Wednesday, October 10, 2007

Jadilah graduan Universiti Ramadan yang hebat

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi mendapat cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.

Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswaserta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.

Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.

Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik jadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadan.

Apabila kesemua bentuk tarbiah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.

Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadan menjadi orang yang menantang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ˜Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?

Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriah serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.

Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."

Graduan-graduan Ramadan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.

Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner