Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 29]


Rahmat Allah yang melimpah-limpah begitu terasa. Pak Cik Abdul Rahim bersyukur kerana kali ini, di tengah-tengah lautan manusia dia berpeluang mencium Hajaratul Aswad. Dingin pagi yang menanti kehadiran fajar as-siddiq, mencengkam ke tangkai naluri. Langit gelap yang tak berawan menambahkan lagi kedinginan subuh. Meskipun begitu, jutaan manusia yang bergelar hamba tidak tergoda dengan lena, masing-masing lunak dalam esak tangis mendambakan keampunan Pencipta. Terasa hangat bahang keagungan Allah, pemilik kerajaan alam semesta.
Dalam kelazatan rintihan dengan nikmat ketenangan, tiba-tiba bauan harum semerbak daripada kuntuman-kuntuman mawar menyelinap masuk ke rongga hidungnya. Mata yang sejak tadi terpejam khusyuk, dibuka perlahan-lahan. Jemaah umrah di kiri dan kanannya tidak menunjukkan respond apa-apa. Terus khusyuk menghadap Khaliqnya. Bagaikan dia seorang sahaja yang tercium haruman wardah itu. Bauan itu sepintas lalu dibawa angin dingin. Perlahan-lahan pandangannya beralih pula ke kaabah yang tersergam megah dan indah. Gemersik dedaunan Raihan dengan irama mengasyikkan…bermain-main di pendengarannya.
Tiba-tiba, kelihatan di dada Kaabah terskrin secara samar-samar wajah seorang wanita yang cukup dikenali, cukup disayangi. Wajah itu indah bermandikan seri, penuh perhiasan yang melengkapi, bagaikan bidadari dari Taman Firdausi. Itulah wajah isteri tercinta, ibu yang telah melahirkan Khazinatul Asrar untuknya. Manis wajah itu mengukir senyuman. Semakin lama, semakin menghilang lalu luput dari pandangan. Segalanya berlalu pantas. Lama Pak Cik Addul Rahim terpukau dengan peristiwa ajaib yang dilaluinya di awal Subuh di Tanah Suci…sehinggalah azan Subuh mendayu-dayu kedengaran dari menara-menara yang terbina kukuh di sudut-sudut Masjidil Haram.
Selepas mendirikan solat Subuh berjemaah bersama jutaan Ummat Islam, dia bergegas ke hotel penginapan untuk menyampaikan berita menakjubkan itu kepada isterinya.
"Zahra, wajahmu dimuliakan Allah, terskrin di dada kaabah!" lonjak hatinya. Setibanya di hotel, sarapan untuk jemaah umrah sudah sedia menanti, namun isterinya masih belum pulang dari Masjidil Haram. Sabar lelaki itu menanti.
"Mungkin dia solat sunat Syuruk seterusnya menunggu Dhuha," fikirnya. Lama waktu penantiannya….berjam-jam. Diisi dengan tasbih dan zikir. Jantungnya asyik berdebar-debar. Entah mengapa… Tak lama kemudian, muncul kelibat seseorang. Pengurus jemaah umrah Malaysia rupanya. Lelaki itu berjalan ke arahnya.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner