Sunday, October 21, 2007

Australia Tidak Cadang Larang Pemakaian Tudung Di Lapangan Terbang


MELBOURNE, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Australia tidak mempunyai rancangan untuk melarang pemakaian burqa, tudung dan pakaian yang menutup muka sepenuhnya oleh wanita Islam ketika berada di lapangan terbang di negara itu.

Jurucakap Menteri Imigresen Australia Kevin Andrews berkata pejabat menteri itu tidak langsung mempertimbangkan rancangan seperti itu.

Seorang jurucakap menteri berkenaan berkata beliau tidak percaya rancangan itu dipertimbangkan oleh mana-mana menteri kerajaan Australia.

Beliau memberitahu demikian kepada Australian Associated Press ketika diminta mengulas laporan akhbar The Herald Sun hari ini bahawa pejabat menteri itu sedang mempertimbangkan larangan itu untuk penumpang udara atas soal keselamatan.

Kerajaan Perancis telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam apabila mengharamkan pelajar Islam memakai tudung di sekolah-sekolah awam di negara itu pada 2004.

-- BERNAMA

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner