Saturday, September 29, 2007

Taktik keji gagalkan kemenangan bukan Aspirasi: UIAM buka pencalonan semula

Oleh: Intan Abdullah

Proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), seperti juga bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lainnya, telahpun disempurnakan semalam, 26 September, namun pengumuman terbaru petang tadi mengejutkan semua pihak.

Melalui notis yang ditandatangani Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, pihak pentadbiran UIAM memaklumkan bahawa proses pencalonan dibuka semula dan pelajar yang berminat untuk bertanding dalam PRK boleh mengisi borang untuk diserahkan pada hari penamaan calon, yang ditetapkan pada 30 September ini, iaitu hari Ahad.

Manakala hari mengundi tidak pula berganjak, iaitu ditetapkan pada 2 Oktober. Ini bermakna tempoh kempen yang dibenarkan tidak sampai pun dua hari.

Difahamkan, apabila penamaan calon ditutup semalam, sembilan calon kumpulan pro-mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding, dan ini memberi laluan mudah kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.

Kumpulan berkenaan hanya perlu menang lima kerusi sahaja lagi bagi meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, dengan makluman paling mengejutkan itu, kemenangan semua calon-calon yang menang tanpa bertanding itu dibatalkan secara automatik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk mengalahkan kumpulan bukan Aspirasi-Umno di UIAM, namun ia menemui kegagalan. Pihak Hal Ehwal Pelajarnya juga mengalami tekanan daripada Kementerian Pengajian Tinggi agar diusahakan apa jua cara bagi memenangkan kumpulan Aspirasi.

Langkah terbaru ini dilihat sebagai taktik paling kotor dan tidak bermaruah pihak UIAM, di bawah tekanan KPT, untuk bukan sahaja menimbulkan kekecohan, tetapi bagi memberi asakan kepada kumpulan pro-mahasiswa supaya memboikot pilihan raya kampus.

Berdasarkan keputusan PRK tahun lalu, hanya kampus UIAM gagal dikuasai kumpulan Aspirasi-Umno. Bagaimanapun Majlis Perwakilan Pelajar UIAM yang dibentuk itu tidak diiktiraf oleh pihak pentadbiran UIAM selama lebih empat bulan.

Copy dari: Harakahdaily.net


0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner