Wednesday, September 19, 2007

Batu Buruk: Klip video RTM hina perjuangan rakyat Palestin,Indonesia

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Hrkh) - Klip video yang bertajuk 'ini bukan budaya kita' yang bermotifkan kempen kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) dalam isu rusuhan di Batu Buruk tanpa sedar atau tidak telah menghina perjuangan rakyat Palestin dan Indonesia.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar klip video yang ditayangkan RTM secara kerap itu adalah bermotifkan politik untuk menjustifikasi kejadian kes rusuhan di Batu Buruk 8 September lalu.

Imej pemuda membakar bendera dan divisualkan dengan tulisan 'ini bukan budaya kita' menjurus kepada isu dakwaan kononnya rusuhan didalangi pembangkang di Batu Buruk pada 8 September lalu dalam satu ceramah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sedangkan imej awal kejadian baling batu dan himpunan umat Islam di jalan-jalan raya adalah imej dari rakaman perjuangan rakyat Palestin menentang rejim Israel, kata Kamarudin.

Selain itu terdapat juga imej dalam klip video tersebut mengenai perjuangan rakyat Indonesia merusuh menentang pentadbiran Presiden Suharto satu masa lalu untuk mengembalikan demokrasi di Indonesia, katanya.

Klip video yang berniat jahat ini sekaligus menghina perjuangan rakyat kedua-dua negara tersebut yang umum mengetahui bahawa rakyat negara tersebut terpaksa berbuat demikian kerana tekanan yang dihadapi, katanya

Dengan menggunakan klip video ini secara menggabungkan tiga kejadian berasingan dan merujuk kepada niat politik bagi memburuk-burukkkan pembangkang, RTM dilihat bertindak melampau, katanya.

Berhubung klip imej lelaki membakar bendera jalur gemilang dalam kes rusuhan di Batu Buruk, Kamarudin berkata gambaran secara keseluruhannya ialah bermotifkan politik.

RTM dan Kementerian Penerangan sedikit pun tidak menayangkan tindakan ganas polis terhadap orang awam dan klip video tembakan menggunakan peluru hidup yang dilepaskan anggota polis ke atas orang awam, katanya.

Selain itu RTM juga tidak pernah menyiarkan kejadian polis mengganas dan memukul peserta dalam perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak di Menara Berkembar Petronas (KLCC), katanya.

Keganasan polis dan FRU ketika itu telah pun disiasat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam satu 'public inquiry' mereka dan mendapati ia adalah satu pencabulan hak asasi manusia oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu Setiausaha Agung PAS itu yang juga anggota Parlimen Tumpat mengecam tindakan tidak profesional yang dilakukan RTM di bawah kementerian yang diterjui Dato' Zainudin Maiden (Zam).

Tindakan itu katanya hanya bermotif politik untuk mengaburi mata rakyat tatkala kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadapi krisis pentadbiran yang buruk.

Melalui pemantauan yang dibuat Harakahdaily, klip video tersebut kerap ditayangkan di RTM1 dan RTM2 hampir setiap hari pada waktu-waktu tertentu yang mungkin sekali mendapat perhatian penonton.

Polis kejar pemuda dengan pistol di tangan

Sementara itu, dalam satu pengakuan yang dibuat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, beliau sendiri menyaksikan antara punca kejadian rusuhan yang berlaku di Batu Buruk, antaranya ialah tindakan polis mengejar seorang pemuda dengan memegang pistol di tangan.

"Sampai saya di tempat ceramah kira-kira jam 10.00, saya disekat 300 meter dari tempat ceramah. Seorang polis dalam gelap cerah dia datang dan kata mana dia orang yang bajunya koyak. Polis itu dengan pistol di tangan," kata Mohamad Sabu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu Mohamad Sabu berkata, ketika mengejar pemuda tersebut, polis berpakaian preman itu tidak sedar akan kehadiran beliau dan beberapa penceramah lain yang turut disekat di kawasan itu.

Menurut Mohamad Sabu, selepas itu polis itu pergi ke dalam kumpulan polis dan kemudiannya Mohamad mendekati kumpulan polis itu untuk mencari anggota polis yang memegang pistol tersebut.

"Saya tengking dia, saya kata ooo ... bawa pistol ke nak bunuh orang. Baru mereka sedar itu suara saya dan kenal saya Encik Mohamad Sabu.Polis tadi itu hilang dalam 'crowd' polis itu," katanya.

Menurutnya, tindakan anggota polis itu mengejar orang awam dengan menggunakan pistol di tangan bermula pada jam 10.00 malam lagi sebelum berlakunya kekecohan.

"Ertinya dia (anggota polis) bukan nak mempertahankan diri kerana nyawa terancam atau apa sahaja. Sama ada orang itu (anggota polis) yang menembak pada insiden berikutnya saya tak tahulah," katanya.

Semasa ditanya mengenai bagaimana beliau merasakan bahawa anggota polis tersebut ada niat untuk berbuat sesuatu terhadap pemuda itu Mohamad Sabu berkata, tindakan memegang pistol di tangan semasa mengejar orang awam itu adalah satu yang dicurigai.

"Drama kejar mengejar itu bermula sejak jam 10.00 lagi, dan bukannya dia bertindak untuk mempertahankan diri," katanya.

Sehubungan dengan dakwaan itu Mohamad Sabu sendiri bersedia menjadi saksi jika Suhakam mengadakan siasatan awam (Public Inquiries) seperti yang dituntut oleh Bersih dalam memorandumnya hari ini.

Copy dari: Harakahdaily.net

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner