Sunday, February 24, 2008

Masjid Kristal tersergam, tetapi tiada solat Jumaat



Semua pihak menyedari bahawa pembinaan Masjid Kristal, Terengganu, bukanlah bertujuan dijadikan tempat ibadat secara bersungguh-sungguh, kerana difahamkan bahawa tidak ada pelaksanaan solat Jumaat di situ walaupun kos pembinaan antara RM250–M500 juta, berbanding dengan masjid di sesebuah daerah bernilai kurang RM5.

Pihak berkuasa Terengganu pimpinan Dato' Seri Idris Jusoh begitu angkuh membelanjakan sejumlah besar wang rakyat untuk tujuan itu, tidak termasuk belanja untuk majlis pelancaran yang bernilai RM15 juta baru-baru ini.

Apa faedah sebenar yang boleh diperolehi oleh rakyat dengan pembinaan masjid berkenaan jika solat Jumaat pun tidak dibenarkan, sepertimana rakyat tidak mendapat faedah daripada kewujudan Monsoon Cup, kekayaan hanya berkisar di kalangan mereka yang rakus, malahan pembinaan yang berlaku itu menguntungkan poket pihak tertentu dengan projek mega.

Tidakkah penganjuran majlis Masjid Kristal boleh dianggap amalan bidaah dengan adanya konsert lagu Bollywood berhampiran bangunan masjid berkenaan, tidakkah itu satu persendaan terhadap ajaran Nabi Muhammad s.a.w.?

Apa yang penting, kita perlu merujuk kepada satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sudah hampir sampai suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu melainkan hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu melainkan hanya tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah Allah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali." - Hadis riwayat al-Baihaqi daripada Sayidina Ali bin Abi Talib.

Dalam satu hadis lain, riwayat Imam Abu Daud daripada Anas Bin Malik, baginda Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Tidak berlaku hari Qiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid.

Sekarang, bagaimana kita hendak meletakkan kedudukan Masjid Kristal dengan hadis di atas, tidakkah ia tersergam indah dengan kosong pengisian dalamannya.

Pengajiannya dinafikan kerana para penceramah Umno tidak dan mungkin kurang bersedia untuk mengajar, sebab mereka pun tahu apa yang akan dicakapkan itu salah menurut hukum Syara', daripada diserahkan kepada penceramah PAS, lagi baik masjid kosong tanpa pengajian, kerana bagi tanggapan Umno, PAS akan berpolitik dalam masjid.

Sepatutnya, dalam keadaan akidah umat Islam hari ini semakin parah, penganjuran kelas-kelas agama perlu dipertingkatkan, pemimpin Umno perlu minta bantuan para penceramah PAS bagi membendung keadaan yang semakin mejurus kepada penentangan terhadap Allah secara terbuka.

Apa yang perlu kita lakukan hari ini, adalah mengembalikan kegemilangan sejarah masjid-masjid dalam Islam yang mampu memproduk generasi al-Quran yang disifatkan Allah dalam al-Quran sebagai sebaik-baik umat yang berjaya meraih tempat di sisi baginda Rasulullah s.a.w.

sumber: harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner