Wednesday, September 19, 2007

Labeling: Budaya murahan politikus Umno di kampus

Oleh: Intan Abdullah

Umno terus menjalankan konspirasi mereka untuk menawan kampus secara optimum dengan membudayakan amalan melabel.

Hal ini ternyata bukan sahaja berlaku dalam parti politik, malah ia semakin menular ke kampus. Di Universiti Malaya (UM) mula terdengar desas-desus memalitkan Naib Canselor (NC) nya Dato' Rafiah Salim sebagai pro-pembangkang tanpa sebarang asas.

Bagaimana tuduhan yang tidak bertanggungjawab sedemikian boleh dilemparkan kepada beliau, sedangkan sepanjang berkhidmat di kampus tertua tersebut, Rafiah dilihat melaksanakan tugasnya dengan amanah dan dedikasi tanpa pilih kasih atau berat sebelah kepada mana-mana pihak demi memastikan hasratnya untuk menobatkan semula UM sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia berjaya tercapai.

Bahkan dengan budaya kerja yang objektif dan positif terhadap kegiatan-kegiatan mahasiswa yang dirasakannya sesuai dan tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan universiti akan diluluskannya.

Hasilnya, mahasiswa Universiti Malaya dapat menyertai program-program anjuran pelbagai persatuan yang ada di UM, seperti Perkampungan Hadhari oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Merdeka ’07 oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), tarian singa oleh Persatuan Tionghua dan pelbagai lagi kegiatan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan mahasiswa yang lainnya.

Jika benar tuduhan yang dilemparkan oleh Umno cawangan UM bahawa NC pro-pembangkang, sudah tentu kita akan dapat melihat tindak-tanduk beliau yang berat sebelah sepanjang tempoh pentadbirannya.

Malah, PMIUM juga telah diheret bersama politik murahan ‘labeling’ puak Umno dengan anggapan bahawa NC telah bertindak melebihkan PMIUM yang turut dilabelkan pro-pembangkang apabila memberi kelulusan kepada program persatuan itu pada sesi ini.

Isu seperti ini tidak wajar timbul kerana atas inisiatif PMIUM merancang dan mengemukakan kertas kerja, lantas program diluluskan mengikut lunas-lunas prosedur yang betul.

Persoalannya, apakah perlabelan itu sebenarnya merupakan tanda tidak puas hati pihak-pihak tertentu khususnya politikus Umno di UM ini terhadap NC?

Mungkinkah ia sengaja dibuat dengan tujuan jahat untuk mencapai sesuatu kepentingan politik? Jelas di sini bahawa budaya ‘labeling’ oleh golongan politikus Umno telah menjadi virus sehingga ke alam kampus.

Pastinya warga kampus turut berasa kecewa dan kesal dengan budaya label-melabel terhadap sesuatu golongan atau individu, institusi akademik yang boleh menjatuhkan reputasi UM sebagai IPT terkemuka negara.

Persoalan yang perlu dijawab ialah, adakah amalan politiking Umno yang telah berakar umbi menjadi faktor kejatuhan UM daripada kedudukannya sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia?

Copy dari: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner