenteram kerana sekurang-kurangnya terlaksanalah amanah untuk menjadi wanita yang bias mengetuk pintu kelalaian lelaki dan kesetiaannya pada si dia masih terpelihara. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Allah memimpin Tsabit agar tidak tewas dengan kecamuk perasaannya sendiri.

"Ya Allah, kenalkan dia pada agungnya cinta-Mu.." tulus doanya.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [Siri 16]


Entah mengapa hatinya serba tak kena apabila melihat bas Transnasional yang Khazinatul Asrar naiki sudah pun mula bergerak meninggalkannya di Hentian Putra itu sendirian. Begitulah kecamuk perasaannya tiap kali Khazinatul Asrar ingin pulang bercuti.

"Ya Allah, selamatkanlah perjalanannya," hatinya berdoa. Hijriah sebenarnya dilanda persoalan kerana masih basah diingatannya suatu perkataan yang sempat dicuri-curi baca dalam carta perancangan Khazinatul Asrar ketika dia sedang menolong sahabatnya itu berkemas sebelum pulang bercuti.

*15 Rabiul Awwal-Having promised to marry-engagement.*

"Asrar balik nak bertunang ke? " fikirnya sendiri. Dia terlalu ingin tahu, tetapi agak keberatan untuk bertanya pada Khazinatul Asrar kerana mungkin Khazinatul Asrar ingin merahsiakan perkara itu. Entah mengapa tiba-tiba pula hatinya menafikan sekeras-kerasnya kemungkinan itu kerana Asrar tak pernah mencintai mana-mana lelaki. Tapi…apakah makna tulisan itu? Ah…mungkin pertunangan saudaranya atau jirannya atau temannya.... Hijriah bermonolog sendiri. Bertandang pula bait-bait perbualan antara Khazinatul Asrar dan abahnya tempoh hari. Hijriah terus melangkah pulang ke kediamannya dengan persoalan itu dan bayangan kesepian yang bakal menemani.

Setibanya di perkarangan rumah, dia melihat kereta mummynya diparking dalam garaj kenderaan di hadapan rumah.

"Mummy ada di rumah!" otaknya menafsirkan seterusnya merangsang senyuman pada bibir Hijriah yang sentiasa merindui saat-saat bersama orang tuanya. Kelihatan Datin Azlinda sedang bersantai di ruang menonton sambil membelek-belek majalah Anis kepunyaan Hijriah yang ditinggalkannya di situ. Apabila menyedari kepulangan Hijriah, mummynya itu berwajah ceria sambil menyambut salam anak gadisnya. Pada malam itu, dia memperuntukkan masa untuk duduk di rumah bagi meraikan Hijriah yang pulang bercuti.

"Dari mana anak mummy ni?" soal Datin Azlinda cuba menterjemahkan kasih sayang seorang ibu.

"Hijriah dari hutan, berkawan dengan pokok sebab mummy dan daddy bukannya selalu ada di rumah…" Hijriah bergurau, mohon simpati.

"Tak kan Hijriah tak faham..mummy dan daddy sibuk. Tapi, kami selalu ambil berat pasal Hijriah, tau! Kami bekerja pun untuk kesenangan anak tunggal yang sorang ni juga," puji Datin Azlinda.
"Buat apalah dikejar sangat harta tue mummy..Hijriah tak perlukan semua tu! Biar kaya kasih sayang daripada kaya harta. Lagi baik kalau kaya iman," Hijriah bercakap tanpa berlapik lagi. Datin Azlinda faham perasaan Hijriah. Dia cuba mencari topik lain untuk menjernihkan keadaan. "Hijriah, nama apa datin sebelah rumah kita tue?" soal Datin Azlinda walaupun sudah lebih dua puluh tahun hidup berjiran.

"Eh, kenapa tiba-tiba pula mummy nak kenal auntie tu?" Hijriah kehairanan.

"Mesti Hijriah pun tak kenal juga auntie tu, kan? dalih Datin Azlinda.

"Macam mana Hijriah nak kenal, mummy tak pernah ajar Hijriah menegur jiran. Tapi Hijriah kenal anak kedua datin tu sebab dia pun belajar di UKM, cuma kampusnya di KL bukan di Bangi coz dia course Medic. Ahmad Mukhlisin namanya." Celoteh Hijriah.

"Sedap nama budak tu, patutlah akhlak pun baik!" kata Datin Azlinda.

"Aik? Mummy kenal dia ke?" soal Hijriah.

"Taklah kenal sangat…tapi mummy selalu sangat bertembung dengannya di mana- mana. Petang semalam, dia tegur dan tolong angkut barang mummy ke bonet kereta waktu mummy shopping di Mid Valley. Itulah kali pertama kami berbual-bual," cerita Datin Azlinda.

"Setakat tolong angkut barang, Hijriah pun boleh buat…" Hijriah menyindir Mukhlisin sebenarnya.

"Bukan tue saja…sejak kebelakangan ni, tiap kali pulang dari office, mummy sering terserempak dengan dia bersiap-siap nak ke masjid dengan baju melayu, kopiah putih dan kain pelikat. Bukannya senang nak tengok pemuda KL macam tu, course Sciences pulak tu. Sejuknya hati mummy tengok dia," Datin Azlinda seakan-akan mempromosikan Mukhlisin kepada anak gadisnya.

"Betul ke mummy? Tentu dia baru belajar nak selalu ke masjid tu, sebelum ni dia bukan begitu…"

"Eh, macam mana Hijriah boleh kata macam tu?"

"Dia kawan Hijriah. Dah dekat dua tahun kami berkawan. Hijriah kenal sangat dia tu macam mana orangnya," jelas Hijriah.

"Baguslah Hijriah berkawan dengan pemuda baik macam tu. Sejuk hati mummy mendengarnya. Err…anak mummy ni berkawan dengan serius ke?" Dtain Azlinda menduga anak gadisnya yang makin meningkat dewasa itu.

"Ish, tak ada lah! Hatinya dah berpunya. Hati Hijriah pun dah berpunya. Dia sukakan kawan Hijriah yang selalu Hijriah ceritakan pada mummy tu…"

"Oh,Khazinatul Asrar yea?!" duga Datin Azlinda.

"Ha…ingat pun mummy. Mummy tahu tak, Mukhlisin berubah menjadi waro’ macam tu sebab dia nak sepadan dengan Khazinatul Asrar. Tiap-tiap hari dia call Hijriah bertanyakan amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh Khazinatul Asrar. Dia akan cuba untuk mengamalkannya sama…"

"Hebatnya gadis tu hingga mengubah personaliti seorang lelaki!" Datin Azlinda berasa kagum. "Bukannya Mukhlisin je yang mendapat tempias iman Khazinatul Asrar, tapi Mukhlisin cakap ibunya sendiri merasainya…"

"Bagaimana?" Datin Azlinda keliru.

"Yea lah…mummy perasan tak yang datin sebelah rumah kita ni dah bertudung? Datin tu malu melihat Mukhlisin…" jelas Hijriah.

"Apa kaitannya dengan Khazinatul Asrar?" gerutu Datin Azlinda lagi. "Disebabkan Khazinatul Asrar lah Mukhlisin berazam nak mengajak mamanya mengenal syariat. Dia yang menghadiahkan tudung kepada mamanya. Mukhlisin cakap dia bimbang kalau-kalau Khazinatul Asrar sedih melihat bakal ibu mertuanya tidak bertudung. Entahlah mummy, yang penting Hijriah bertuah sebab ada seorang mummy yang cantik bertudung. Cuma masih ada jambul sedikit kat depan. Kalau jambul mummy tu turut masuk dalam tudung tentu lagi cantik macam mummy Hijriah ni, barulah daddy makin sayang," usik Hijriah yang tersirat dakwah. Datin Azlinda tersenyum lembut dengan telatah Hijriah. Hatinya akur bahawa mungkin anaknya itu pun turut ditempias oleh nur iman melalui sahabatnya yang bernama Khazinatul Asrar.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Seindah Mawar Berduri [Siri 15]


Pada malam itu Hijriah menelefon Khazinatul Asrar memberitahu tentang dirinya yang pulang ke Kajang.

"Alah, Hijriah nie…dah tak lama lagi kita akan bercuti seminggu, tak sabar-sabar lagi nak berjumpa mummynya. Memang anak manja!" Khazinatul Asrar mengusik.

"Tak adalah. Saya balik pun bukan senang nak jumpa mummy dan daddy sendiri. Waktu sarapan jea boleh tengok wajah mereka. saja…tak nak bagi rumah ni sepi sangat. Nanti, bila Asrar pulang untuk cuti seminggu, lagi sepi hidup saya. Kasihan kat saya kan…" Hijriah menagih simpati dalam nada bergurau. Tak lupa diceritakan peristiwa petang tadi dengan penuh emosi untuk mencungkil respond Khazinatul Asrar terhadap Mukhlisin.

"Bertuahnya Mukhlisin nanti.. kalaulah dia tak bertepuk seorang diri. Asrar kan?" Hijriah menguji temannya.

"Lebih bertuah lagi kalau dia boleh bezakan Maha Hebatnya cinta Allah daripada cinta manusia," balas Khazinatul Asrar.

"Tapi, kadang-kadang cinta Allah hadir setelah mengenali orang yang mencintai Allah. Seperti Mukhlisin sendiri, dia dah mula nak mengenali cinta Allah dan berazam nak cuba membaiki kelemahan diri setelah mengenali awak," hujah Hijriah.

"Hijriah, bersandar pada manusia hanyalah satu asbab yang kecil untuk mencintai Allah. Hakikatnya, segala kemahuan pasti ada jalan apatah lagi kemahuan yang baik untuk bercinta dengan Allah, pasti Allah akan permudahkannya. Pokoknya pangkalnya, tanyalah diri kita sendiri samada kita benar-benar mahu atau tidak…Allah memberikan taufiq kerana diri kita sendiri yang mencari hidayah-Nya. Yang pasti, Allah sentiasa menanti hamba-Nya dengan penuh cinta kerana Maha Agung-Nya sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah. Malangnya, tak ramai yang tahu menghargai cinta Allah terhadap hamba-Nya. Ciptaan Allah yang hina lebih dicintai daripada Penciptanya sendiri…," lembut bicara Khazinatul Asrar. Hijriah membisu kerana cuba menghayati kata-kata itu.

"Hijriah, sebagai teman yang menjadi cermin sahabatnya, saya terpaksa tegur sesuatu…" Khazinatul Asrar membuka topik lain.

"Cakaplah..saya tak kisah. Saya tahu, kalau Khazinatul Asrar yang tegur kesilapan saya, tak lain tak bukan sebab sayangkan saya juga, kan?!" Hijriah menunjukkan reaksi bersedia.

"Hijriah, saya sebenarnya risau bila awak ceritakan yang awak menumpang kereta Mikhlisin. Bahaya tau berdua-duaan dalam kereta dengan lelaki ajnabi, besar fitnahnya. Tak takut ke?" Khazinatul Asrar tak suka berselindung dalam menegakkan amar ma’aruf dan nahi mungkar. "Asrar, dia tu jiran saya! Saya dah cukup kenal perangainya. Mustahil dia akan buat jahat pada saya. Lagipun kat KL ni, masyarakat tak ambil kisah pasal ni semua. Diorang takkan buat fitnah apa-apa sebab diorang lagi dahsyat…" Hijriah cuba menjelaskan keadaan.

"Kalau tak takut fitnah masyarakat, at least takutlah fitnah syaitan yang boleh membisikkan maksiat pada hati. Kalau kita membiasakan diri buat kerja macam ni walaupun dengan jiran, lama-lama hati kita takkan menganggapnya salah lagi. Hilang thiqoh dan sifat wara’. Nau’zubillah! Ingat tak pada hadis Rasulullah S.W.T:

"Jika berdua-duaan antara rijal dan nisa’, di antara mereka ada syaitan."

"Astaghfirullah..macam saya tak pernah dengar pula hadis ni. Moga Allah ampunkan saya dengan Mukhlisin. Tapi, tolonglah jangan bersangka buruk pada Mukhlisin. Dia bukannya gatal-gatal nak tumpangkan saya, Cuma dia kasihan tengok saya sorang- sorang kat bus stop," Hijriah membela Mukhlisin agar mendapat imej yang baik di hati Khazinatul Asrar.

"Asrar, kalau awak mengenali Mukhlisin pasti awak akan mengakui betapa bertuahnya awak dicintai lelaki sepertinya. Walaupun ilmu agamanya tak tinggi sangat tapi saya yakin dia bakal menjadi seorang doctor yang Islamik," Hijriah masih mempromosikan Mukhlisin.

"Maaf, saya tak nak cakap soal ni. Hijriah, tidur nanti jangan lupa basuh kaki, gosok gigi, berwhuduk dan baca doa pelindung, ya! Manalah tahu kot kot Putera Libya menjelma dalam mimpi," Khazinatul Asrar mengalih topik.

"Ish, ke situ pulak dia," Hijriah sudah masak dengan telatah Khazinatul Asrar apabila diajak bicara soal lelaki.

Dua hari kemudian, Hijriah pulang semula ke kamsisnya. Ketika itu senja baru sahaja merangkak pergi. Azan Maghrib mendayu-dayu memenuhi ruang udara.

"Bila dia hubungi abah?" Tatkala Hijriah hendak mebuka pintu bilik, dia terdengar suara Khazinatul Asrar bercakap dengan abahnya. Tentu melalui handset.

"Baru semalam? Habis tu, apa pendapat abah?"
"………………………………………………………………………………………."
"Abah Tanya pendapat Asrar?! Asrar kan anak abah dan ummi, Asrar akan ikut cakap abah dan ummilah…"
"………………………………………………………………………………"
"Apa kata ummi, bah?"
"………………………………………………………"
"Ummi takut pak cik dan mak cik tahu? Kenapa pula, bah? Bukankah pak cik dan mak cik dah pun bagaikan sebahagian daripada keluarga kita?"
"………………………………………………………………………………………"
"Tak patutlah pak cik dan mak cik nak tentukan masa depan Asrar. Itu haq Asrar. Nasib baiklah abah dan ummi lebih memahami Asrar."
"……………………………………………………………"
"Abah doakanlah…terima kasih sebab merestui Asrar!"
"……………………………………."
"Cuti nanti, bah?! Awalnya…Asrar takutlah, abah! Nantilah Asrar perbanyakkan solat, moga-moga Allah benar-benar bagi petunjuk pada Asrar. Asrar tahu, abah dan ummi pun sentiasa doakan kebahagiaan pada Asrar, kan?!"
"……………………………………………"

Berkeriuk dahi Hijriah mengikuti perbualan Khazinatul Asrar di luar pintu bilik. Bagaikan ada urusan penting yang dibincangkan dengan abahnya. Fikirannya cuba menafsirkan sesuatu daripada perbualan yang didengarinya. Dalam pada itu, pintu dikuak orang dari dalam. Rupanya Khazinatul Asrar sudah habis berbual dengan abahnya.

"Eh, Hijriah, bila sampai? Kenapa duduk di luar ni?" Khazinatul asrar agak terkejut apabila mendapati Hijriah tercegat di pintu luar.

"Baru je sampai…Asrar nak pergi ambil wudhuk ke?" Tanya Hijriah pula.

"Mmm," balasnya ringkas.

"Tunggu saya kat Musolla tu yea. Saya nak berjemaah Maghrib sama, " pandai Hijriah mengalihkan perbualan agar Khazinatul Asrar tidak menyedari kelakuannya sebentar tadi.
Bersambung...

Baca selanjutnya...

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner