Thursday, September 27, 2007

HEP tidak layak jadi SPR pilihan raya kampus

Oleh: Nasrudin Hassan Tantawi

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap situasi politik kampus yang dicabuli habis-habisan oleh agen-agen kerajaan Umno-Barisan Nasional khususnya menjelang pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di seluruh negara bermula dengan pembubaran MPM sessi 2006/07 pada 24 September 2007.

Siri-siri ugutan dan ancaman kepada mahasiswa kumpulan 'pro-mahasiswa' berlaku secara terancang dan konsisten seperti terbaru yang berlaku di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya ibarat sebagai permulaan kepada skrip konspirasi untuk melanyak 'standard' pilihan raya kampus sehingga tahap yang paling bawah.

Kami melihat kelangsungan tradisi campurtangan yang langsung dan serius daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berterusan pada tahun ini dengan menghantar staf-staf khusus dengan misi memenangkan kumpulan ASPIRASI dalam pilihan raya kampus yang akan datang.

Ternyata KPT di bawah Dato' Mustapa Mohamed langsung tidak berminat untuk melihat para mahasiswa menunaikan hak mereka untuk memilih dan dipilih dalam pilihan raya kampus yang akan datang secara bebas dan adil .

Kami melihat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang ditugaskan sebagai SPR bagi pilihan raya kampus langsung tidak mempunyai kredebiliti untuk mengendalikan pilihan raya kampus.

Para pegawai tertinggi HEP terbukti telah diprogramkan sebagai salah satu faktor memenangkan kumpulan Aspirasi melalui siri pertemuan dengan Menteri dan Setiausaha Parlimen KPT dan dihadiri wakil tetap daripada Umno.

Bahkan berdasar laporan-laporan pilihan raya kampus yang lepas , para pegawai HEP secara terang-terangan membuli kelompok mahasiswa bukan Aspirasi dengan pelbagai sekatan yang tidak demokratik.

Kami menganggap perubahan tempoh berkempen dari 3 hari kepada 6 hari seperti yang diumumkan hanyalah sandiwara untuk menutup kepincangan dan ketempangan perjalanan pilihan raya kampus kali ini.

Apalah makna sekiranya tempoh kempen dipanjangkan tetapi ruang untuk semua calon yang berkempen secara bebas kepada semua calon yang bertanding disekat secara terpilih.

Adalah sangat malang jika rangking universiti-universiti tempatan menjunam di peringkat antarabangsa, HEP terus merendahkan daya fikir dan gerak tindak mahasiswa dengan menghadkan kebebasan politik mahasiswa secara total.

Justeru itu , kami menuntut agar Jawatan Kuasa bebas pemantauan pilihan raya kampus ditubuhkan terdiri daripada wakil Persatuan Kakitangan Akademik Universiti (PKAU) untuk memantau perjalanan pilihan raya kampus yang akan datang.

DPPP juga menuntut agar pihak Suhakam dibenarkan untuk mengawasi perjalanan pilihan raya kampus pada kali ini bagi memastikan wujudnya sedikit unsur 'semak dan imbang' dalam perlaksanaan pilihan raya kampus di seluruh negara.

Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Copy dari: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner