Thursday, August 10, 2006

Resolusi Masjid Wilayah 23 Julai 2006 / 26 Jamadilthani 1427H

1. Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.
2. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.
3. Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.
4. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.
5. Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi melalui ”roadshow” (majlis penerangan ) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.
6. Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (”mainstream”) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai Islam.
7. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.
8. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.
9. Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha barat dan badan–badan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.
10. Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.
11. Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40% dari jumlah keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner