Wednesday, September 19, 2007

Pilihan raya kampus: Siswa UM dibuang kolej!

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Hrkh) - Pilihan raya kampus (PRK) semakin mendekati warga kampus walaupun tiada sebarang notis pembubaran yang dipamerkan di mana-mana kampus.

Sungguhpun begitu, pelbagai insiden yang membuka tirai 'peperangan' antara kumpulan Aspirasi dan pro mahasiswa telah berlaku di beberapa buah kampus Lembah Klang termasuk rampasan barang-barang peribadi mahasiswa, penggeledahan bilik, kereta, sehinggalah kepada notis serta SMS ugutan.

Terbaru, empat mahasiswa telah diberikan surat untuk dibuang dari Kolej kediaman ke-10, Universiti Malaya tanpa sebarang sebab yang jelas.

Bagaimanapun menurut sumber, tindakan tersebut adalah ekoran daripada penyertaan mereka semasa menghantar memorandum menuntut pilihan raya kampus yang adil dan bebas di Kementerian Pengajian Tinggi pada 10 Ogos yang lalu.

Sumber juga menyatakan bahawa Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya telah menghantar surat bantahan ekoran tindakan pihak kolej tersebut kerana mereka belum dibicarakan mahupun disabitkan dengan kesalahan secara jelas.

Kesannya, setakat ini empat mahasiswa yang terdiri daripada tiga siswa dan seorang siswi itu masih dibenarkan untuk tinggal sementara di kolej tersebut.

Selepas ini, mereka semua akan dipanggil untuk membantu siasatan serta membela diri, demikian menurut sumber tersebut.

Copy dari: Harakahdaily.net


0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner