Thursday, September 20, 2007

Insiden Batu Buruk - Harapan besar PAS terhadap wibawa Raja-Raja

Oleh: Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - PAS memberi pengharapan besar kepada Majlis Raja-raja yang merupakan institusi yang paling tinggi dalam negara ini, untuk membentuk Suruhanjaya di Raja bagi mengkaji dan membuktikan siapa dalang yang mencetuskan kekecohan di Batu Buruk tempoh hari.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam pertemuan dengan media selepas menghantar Memorandum kepada Majlis Raja-raja, meminta institusi tertinggi itu memberi respons atas permohonannya untuk mendesak mereka yang terlibat dalam insiden itu tampil ke hadapan.

"Bagaimanapun kita serahkan memorandum ini kepada Majlis Raja-raja untuk menentukan tindakan seterusnya sama ada mereka membincangkan atau tidak kita serah kepada raja-raja," katanya.

Antara intipati penting dalam memoradum itu, PAS turut menjelaskan insiden yang berlaku pada 8 September lalu termasuklah penggunaan peluru hidup oleh pihak keselamatan serta kenyataan yang berbeza-beza daripada Ketua Polis Negeri.

Di samping itu, Nasarudin turut memberitahu mereka mempunyai bukti rakaman video seorang anggota polis berpakaian preman berjalan ke arah orang ramai, sambil memegang pistol, semasa insiden rusuhan di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Rakaman itu, katanya menunjukkan seorang lelaki sedang keluar dari kedai makan sambil memegang pistol ke arah orang ramai.

"Rakaman itu diambil ketika rusuhan pada malam itu, dan kami dapat rakaman itu pada malam itu juga, kita akan dedahkan kemudian. Kita ada sebab mengapa tidak didedahkan sekarang," katanya.

Nasharuddin menyerahkan memorandum tersebut kepada Penyimpan Besar Majlis Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang juga Setiausaha Majlis Raja-Raja, di pejabatnya di ibu negara kira-kira jam 4 petang semalam

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman Ahmad Nawawi.

Sementara itu Kamarudin berkata, sepatutnya pihak polis boleh menangkap dan mendakwa anggotanya sendiri yang terbukti menembak orang awam.

"Anggota yang terbabit tidak memakai uniform polis, pegawai polis FRU atau PGA tidak ada hak untuk berkhidmat tanpa pakai uniform kecuali dia SB atau detektif, anggota itu terbukti telah menembak orang sepatutnya pihak polis sendiri terus menahan dan mengenakan pendakwaan kepada beliau," katanya.

Bagaimanapun, Salahudin menyatakan kekesalanya kerana sehingga hari ini mereka yang membakar bendera tidak boleh dikesan oleh polis sedangkan polis yang begitu cekap tetapi tidak dapat menangkap siapa yang membakar bendera itu.

"Kalau dilihat pada foto itu orang berkenaan membakar bendera di depan FRU, kenapa FRU tak tangkap mereka, kita percaya bahawa memang apa yang berlaku adalah satu konspirasi yang dirancang untuk menimbulkan rusuhan pada malam itu,"tegas beliau.

Beliau juga bertegas, PAS bertanggungjawab terhadap insiden itu dan adalah tidak benar sebagaimana yang didakwa oleh kerajaan termasuklah Abdullah Badawi sendiri.

"Kami tidak lari dari isu ini, kami tampil dengan 'gentleman' dalam hal ini dan menyerahkan memo kepada Suhakam, dan bawa usul ke parlimen, serta kepada raja-raja, kita 'gentlemen',".

"Yang lari daripada kenyataan adalah inspektor polis, tidak memberikan satu kenyataan kenapa peluru hidup digunakan untuk menyuraikan yang kononya perhimpunan itu adalah haram," jelas beliau.

Syed Azman mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayub Yaakub yang berubah-ubah berhubung indentiti penembak daripada seorang bernama Azmi kepada Wan aziz Aziz daripada FRU kepada PGA.

"Percanggahan kenyataan Ketua Polis Terengganu yang kita anggap ianya penting menjadi tidak profesional apabila kenyataan berubah-ubah, bagi kita ini menggambarkan beliau hendak menyorok sesuatu yang berlaku di Batu Buruk tempoh hari," katanya.

Antara intipati Memorandum

Penyerahan memorandum ke Majlis Raja-Raja Melayu, Malaysia.

Parti Islam Se Malaysia, PAS hari ini menyerahkan Memorandum ke Majlis Raja-raja Melayu Malaysia melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu berkenaan Tragedi di Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu yang berlaku pada hari Sabtu 8 September yang lalu.

Pada Kejadian tersebut pihak polis telah tidak memberikan permit polis kepada Gabungan Pilihan raya Bersih & Adil atau BERSIH (yang mana PAS merupakan salah suatu anggotanya) untuk mengadakan majlis penerangan, walaupun ianya dijadual diadakan di premis persendirian milik seorang ahli PAS.

Pihak polis telah bertindak ganas apabila melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata ke arah orang-ramai yang berkumpul secara aman untuk menuju ke tapak ceramah dalam keadaan tidak tahu yang majlis tersebut telah dibatalkan atas kehendak pihak polis.

Dan apa yang sangat PAS kesali adalah apabila seorang anggota polis telah melepaskan tembakan peluru hidup dari senjata apinya ke arah orang awam sehingga mencederakan dua orang iaitu Suwandi Abdul Ghani 37 yang terkena peluru sehingga menembusi paru-parunya dan Muhamad Azman Aziz 21 yang terkena di bahu dan leher.

Tindakan melepaskan tembakan peluru hidup seumpama ini ke arah orang awam yang berhimpun secara aman tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, dan ini merupakan insiden yang pertama.

Lalu kerana yakin dan terdorong oleh titah DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah bahawa peranan Raja-raja Melayu adalah umpama pendukung keadilan, pengawal keamanan dan penyelesai pertikaian maka PAS mengambil kesempatan mengadap sembah memohon campurtangan Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan Tuanku-tuanku Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu agar:

1) Segera membentuk sebuah Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat tragedi ini secara bebas dan telus dan menghukum dengan hukuman setimpal siapa sahaja yang didapati bersalah.

2) Menitahkan agar pihak kerajaan segera duduk berbincang dan berunding dengan pihak PAS demi agama, bangsa dan negara bagi menyelesaikan kekeruhan yang berpunca dari insiden malang ini.

PAS mendoakan agar Raja-raja Melayu yang sentiasa prihatin dan mengambil-berat soal dan kebajikan rakyat akan memberikan respon yang positif terhadap memorandum ini.

PAS tidak akan berdiam diri dan terus membuat desakkan sehingga kes ini disiasat oleh sebuah Suruhanjaya Di Raja. Sebelum ini PAS telah pun menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau SUHAKAM mengenai perkara yang sama.

19 September 2007

Ustaz Nasharudin bin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

Copy dari: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner