Sunday, April 02, 2006

Seindah Mawar Berduri [siri 28]


"Assalamualaikum.."

Suatu suara garau bergema di muka pintu pagar Mak Cik Nab.

"Alif, Aina, Alim, Kak Ngah…pergilah tengok siapa yang datang tu. Mak tengah masak ni," laung Mak Cik Nab dari ceruk dapur.

"Alif tengah sibuk ni…abang Alim tu relex-relex je!" suara Alif pula melaung kuat sambil sibuk bermain game.

"Apa pulak…Alim tengah makan ni!" si alim pula memberi alasan sambil makanan ringan Mamee Monster itu dirangupnya satu persatu.

"Ha…ha…jangan nak suruh Aina pulak. Aina tengah temankan si Tompok ni. Dia takut main sorang-sorang nanti bapaknya gigit," cepat-cepat Aina memberi alasan sambil dipusing-pusingnya tali benang supaya ditangkap oleh anak kucing kesayangannya.

"Mak, Kak Ngah tengah tidur ni…adik-adik tu pemalas, cubit jea!" gadis remajanya pula yang mencecah Tingkatan Tiga memekik dari dalam bilik. Serentak dengan itu sebuah kereta meluncur ke perkarangan pintu pagar. Hon dibunyikan berkali-kali.

"Eh, tu kereta ayah!" spontan sahaja Alif, Aina, Alim dan Kak Ngah meluru keluar. Takut dimarahi nanti. Kelihatan di luar pagar sana, ayah sedang berpelukan dengan seseorang. Berkeriuk dahi mereka melihat telatah ayah.

"Eh, abang Long!!!!" jerit Alim tiba-tiba. Semuanya riuh rendah menjerit memanggil-manggil nama abang mereka. Mak Cik Nab sangat terkejut, lantas meninggal sahaja ayam goreng yang masih tercelup dalam minyak panas di atas dapur, tergesa-gesa dia meluru ke luar.

"Ya Allah, Asyraf??!!" Mak Cik Nab seakan tidak percaya.

"Mak, Asyraf mintak maaf! Ampu kan Asyraf…" tangan ibunya dikucup mesra.

"Syukurlah kau dah balik, Asyraf. Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim kau tentu balik sekali, kan?!" nada Mak Cik Nab berbaur harapan.

"Tak, mak! Mereka terus berangkat ke Tanah Suci…" jelas Asyraf. Badannya yang letih direbahkan ke sofa empuk.

"Iya?! Oh..kasihan Asrar terlalu merindukan mereka!" kesal Mak Cik Nab.

"Ini semua salah ayah..." Sesalan demi sesalan masih menghantui Pak Cik Soleh.

"Tak, ayah! Sayalah puncanya!" Asyraf membela ayahnya. Pak Cik Soleh tetap menyesali perbuatannya terhadap keluarga itu sambil menceritakan segalanya kepada Asyraf. Asyraf terkedu seketika.

"Mulianya hati Mak Cik Zahra dan Pak Cik Abdul Rahim. Mereka tak pernah menceritakan apa-apa keburukan tentang mak dan ayah sepanjang di sana. Khabar baik-baik sahaja mereka sampaikan," luah Asyraf. Mak Cik Nab dan Pak Cik Soleh tertunduk malu. kesal.

"Eh, bau apa ni?" ayah Asyraf tiba-tiba menyedari suatu bau yang menusuk hidung. Hangit.
"Err…jangan suruh Kak Ngah. Kak Ngah nak tolong angkat beg abang Long ni," gadis belasan tahun itu cepat-cepat berlalu sambil mengangkat beg berat abangnya.

"Kau tengoklah adik-adik kau, Asyraf," ibunya berleter sambil bergegas ke dapur. Asyraf memandang adik-adiknya yang comel.

"Ooo…abang Long tak de, semua nakal yea!" mulalah adik-adiknya bising membela diri. Asyraf menggeleng-gelengkan kepala.

"Ayah, esok saya nak ziarah Asrar dan suaminya. Saya sedar kini, dia bagaikan adik kandung saya sendiri. Saya rasa bersalah pada Mustaqhim," kata Asyraf.
Sebuah kereta Mercedez Benz mewah berwarna silver metallic diparking di perkarangan rumah Khazinatul Asrar.

"Mungkin dia ada tetamu," bisik hati kecil Asyraf. Setelah difikir beberapa kali, dia meneruskan juga niatnya untuk menziarahi Khazinatul Asrar sekeluarga. Apatah lagi, adiknya itu sudah tentu terlalu ingin mengetahui khabar abah dan umminya. Seperti kedatangan Hijriah, kedatangan Asyraf sangat memeranjatkan Khazinatul Asrar dan suaminya. Semuanya datang dengan tiba-tiba. Berdegup kencang jantung Khazinatul Asrar untuk mendengar berita abah dan umminya yang tidak pulang bersama Asyraf dari Jepun.

Namun, sebagai adab melayan tetamu, dia mempersilakan dulu Asyraf duduk. Tidak terburu-buru untuk bertanya. Kemudian, diperkenalkan Asyraf kepada daddy Hijriah, Hijriah dan juga Humaira’.

"Asrar, abang minta maaf atas semua yang berlaku," Asyraf sudah tidak mampu lagi menahan rasa bersalah walaupun di depan tetamu lain.

"Tidak, abang Asyraf! Bukan silap abang. Semuanya kehendak Allah. Bagaimana ummi dan abah, mereka sihat?" Tanya Khazinatul Asrar bersopan.

"Alhamdulillah….Cuma, Mak Cik Zahra yang kurang tahan dengan perubahan cuaca. Apatah lagi di musim salji. Tapi, sekarang mereka tak berada lagi di Jepun, mereka dah pun ke Tanah Suci Mekkah." Jelas Asyraf. Khazinatul Asrar tenang mendengarnya.

"Sama-samalah kita doakan mereka…" Mustaqhim Al-Qordhrowi menambah. Asyraf pantas merenung wajah yang bercahaya dengan nur keimanan di sisi Khazinatul Asrar.

"Mustaqhim…saya pun ingin minta maaf dari kamu kerana banyak menyusahkan. InsyaAllah, saya datang kali ni sebagai abang kandung Asrar. Kita kan tetap bersaudara…" tutur katanya sarat dengan keikhlasan. Semuanya tersenyum.

"Nanti, jemputlah sekali ke rumah!" daddy Hijriah yang berpangkat Dato’ itu menghulurkan kad perkahwinan anaknya kepada Asyraf. Asyraf ceria mencapai kad itu dan menatapnya seketika. Kemudian, pandangannya beralih pada dua orang gadis di sebelah lelaki yang agak berusia itu. Kedua-duanya manis berbusana Muslimah. Dijelingnya pula jari-jemari mereka. Salah seorangnya memakai cincin berlian di jari manis. Itulah Hijriah seperti yang diperkenalkan sebelumnya.

Degupan jantungnya tiba-tiba berdeguk agak kencang tatkala menyedari gadis di sebelah Hijriah itu tiada sebentuk cincin pun menghiasi jari sebagai tanda diri yang belum berpunya. Namun, Asyraf tidak berani mengangkat pandangannya terlalu lama. Bimbang kalau- kalau menimbulkan maksiat pada hati. Apatah lagi, tabir aurat yang menghijab diri menimbulkan rasa hormat buat mana-mana lelaki. Salah satu ciri-ciri mawar berduri. Pertemuan yang tidak dirancang itu semuanya telah menjadi perancangan Ar- Rahman. Dia Maha Berkuasa mentaqdirkan apa sahaja. Yang pasti, Dia Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.
"Mungkin, dia seindah Aisyah Al-Humaira’ untukku…" bisik hati kecil Asyraf.
Bersambung...

0 comments:

Yang Benar Tetap Benar © 2008 Template by:
SkinCorner